webnovel

Pasti Dia Amat Bahagia Memiliki Tunang dan Perempuan Simpanan

Editor: EndlessFantasy Translation

"Yu itu datang lagi. Saya ingat dia dah tak ada di Kingstown."

Bukankah itu suara pelayan restoran yang baru sahaja menyambut kedatangan kami? Yu Lili terhenti dan membatalkan niatnya untuk membuka pintu tandas.

"Ya betul. Rasanya perempuan yang Ou Ming bawa sebelum ini bukan dia. Lelaki kaya memang berbeza. Pasti dia amat bahagia memiliki tunang dan perempuan simpanan," kata pengurus itu sambil kedengaran seperti sedang membetulkan solekannya.

"Betul. Tapi saya lihat dah lama Ou Ming bersama si Yu itu. Kenapa tunang dia masih mahu bersama dia? Saya dengan tunang dia ialah orang yang berpengaruh di ibu kota."

"Itu pun kamu nak hairan? Walaupun Ou Ming yang kaya dan kacak itu buaya darat, dia masih ada kualiti."

"Betul juga. Jika saya boleh dapat lelaki seperti itu, saya tak kisah untuk berkahwin dengannya. Kamu nak masuk tandas?"

"Tak, kamu masuklah. Saya keluar dulu."

...

Yu Lili mendengar seorang daripada mereka masuk ke tandas di sebelahnya dan seorang lagi keluar dari bilik air itu. Dia benar-benar mahu pergi menampar muka kedua-dua wanita itu. Namun kakinya tidak mahu bergerak.

Bukankah Ou Ming cakap dia tidak sukakan tunangnya? Bukankah dia beritahu dia tidak akan berkahwin dengan Shen Manting? Jadi kenapa dia datang ke restoran kegemaran saya untuk makan mi bersama perempuan itu? Saya tak pernah tahu pekerja restoran ini melihat saya dengan pandangan seperti ini. Yu… menarik.

Ou Ming juga memanggilnya Yu, tetapi ia hanya satu nama. Namun apabila orang asing memanggilnya begitu, Yu Lili dapat mendengar penghinaan dan ejekan di dalam nada mereka. Hatinya terasa pedih seakan dihempap batu. Kerongkongnya seakan tersekat dan matanya mula berkaca. Dia membuka mulutnya dan mendongak ke arah siling. Saya benar-benar perempuan yang tidak berguna…

Selepas beberapa minit, kedengaran bunyi pam ditarik dari tandas sebelah. Yu Lili mendengar bunyi tapak kasut tumit tinggi itu keluar dari bilik air dan menunggu seketika sebelum membuka pintu tandas. Setelah membasuh tangan dan berjalan kembali ke biliknya, dia melihat makanan yang dipesan mereka sudah tiba.

Ou Ming berpaling dan melihat Yu Lili yang kelihatan tidak gembira berbanding beberapa minit lalu. "Kenapa?" tanyanya sambil menarik Yu Lili merapatinya.

Yu Lili menggeleng sambil tersenyum lalu mengambil penyepitnya dan berkata, "Jom makan, saya lapar." Ou Ming memandangnya dan cuba meneka masalah yang berlaku. Tetapi Yu Lili yang duduk berhadapan dengannya hanya tunduk dan berkelakuan seperti biasa.

Ou Ming memandu ke Hospital Pertama Kingstown selepas mereka selesai makan. Dia menceritakan simptom yang dialami oleh Yu Lili kepada doktor dan doktor tua itu mencadangkan supaya Yu Lili mendapatkan rawatan akupuntur. Selesai rawatan akupuntur dan mengambil beberapa ubat, Ou Ming keluar bersama Yu Lili. Ou Ming amat tahu tentang punca mati pucuk yang dialami oleh Yu Lili tetapi tidak memberitahunya kepada doktor. 

Yu Lili sendiri tidak sedar apa yang berlaku. Ketika tiba di rumah bersama Ou Ming, fikirannya masih separa sedar. Perbualan dua pelayan tadi terngiang-ngiang di kepalanya.

[Pasti dia amat bahagia memiliki tunang dan perempuan simpanan]

"Kita dah sampai." Suara Ou Ming mengembalikan Yu Lili ke dunia nyata. Dia menoleh dan tersenyum lalu membuka pintu kereta.

Namun belum sempat dia turun, Ou Ming menarik tangannya lalu memandangnya dan berkata, "Apa yang berlaku? Kamu nampak kurang gembira sejak tadi."

Próximo capítulo