webnovel

Memburu dan Diburu!

Editor: EndlessFantasy Translation

Fajar. Sebaik sinaran matahari menembusi hutan yang padat itu, perlahan-lahan suhu hutan itu meningkat, dan dunia kehijauan itu mula terjaga sekali lagi. Pelbagai haiwan mula merangkak keluar dari sarang, memulakan rutin harian, iaitu memburu dan diburu.

Di atas tanah, seekor haiwan kecil yang tidak bernama, dengan kulit yang berkedut, sedang menuju ke destinasinya dengan berhati-hati. Haiwan ini sangat kecil, kira-kira sebesar dua genggaman tangan manusia, tetapi ekornya leper, lebar, dan dua kali ganda lebih panjang daripada badannya.

Haiwan ini terpaksa berhati-hati. 80% daripada haiwan dalam hutan ini boleh membunuhnya dengan mudah. Malangnya, daging haiwan ini sangat lembut. Jadi, walaupun haiwan ini kecil dan dagingnya sedikit, banyak haiwan yang lebih besar daripadanya masih mahu memburunya untuk dijadikan hidangan pembuka selera.

Destinasi yang ditujunya ialah kawasan yang penuh dengan lopak air. Kawasan itu ialah tanah paya, sangat sesuai untuk memastikan haiwan ini terus hidup. Ini kerana bentuk badan dan berat badannya yang ringan membolehkan haiwan ini bergerak tanpa tenggelam di kawasan itu. Haiwan dari habitat lain pula tidak dapat memasuki kawasan itu, dan ini menjadikan paya itu lebih selamat untuknya.

Selain itu, yang paling penting sekali, terdapat makanan untuknya di situ. Keadaan ini membuatkan sangat berbaloi untuk haiwan ini memasuki kawasan tanah paya itu. Memikirkan tentang makanan, hampir terliur haiwan itu dibuatnya. Ikan yang hidup di dalam lopak itu semuanya lazat.

Akhirnya haiwan ini sampai di sana, tanpa sebarang halangan.

Pada ketika ini, ikan-ikan sebesar jari sedang berenang dan bergerak dari satu lopak, ke lopak yang lain. Terdapat sedikit air yang mengalir di antara setiap lopak. Oleh kerana aliran air itu terlalu kecil untuk dilalui oleh ikan yang lebih besar, ikan kecil sahaja yang boleh berenang melaluinya. Ikan di dalam salah satu lopak itu sedang makan rumput air, tanpa menyedari kehadiran pihak musuh yang sedang bersedia untuk menyerang.

Haiwan berkedut itu memasuki kawasan paya dan pantas masuk ke dalam salah satu lopak itu. Ikan-ikan itu berenang ketakutan, tanpa hala tuju yang tertentu, sehinggalah menemui jalan mati. Akhirnya, semua ikan-ikan dimakan oleh makhluk berkedut yang tangkas itu.

Selepas memakan ikan di dalam lopak itu, haiwan itu keluar dan menggoncangkan badannya, menyebabkan titisan air terpercik dari badannya, sehinggalah kulitnya sekali lagi menjadi kering dan bersih seperti biasa.

Kemudian haiwan itu berehat seketika. Memburu ini tidak mudah. Aktiviti yang kelihatan senang tetapi sebenarnya menggunakan banyak tenaga. Walaupun sedang berehat, haiwan ini masih lagi memerhatikan kawasan sekitarnya, takut kalau-kalau ada musuh yang kuat akan muncul dan memakannya.

Tidak lama selepas itu, haiwan itu kembali bertenaga, dan telah mula menyelinap ke lopak seterusnya...

Walau bagaimanapun, ada sesuatu yang tidak disedarinya. Di kawasan paya, tidak terlalu jauh dari situ, sepasang mata yang menakutkan sedang tertumpu padanya, bersedia untuk menyerang dan memakannya.

Apabila haiwan itu sekali lagi melompat masuk ke dalam lopak untuk menangkap lebih banyak ikan, pemilik mata itu memulakan serangannya. Tiba-tiba kabel hitam yang tebal muncul dari tepi lopak, dan haiwan berkedut itu hilang. Dapat didengar bunyi pukulan air, dan seekor ular air sebesar lengan manusia berada di tengah-tengah lopak itu, sambil ekornya dibelit di bawahnya. Sekilas pandang, panjang ular itu kira-kira tiga meter, mungkin lebih lagi.

Dalam mulutnya, haiwan berkedut itu cuba bergelut sekuat mungkin dan mengepakkan ekornya yang lebar, tetapi tidak berjaya. Haiwan itu telah ditelan oleh ular air, sedikit demi sedikit, sehingga hilang sepenuhnya ke dalam kerongkong ular itu.

Ular air itu meninggikan kepalanya, menunggu makanannya memasuki perutnya. Pada ketika ini, rahang yang besar muncul secara tiba-tiba di sebelahnya, dengan gigi tajam yang bersinar di bawah cahaya matahari. Sebelum sempat bertindak, ular itu telah digigit di bahagian badannya yang paling lemah.

Sudah tentulah ular air itu tidak sanggup mati begitu sahaja. Sebelum mati, ular itu menggunakan seluruh badannya sepanjang tiga meter itu untuk membelit lawannya, dengan harapan dapat mengalahkan dan membunuh lawannya juga. Malangnya, lawannya masih lagi menggigitnya, jadi ular itu tidak dapat bertahan lama. Tidak lama kemudian ular itu mati, dan lilitan pada penyerangnya juga semakin longgar.

Kemudian, seekor haiwan yang sangat besar keluar dari dalam paya. Haiwan ini kelihatan seperti seekor buaya, tetapi berbanding dengan buaya, badannya lebih besar, dan kakinya lebih tebal.

Ini ialah raja paya ini, dan makanan kegemarannya ialah ular air yang paling laju dan paling hebat. Walau bagaimanapun, ular air ini sangat sukar ditangkap. Sebaik terlihat bayang musuhnya, ular ini akan melarikan diri serta-merta dan dengan cepat masuk ke dalam paya dan terus lenyap. Oleh itu, 'buaya' ini hanya boleh menyamarkan diri dan sabar menunggu, kadang-kala sehingga sepanjang hari dan malam, demi mendapatkan hadiahnya. Hari ini, 'buaya' ini dapat makan sepuas-puasnya.

Haiwan ini mengangkat kepalanya dan membuka rahangnya dengan luas, meletakkan ular besar itu ke dalam mulutnya. Perlahan-lahan ular itu dirobek menjadi beberapa kepingan, dikunyah dan ditelan. Semasa sedang makan ular itu, ketika separuh badan ular itu masih tergantung di luar mulutnya, 'buaya' itu nampak bayang-bayang gelap mendekatinya dengan cepat dari atas.

'Jahanam, siapa yang berani mengganggu Raja Paya makan?' Haiwan ini tidak memikirkan ada kemungkinan akan diserang. Haiwan ini berada di kedudukan teratas dalam rantaian makanan di sini, tiada haiwan lain yang berani berfikir untuk memburunya...

Sebelum dapat melihat dengan lebih dekat, haiwan ini merasakan kesakitan bermula daripada mulutnya, kemudian merebak ke seluruh badannya. Raja paya ini meraung, tanda marah dan berasa tidak percaya yang sesuatu berani mencederakannya. Haiwan ini mahu merobek penyerang itu dengan giginya yang tajam, tetapi mendapati mulutnya tidak dapat ditutup.

Tidak, bukan mulutnya tidak boleh ditutup, entah bila dan bagaimana, sebatang kayu telah masuk ke dalam mulutnya. Haiwan itu cuba mengeluarkan kayu tersebut, tetapi badannya pula tidak boleh bergerak.

Keadaannya seolah-olah seperti telah dihimpit ke tanah. Selain dapat menggerakkan kakinya sedikit, haiwan ini langsung tidak dapat melakukan apa-apa. Walaupun tidak tahu apa yang sedang berlaku, haiwan ini semakin berang, dan cuba meraung sekali lagi, tetapi sekarang mendapati itu juga tidak dapat dilakukannya. Kemudian, seluruh bahagian badannya dirasakan amat sakit sehingga tidak dapat bertahan. 'Apa yang sedang berlaku?'

"Sangat menyusahkan." Seiring dengan suara ini, haiwan itu nampak makhluk yang sangat lemah muncul berdekatan kepalanya. Kemudian, memori terakhir haiwan itu ialah melihat makhluk pelik itu mengangkat kaki kecilnya dan menghentak kepalanya dengan kejam.

Tanpa apa-apa perubahan pada ekspresi mukanya, Ling Lan menarik kakinya keluar daripada tengkorak raja paya itu. Dia tidak berminat untuk memerhatikan perjuangan haiwan itu untuk terus hidup, maka menghentikan penderitaannya dengan menghentak kepalanya.

Melihat pada cebisan otak yang terlekat di kasutnya, Ling Lan tidak lagi terasa jijik seperti sebelum ini. Ling Lan kini penuh dengan aura yang agresif, sama seperti raja hutan. Dia bukan lagi seorang yang lemah dan penakut.

Sudah tentulah dengan kekuatan Ling Lan sekarang, berlawan dengan haiwan itu bukanlah mustahil. Walau bagaimanapun, kulit haiwan ini seperti keluli dan Ling Lan tidak mempunyai senjata yang dapat menembusinya. Haiwan itu dapat menahan serangan balas ular air tadi disebabkan kulitnya. Tetapi, semua haiwan mempunyai kelemahan tersendiri dan raja paya ini tidak terkecuali.

Bahagian dalaman raja paya ini sangat lemah, itulah sebabnya raja paya ini biasanya tidak akan membiarkan mulutnya terbuka. Satu-satunya cara untuk menyerang bahagian dalamannya ialah melalui mulutnya. Oleh itu, Ling Lan telah memutuskan untuk menyembunyikan dirinya di dalam paya dan menunggu sehingga raja paya itu mula memburu. Dan ketika raja paya itu sedang makan, dia mengambil kesempatan untuk menyumbat pokok kecil ke dalam kerongkong haiwan itu, tembus sehingga ke ekor, dan dapat membunuhnya dengan satu serangan sahaja.

Tidak mudah bagi Ling Lan untuk sampai ke bahagian ini. Sudah banyak kali, disebabkan masalah kawalan emosi, raja paya itu telah berjaya mengesan serangan Ling Lan dan mengelak. Ini menyebabkan Ling Lan terlepas peluang. Oleh itu, Ling Lan terpaksa menyerang beberapa kali sebelum akhirnya memahami kemahiran memburu dengan sempurna. Percubaan dan kesukaran yang dia lalui dalam keseluruhan proses itu terlalu banyak untuk diperkatakan.

Próximo capítulo