webnovel

Ning Xi berlari dengan pantas ke tandas di belakangnya. Memasuki satu bilik dan membuka beg galas hitamnya yang besar, dia mengeluarkan beberapa alat dan mula menyolek muka.

Apabila Ning Xi keluar dari tandas, dia telah berubah menjadi seorang nenek tua dengan kepala yang penuh rambut kelabu.

Telefonnya berbunyi.

Ning Xi mengeluarkan telefon bimbit untuk melihat. Seperti yang dijangka, ia mesej teks daripada Jiang Muye.

Raja Peri Jahat: Ning Xiao Xi! Saya bagi kamu lima minit untuk muncul di depan saya. Kalau tak, saya akan dedahkan hubungan kita kepada semua orang!

Celaka!

Ning Xi memeriksa solekannya untuk kali terakhir, lalu bergegas lari meluru ke lautan orang ramai.

Ning Xi kelihatan tidak terdaya dan sangat cemas, "Kof kof, beri laluan, beri laluan…kof kof, gadis-gadis yang baik hati, boleh benarkan nenek tua ini lihat Ah Ye?"

"Ah! Semua, jangan tolak! Ada nenek tua di sini!"

"Eh, Nenek, kenapa kamu nak lihat Muye kamu? Kamu ini peminat juga?"

"Wah! Muye kami ini memang berbakat, yang muda dan tua! Sampai nenek pun ada! Semua orang, bagi nenek ini lalu!"

Ning Xi membongkok dan menepuk belakang pinggang sambil berterima kasih kepada mereka berulang kali. "Gadis-gadis semua, terima kasih. Sangat berterima kasih kepada kamu semua. Umur Nenek sudah lapan puluh tahun, dan Nenek, Nenek sangat suka pada pemuda ini. Sebab, sebab, dia nampak seiras dengan cucu Nenek! Cucu Nenek kerja di tempat jauh dan Nenek boleh melihat dia beberapa kali sahaja dalam setahun…" Dengan ini, dia mula mengesat air matanya.

"Muye! Muye! Nenek ini peminat kamu! Datanglah dan jumpa dia!"

"Ya, tolonglah jumpa dia! Kesian nenek ni…"

Dengan bantuan semua peminat, Ning Xi berjaya mencelah ke depan dengan cepat dan lancar.

Di tengah orang ramai, Jiang Muye merapi rambut perang muda dengan jari lalu menanggalkan cermin mata hitamnya. Perasaan curiga melintasi wajahnya yang tampan. "Nenek?"

"Ya, ya! Dia sudah berumur lapan puluh tahun! Dia datang hanya untuk berjumpa dengan kamu di lapangan terbang ini walaupun sekarang cuaca panas! Dia beritahu dia sangat suka pada kamu kerana kamu kelihatan seperti cucunya yang berkerja di luar negara!"

Apabila semua peminatnya berhenti bercakap, Jiang Muye mengikuti laluan yang dibuka oleh peminatnya. Dia ternampak seorang nenek tua dengan muka berkedut, memakai pakaian kasar yang penuh debu, dan bersandar pada satu tongkat…

Riak wajah Jiang Muye terus bertukar. "Ce…"

Dia menahan dirinya daripada mengungkapkan perkataan 'celaka', dan merenung tepat wajah nenek itu dengan geram seperti mahu mencekiknya.

Semua ini berlaku dalam masa yang singkat, dan peminatnya tidak perasan sebarang perkara yang luar biasa.

"Ah…cucu…cucu baik Nenek…Nenek begitu rindu pada kamu…" Ning Xi terbang ke arah Jiang Muye seperti anak panah, dan mengacau rambut perang lelaki itu dengan kedua-dua tangannya sambil menangis dengan begitu sedih...

Semua gadis di sekeliling mereka mula menangis melihat babak yang begitu menyentuh hati ini, diikuti bunyi bergema tangkapan gambar dari kamera media.

"Ning Xiao Xi! Siaplah kamu malam ini!" Jiang Muye menahan geram dan berkata marah dengan perlahan ke telinga Ning Xi.

"Ah, cucu Nenek, cucu Nenek! Kenapa kamu nampak sangat kurus! Hati Nenek sakit!" Ning Xi begitu asyik melakonkan wataknya, dan rambut Jiang Muye yang paling dia sayangi, sudah bertukar menjadi sarang ayam.

Apabila melihat Jiang Muye hampir meletup, pengurusnya Lei Ming bergegas menyelamatkan keadaan. "Kof, minta lalu. Nenek ini sangat sedih dan badannya lemah. Kami akan bantu hantar dia pulang ke rumah!"

Jiang Muye mengekalkan wajah yang lembut dan penuh kasih sayang di hadapan peminatnya. Namun, secara senyap dia mencubit tangan nenek itu dengan kuat ketika mereka dengan segera meninggalkan lapangan terbang.

Próximo capítulo