webnovel

Dia Menanggalkan Jaketnya

Editor: EndlessFantasy Translation

Susuk tubuh Li Sicheng yang tinggi berjalan melalui orang ramai. Dia kelihatan berbeza daripada semua di situ, seperti seorang raja. Sebaik memasuki dewan itu, dia terus menarik perhatian semua orang. Matanya merenung tajam dua gadis yang telah menghina Su Qianci. Walau bagaimanapun, ketika semua orang menyangka Li Sicheng akan melakukan sesuatu kepada mereka berdua, dia mengalihkan pandangannya. Dengan suara yang dalam, Li Sicheng memanggil pembantunya, "Cheng You."

Cheng You yang telah bekerja untuk Li Sicheng selama tiga tahun sudah amat mengenali bosnya itu. Pembantu khas itu terus mengetahui apa yang diinginkan oleh Li Sicheng tanpa memerlukan sebarang arahan. "Baik." Cheng You mengangguk pantas sebelum bergegas meninggalkan dewan itu.

Setelah dia pergi, mereka di situ mula menyedari ada seorang lagi wanita di belakang Li Sicheng selain Cheng You. "Sepupuku!" Liu Anan tiba-tiba menangis sebaik melihat Tang Mengying. Tang Mengying mengerutkan dahi dan tidak menghiraukannya. Walau bagaimanapun, Liu Anan terus mengadu, "Muka saya. Dia pukul muka saya!" Liu Anan yakin dia boleh mengharapkan Tang Mengying untuk membela dirinya. Tambahan pula, Tang Mengying dan Li Sicheng sudah saling mengenali sejak kecil, jadi Li Sicheng pasti akan membantu Tang Mengying jika Tang Mengying berkata sesuatu. Liu Anan memandang Tang Mengying dengan pandangan yang tidak bermaya dan wajah yang berlinangan air mata.

Tang Mengying berasa agak menyampah, tetapi masih cuba mengawal suaranya dan bertanya lembut, "Siapa yang lakukannya?"

"Su Qianci!"

"Oh..." Tang Mengying kelihatan agak ragu-ragu dan menjeling Li Sicheng. Rupa lelaki itu yang tampan kelihatan bercahaya di bawah candelier gaya Eropah dewan itu. Walau bagaimanapun, wajahnya dingin dan dia seolah-olah tidak menghiraukan sekelilingnya. Sukar untuk mengagak apa yang sedang difikirkannya. Dia kelihatan tidak menyedari perbualan Tang Mengying dan Liu Anan, dan terus berjalan pantas ke arah Su Qianci.

Semua yang menyaksikan perkara itu terkejut. Li Sicheng... berjalan ke arah Su Qianci? Apa maksudnya? Riak wajah kagum gadis-gadis di situ tiba-tiba berubah menjadi terkejut, dan kemudian berubah menjadi cemburu dan benci...

Walaupun semua orang sedang memandangnya sambil berbisik-bisik, satu-satunya perkara yang dilihat oleh Su Qianci adalah Li Sicheng. Dia berasa seperti setiap langkah lelaki itu menuju ke arahnya seperti satu gempa bumi dalam hatinya.

Dia berjalan ke arah saya? Bukankah dia sepatutnya hanya menjadi penonton?

Li Sicheng memandang isterinya yang kini berada di hadapannya. Sebaik melihat bahu Su Qianci yang terdedah, keningnya sedikit berkerut.

Su Qianci terkejut apabila lelaki itu tiba-tiba membuka butang jaketnya.

Kenapa dia membuka jaket? Apa yang dia mahu lakukan?

Su Qianci tiba-tiba teringat pada kulit dan badan berotot yang dia telah lihat di bawah kemeja itu... Dia mahu berundur ke belakang, tetapi lengannya terus direntap oleh Li Sicheng. Dia mendongak lalu mata mereka bertentangan, dan wajah Su Qianci bertukar merah padam. Ketika dia baru sahaja hendak membuka mulut, Li Sicheng terus meletakkan jaket ke atas bahunya.

"Masa untuk pulang, isteriku."

Próximo capítulo