webnovel

Kembali Ke Posisi Peragawati Teratas

Editor: EndlessFantasy Translation

Sudah tentulah, masa yang tidak tepat!

Mo Ting tahu apa yang difikirkannya, jadi dia mengambil telefon tersebut dan menyerahkannya kepada Tangning. Tangning tidak beredar ke tempat lain untuk menjawab panggilan tersebut. Sebaliknya, dia menekan butang menjawab panggilan di hadapan Mo Ting.

"Tangning, di mana kamu sekarang?"

"Saya takut wartawan mencari saya, jadi saya jumpa tempat untuk bersembunyi," Tangning menjawab dengan tenang.

"Jadi, kamu mahu katakan yang kamu tidak tahu menahu mengenai kejadian dengan Long Jie?" Han Yufan bertanya dengan nada suara yang sabar.

"Apa berlaku kepada Long Jie? Tempat yang saya bersembunyi ini agak terpencil, saya tidak dapat mengikut perkembangan di luar sana. Apa yang berlaku?" Tangning mencuba sehabis boleh untuk kedengaran seolah-olah dia berminat untuk mengambil tahu.

"Terima kasih kepada pengurus kamu, Tianyi dalam kekusutan sekarang. Pulang ke pejabat dahulu. Saya akan aturkan satu sidang media untuk kamu. Tangning, saya berharap pada kamu untuk membersihkan nama Tianyi."

Sidang media? Peluang yang lebih besar baginya untuk melepaskan kesalahan tersebut kepada Tangning.

Adakah dia fikir yang Tangning masih begitu naïf?

Tangning mengakhiri panggilan tersebut dengan perasaan jijik. Kemudian, Mo Ting berkata-kata, "Saya sudah simpan nombor telefon saya di dalam telefon kamu. Bila-bila masa kamu perlukan saya, telefon sahaja saya dan beritahu saya apa yang kamu mahu buat."

"Terima kasih, Mo Ting."

"Kamu tak patut panggil saya begitu…" Mo Ting meluruskan kakinya dan menarik Tangning ke sisinya. "Panggil saya dengan panggilan lain…atau saya tidak akan lepaskan kamu."

Muka Tangning bertukar merah sewaktu dia berbisik malu-malu, "A…abang…" Senyuman yang jarang dilihat terukir di wajah Mo Ting.

"Jom, saya akan hantarkan kamu ke tempat kerja. Ingat apa yang kamu janjikan…Jangan begitu rapat dengan lelaki lain."

Tangning tahu benar apa yang dimaksudkan oleh Mo Ting. Dia membalas dengan senyuman yang meyakinkan dan sinar harapan di matanya mengharapkan Mo Ting mempercayai dirinya. Jantung Mo Ting terhenti seketika. Di antara mereka berdua, tiada apa yang perlu diungkapkan lagi.

Hanya dalam 40 minit, Mo Ting berjaya menghantar Tangning ke lokasi yang berhampiran dengan Syarikat Hiburan Tianyi. Sebagai Raja Dunia Hiburan, dia tahu semua rahsia paling dalam dan paling gelap dalam industri tersebut. Jadi, dia sangat berminat untuk mengetahui bagaimana Tangning merancang untuk mengubah nasib bagi kembali ke posisinya sebagai peragawati teratas.

Tangning tahu apa yang akan dihadapinya. Ianya jelas bahawa ini merupakan satu permainan di mana dia perlu menyorokkan kadnya sementara membiarkan musuh-musuhnya meletakkan kad mereka di atas meja terlebih dahulu. Jika dia masih gagal mengubah nasib selepas menggunakan semua taktik dan kadnya, maka dia perlu mengaku kalah.

Selepas melangkah keluar daripada kereta Mo Ting, dia memasuki bangunan tersebut menggunakan laluan rahsia. Apabila kakitangan ternampak kelibat Tangning, bilik tersebut dipenuhi dengan reaksi kakitangan yang bercampur antara perasaan jijik, benci dan cacian; seolah-olah mereka yakin bahawa pendedahan yang dibuat Long Jie adalah berdasarkan arahan Tangning.

Tangning berpura-pura tidak perasan. Dia berjalan ke arah bilik Han Yufan dan menolak pintu tersebut. Pandangannya tertancap pada belakang kepala Han Yufan yang duduk membelakangi pintu.

"Kamu dah balik…" Han Yufan berpusing sambil menahan kemarahan.

"Beritahu saya, apa yang terjadi?"

"Tangning, adakah kamu yakin yang kamu benar-benar tidak tahu menahu tenang kejadian dengan Long Jie?" Han Yufan melemparkan senaskah akhbar di hadapan Tangning. Dia kemudian menyoalnya dengan marah, "Kalau dia tidak menerima arahan daripada kamu, bagaimana dia boleh jadi begitu berani untuk buat sedemikian?"

"Yufan, kita kan sudah hampir berkahwin. Kenapa pula saya nak buat perkara seperti ini? Bukankah itu hanya akan menjauhkan kamu daripada saya?" Tangning berkata dengan sebak sambil memandang lelaki itu dengan gaya tidak bersalah.

"Habis itu, macam mana kamu nak terangkan perbuatan kamu meletakkan Bintang Tiara pada buku lali kamu? Kamu sendiri cukup tahu bahawa perbezaan paling besar antara kamu dengan Yurou adalah kaki kamu…"

Tangning memandang Han Yufan sewaktu disoal siasat olehnya. Dia memikirkan kembali waktu-waktu di mana Han Yufan melindungi Mo Yurou dengan cara yang sama. Dia pada awalnya menyangkakan perkara itu adalah kerana Han Yufan cuba melindungi kerjayanya yang semakin berkembang, jadi Tangning sanggup diperlakukan sedemikian dan membiarkan Han Yufan mempertahankan orang lain.

"Pada masa itu saya tiada pilihan lain melainkan memakai Bintang Tiara di buku lali saya. Pembantu Mo Yurou juga ada di sana. Kamu boleh tanya dia."

"Saya sudah bertanya padanya dan dia kata yang kamu buat keputusan tersebut sendiri…" Han Yufan mendesak lagi.

"Yufan, saya tunangan kamu tetapi kamu memilih untuk mempercayai orang lain?" Tangning berpura-pura kecewa sambil terus memerhatikan reaksi Han Yufan. "Semalam, kita sepatutnya menandatangani borang pernikahan kita."

"Sudah terlambat untuk berkata apa-apa sekarang. Kerosakan sudah pun berlaku. HF sudah maklumkan kepada mahkamah mengenai rancangan mereka untuk menyaman Tianyi kerana melanggar kontrak dan terima kasih kepada pengurus kamu, reaksi negatif orang ramai terhadap Tianyi terus menerus bertambah teruk. Kamu perlu bertanggungjawab untuk perkara ini." Han Yufan memandang Tangning, memperkecil-kecilkannya. Gayanya seolah-olah Tuhan yang sedang menjatuhkan hukuman.

"Kamu akan jadi isteri saya tidak lama lagi. Saya tidak mahu isteri saya memusnahkan kerjaya saya. Oleh sebab itu…Tangning, untuk kebaikan Tianyi, kamu perlu bertanggungjawab untuk keluar dan terangkan kepada orang ramai bahawa kekecohan ini semua sengaja dicetuskan oleh pengurus kamu untuk publisiti dan tiada apa-apa kaitan dengan Tianyi…"

"Mengaku bahawa pengurus saya bersalah, samalah seperti mengaku yang saya bertanggungjawab! Bukankah kamu yang tergesa-gesa menelefon saya dan menyuruh saya gantikan Mo Yurou?" Tangning menangis. "Yufan, adakah sebab saya akan mengahwini kamu, jadi saya perlu dikorbankan?"

"Saya tidak kisah. Ianya salah kamu apabila orang ramai perasan siapa sebenarnya di atas pentas." Sebaik sahaja kata-kata tersebut meluncur daripada mulutnya, Han Yufan sedar dia sudah terlajak kata. Dia segera bertenang dan menghulurkan tangannya untuk memeluk Tangning. Tetapi, Tangning mengelak dengan menolaknya ke tepi. "Tangning, saya hanya hilang sabar. Sekali ini sahaja…selepas kita berkahwin, saya janji saya akan melayan kamu dengan baik…"

Sudah tentulah, Tangning menahan tangisannya dan mengangguk. "Saya lakukan perkara ini bukan kerana saya mengaku yang saya mencetuskan kekusutan ini, tapi kerana saya mahu melindungi kerjaya kamu. Tapi, ini tidak akan berulang!"

"Ya, saya janji! Ini tidak akan berulang!"

Sebenarnya, Han Yufan tahu Tangning akan terpujuk lagi di masa akan datang. Lebih-lebih lagi selepas mereka sudah berkahwin. Melihat pada perangai Tangning, dia akan mudah untuk dikawal olehnya.

"Sidang media tersebut akan diadakan pada jam 3 petang ini. Kita akan ada mesyuarat sekejap lagi untuk membincangkan skrip kamu."

"Ok!"

Tangning berhenti menangis dan memaksa dirinya untuk menatap mata Han Yufan seperti selalu. Tetapi, sebaik sahaja dia keluar dari bilik tersebut, matanya bertukar dingin.

Dia memang tidak dapat melupakan lelaki tak guna tersebut dengan cepat, tetapi dia tidak akan mengubah keputusannya.

Dia tidak mungkin akan menggalas kesalahan untuk perbuatan Han Yufan lagi.

Selepas berfikir dengan teliti, dia kembali ke biliknya dan membuat panggilan kepada pengurusnya. "Long Jie, Han Yufan cuba mempergunakan saya untuk melindungi dirinya."

"Ha ha! Tangning, beritahu saya apa yang kamu mahu saya buat." Semangat pengurusnya begitu berkobar-kobar untuk berjuang.

"Pukul 3. Saya akan umumkan yang saya telah cetuskan segala kekecohan tersebut dan saya akan minta maaf. Kemudian, saya mahu kamu keluarkan gambar Han Yufan dan Mo Yurou yang sedang bermesra di hospital tanpa menggunakan nama kamu."

"Ha ha, baiklah! Saya sudah dapat bayangkan tajuk besar yang hebat. 'Terdedah! Bos Tianyi Menjalinkan Banyak Hubungan: Jantan Curang Paling Tak Guna!'"

Tangning tidak dapat menahan ketawanya. Kemudian dia meminta maaf, "Maafkan saya Long Jie kerana mengheret kamu ke dalam situasi ini."

"Tangning, selagi kamu sudah membuat keputusan untuk memulakan hidup baru, saya akan bantu kamu kembali menjadi peragawati teratas! Bukan setakat itu sahaja, saya akan bantu kamu menjadi peragawati antarabangsa terhebat!"

Próximo capítulo