webnovel

Dia Hanya akan Senyum Bila Dia Mahu

Editor: EndlessFantasy Translation

Gambar kedua juga diambil dari atas udara, tetapi dari sudut yang berlainan. Dalam gambar itu, Su Qianci kelihatan terkejut dan merenung wajah Li Sicheng. Bibir mereka bersentuhan, dan wajah Su Qianci berada di belakang hidung Li Sicheng. Su Qianci merasakan dirinya seolah berada di puncak dunia. Dia merenung gambar itu dan senyumannya semakin lebar. Pipinya yang merah jambu membuatkan dia kelihatan seperti mabuk.

"Kamu sukakannya?"

"Ya!" Dia amat menyukai dua gambar itu. Ia bukan sekadar gambar, tetapi ibarat impiannya di sepanjang dua kehidupan. Dan kini, impian itu menjadi kenyataan…

Su Qianci yang masih merenung gambar itu tidak menyedari senyuman yang terukir pada wajah Li Sicheng. Lelaki itu bersuara, "Kalau kamu sukakannya, kita patut lebih kerap bercium."

Mendengar kata-kata itu, Su Qianci terus mendongak ke arahnya sebelum bergerak menjauhi Li Sicheng.

Li Sicheng tersengih dan menghulurkan tangan kepadanya, "Mari pergi."

Walau bagaimanapun, Su Qianci terpaku melihat Li Sicheng. Lelaki itu sedang tersenyum. Su Qianci menggosok-gosokkan matanya, menyangka dia tersalah lihat. Namun apabila dia memandang lelaki itu lagi, dia masih tersenyum.

Sebaik menyedari perkara yang sedang dilihat Su Qianci, Li Sicheng berpura-pura marah dan bertanya, "Apa?"

"Kamu nampak kacak bila senyum. Cuba senyum sekali lagi."

Senyuman terus hilang dari wajah Li Sicheng dan dia memusingkan anak matanya ke atas. Dia terus berjalan lebih pantas.

Su Qianci segera mengejar dan berjalan di sebelahnya. "Itu tak cukup." Su Qianci mengelilingnya sambil berjalan, dan merayu, "Encik Li, Li Sicheng, Abang…"

Li Sicheng tidak tahan lagi dengannya dan terus menarik Su Qianci lalu berbisik, "Diamlah." Su Qianci mahu dia senyum? Dia hanya akan senyum apabila dia mahu.

Su Qianci yang tertangkap terus bergelut untuk melepaskan diri, tetapi gagal.

Li Sicheng dan Su Qianci menaiki teksi untuk balik ke hotel. Melalui tingkap kereta itu, mereka dapat melihat pemandangan yang cantik di sekeliling. Kata orang, syurga tropika ini tidak pernah mempunyai musim yang tidak sibuk. Apabila mereka hampir sampai, barulah Su Qianci berhenti memandang ke luar tingkap. Dia menoleh ke tepi dan mendapati Li Sicheng sedang memandangnya. Jantung Su Qianci berdegup laju. Lelaki ini memerhatikannya sejak tadi?

Su Qianci teringat satu puisi yang pernah dibacanya: "Ketika kamu menikmati pemandangan dari atas jambatan, orang di atas menara tinggi memerhatikan kamu." Su Qianci terfikir - sebagaimana bulan yang terang menghiasi tingkapnya, adakah dia dapat menghiasi mimpi Li Sicheng?

Próximo capítulo