webnovel

Ou Ming, Kita Perlu Bercakap

Editor: EndlessFantasy Translation

Yu Lili melihat belakang Ou Ming yang kelihatan tekad dan berasa sedih. Kedua-dua tangan dan kakinya masih sakit kerana dicampak sehingga terjatuh oleh lelaki-lelaki tadi. Dia tunduk dan melihat lukanya tidak dalam, hanya ada kulit yang tersiat, tetapi dia masih tidak mampu mengejar Ou Ming. Akhirnya Yu Lili menanggalkan kasut tumit tingginya lalu berlari berkaki ayam sambil membawa kasutnya di tangan dan menjerit, "Ou Ming, tunggu!"

Walau bagaimanapun, Ou Ming masih tidak menghiraukan panggilannya dan terus berjalan ke hadapan. Tiba di satu selekoh, dia membelok dan masuk ke sebuah bar. Yu Lili segera mengekorinya. Seseorang mengenali Ou Ming lalu segera menyapanya dan berkata, "Encik Ou, akhirnya kamu datang. Mari, duduk di sana."

Ou Ming dibawa ke sofa di tempat yang tidak bising. Di situ terdapat empat orang lelaki yang dikelilingi beberapa orang wanita yang cantik dan seksi. Seseorang menyedari kehadiran Yu Lili yang masih mengekori Ou Ming dan berkata, "Encik Ou, ini…"

"Saya tak kenal dia." Ou Ming duduk di sofa itu dan mengambil segelas wain yang dihulurkan salah seorang lelaki.

Lelaki itu mengangguk faham. Kemudian dia melihat pakaian Yu Lili yang kelihatan berjenama, tetapi jika dilihat dengan teliti semuanya ialah barang tiruan. Malah kasut Yu Lili mempunyai logo kulit ular klasik Bulgari. Kasut itu berjenama terkenal, tetapi disebabkan wanita itu memakainya, pasti ia juga barang tiruan. Wanita ini pasti golongan perempuan yang mempunyai latar belakang tidak baik dan cuba menggoda lelaki kaya di tempat sebegini. Walau bagaimanapun, dia sangat cantik! Wanita ini mempunyai tubuh yang cantik, menggoda, malah kulitnya kelihatan halus.

Pasti bagus jika saya boleh tidur semalaman dengannya.

Lelaki itu menyangka dia sudah faham segalanya lalu menyapa Yu Lili dengan menaikkan keningnya dan berkata, "Hai, saya Tuan Muda kedua Syarikat Enling."

Namun Yu Lili tidak menghiraukannya sebaliknya memandang tepat kepada Ou Ming dan berkata, "Saya perlu bercakap dengan kamu, boleh kamu keluar?" Dia ada banyak perkara yang mahu diberitahu kepada Ou Ming. Dia telah memendam semuanya selama empat tahun. Dia tidak pernah melupakan Ou Ming walau sehari sejak empat tahun lalu. Lebih-lebih lagi ketika dia hilang arah tuju beberapa hari lalu, dia hampir gila memikirkan Ou Ming. 

Namun Ou Ming hanya menjelingnya sekilas, kemudian tersenyum sinis lalu menghirup wainnya tanpa berkata apa-apa.

Seorang wanita muda yang amat pandai memerhatikan keadaan duduk di sebelah Ou Ming sambil memegang segelas wain. Dia menyandarkan buah dadanya pada lengan Ou Ming dan berkata kepada Yu Lili, "Jika semua perempuan menjengkelkan seperti kamu, pasti Tuan Muda Ou akan jadi amat sibuk. Dia tak mahu layan kamu, jadi saya nasihatkan kamu pergi cari lelaki lain, bagi Tuan Muda Ou pula… ya…"

"Betul tu." Seorang lagi wanita duduk di sebelah Ou Ming. "Tuan Muda Ou ialah lelaki bujang paling dikehendaki di ibu kota. Tempat pertama di dalam senarai lelaki idaman wanita bujang di seluruh negara. Kamu dah tengok dia, sekarang pergi."

Yu Lili meletakkan kasut yang dipegangnya ke bawah dan memakainya kembali. Dia merenung Ou Ming dengan matanya yang besar dan cantik seakan mata itu boleh berkata-kata. Walaupun Yu Lili tidak bersuara, tetapi dirinya seakan mempunyai satu tarikan yang membuatkan semua orang memandangnya. "Ou Ming, kita perlu bercakap."

Próximo capítulo