webnovel

Perempuan Jalang Tetap Perempuan Jalang

Editor: EndlessFantasy Translation

"Cukup!" Li Sicheng menolak wanita itu dengan wajah yang garang dan berundur menjauhinya. "Saya ada kerja perlu dibuat. Kamu rehat dulu dan pergi ke lapangan terbang sendiri esok."

Sebaik mendengar kata-kata yang dingin itu, Tang Mengying terus menangis. "Abang Sicheng, dulu kamu bukan begini. Kamu tak layan saya seperti ini. Kenapa…"

"Saya dah kahwin!"

"Saya tak peduli. Abang Sicheng…" Tang Mengying terus menerpa Li Sicheng sekali lagi. Dia masih memakai baju yang dipakainya di majlis tadi. Baju itu amat seksi dan menyerlahkan bentuk badannya. Tang Mengying kelihatan sangat anggun dan menggoda.

Cheng You yang mengikuti Li Sicheng terkejut. Dia tidak dapat menafikan Tang Mengying kelihatan sangat cantik pada ketika itu. Jika dia seorang lelaki, pasti dia tidak akan menolak untuk berasmara dengan Tang Mengying, dan dia yakin Li Sicheng juga begitu. Tetapi jelas Cheng You telah tersalah anggap tentang bosnya itu.

Wajah Li Sicheng berubah semakin bengis. Dia berundur ke belakang dan berkata perlahan, "Cheng You, tolong dia hilangkan mabuk."

"Saya tak peduli. Abang Sicheng, kamu cakap kamu akan kahwini saya. Kamu dah lupa?"

Li Sicheng terdiam seketika sebelum menjawab, "Apa yang saya kata adalah jika keluarga saya meminta saya mengahwini kamu, saya tak akan membantah." Tang Mengying kelihatan gembira, tetapi Li Sicheng segera menyambung, "Tapi atuk dah suruh saya kahwini wanita lain." Li Sicheng tiba-tiba teringatkan wajah yang malu-malu itu dan riak wajah marahnya bertukar lembut. "Dia wanita yang hebat, dan saya tidak mahu curangi dia." Kemudian dia terus berjalan ke arah lif.

Tang Mengying berasa amat kecewa dan terus menangis dengan kuat.

Cheng You menggeletar dan berasa simpati terhadap Tang Mengying. Sebagai seorang wanita, dia amat faham betapa pedihnya hati mendengar kata-kata Li Sicheng tadi. Melihat keadaan Tang Mengying sekarang, dia bimbang wanita itu akan membunuh diri…

Sungguh tidak berhati perut!

"Cik Tang…"

"Pergi! Jangan dekat dengan saya. Kamu ingat saya tak tahu? Kamu pun sukakan Abang Sicheng saya!" Tang Mengying menolak Cheng You. "Sekarang kamu datang untuk ketawakan saya, kan? Berambus!"

Cheng You berasa marah dan melupakan niatnya untuk membantu Tang Mengying menghilangkan mabuk. Dia mengetap giginya dan berkata, "Kau memang layak terima itu. Perempuan jalang tetap perempuan jalang!"

Tang Mengying bersandar pada pintu. Air matanya telah mencairkan mekap yang dipakainya dan membuatkan wajahnya kelihatan berserabut. Tidak lama selepas itu, pengaruh alkohol di dalam badannya semakin terasa dan membuatkan dia kepeningan. Tiba-tiba dia merasakan sepasang tangan sedang mengusap-usap badannya. Dia membuka mata dan samar-samar melihat satu susuk tubuh. Lelaki itu tinggi, tetapi Tang Mengying tidak dapat melihat wajahnya dengan jelas. "Abang Sicheng…"

"How yummy… A Chinese girl…" Tang Mengying terkejut mendengar lelaki itu bercakap bahasa Inggeris, dan mahu menolaknya. Tetapi lelaki itu telah mengangkatnya ke katil.

Ketika Tang Mengying ingin bergelut untuk melepaskan diri, tiba-tiba wajah Li Sicheng muncul di hadapan matanya. "Abang Sicheng…" Tang Mengying terus memaut lelaki itu dengan lengannya. Tiada antara mereka yang sedar telefon bimbit Tang Mengying yang tertekan ke katil telah terdail nombor seseorang tanpa sengaja…

Próximo capítulo