webnovel

Sayalah Sampah Tersebut.

Editor: EndlessFantasy Translation

"Apa?"

Zheng Yang merenung kebingungan sebelum wajahnya bertukar menjadi merah padam.

"Saya pernah jatuh cinta pada seorang gadis. Kemudian… Dia telah memalukan saya. Tetapi, ini tidak punya kaitan dengan kamu, tok guru!"

Sememangnya dia pernah jatuh cinta dan dia telahpun meluahkan hatinya dengan girang. Malangnya, dia telah dimalukan dengan kejam oleh gadis tersebut dan perasaan malunya tidak terperi lagi. Dia telah merahsiakan kejadian ini sehinggakan Mo Xiao pun tidak mengetahuinya. Bagaimanakah guru ini boleh tahu?

Mendengarkan pengakuannya, Mo Xiao sangat terkejut dan segera bertanya. "Benarkah ini? Zheng Yang, mengapakah kamu tidak pernah memberitahu saya yang kamu pernah dimalukan seseorang? Siapakah dia?"

"Saya akan beritahu kamu kemudian!" Zheng Yang menggelengkan kepala, enggan berkata apa-apa tentangnya lagi. Dia memandang ke arah guru di hadapannya dan berkata, "Tok guru, ini adalah hal peribadi saya. Saya tidak tahu bagaimanakah kamu boleh tahu tentang ini, tetapi sepatutnya ia tidak berkaitan langsung dengan membimbing saya tentang seni lembing!"

"Tidak berkaitan langsung? Zhang Xuan menggelengkan kepalanya. "Ia berkaitan dengan segala-galanya!"

"Berkaitan dengan segala-galanya?" Zheng Yang curiga akan kata-katanya.

Apakah kaitan antara hati yang dilukai dengan bimbingan dari Zhang Xuan?

"Lembing kamu kuat dan tegas. Ini sama dengan personaliti kamu. Tidak kira apa yang kamu lakukan, kamu sentiasa terus merempuh tanpa memikirkan akibatnya! Sepatutnya ini adalah sesuatu yang baik. Pejuang seharusnya bersifat begitu, merempuh tanpa peduli tentang perkara-perkara kecil!"

Zhang Xuan melihat ke arah Zheng Yang dengan tenang. "Tetapi, sayangnya kamu sudah mula berasa takut setelah melalui pengalaman pahit tersebut. Kamu takut akan penolakan dan perasaan malu! Ada sifat ragu-ragu dalam seni bermain lembing kamu. Akibatnya, kekuatan kamu berkurangan!"

"Kamu…. Kamu… Boleh mengetahui semua ini dari lembing saya? Kamu boleh tahu yang saya pernah patah hati? Kamu dapat mengetahui tentang personality saya?"

Zheng Yang sangat terperanjat.

Kata-kata lelaki tersebut sedikit pun tidak salah. Malah, ianya teramat tepat dan tidak salah sedikitpun.

Dia mempunyai sifat yang lurus, dan ini membolehkannya untuk mara tanpa sedikitpun rasa gentar. Akan tetapi, disebabkan pengalaman pahit ini, dia mula berasa malu dan ragu-ragu dalam setiap perkara yang dilakukannya.

Jika dia mampu mengetahui tentang semua ini hanya melalui lembingnya, mata jenis apakah yang dimiliki oleh guru ini?

Sejak bilakah munculnya guru yang sehebat ini di dalam akademi?

Dia terasa seakan-akan hendak menjadi gila.

Terlebih dahulu, apabila dia melawat guru lembing nombor 1, Wang Chao, untuk memohon menjadi anak muridnya, Wang Chao hanya berkata bahawa Zheng Yang belum lagi mampu untuk menguasai asas seni lembing. Dia tidak mengetahui apakah punca kegagalannya tersebut. Tetapi, lelaki di hadapannya ini dapat mengetahui tentang sejarah kelukaan hatinya dan juga hakikat bahawa kemahirannya telah merosot disebabkan oleh trauma emosi yang dihadapinya. Adakah kebolehan yang dimiliki oleh guru ini….lebih hebat dari Wang Chao?

"Ini semua normal!" Zhang Xuan menggerakkan tangannya sambil menunjukkan raut wajah seorang pakar. "Lembing adalah ibarat gambaran hati seseorang. Jika hati seseorang itu tidak tenang, kemahiran yang ditunjukkan bakal menjadi gelap! Sungguhpun kemahiran menggunakan lembing kamu adalah lancar, terasa seperti terdapatnya sesuatu yang menyelubungi kamu, sesuatu yang tidak dapat kamu fahami, sesuatu yang tidak dapat kamu pisahkan dari diri kamu. Hanya dengan sekilas pandangan, saya sudahpun tahu ia adalah tentang perasaan cinta!"

"Ini…"

Kali ini, bukan sahaja wajah Zheng Yang menunjukkan reaksi terperanjat, malahan mulut Mo Xiao turut ternganga luas sehinggakan boleh disumbat dengan telur.

Apakah ini semua...

Hanya dengan menyaksikan kebolehan menggunakan lembing, kamu dapat merasakan emosi yang menyelubungi seseorang, tidak mampu memahami, tidak mampu memisahkan...Adakah dia mempunyai mata manusia?

Mo Xiao dan Zheng Yang merenung ke arah satu sama lain, rasa tidak percaya jelas kelihatan di mata masing-masing.

"Tok guru, bolehkah tok guru menilai saya juga?"

Setelah hilang rasa terkejutnya, Mo Xiao melangkah ke hadapan dengan perasaan penuh keinginan terpancar di wajahnya. Tidak kisahlah sama ada Zhang Xuan bersetuju ataupun tidak, lembing di tangannya pun bergegar dan dia memulakan jurusnya.

Dia menunjukkan pergerakan yang sama dengan Zheng Yang, cuma ia lebih kuat dan lancar.

Dari segi kemahiran menggunakan lembing, dia ternyata lebih baik berbanding Zheng Yang. Tidak hairanlah tok guru Wang Chao memilih dia dan bukannya Zheng Yang.

Hu!

Setelah munculnya tiupan angin kencang, Mo Xiao menarik kembali lembingnya dan berdiri tegak.

Apabila lembingnya bergerak, dia kelihatan seperti syaitan gila yang tidak tertanding. Apabila kekuatannya melimpah-ruah, dewa dan roh pun tidak berani menganggunya. Apabila lembingnya disimpan, dia berdiri dengan senyap bagaikan sebuah patung.

Sungguhpun dia tidak dianggap sebagai seorang yang tersangat kuat, memandangkan dia hanyalah Pejuang berpangkat Satu-dan, tidak boleh disangkal bahawa dia telah mempelajari banyak perkara dalam penggunaan lembing.

"Perut kamu lemah. Kalau tidak salah saya, kamu cirit-birit hari ini!"

Pandangan Zhang Xuan yang penuh ketenangan ditumpukan ke arahnya.

"Ah?" Mo Xiao menggigil. "Tok guru, kamu boleh tahu yang saya mengalami cirit-birit dari seni lembing saya?"

Seperti yang dikatakan, perutnya berasa tidak selesa hari ini. Dia sudahpun mengalami cirit-birit dari semalam lagi. Hari ini, ia bertambah teruk dan tubuhnya terasa lemah.

Tetapi, ia tidaklah terlalu menganggunya. Dengan berbekalkan lembing di tangan, dia masih dapat menunjukkan kemahirannya pada tahap tertinggi sehinggakan Tok Guru Wang Chao sendiri memujinya. Tetapi, lelaki ini dapat mengetahuinya serta-merta...

Benarkah ini?

Mata jenis apakah yang dimilikinya jika dia dapat mengenalpasti tentang putus cinta dan juga cirit-birit hanya melalui pertunjukan seni lembing?

"Kamu ingin saya membimbing kamu? Jika mahu, perakuilah saya sebagai guru!"

Tanpa mempedulikan rasa terkejut mereka berdua, Zhang Xuan melihat ke arah mereka dengan tenang.

Dia mampu mentafsirkan masalah yang dihadapi mereka berdua dengan mudahnya, sehinggakan mereka berdua hampir gila disebabkan rasa terkejut. Tetapi, ini seakan-akan sebuah perkara kecil sahaja baginya.

Hakikatnya sama sahaja. Apabila kedua-dua murid tersebut menunjukkan kebolehan mereka, Perpustakaan Jalan Syurga mengumpulkan buku tentang mereka secara automatik dan patah hati serta cirit-birit muncul dalam senarai kelemahan mereka. Zhang Xuan hanya perlu melihat dan membacakannya dengan kuat. Tidak ada apa-apa yang sukar tentangnya.

"Murid Zheng Yang rela memperakui tok guru!"

Tanpa ragu-ragu, Zheng Yang berlutut di atas lantai.

Dia sangat kagum akan kebolehan Zhang Xuan.

Dengan kebolehan sebegini, mana mungkin tunjuk ajarnya biasa-biasa sahaja?

"Baik!" Melihatkan bahawa Zheng Yang rela memperakui dia sebagai guru sungguhpun dia hanya menerangkan tentang kelemahannya dan tidak memberikan sebarang bimbingan pun lagi, Zhang Xuan mengangguk puas. Dia mengeluarkan token jed melambangkan identiti baru murid tersebut dan berkata "Sahkan hubungan kita!"

"Ya!" Tanpa berlengah-lengah, Zheng Yang menitiskan darah ke atas token tersebut untuk tujuan pengesahan.

Dengan cepatnya, prosedur telahpun selesai.

"Memandangkan kamu sudahpun menjadi murid saya, biarlah saya memberikan kamu satu cadangan. Jika kamu ingin dihormati dalam sebuah hubungan, kamu mesti mempunyai kekuatan terlebih dahulu. Tanpa kekuatan, bagaimanakah pihak yang lain akan menganggap kamu setanding dengannya? Maka, perkara pertama yang harus kamu lakukan adalah membuangkan rasa kecewa, buka minda kamu dan fokus pada latihan. Kamu harus biarkan pihak yang lain menyedari betapa bodohnya mereka kerana menolak kamu! Kamu harus menggunakan kekuatan untuk membuktikan pada mereka…" Di saat ini, Zhang Xuan teringat akan sebuah buku yang dibacanya dalam kehidupan yang lalu dan tersenyum sendiri, "Sungai akan membalikkan alirannya selepas tiga puluh tahun, jangan membuli orang muda hanya kerana mereka miskin!"

"Jangan membuli orang muda hanya kerana mereka miskin?"

Mendengarkan kata-kata tersebut, Zheng Yang merasakan perasaan membara di dalam dadanya. Wajahnya bertukar kemerah-merahan dan tubuhnya menggigil tidak terkawal.

Sebagai seorang yang lahir di dunia baru ini, sudah tentulah Zheng Yang tidak pernah mendengarkan kata-kata tersebut.

Pada saat itu juga, keinginan bertarungnya menyala dengan marak.

Perasaan kecewa yang terbuku di lubuk hatinya berubah menjadi kilauan berlian.

Melihatkan bahawa Zheng Yang sudahpun lepas dari belenggunya, Zhang Xuan berkata.

"Cubalah tunjukkan kemahiran kamu sekali lagi!"

"Baiklah!"

Tanpa berkata apa-apa, dengan lembing dalam genggamannya, perangai Zheng Yang berubah serta-merta. Ianya teramat berbeza dengan perangainya sebelum ini.

Hong hong hong hong!

Lembingnya menikam dengan lancar dan auranya bergemuruh. Jelas terpancar kekuatannya sehinggakan seluruh bilik bergegar.

Peng!

Di akhir rutin lembingnya, dia mengenakan tikaman melintang terhadap tiang batu.

Gegaran yang teramat kuat terhasil dan beberapa angka pun muncul pada permukaannya.

235!

Ianya sekuat 235 kg!

Apabila dia menggunakan seluruh kekuatannya sebelum ini, ia hanyalah sekadar 110 kg. Hanya dengan satu tunjuk ajar, kekuatannya meningkat dua kali ganda!

"Terima kasih, tok guru!"

Melihatkan angka yang terpapar, keraguan Zheng Yang lesap sama sekali. Dia berlutut sekali lagi. Pada saat ini, dia benar-benar telah diyakinkan akan kebolehan guru di depannya.

"Luar biasa!"

Melihatkan angka pada tiang batu tersebut, Mo Xiao hanya mampu menggigil dan wajahnya bertukar kemerah-merahan.

Dia gembira dapat mencari seorang guru yang bagus untuk adiknya. Tetapi, dia turut berasa kecewa pada masa yang sama.

Terlebih dahulu, setelah menerima tunjuk ajar daripada Wang Chao, kekuatannya telah meningkat sebanyak 30%.

Tetapi guru ini berjaya meningkatkan kekuatan Zheng Yang sebanyak dua kali ganda!

Kalaulah dia tahu akan kehebatan guru tanpa nama ini dari awal, dia tidak akan membazir masa dan tenaga mencari Wang Chao, sebaliknya dia akan serta-merta memperakui guru ini.

Dia merasa kesal.

Tetapi, keraguan mula timbul di mindanya. Bagaimanakah guru lembing sehebat ini tidak dikenali ramai?

Dia tidak mampu menahan rasa curiganya lalu bertanya, "Tok guru, memandangkan tok guru sudahpun menerima Zheng Yang sebagai anak murid, bolehkah kami tahu akan nama tok guru?"

Mendengarkan soalannya, Zheng Yang turut sama memandang ke arah guru tersebut.

Dia cukup kagum akan guru ini, tetapi barulah dia menyedari bahawa dia tidak tahu akan namanya pun!

"Saya adalah Zhang Xuan!" Jawab Zhang Xuan dengan tenang.

"Zhang Xuan? Seperti pernah saya dengar nama itu…"

Mendengarkan nama tersebut, Mo Xiao berfikir sejenak. Kemudian sesuatu terlintas di mindanya dan matanya mengecil. Bibirnya bergetar tanpa terkawal dan bertanya, "Saya teringat… Guru sampah yang mendapat markah kosong dalam Peperiksaan Kelayakan Guru juga dipanggil Zhang Xuan. Nampaknya Tok Guru mempunyai nama yang sama dengannya!"

"Ya, sayalah sampah tersebut!"

Zhang Xuan mengangguk.

"Ah..."

Zheng Yang dan Mo Xiao tergamam.

Próximo capítulo