webnovel

Saya Akan Tendang Kamu

Editor: EndlessFantasy Translation

Apabila Su Qianci terjaga, bahagian tilam di sebelahnya sudah sejuk. Dia melihat jam dan mendapati sudah lebih pukul lapan pagi. Menyedari kelewatannya, dia segera bangun tetapi badannya terasa amat sakit sebaik sahaja digerakkan.

 "Aduh…" Su Qianci bangun dari katil dengan tangan memegang pinggangnya. Dia tunduk dan mendapati kesan lebam kelihatan pada leher dan bahunya. Kesan itu tidak terlalu terang tetapi tetap kelihatan menakutkan. Kepala Su Qianci terasa pening. Dia mengambil pakaiannya dan masuk ke bilik air. Setelah melihat dirinya dalam cermin panjang, Su Qianci terus menjerit, "Alamak… Macam mana saya nak keluar begini?!"

Sekarang musim panas, jadi dia tidak boleh memakai baju yang menutup leher. Patutkah dia memakai skarf sutera? Tidak… Ia akan kelihatan terlalu pelik dan terlalu jelas…

Selepas mandi dan menyiram sedikit air hangat ke tubuhnya, kesan lebam itu kelihatan agak pudar. Su Qianci menyapu beberapa lapisan bedak dan memastikan kesan itu tidak begitu kelihatan sebelum keluar dari bilik air. Dia berjalan keluar sambil mengringkan rambutnya yang masih basah dengan tuala. Ketika dia sedang menggunakan pengering rambut, tiba-tiba pintu bilik itu berdentum terbuka dan kedengaran suara budak kecil yang comel menjerit, "Mama, Mama! Bangun!" 

Sebaik pintu itu terbuka, Li Jianyue yang berpakaian sukan berwarna merah jambu meluru masuk lalu menarik jubah mandi Su Qianci dan menjerit, "Mama, jom keluar bermain. Papa cakap dia nak bawa kita keluar bermain. Cepatlah!"

Su Qianci tidak memakai apa-apa di bawah jubah mandi nipis yang sedang dipakainya. Dia segera menutup jubah itu dan berkata, "Budak baik, Mama akan siap sekejap lagi. Tunggu Mama di luar."

 "Oh!" Li Jianyue memuncungkan bibirnya sambil memandang Su Qianci dengan matanya yang bersinar. Dia berkata dengan nada kecewa, "Papa tak angkat saya…"

Su Qianci ketawa dan menolak anaknya dengan lembut, "Nanti Papa angkat kamu. Pergi keluar dulu dan tutup pintu."

 "Yeay!" Li Jianyue berlari keluar lalu menarik pintu menggunakan jari kakinya. Sebelum pintu itu tertutup, satu susuk tubuh yang tinggi muncul di belakangnya. Li Jianyue berpaling dan menjerit, "Papa!"

Li Sicheng berkata, "Pergi bantu Mak Cik Liu Sao dan abang-abang kamu berkemas. Nanti Papa bawa kamu berkelah."

Berkelah! Mata Li Jianyue semakin bersinar. Dia terus mengangguk lalu berlalu pergi sambil melompat-lompat keriangan.

Li Sicheng memandang anaknya dari belakang sambil tersenyum. Dia membuka pintu bilik itu ketika Su Qianci baru sahaja selesai mengeringkan rambut. Su Qianci meletakkan alat pengering rambut ke atas meja dan membuka tali jubah mandinya. Ketika itu, dia mendengar pintu dibuka dan terkejut, namun kembali lega apabila melihat suaminya. "Kunci pintu. Saya nak tukar pakaian."

Pandangan Li Sicheng berubah mendalam. Dia mengunci pintu di belakangnya lalu mendekati isterinya secara perlahan-lahan.

Su Qianci membuka almari. Belum sempat menemui pakaiannya, dia dipeluk dari belakang oleh Li Sicheng yang membenamkan wajah ke lehernya lalu berbisik, "Saya nak bawa budak-budak itu ke pantai untuk berkelah. Pakai baju panjang." 

Pipi Su Qianci bertukar sedikit kemerahan. Dia memalingkan wajahnya dan berkata, "Lepaskan saya dulu supaya saya boleh salin pakaian."

Li Sicheng tidak melepaskannya sebaliknya bertindak lebih buas. Tangannya yang berada di pinggang Su Qianci mula merayap ke atas manakala bibirnya terus mencium bibir isterinya itu.

 "Hei!" Su Qianci menyiku suaminya dan berkata dengan pipi kemerahan, "Jangan lebih-lebih. Saya tendang kamu nanti."

Próximo capítulo