webnovel

Satu Malam di Syurga Air Jed

編集者: EndlessFantasy Translation

Masa terus berlalu, dalam sekelip mata, bulan Mei telah tiba ke penghujungnya.

Dalam tempoh dua bulan yang lalu, setiap hari Linley akan menghabiskan masa lapangnya dengan bertafakur, dan selebihnya digunakan sama ada untuk berlatih mengukir batu ataupun membaca. Perpustakaan di Institut Ernst mempunyai koleksi buku yang sangat banyak. Melalui pembacaan buku, Linley boleh memperkembang pengetahuannya.

Pagi 29 Mei.

Linley, Yale, George dan Reynolds berdiri di dataran hadapan Galeri Proulx. Sebuah kereta kuda berhampiran mereka membawa tiga peti kayu di dalamnya. Sepanjang dua bulan lepas, Linley telah berjaya mengukir sembilan buah arca baru. Tetapi memandangkan ini kali pertama dia menghantarnya ke galeri seni, Linley ingin mengetahui perjalanan proses. Oleh sebab itu, jadi dia hanya membawa tiga arca sahaja.

"Angkat tiga kotak itu," arah Yale.

Beberapa pekerja puak Yale mula mengangkat dan mengalih kotak-kotak kayu itu.

"Bro Ketiga, mari ikut saya." Jelas sekali, Yale sudah biasa dengan jalan ini. Dia terus menuju ke bahagian sisi bangunan Galeri Proulx. Galeri Proulx mengambil ruang yang sangat besar. Di tepi laluan masuk beberapa meter dari situ, terdapat sebuah pintu yang nampak biasa sahaja. Ada seorang lelaki pertengahan usia memakai baju pahlawan berdiri di hadapannya.

Apabila lelaki itu nampak Yale berjalan menuju ke arahnya, matanya terus bertenaga dan dia terus meluru menghampiri mereka. Sambil tersenyum, dia memberi tanda hormat dan berkata, "Tuan Muda Yale, selamat datang!"

Yale tersenyum dan mengangguk. "Saya rasa kamu sudah tahu kenapa saya datang ke sini. Ini kawan baik saya, Linley. Tiga arca ini hasil tangannya. Di mana pekerja kamu? Arahkan mereka untuk bawa arca-arca ini masuk ke dalam."

"Sila tunggu sebentar." Lelaki itu tersenyum dan mengangguk.

Tidak lama kemudian, beberapa orang pekerja pengangkat barang keluar dari satu koridor. Lelaki pertengahan usia tadi senyum ke arah Linley. "Tuan Muda Linley, mengikut peraturan Galeri Proulx, Tuan perlu tinggalkan bukti pengenalan diri. Tuan hanya perlu beri kebenaran kepada kami untuk mencatat maklumat pengenalan pelajar Institut Ernst milik Tuan."

Pengenalan pelajar Institut Ernst sudah lebih dari cukup sebagai bukti.

Linley mengeluarkan pengenalan pelajarnya.

Selepas menyambut dokumen pengenalan pelajar daripada Linley, lelaki pertengahan umur itu membacanya sekali imbas seraya matanya terbeliak. Terkejut, dia melihat semula ke arah Linley. "Tahap lima?" Gred Linley sangat jelas tertulis pada dokumen pengenalan itu. Untuk seseorang semuda ini menjadi ahli sihir tahap kelima memang sesuatu yang mengejutkan.

Yale tidak dapat menahan diri daripada bermegah-megah, "Sahabat saya ini salah seorang dari Dua Genius Terhebat Institut Ernst. Tahun lepas, semasa di peperiksaan akhir hujung tahun, dia telah mencapai gelaran ahli sihir tahap lima biarpun umurnya baru empat belas tahun."

Salah seorang daripada Dua Genius Terhebat Institut Ernst?

Dalam hati lelaki itu, dia dapat membayangkan masa depan cerah yang tidak terbatas untuk Linley, lelaki muda yang berdiri di hadapannya. Sikapnya berubah menjadi lebih ramah. Selepas mencatat semua maklumat biografi Linley, dia membuat tanda pada setiap tiga kotak itu.

"Tuan Muda Linley, semua sudah selesai. Apa yang Tuan perlu lakukan hanyalah datang semula sebulan kemudian untuk mengambil bayaran Tuan." Lelaki pertengahan umur itu tersenyum.

"Dalam masa sebulan? Saya tak ada masa bulan depan. Boleh kita tangguh ke tiga bulan akan datang?" tanya Linley. Linley merancang untuk ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib dalam seminggu dua lagi. Untuk pengembaraan kali ini, dia merancang untuk tinggal selama dua bulan di sana.

"Tak mengapa. Asalkan arca Tuan ada pembelinya, Tuan boleh datang bila-bila masa untuk mengambil bayaran." Lelaki itu mengangguk.

Yale berkerut. "Hrm? Apa yang berlaku ini? Seingat saya, sebelum kamu menerima apa-apa arca, kamu akan memeriksa terlebih dahulu kandungan dalam kotak kayu. Kenapa kamu tak buat sebarang pemeriksaan kali ini?"

Lelaki itu menjawab, "Kami memeriksa kandungan dalam kotak kayu kerana kami khuatir pengukir akan menghantar arca yang sudah rosak. Jika kami tak dapat mengesan kerosakan itu, mereka akan mendakwa kerosakan itu dilakukan oleh galeri dan cuba memeras ugut kami. Namun begitu, memandangkan tiga arca ini telah dihantar oleh Tuan Linley dan Tuan Muda Yale, saya tak risau. Saya yakin orang seperti Tuan Yale tak akan berbuat perkara terkutuk seperti itu."

Lelaki pertengahan umur itu tahu apa yang dia lakukan.

Siapa Yale?

Memeras ugut Galeri Proulx? Hasil peras ugut yang Tuan Yale akan dapat tidak akan cukup untuk menjadi duit kecilnya. Sementara itu, Linley, pengukir arca-arca ini ialah salah seorang daripada Dua Genius Terhebat Institut Ernst. Mana mungkin orang seperti mereka akan merendahkan maruah diri untuk berbuat sebegitu?

Hari bertukar malam. Di jalan Kota Fenlai Timur, di Lebuh Pavilion Harum. Tingkat tiga bangunan Syurga Air Jed. Linley dan tiga sahabatnya berada di dalam bilik mereka.

Suasana malam di Bandar Fenlai sentiasa sibuk.

Akan tetapi, malam dalam Syurga Air Jed lebih meriah kerana inilah waktu kemuncak kesibukannya. Ketawa manja yang tidak putus-putus dari para gadis boleh didengari dari setiap pelusuk tempat itu. Sementara hilai tawa garau para lelaki turut sama bertanding dalam membingitkan suasana. Dalam sebuah bilik peribadi, empat sahabat bersaudara itu minum sambil bersembang kosong. Setiap seorang daripada mereka diapit dengan gadis cantik berkulit halus.

"Bro Kedua, Bro Ketiga, saya nak tidur dulu. Bro Keempat pun sama. Kamu berdua…" tangannya merangkul seorang gadis berambut panjang dan hijau. Nafas Yale kuat berbau arak.

"Cukuplah itu, Bos Yale. Berhenti bercakap, okey?" Linley memintas kata-kata Yale.

Yale dan Reynolds bertukar pandangan, kemudian melihat ke arah Linley dan George dengan pandangan yang penuh makna. Kemudian, Yale dan Reynolds membawa pasangan masing-masing keluar dari bilik peribadi itu. Sejak dua tahun lepas, Linley dan kumpulannya kerap datang ke sini.

Selalunya, Yale dan Reynolds akan beredar untuk bergembira sementara Linley dan George hanya akan minum sambil berbual dengan gadis-gadis di situ.

"Tuan Muda Linley, sudah dua tahun kita kenal, tapi kamu…" kata gadis berambut hijau di sisi Linley dengan tidak gembira.

Linley dapat merasakan kepalanya akan sakit.

"Ira [Ai'la], jika kamu penat, kamu boleh balik dulu dan berehat. Saya jamin bila masa sudah tamat, bayaran kamu tak akan kurang walaupun sekeping syiling tembaga." Linley tiada pilihan selain daripada menjawab dengan kasar. Gadis bernama Ira itu tidak lagi berani bersuara. Memang pelik untuk seseorang datang ke Syurga Air Jed hanya untuk minum.

Satu cahaya putih terpancar dari Cincin Naga Pusar dan berubah menjadi Doehring Cowart.

Doehring Cowart memandang Linley sambil tersenyum nakal. Dengan nada bergurau, dia berkata, "Hei Linley. Kenapa berwajah muram di hadapan gadis seperti ini? Walaupun Atuk seorang ahli sihir Agung tahap Dewa yang dihormati, tapi Atuk hanyalah roh tanpa jasad sekarang. Atuk tak boleh sentuh perempuan, walaupun Atuk mahu. Dan kamu, budak tak bersyukur, boleh cakap begitu?"

"Atuk Doehring." Linley berkerut tidak gembira sambil bercakap dengan Doehring Cowart dalam mindanya.

Doehring Cowart memuncungkan bibirnya. "Kamu tak pernah merasa nikmat seorang wanita. Jika pernah, kamu tak akan berkelakuan seperti ini."

Linley mengangkat kepalanya dan memandang ke luar tingkap, tidak lagi memberi perhatian kepada si tua gatal Doehring Cowart. Udara sejuk yang menghembus ke wajahnya membantu dirinya untuk bertenang.

'Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Bagaimana keadaan di dalamnya?'

Dalam satu atau dua minggu, Linley akan memulakan perjalanannya. Linley telah mendengar pelbagai legenda berkenaan Banjaran Gunung Makhluk Ajaib di Institut Ernst. Doehring Cowart juga ada menceritakan kepadanya serba sedikit. Oleh itu, Linley hanya ada imaginasi sendiri untuk membantunya membayangkan keadaan di dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib itu nanti.

'Kita akan pergi dalam masa seminggu.'

Merenung ke luar jendela sambil melihat pemandangan langit malam yang tiada penghujung, Linley membuat keputusan.

次の章へ