webnovel

BAB 15

"TULAH kamu, ikutkan perasaan sangat. Yang kamu duk gedik nak maki hamun perempuan tu apa hal? Zaman gaduh tarik-tarik rambut atau tarik-trik tudung ni, dah ketinggalan zaman tahu tak? Kamu tu yang hidup pada zaman moden ni pun, masih nak guna taktik tu ke? Out dated sungguh kamu ni, Nia. Zaman sekarang ni, manusia guna akal untuk berjaya. Apa pun berlaku, kamu kena minta maaf pada Shafiz!"

Kata-kata emaknya pagi tadi masih segar kedengaran di hujung telinganya. Dia sangkakan dia akan diberi kata-kata semangat selepas meluahkan apa yang berlaku semalam kepada emaknya itu. Tetapi, makian yang dia terima.

Salah dia juga semalam kerana tidak memastikan yang pintu pejabatnya tertutup rapat sebelum mengherdik Shadrina. Tidak tentu fasal, Shafiz telah mendengar kesemua kata-kata makian dan amarannya kepada wanita itu. Apa yang dia lakukan kepada Shadrina juga turut Shafiz lihat. Sekarang, lelaki itu benar-benar marah dan mungkin sudah mula membencinya.

"Apa pun berlaku, kau perlu minta maaf pada Shaf. Semua ni salah kau!" Kata-kata emaknya kembali menghentak tempurung kepalanya.

Duduk tidak selesa, berdiri tidak senang. Semuanya serba tidak kena. Semalam, dia tidak sempat memohon maaf pada Shafiz selepas kejadian itu berlaku. Sehingga habis waktu pejabat, Shafiz masih belum pulang dari Segamat. Sama ada memang taklimat tender itu habis lewat atau Shafiz sengaja pulang lewat kerana tidak mahu bertemu dengannya.

Jari jemarinya sedari tadi terus diramas-ramas. Dia bimbang, Shafiz akan membencinya. Nescaya, jika Shafiz membencinya dia tidak akan terus selesa dan tenang hati bekerja di syarikat ini lagi.

Semalam, selepas Shafiz menjerit namanya, lelaki itu terus mendapatkan Shadrina lalu membawa gadis itu keluar dari pejabatnya tanpa berkata apa-apa. Pagi ini, dia berharap akan diberi kesempatan untuk menjelaskan segala-galanya dan memohon maaf.

Jam di pergelangan tangan dipandang. Sudah menunjukan pukul sembilan setengah pagi. Namun, kelibat Shafiz masih belum kelihatan di pejabat itu.

Dia keluar dengan perempuan kampung tu ke? Hatinya berdetik risau. Dia berharap apa yang bermain di kepalanya ketika ini tidak mengena. Langkah disusun menuju ke meja Fiza yang kelihatan sedang sibuk dengan kerjanya.

"Mana perempuan ni?" tanya Zenia, angkuh sambil bercekak pinggang di hadapan meja Fiza.

Fiza yang sedang menaip sesuatu pada papan kekunci komputernya memandang Zenia.

"Rin? Dia ke toilet," jawab Fiza, teragak-agak.

Zenia merengus lega lalu kembali ke pejabatnya semula tanpa berkata apa-apa. Sampai di pejabatnya, dia terus sahaja menghenyak punggung di atas kerusi lalu melepaskan rasa lega. Bimbang juga dia jika Shadrina bersama Shafiz tadi. Dia sudah nekad, apa pun yang terjadi dia perlu meraih kemaafan dari Shafiz. Jika perlu dia menghapuskan egoisnya sebagai seorang wanita, dia akan buat. Kerana dia mahu Shafiz tahu, apa yang berlaku adalah kerana dia... cintakan lelaki itu!

# # # #

"SO, macam mana Cik Nab? Rancangan kita berjalan dengan lancar, kan? Kalau boleh, saya nak Shaf dengan Nia, menikah lepas raya nanti. Bolehkan Cik Nab?"

Terus Puan Hanifah ke pangkal soalan. Rasanya dia tidak boleh terus membiarkan rancangan ini tergantung begitu sahaja. Lagi lama dia berlengah, semakin teruk hubungan Zenia dan Shafiz yang sudah bagai sudah retak menanti belah.

Glup!

Tertelan liur Puan Zainab selepas mendengar soalan Puan Hanifah itu. Terus terasa susah air liurnya melepasi kerongkong.

"Emmm..." Puan Zainab mengulum lidah. Sejak Shafiz memaklumkan tentang wanita pilihannya bukan Zenia, sampailah sekarang dia tidak tahu jawapan apa yang sesuai untuk diberikan kepada Puan Hanifah tentang rancangan mereka yang tidak berjalan dengan lancar. Bagai ditelan mati emak, diluah mati ayah. Bimbang kawan baiknya itu melenting dan memutuskan hubungan baik mereka pula.

"Ingat Cik Nab. Kita dah berjanji bertahun-tahun nak jodohkan anak awak dengan anak aksaya. Sejak mereka di bangku sekolah lagi. Kalau lembu berpaut pada talinya, manusia berpaut pada janjinya." Puan Hanifah mengingatkan. Sengaja ingin menjerat kawan baiknya itu dengan janji yang telah mereka buat bertahun-tahun yang lalu.

Hendak tidak hendak Puan Zainab perlu juga berterus-terang.

"Sebenarnya Cik Pah, bukan saya tak mahu pegang pada janji. Saya ni jenuhlah duk melobi anak awak tu pada Shaf sejak dia habis buat ijazah dulu. Tapi, anak saya tu dah anggap anak awak macam kawan dia aje. Puas dah saya paksa dia suka pada Nia, tapi..."

"Itu bukan alasannya Cik Nab oi. Kita dah berjanji, kan?" tintas Puan Hanifah tidak puas hati.

"Saya tahu Cik Pah. Tapi, Shaf dah ada wanita pilihan dia sendiri. Apa yang pasti, wanita tu bukan Zenia. Dia dah rancang nak merisik dan berkahwin dengan perempuan tu dalam tahun ni juga." Dengan sisa keberanian yang ada, Puan Zainab berterus-terang.

"Apa?!" Terbuntang mata Puan Hanifah bertanya sambil menghentak perlahan meja di hadapannya sekuat hati. Tergolek cawan yang ada di atas meja kopi di hadapan mereka. Terpelanting juga cekodok yang ada ke lantai.

"Ngee!" Puan Zainab menutup mulut, terkejut melihat reaksi Puan Hanifah. Apa perlu aku buat sekarang? Kalau aku buat-buat pengsan boleh tak? Detik di hatinya, cuak.

Hazel Jay - Penulis dari Malaysia.

Cik_Bintangcreators' thoughts
次の章へ