webnovel

Kekuasaan Roh Ungu (3)

Editor: EndlessFantasy Translation

Seketika kemudian, satu gelombang kuasa yang kuat dan berkuasa melanda mereka. Semua pelajar Akademi Zephyr mendapati diri mereka berpeluh sejuk. Kekuasaan yang menyesakkan ini menarik nafas mereka lalu membuatkan wajah mereka semua menjadi pucat. Dada mereka seolah-olah dicengkam tangan gergasi yang tidak dapat dilihat dan mereka bergelut untuk bernafas!

Ini ialah kuasa aura roh tahap ungu yang begitu menyeksakan!

Mereka yang berada di situ, kecuali Ning Rui dan beberapa orang lain, kelihatan terhuyung-hayang setelah ditekan aura kuasa Wen Xin Han yang menyesakkan.

Ning Rui tidak pernah menyangka yang Wen Xin Han akan menggunakan kaedah yang begitu mendominasi ini untuk membawa Fan Jin pergi dari sini. Walaupun Wen Xin Han melindungi Fan Jin, selama ini dia biasanya bersikap tenang dan lemah-lembut. Wen Xin Han di depan matanya hari ini nampaknya telah berubah sepenuhnya. Malah dia tak mahu memberi penjelasan lanjut dan terus melepaskan kuasa roh ungu yang begitu menggerunkan!

Gu Ying merenung Wen Xin Han. Matanya membara dengan kemarahan. Dia mengecilkan mata seketika dan akhirnya berundur selangkah.

"Memandangkan Senior Wen berkeras mahu menyelamatkan Fan Jin tanpa langsung mempedulikan kebenaran yang ditunjukkan dalam hal ini, tak mungkin ada di antara kami yang boleh menghalang." Selesai berkata-kata, Gu Ying membongkokkan badannya sedikit dan menghulurkan sebelah tangannya dengan tapak tangan yang terbuka. Dia seolah-olah "menjemput" Wen Xin Han untuk terus bertindak.

Wen Xin Han merenung Gu Ying sambil menampung badan Fan Jun untuk berlalu pergi. Semua pelajar cepat-cepat membuka laluan yang besar dengan gerun. Tak ada seorang pun yang berani untuk berkata walau sepatah.

Mereka semua memerhatikan Wen Xin Han berlalu pergi dan akhirnya badan mereka dibebaskan daripada daya menekan yang tidak dapat dilihat itu. Ning Rui yang lencun akibat berpeluh, bergegas mendapatkan Gu Ying dan bertanya dengan gelisah, "Kita nak biarkan saja dia bawa Fan Jin pergi?"

Gu Ying mencemuh Ning Rui berkata, "Kalau kamu mampu kalahkan roh ungu, silalah."

Ning Rui tergamam dan tidak lagi berkata apa-apa. Dia hanya merenung Gu Ying dengan wajah yang masih lagi pucat lesi.

[Saya nak hentikan roh ungu? Merepeklah!]

[Satu-satunya orang yang setanding dengan Wen Xin Han adalah Gu Ying. Sebab itulah dia arahkan Gongcheng Lei bawa Gu Ying ke sini. Gu Ying sampai ke situ tapi tak sangka pula dia biarkan Wen Xin Han bawa Fan Jin pergi dengan begitu mudah.]

"Wen Xin Han selamatkan Fan Jin daripada kita. Kalau satu hari nanti Fan Jin mula sedar dan membocorkan rahsia, habislah kita!" Ning Rui berasa amat risau dan resah. Tapi ada ramai pelajar Akademi Zephyr di sekeliling mereka. Jadi dia hanya mampu berbisik-bisik.

Gu Ying tersenyum. "Kamu fikir Fan Jin boleh sembuh?"

Ning Rui terkejut.

"Saya tak bunuh dia sebab tak mahu dia timbulkan apa-apa masalah. Tak ada siapa di Alam Bawahan ini yang mampu membuatkan dia sedar semula. Lagipun… kalau dia kembali sedar satu hari nanti apa gunanya? Kalau dia beritahu hal sebenar pada semua orang, ada yang akan percaya padanya?" Gu Ying menempelak.

Setelah mendengar kata-kata Gu Ying, Ning Rui akhirnya berasa lega.

[Betul tu! Fan Jin sudah dilabel sebagai pembunuh Fan Qi. Kalau dia tampil membela dirinya pun, orang hanya akan fikir yang dia berbohong untuk melindungi dirinya. Mereka tak akan percaya walau apa pun yang dia katakan.]

"Kita tak perlu risau tentang Fan Jin. Berkenaan Fan Zhuo pula, bila kamu nak cari dia?" Gu Ying bertanya dengan nada tidak sabar. Selagi Fan Zhuo masih hidup, kedudukan Ning Rui sebagai Guru Besar Akademi Zephyr tidak akan terjamin. Ning Rui juga tidak akan dapat menggerakkan seluruh pelajar akademi itu untuk turun ke dasar Cenuram Penghujung Syurga. Gu Ying tak mahu perkara ini terjadi.

"Saya dah kerahkan lebih ramai orang menyiasatnya. Tapi selain Fan Qi dan Fan Jin, nampaknya orang lain tak tahu ke mana Fan Zhuo telah pergi… Tapi… mungkin Jun Xie tahu! Tak lama dulu, Jun Xie meninggalkan akademi ini bersama-sama Fan Zhuo. Kali ini pula mereka pergi dari sini secara berturut-turut. Mungkin dia tahu sesuatu tentang hal ini!" kata Ning Rui dengan teruja. Dia tiba-tiba teringat yang kali pertama dulu, Jun Xie dan Fan Zhuo telah keluar dari Akademi bersama-sama.

Próximo capítulo