webnovel

Halau Perempuan Tua ini Keluar

Editor: EndlessFantasy Translation

Selepas dia membuat panggilan telefon, Puan Chan tetap menasihati Xinghe dengan lemah lembut, "Cik Xia, tolonglah beredar dengan cepat dan pergi sekarang. Pengawal keselamatan akan tiba tidak lama lagi."

Xinghe yang tenang hanya membalas dengan senyuman tetapi tetap tidak berganjak.

Dia memandang Wu Rong dan berkata dengan senyuman sinis, "Lebih baik mereka berada di sini. Saya memerlukan pertolongan mereka untuk menghalau orang setinggan ini keluar."

Wajah Wu Rong bertukar keruh. "Xia Xinghe, siapa yang kamu panggil penduduk setinggan?"

"Diri kamu sendiri tahu jawapannya."

Mata Wu Rong berkerut sedikit.

Dia tiba-tiba mempunyai firasat buruk, tetapi dia tetap berdiri teguh dengan pendiriannya.

Apa lagi yang Xia Xinghe boleh buat? Perempuan liar itu mungkin mempunyai saksi dan testimoni bagi pihaknya tetapi dia semestinya tidak mempunyai wang untuk menyokong mereka.

Semua benda di dalam vila keluarga Xia sekarang sudah menjadi miliknya, jadi bagaimana perempuan kecil itu boleh mencabarnya?

Dengan buah fikiran yang menenangkan ini, dia merehatkan dirinya di atas sofa dengan santai, menunggu pengawal keselamatan tiba.

"Puan Besar Xia, mengapakah kamu memanggil kami?" salah seorang daripada lelaki itu bertanya dengan sopan.

Wu Rong melemparkan pandangan jijik kepada Xinghe, dan menambah, "Campak keluar perempuan ini dari rumah saya dan haramkan dia menjejakkan kaki ke sini pada masa akan datang. Pastikan dia tidak dibenarkan ke sini lagi, faham?"

Pengawal keselamatan tersebut memandang Xinghe dan berkata dengan profesionalnya, "Cik, sila ikut kami keluar."

Xinghe bertanya dengan tenang, "Adakah pemilik rumah di sini mempunyai hak sepenuhnya untuk mencampak keluar seseorang hanya kerana dia tidak suka akan mereka?"

Pengawal keselamatan itu mengangguk tanpa perasaan. "Ya, secara asasnya. Ini adalah kawasan kediaman berprestij, kami tidak mengalu-alukan pembuat onar. Cik, sila ikut kami dengan patuh, jangan sukarkan perkara ini untuk kami semua."

"Baguslah, kalau begitu tolong saya campak perempuan tua ini keluar," arah Xinghe sambil menuding jarinya pada Wu Rong.

Wu Rong terkejut, begitu juga dengan dua orang pengawal keselamatan itu.

Kedua-dua lelaki itu tersenyum mendengarkan permintaan mengarut Xinghe sebelum memarahinya dengan tegas, "Cik, jangan buat hal di sini. Ianya tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa, terutamanya kepada diri kamu. Puan Besar Xia ialah pemilik rasmi vila ini, beliau ada hak untuk menghalau kamu dan bukan sebaliknya. Jadi tolong ikut kami!"

"Xia Xinghe, walaupun saya percaya bahawa ingatan kamu sudah pulih tapi kamu mungkin mahu periksa otak kamu," Wu Rong bersuara sambil memutar-mutarkan jarinya dalam bulatan di sisi kepalanya.

Dia percaya bahawa Xinghe sudah menjadi gila.

Vila itu adalah miliknya, betapa beraninya perempuan liar itu mahu menghalaunya keluar?

Xinghe menyambung lagi dengan tenang, "Kamu katakan vila ini miliknya, tetapi mana buktinya? Ayah saya berikan saya vila ini, saya tak pernah tahu sejak bila ianya menjadi milik perempuan tua ini. Kamu mahu saya tinggalkan tempat ini? Baik, tetapi tunjukkan pada saya geran rumah ini ataupun saya akan tinggal di sini!"

Pengawal keselamatan itu menjadi keliru.

Xinghe menerangkan dengan tenang, "Nampaknya kamu berdua orang baru di sini. Biar saya ceritakan, pemilik asal vila ini ialah mendiang bapa saya. Perempuan tua ini pernah menjadi ibu tiri saya."

Kedua-dua lelaki itu terkejut apabila mengetahui kedua-dua wanita itu pernah menjadi sebuah keluarga.

Wu Rung mengetapkan giginya kegeraman.

Xinghe terus-menerus memanggilnya perempuan tua. Dia sudah hampir mengamuk!

Mengenepikan perasaan marahnya, dia membalas, "Xia Xinghe, saya juga boleh bertanya benda yang sama kepada kamu. Kamu dakwa vila ini milik kamu tapi mana bukti kamu?"

Xinghe tersenyum. "Saya gembira kamu bertanya. Kebetulan pula saya memang ada geran hartanah ini."

Wu Rong sedikit terpinga-pinga dan kilasan tidak pasti kelihatan di matanya. Namun begitu, dia benar-benar percaya bahawa Xinghe hanya lah menyebut benda-benda karut.

Jika dia memang mempunyai geran itu, mengapa dia perlu menunggu sehingga hari ini?

Pastinya dia hanya berbohong.

"Baiklah, tunjukkan pada kami. Jika kamu gagal berbuat demikian, kita akan sambung perbualan ini di pejabat polis."

Próximo capítulo