webnovel

Tamparan Ketujuh (3)

Editor: EndlessFantasy Translation

Kerajaan Qi mungkin kecil, tetapi kemasyhuran Tentera Rui Lin telah tersebar ke seluruh dunia!

Mereka dikenali sebagai pasukan penyerang paling ganas. Kini mereka muncul di hadapan pintu pagar Akademi Zephyr. Apa tujuan mereka ke sini?

"Sewaktu Senior Lu disingkirkan, bukankah dia kata... Senior Ning.. .cuba membuatkan... Jeneral Tentera Rui Lin... terbunuh?" Seorang pelajar yang pantas berfikir tiba-tiba teringat apa yang Lu Wei Jie katakan sebelum dia pergi dari situ.

Pada hari Lu Wei Jie dihalau keluar dari Akademi Zephyr, apa yang dikatakannya telah mengakibatkan ribut besar yang memusnahkan reputasi Ning Xin. Tetapi berita tentang Jun Xie membunuh Li Zi Mu terus menenggelamkan tuduhan yang dilemparkan terhadap Ning Xin yang lama-kelamaan terus dilupakan. Apabila Tentera Rui Lin tiba dengan megah di hadapan Akademi Zephyr, hal yang hampir luput dari ingatan mereka itu mula muncul kembali. Khabar angin tersebut mula tersebar kembali.

[Adakah maksudnya semua yang Lu Wei Jie katakan itu benar?]

Tidak lama kemudian, Fan Qi bergegas ke pintu pagar utama. Sebaik terlihat Tentera Rui Lin, dia amat terkejut dan jantungnya berdegup kencang.

Dalam kalangan para pahlawan yang tinggi, angkuh dan tegap itu, Fan Qi menyedari kehadiran satu susuk tubuh yang amat berbeza. Ada seorang gadis muda yang menunggang seekor kuda perang di sisi Long Qi. Gadis tersebut mempunyai aura yang hebat. Pasti dia seorang yang luar biasa!

"Saya tak sedar tentang kehadiran Jeneral Long Qi di sini. Harap Tuan Jeneral maafkan kelewatan saya mengalukan-alukan kedatangan Tuan. Saya harap tetamu-tetamu terhormat saya ini boleh masuk ke dalam untuk berbual-bual." Fan Qi cuba sedaya-upaya untuk kelihatan tenang. Sejak tamatnya Perburuan Roh yang lalu, dia tahu hari yang menakutkan ini akan tiba jua. Dia bersetuju untuk menyingkirkan Lu Wei Jie dan pelajar lain secara terburu-buru sebelum ini kerana dia cuba meredakan kemarahan Tentera Rui Lin dan Mu Chen.

Long Qi mengangguk lalu mengangkat sebelah tangannya. Lebih seratus orang askar di belakangnya menarik tali kekang dan semua kuda perang itu menjadi pegun.

Ketepatan dan keseragaman pergerakan askar-askar itu membuatkan mata para pelajar yang berkumpul di situ bersinar dengan kekaguman. Degupan jantung mereka semakin kencang dan darah mereka dirasakan mendidih.

Para pelajar itu sedang berada di peringkat usia di mana semangat mereka sedang memuncak. Anak muda mana yang tidak mahu mengidolakan pasukan tentera berperisai penuh yang sungguh mengagumkan ini?

Long Qi turun dari kudanya lalu menghulurkan tangan untuk membantu gadis kecil molek di sebelahnya.

"Ini ialah…" kata Fan Qi dengan berhati-hati sambil memandang gadis muda yang cantik tetapi dingin itu.

"Cik Muda Istana Lin, Jun Wu Xie." Long Qi berdiri tegak dan membalas dengan suara yang megah.

[Itu Cik Muda Istana Lin!]

Wajah Fan Qi yang sedang berpura-pura tenang itu berubah sedikit kerana terkejut. Tentera Rui Lin hanya tunduk pada Duke Kerajaan Qi iaitu Jun Xian. Maharaja Qi tidak ada kekuasaan ke atas Tentera Rui Lin dan mereka hanya mematuhi arahan orang-orang dari keturunan Keluarga Jun. Jun Wu Xie mungkin masih muda dan merupakan seorang perempuan. Tetapi perkataan "Jun" pada namanya itu memberitahu Fan Qi yang tanpa diragui lagi, gadis ini memegang kuasa untuk memerintah Tentera Rui Lin.

Fan Qi pada mulanya berniat untuk tidak memperbesarkan hal ini, tetapi kini dia berasa agak risau. Apabila anggota Keluarga Jun sendiri datang sejauh ini, maksudnya hal ini tidak akan dapat diselesaikan dengan begitu mudah!

Semua pelajar yang sedang memerhatikan dengan teliti dari belakang tiba-tiba terbeliak setelah mendengar kata-kata Long Qi. Mereka merenung gadis cantik menawan yang muda sedikit daripada mereka itu dengan perasaan terkejut.

Dia sememangnya masih muda, namun aura yang dilepaskannya itu membuatkan orang lain melupakan umurnya. Malah ketika berdiri dalam kalangan Tentera Rui Lin yang tinggi lampai dan menggerunkan itu,dia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda kelemahan. Riak wajahnya yang dingin itu tidak membenarkan orang lain menidakkan auranya yang hebat.

Dia seolah-olah memang dilahirkan untuk mengetuai pasukan serangan paling ganas ini sejak dari mula lagi!

Semua pelajar itu amat tertarik dengan gadis muda yang cantik ini dan mereka tidak berani mencemarkan kesempurnaannya. Mereka menundukkan kepala dan tidak berani untuk terus merenung Jun Wu Xie.

"Jadi inilah Cik Muda dari Keluarga Jun yang terhormat itu. Maafkan saya kerana lewat mengalu-alukan tetamu penting ini." kata Fan Qi sambil tersenyum kekok. Perasan terkejut itu masih mencengkam hatinya.

Jun Wu Xie menjeling tajam pada Fan Qi lalu membalas, "Tak perlu. Saya ada di sini untuk menuntut keadilan bagi pihak Tentera Rui Lin. Akademi Zephyr berjanji untuk memberikan jawapan memuaskan pada Tentera Rui Lin. Apa yang saya mahu tahu ialah sama ada Tuan Guru Besar sudah pun mempercepatkan penyelesaian hal ini?"

Próximo capítulo