webnovel

Su Qianci, Kau Dah Kalah

Editor: EndlessFantasy Translation

Mata Li Sicheng kelihatan berubah sebaik dia melihat rotan itu. Namun pasangan Tang berasa teramat gembira dalam hati mereka. Tang Mengying mula bimbang dan berkata, "Pak Cik Li, tolong jangan…"

Beberapa tahun lalu, sewaktu Li Sicheng tidak bersetuju dengan keputusan Li Xiao untuk dia menyertai tentera, Li Sicheng terpaksa melutut seharian di dewan pusaka dan dipukul dengan rotan itu, tetapi dia langsung tidak mengubah fikirannya. Li Sicheng sememangnya teramat degil. Apabila dia telah membuat keputusan, tiada sesiapa yang boleh mengubahnya walau maut sekalipun.

Keluarga Tang tahu benar tentang itu. Begitu juga dengan keluarga Li.

Pada mulanya, Li Xiao hanya mahu menakutkannya dan tidak pernah berniat untuk benar-benar merotan Li Sicheng. Melihat kekecewaan yang jelas pada wajah anaknya itu, hati Li Xiao terasa pedih. Dia sengaja menghayunkan rotan itu di hadapan Li Sicheng dan bertanya dengan dingin, "Ayah tanya sekali lagi. Kamu lakukannya atau tidak?"

Li Sicheng sudah pernah merasai rotan itu. Ia amat menggerunkan. Satu hayunan sudah cukup untuk menyiat isi tubuhnya. Dulu, dia terlantar di hospital selama setengah bulan selepas dirotan. Walau bagaimanapun, ia tidak akan membunuhnya. Li Sicheng merenung ayahnya kembali dan berkata dengan jelas, "Saya tak lakukannya." Suaranya kedengaran tegas.

Li Xiao kembali bertenang dan mencampakkan rotan itu lalu berkata, "Jadi mari kita buat ujian DNA." Dia mempercayai anaknya. Ujian DNA akan mendiamkan keluarga Tang.

Puan Tang kebingungan dan berkata, "Kamu tak akan rotan dia?" Dia sedang mengharapkannya! Li Xiao telah ubah fikiran, untuk apa?

Li Xiao berkata dengan sinis, "Dia anak saya. Apa kaitan dengan kamu?"

Puan Tang terkedu dan berkata perlahan, "Tapi anak kamu…"

"Betul, ujian DNA," kata Qin Shuhua yang tadinya ketakutan. Dia hampir sahaja menangis. Sebaik melihat suaminya mengubah fikiran, dia berkata dengan sedikit teresak, "Ibu percayakan kamu. Jangan buat ayah kamu marah lagi…"

Li Sicheng menepuk-nepuk perlahan belakang isterinya. "Tak ada apa. Jangan menangis."

Puan Tang yang merasakan keinginannya terhalang terus berkata, "Kamu nak biarkan begini saja? Kamu berdua butakah? Kamu lihat sendiri anak kamu masuk ke bilik anak saya. Kamu ingat bukan dia yang bertanggungjawab atas apa yang berlaku?"

"Saya hanya nampak anak kamu cuba menggoda anak saya," kata Li Xiao dengan dingin. "Saya tak akan izinkan perempuan seperti itu masuk ke dalam keluarga kami. Saya tak pasti anak itu ada kaitan dengan kami atau tak. Kalau pun ia betul anak Li Sicheng, kami mampu untuk besarkan seorang budak."

Qin Shuhua merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan berkata, "Li Xiao…"

"Jangan menyampuk," kata Li Xiao sambil merenung Qin Shuhua.

Tang Zhenghao yang bergetar menahan marah terus membentak, "Li Xiao, Li Sicheng, bukti sudah terpampang di hadapan mata dan kamu masih mahu menafikannya. Kamu dah tunjukkan betapa tak tahu malunya keluarga Li. Kamu nak buat ujian DNA? Ayuhlah!"

"Amniosentesis boleh dibuat hanya selepas kandungan dah lebih empat bulan… Sekarang tak boleh…" wajah Tang Mengying kelihatan pucat.

"Jadi kita tunggu," kata Tang Zhenghao dengan marah. "Sekarang dah tiga bulan kan? Bila dah tiba masanya nanti, aku akan campakkan keputusan DNA itu ke muka kamu semua."

Sebaik mengatakannya, Tang Zhenghao terus berjalan keluar bersama isteri dan anaknya. Mereka bertembung dengan Su Qianci yang baru tiba dengan tergesa-gesa.

Sebaik melihat Su Qianci, keluarga Tang kelihatan bertambah berang.

Ketika berselisih dengan Su Qianci, Tang Mengying sengaja berhenti dan berbisik dengan suara yang hanya boleh didengar oleh mereka berdua, "Bukti dah ditemui dan kebenarannya dah jelas. Bayi ini memang anak Abang Sicheng. Su Qianci, kau dah kalah."

Próximo capítulo