webnovel

Bab 282

編集者: EndlessFantasy Translation

Di bawah cahaya langit yang semakin malap, wanita itu seolah-olah dapat melihat lelaki itu lagi.

Bunga berguguran seperti emping salji pada penghujung musim bunga. Pemuda itu berdiri di bawah pokok sambil memakai jubah biru terang miliknya yang ditemani oleh tali pinggang kain ungu. Dari kejauhan, dia bertanya dengan sambil lewa, "Hei! Awak dari Istana mana?"

Tiba-tiba, memori itu terhenti. Dalam penglihatannya yang kabur, kelihatan wajah Wenyuan yang bimbang. Mulut Wenyuan terbuka dan tertutup, tetapi dia tidak dapat memahami apa yang sedang dikatakannya.

Wanita itu sedar dia mungkin telah jatuh sakit lagi. Dia kini sedang dikelilingi oleh beberapa orang lain. Mereka sedang cuba untuk menarik anggota badannya dan menggoncangnya dengan cemas sehingga membuatkan badannya terasa sakit. Mukanya berubah masam, dia ingin memarahi mereka yang bagaikan tidak menyedari kesakitan yang mereka sedang lakukan kepadanya, namun dia tidak dapat membuat apa-apa bunyi. Walaupun dia membuka mulutnya dengan segala daya upayanya, namun dia bagaikan kelihatan seperti seekor ikan di dasar lautan yang tidak dapat membuat sebarang bunyi, apatah lagi ingin bernafas.

Wenyuan sedang panik ketika dia berkata dengan nada marah kepada sida-sida di sampingnya, "Kenapa Maharaja tidak datang? Kamu sudah memberitahu dia atau tidak? "

Wajah sida-sida muda itu pucat sepenuhnya dan suaranya sebak ketika dia berlutut di atas lantai untuk menjawab, "Patik berlari sampai hampir patah kaki untuk menghantar pesanan itu. Tapi, Cik Puan Cheng berkata Maharaja sedang tidur. Tidak boleh mengganggunya sehingga selepas dia bangun. "

"Tak masuk akal betul!" Wenyuan berkata dengan marah. "Melampaunya dia? Sanggup ke dia bertanggungjawab atas hal ini?"

Melihat kemarahannya, semua orang di dalam bilik itu segera tenggelam dalam kesunyian sambil berlutut. Namun, pada masa ini, Nalan Hongye menganggap Wenyuan semakin berani sehingga tergamak mengeluarkan kata-kata tersebut. Sekiranya kata-kata itu sampai ke telinga Cik Puan Cheng, pastinya keadaan akan bertambah rumit.

Oleh kerana dia tidak dapat bercakap, dia telah memutuskan untuk terus menutup matanya dan berehat, membiarkan orang-orang di sekelilingnya terus berlari seperti semut di atas pinggan kepanasan.

Di dalam hatinya, Nalan Hongye juga bersetuju yang Cik Puan Cheng sebenarnya sudah terlalu keterlaluan. Hanya kerana Cik Puan Cheng telah melahirkan dua anak putera dan hakikat latar belakang keluarganya berpengaruh besar, dia mula menjadi bermasalah. Tindakan mementingkan diri sendiri sebegini akan membawa padah kepada kerajaan. Nampaknya apabila Nalan Hongye sembuh, dia perlu memberi perhatian khusus untuk mengekang wanita ini, kalau tidak, seluruh istana akan dipengaruhi secara negatif olehnya.

Nalan mengeluh dalam keletihan dan terus lena dalam alam mimpinya sekali lagi.

Nama asal Cik Puan Cheng adalah Cheng Rongrong, sepupu kepada Jeneral Cheng Yuan. Selepas Empayar Besar Yan telah menetapkan Zhen Huang sebagai ibu negara, beberapa wanita keluarga bangsawan Yan telah memasuki harem. Oleh sebab pengaruh Jeneral Cheng yang besar di kawasan istana, bersama-sama dengan kecantikannya sendiri, dia telah naik pangkat dengan cepat. Di samping itu, dia juga telah berjaya melahirkan dua orang putera, serta-merta menjadikan dia sebagai salah seorang wanita yang paling berpengaruh selain daripada Cik Puan Maharani. Dia pada asalnya seorang wanita yang pintar, tetapi fikirannya telah dikaburi oleh keistimewaan yang dia nikmati.

Akhirnya Yan Xun terbangun pada waktu senja. Oleh kerana perisikan ketenteraan yang baru tiba semalam, Yan Xun tidak sempat tidur malam tadi. Perasaan letih masih menghurung dirinya walaupun dia sudah bangun.

Cik Puan Cheng berlutut di atas lantai bersama satu lapisan kain sutera kuning nipis yang sedang membaluti badannya. Dengan gaya yang menggoda, dia menghidangkan teh kepada Yan Xun dan mula memberitahunya pelbagai perkara. Yan Xun hanya mendengar walaupun tidak berminat. 

Tiba-tiba, satu ayat tunggal melayang ke telinga lelaki itu. Dia berasa sedikit terkejut dan melihat terus pada Cik Puan Cheng dan bertanya, "Apa yang awak katakan?"

Cik Puan Cheng berasa sedikit terkejut di dalam hatinya, tetapi dia berusaha sebaiknya untuk tetap tenang. Tanpa mengubah wajahnya yang sedang tersenyum, dia menjelaskan, "Sekitar tengah hari tadi, sida-sida dari Istana Dongnan datang untuk memberitahu Maharani tidak sihat. Melihat bagaimana Tuanku sedang tidur dengan lena, saya tidak berani untuk membangunkan awak. Saya percaya ini cuma salah faham. Maharani itu seorang yang bertimbang rasa dan dia selalu bergelut dengan masalah kesihatan. Kalau dia tahu, dia mungkin memarahi hamba itu dan pastinya tak mahu mengganggu Maharaja."

Yan Yun yang sedang terduduk di atas katilnya itu tidak membalas. Pandangannya begitu mendalam dan tanpa sebarang emosi.

Cik Puan Cheng berasa senang hati. Dia mula bersiap sedia untuk membersihkan diri Yan Xun. Namun dia tidak menyangka yang pemuda itu bakal beredar setelah dia memakai pakaiannya. Cik Cik Puan Cheng bertanya dengan tergesa-gesa, "Awak tak akan kembali untuk makan malam?"

Yan Xun perlahan-lahan berpaling. Cahaya matahari yang sedang terbenam lantas bersinar indah pada mukanya, memancarkan cahaya keemasan. Dengan senyap, lelaki itu memandang Cik Puan Cheng tetapi langsung tidak menunjukkan sebarang emosi. Namun, ia sudah cukup untuk meremangkan bulu roma dan membekukan darah sesiapa yang mengalir.

Cik Puan Cheng dengan serta-merta berlutut. Pengakhiran riwayat Cik Puan Yuan Shilan bermain-main di ingatannya, menyebabkan dia berasa sangat takut sehingga dia hampir menangis.

Beberapa lama kemudian, seorang pembantu istana wanita berjalan mendekatinya dan berbisik, "Maharaja telah pergi."

Dia perlahan-lahan mengangkat kepalanya, hanya merasakan bahawa dahinya dipenuhi dengan peluh sejuk. Dia telah kehilangan semua daya tenaganya dan hampir rebah ke lantai. Pembantu istana itu segera merintih lalu mendukung wanita itu ke atas katil. Dia menggenggam dadanya dengan tangannya, kerana wajahnya tetap pucat seperti biasa, tanpa berkata satu perkataan. Dia sudah masak benar, sedar walaupun Maharaja tidak berkata apa-apa sebentar tadi, namun dia begitu hampir dibunuh.

Malam itu mula menjadi gelap ketika dia mula termenung. Akhirnya, dia menghela nafas dan mengarahkan orang-orang gajinya, "Berikan pengawal itu 30 libasan dan sediakan hadiah yang besar buat Maharani esok untuk meminta maaf. Jelaskan pengawal itu malas dan telah memberikan maklumat yang salah. "

Pembantu istana itu hanya mengangguk saja. Walaupun dia sedang berasa takut, namun dia langsung tidak berani untuk mempersoalkan wanita itu. Tidak lama kemudian, suara rintihan pengawal yang sedang dilibas itu bergema kuat memenuhi ruang istana. Akhirnya, setelah dapat mencapai kedudukan sebegini, dia sememangnya bukanlah seorang wanita yang naif mahupun tidak berdosa. Dia tahu saat untuk berundur dan juga saat untuk bertindak. Walaupun dia tidak dapat menahan perasaan bangganya, namun dia juga tahu batasannya. Amaran pada hari ini sudah memadai buatnya untuk tersedar kembali ke alam realiti.

"Liu Xu, sediakan setanggi dan juga kitab. Saya akan bergerak ke kuil pada keesokan hari untuk menyalin doa-doa untuk kemakmuran Empayar kita."

"Saya faham, Cik Puan."

Ujian buat kali ini sudah memadai.

Cheng Rongrong melepaskan keluhan sebelum menyentuh gebar yang menyelimuti tubuh Yan Xun ketika dia tidur sebentar itu. Dia dapat merasakan kedinginan kain tersebut.

Ketika Yan Xun tiba di Istana Dongnan, kawasan tersebut telah dihurung kekelaman. Hanya terdapat beberapa obor api yang dinyalakan di sekitar Istana Dongnan kerana kebanyakan doktor kerajaan empayar telah pun pulang ke rumah masing-masing. Setelah melihat kehadiran Yan Xun, para orang gaji mula berlutut. Namun, pemuda itu telah menghalang mereka daripada melaporkan kehadirannya. Dia segera mengorak langkah ke arah bilik yang dipenuhi dengan orang-orang gaji yang sedang bersujud hormat sehingga ke pintu sejuk itu.

Wanita itu telahpun tidur. Wajahnya kelihatan sungguh pucat semasa dia terbaring di atas kain sutera ini sementara rambutnya pula kusut masai. Dia kelihatan sungguh lemah dan sakit.

Wenyuan berasa sangat gembira apabila melihat peristiwa ini. Dia mula meletakkan beberapa buah bantal di atas katil supaya Yan Xun dapat duduk. Sebaliknya, lelaki itu telah menarik sebuah kerusi untuk mengambil tempat benar-benar di hadapan Nalan Hongye. Dia terduduk di situ dengan penuh senyap sambil memerhatikan wanita itu yang sedang lena dibuai mimpi.

Yan Xun seakan-akan tidak pernah melihat Nalan Hongye sebegini sebelum ini. Dalam ingatannya, Nalan Hongye sering berpakaian gah dengan solekan dan juga aksesori yang cukup. Dia sering tersenyum, memancarkan aura dirajanya. Setelah melihatnya kini, sukar untuk Yan Xun yakinkan dirinya bahawa wanita di hadapannya ini adalah Puteri Song.

Masa sememangnya pembunuh yang paling senyap. Dalam sekelip mata sahaja, berpuluh-puluh tahun sudah berlalu. Yan Xun tidak berkata apa sebelum beredar. Namun, apa yang dilakukan itu sudah cukup untuk membuatkan seisi istana bertambah ceria. Wenyuan dengan riangnya bergegas ke sana ke mari di bahagian luar istana untuk menyelesaikan pelbagai jenis isu. Ini kerana Tuanku Maharaja telah menyatakan beliau akan mencemar duli dan datang ke situ lagi pada keesokan harinya.

Sebaik sahaja pintu gerbang Istana Dongnan tertutup, Nalan Hongye membuka matanya. Dia kini amatlah kurus sehingga matanya yang terjegil. Akan tetapi, renungan matanya masih lagi tajam dan tenang yang disaluti juga dengan kecerdikan.

Kerusi yang diletakkan di sisi katilnya itu kosong tidak berpenghuni. Namun, ukiran dua ekor naga di atas kerusi itu masih jelas terpampang.

Sudah bertahun-tahun berlalu. Nalan Hongye, kau tak pernah menyesalinya ke?

Dia bertanya dirinya sendiri sambil diterangi dengan cahaya lilin samar-samar.

Kehidupan dalam istana itu diteruskan seperti biasa dengan cuaca yang semakin beransur sejuk dan penggunaan pendiang api menjadi semakin kerap. Namun, kesihatan Nalan Hongye tidak bertambah pulih. Hampir separuh doktor kerajaan empayar yang telah berpindah masuk ke dalam Istana Dongnan untuk menjaga Maharani.

Hari ini merupakan hari sekolah biasa. Yushu membawa bersama Yong'er untuk melawat Nalan Hongye, membawa bersama ubat-ubatan tambahan. Mereka berborak bersama setibanya mereka di istana tersebut.

Setelah berbual kosong, Yushu menyedari yang Nalan Hongye berasa letih. Jadi, dia bercadang untuk meminta diri apabila wanita itu bertanya, "Esok merupakan ulangtahun kematian Raja Xuan, kan?"

Yushu terpana seketika. Entah kenapa dia tiba-tiba berasa tegang, dia menjawab, "Ya."

Nalan Hongye mengangguk lalu Wenyuan menghampiri mereka untuk menghulurkan sebuah kotak kecil. Nalan Hongye berkata tenang, "Suami awak itu orang yang hebat. Dia telah berkorban untuk rakyatnya. Saya ini bukannya sihat sangat, jadi memang mustahil untuk saya keluar dari istana ini. Saya harap awak boleh tolong sampaikan salam saya."

Bilik tidur yang hangat itu tadi tiba-tiba diselubungi kedinginan. Ia bermula dari jari-jemari Yushu yang lama-kelamaan mengebaskan tangannya. Dengan tangan yang kaku, dia mencapai kotak tersebut sambil mengetap bibir bawahnya sebelum menunduk penuh hormat, "Patik berterima kasih kepada Tuanku bagi pihak arwah suami saya."

Nalan Hongye menggeleng kepalanya dan ingin membalas apabila orang-orang gaji memasuki bilik tersebut. Wanita itu segera berbisik kepada Wenyuan yang membuatkan gadis itu juga terpana semasa dia menoleh untuk memandang Nalan Hongye.

Yushu segera meminta diri untuk beredar. Nalan Hongye tidak menghalang.

Cahaya matahari terasa sungguh terik sehingga tapak tapak Yushu mula berpeluh. Dia segera mengepalkan hujung bajunya dengan sedaya upaya seolah-olah dia sedang cuba mencekik sesuatu sehingga nafasnya sudah tidak dapat didengari lagi.

Tiba-tiba, sekumpulan sida-sida bergegas ke bahagian barat, mengganggu Yushu yang bertanya salah-seorang pelayannya dengan santai, "Apa yang berlaku? Apa yang mereka sedang lakukan?"

Pembantu istana itu sudah menetap dalam istana buat masa yang lama, jadi dengan keupayaan bersosialnya, dia bertanya tentang kejadian itu. Apabila pelayannya kembali, wajahnya juga telah dihurung panik apabila dia berkata, "Cik Puan, Cik Puan Yuan dari Istana Barat Dingin dah membunuh diri."

"Cik Puan Yuan?" Yushu terpana lalu bertanya dalam kejutan.

Pembantu istana wanita itu menjilat bibirnya sebelum berkata, "Dia sebelum ini dikenali sebagai Cik Puan Chu."

"Yuan Shilan?" Giliran Yushu pula untuk menjadi tidak senang duduk.

Cik Puan Chu yang dikenali sebagai Yuan Shilan merupakan wanita yang telah menjadi legenda dalam sejarah singkat Empayar Yan Agung.

Wanita itu pada mulanya hanyalah seorang hamba membasuh pakaian. Suatu hari, dia telah didapati bersalah dan bakal diheret ke dalam penjara buat selamanya, namun wanita itu mengetahui beberapa teknik mempertahankan diri. Dia telah mencederakan ketua pembantu istana yang sedang mengawasinya pada suatu malam sebelum melarikan diri dari penjara. Semasa dia sedang melarikan diri, dia tidak mempunyai sebarang hala tuju, membuatkan dia berlanggar dengan kereta kuda mewah milik Tuanku Maharaja. Wanita itu seterusnya menghentakkan kepalanya ke pintu gerbang istana setelah dicederakan oleh sebatang anak panah. Dia lebih rela mati daripada ditangkap.

Dia telah diselamatkan dengan penuh jayanya. Tuanku Maharaja amat menggemari tingkah laku dan peradaban wanita itu, membuatkan dia dinaikkan darjat. Dalam masa setengah tahun, dialah satu-satunya cinta hati Maharaja dan lambat-laun wanita itu telah mendapat gelaran Cik Puan Chu. Ia sudah semestinya meraih syak wasangka dewan persidangan, namun Yan Xun langsung tidak menghiraukannya.

Namun tiga bulan lalu, sebuah pergaduhan besar telah berlaku pada malam yang bergerimis. Cik Puan Chu tiba-tiba telah diturunkan darjat. Dalam masa tiga, darjatnya telah diturunkan sehingga ia hampir sama dengan darjatnya sewaktu dia mula memasuki istana.

Tiada sesiapa tahu apa yang terjadi pada malam itu. Khabar angin ada menyatakan yang Cik Puan Chu telah bertengkar dengan Maharaja sehingga wanita itu telah mencederakan wajahnya akibat amarah yang membungkam di jiwa, membuatkan dia bertukar menjadi seorang wanita hodoh. Yan Xun menjadi murka setelah melihat akan hal itu.

Kata-kata para wanita lain amat tajam dan pedas semasa mereka bersembang mengenai peristiwa ini. Pertama sekali, hubungannya dengan maharaja telah membuatkan dia agak angkuh dan tidak banyak bersembang dengan para wanita lain. Tambahan pula, para wanita lain telah mendapat perhatian Maharaja dengan kecantikan mereka. Mencederakan wajahnya adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan membuatkan orang lain jelik sahaja. 

"Cik Puan? Cik Puan?" Pembantu kediaman tersebut berasa cemas lalu memanggilnya beberapa kali.

Setelah kembali ke alam nyata, Yushu segera mengarahkan, "Mari kita beredar."

Kereta kuda itu perlahan-lahan meluncur keluar dari pintu gerbang istana sambil ditemani dengan sekawanan burung gagak. Sehembusan angin sejuk mengepakkan velnya manakala bulu-bulu burung berterbangan di udara sebelum jatuh di atas tanah istana yang kesepian itu.