webnovel

Siapakah di Tangga Teratas? (Bahagian 2)

編集者: EndlessFantasy Translation

Sekarang, Linley hampir mencapai kemuncak tahap kedua kekuatan seorang pahlawan. Memandangkan kekuatan pahlawan biasa tahap pertama sudah cukup untuk mengangkat objek seberat seratus paun, pahlawan tahap kedua sepatutnya dapat melempar sekurang-kurangnya objek seberat seratus paun.

"Kamu…" *huk, huk* Rand memegang lehernya dan batuk beberapa kali. Dia kemudian merenung Linley dengan tajam. "Kamu… Kamu betul-betul…"

"Bagus!" Yale tiba-tiba menjerit dengan kuat, wajahnya sangat gembira. "Lega sungguh rasanya. Bro Ketiga, saya tak sangka kamu sekuat ini!"

"Badan budak itu agak kecil tetapi dia sangat kuat…"

Semua ahli sihir tahap kelima dan keenam yang berada di situ terkejut. Beberapa orang jurulatih sihir juga ada di hotel itu, dan mereka semua memandang Linley dengan riak terkejut.

Budak yang nampak seperti baru berusia 12 ke 13 tahun dengan bersahaja menghumban seseorang seberat 90 paun dengan sebelah tangan.

Tambahan pula, anak muda itu merupakan seorang ahli sihir!

"Hei Rand, bukankah tadi kamu berlagak yang kamu pelajar terbaik gred satu?" Yale mengejek.

Wajah Rand merah padam dan hatinya dipenuhi dengan perasaan marah dan juga malu. Dia memandang Liley dan menempelak, "Kamu! Kamu ahli sihir? Jika kamu benar-benar berkebolehan, lawan saya menggunakan sihir. Begini sikap kamu? Ahli sihir yang dipandang mulia menggunakan kemahiran pahlawan yang berstatus rendah." Rand dikuasai rasa marah dan malu. Dia baru dinobatkan sebagai pemenang kejohanan tahunan kategori pelajar gred satu tetapi apabila Linley menyambar lehernya dan mengangkatnya ke udara tadi, dia diselubungi suatu perasaan nyawanya kini berada di tangan orang lain.

"Betul itu. Jika kamu berkebolehan, bertandinglah menggunakan sihir! Adakah kamu benar pelajar Institut Ernst?" Rakan-rakan Rand yang berada hampir di situ segera menyuarakan sokongan mereka.

Sebenarnya, di sebalik semua itu, hati mereka bertiga dicengkam ketakutan terhadap Linley. Kekuatan yang baru sahaja ditunjukkan oleh Linley mengejutkan mereka.

"Sihir?"

Reynolds ketawa terbahak-bahak lalu berkata dengan nada angkuh, "Rand, adakah kamu benar-benar percaya hanya kerana kamu menang tempat pertama dalam kejohanan gred satu, kamu sememangnya pelajar paling kuat gred satu? Jangan bermimpi. Tangga pertama pelajar gred satu dipegang oleh Bro Ketiga asrama kami. Kamu? Sila ke tepi."

"Bro Ketiga, tunjukkan kepada mereka kuasa kamu." Yale mendesak Linley.

George baru sahaja ditengking oleh Rand, jadi dia tiada hati untuk memberi muka kepada Rand sekarang. "Rand, mari saya beritahu sesuatu. Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Ramai pakar institute kita langsung tak sudi mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut. Jangan yakin sangat kamu seorang yang istimewa."

Wajah Rand nampak semakin hodoh.

"Kamu akan tahu kebenarannya selepas pertarungan. Rand, bertarunglah dengan mereka." Pelajar gred kelima dan keenam berkata sambil ketawa. Mereka melihat pertengkaran antara pelajar-pelajar gred satu itu sebagai satu hiburan.

Rand baru berusia 10 tahun dan dia digelar seorang genius sejak kecil lagi.

Tambahan pula, dia antara yang menduduki tangga teratas di Institut Ernst. Dia langsung tidak pernah dimalukan sebegini rupa.

"Tangga pertama?" Rand bertegas. "Tangga pertama bukan sesuatu yang boleh diakui begitu saja. Ia diperoleh melalui pertandingan. Jika kamu berkebolehan, marilah bertarung dengan saya." Rand sangat yakin dengan kebolehan sihirnya. Lagipun, dia telah memenangi kejohanan tahunan kategori pelajar gred satu."

"Hei, mengapa pengurus hotel tak cuba untuk menenangkan keadaan?" Ada beberapa orang yang menyaksikan semua ini berasa terkejut dan tertanya-tanya.

Sebenarnya, pengurus Hotel Huadeli berdiri jauh dari situ dan tidak mahu masuk campur dalam pertikaian tersebut.

Kerana dia kenal beberapa orang pelajar itu.

Selain daripada mereka merupakan pelajar di Institut Ernst, disebabkan status pelajar-pelajar tersebut, dia tidak mahu menaikkan kemarahan mereka. Terutamanya… Yale.

"Tuan Muda Yale ada di sini? Ugh...lantaklah. Dia boleh buat apa yang dia mahu. Sungguhpun dia musnahkan hotel ini, itu bukan urusan saya." Pengurus hotel itu menggosok muka dan menggelengkan kepalanya, tidak berdaya. Dia tidak berani menyinggung perasaan Tuan Muda Yale.

Lebih-lebih lagi apabila dia memasuki Institut Ernst, status Yale dalam keluarganya juga turut meningkat.

"Benar kata kamu. Tangga pertama bukan sesuatu yang diakui oleh diri sendiri. Ia dimenangi." Linley juga turut berdiri, wajahnya dingin memandang Rand. "Rand, jika kita benar-benar mahu melibatkan diri dalam pertarungan magik, mari kita jadikan ia lebih menarik. Jika kamu menang, apabila kita terserempak pada masa akan datang, saya akan mengikut laluan jauh dan akan mengelak daripada bertembung dengan kamu. Jika saya menang, kamu perlu lakukan perkara yang sama."

Rand mencemuh, "Itu yang kamu panggil menyeronokkan? Apabila orang yang kalah bukan sahaja dia perlu mengambil jalan yang jauh jika bertemu dengan pemenang, tetapi dia juga perlu memberinya 100 keping syiling emas. Bagaimana?"

Linley berkerut.

100 keping syiling emas?

Dia hanya mempunyai 100 syiling emas setiap tahun untuk kos sara hidup. Dia tidak kaya seperti sesetengah orang.

"Haha! Rand, hanya 100 syiling emas? Tidakkah kamu malu menyebut angka itu? Apa kata, siapa yang kalah harus membayar 10 ribu syiling emas. Setuju?" Yale yang berada berhampiran berkata dengan kuat.

"10 ribu syiling emas?

Ramai pelajar di dalam hotel itu menarik nafas berat apabila mendengarnya. 10 ribu syiling emas bukan jumlah yang sedikit. Hanya ada beberapa orang pelajar yang berada di hotel itu yang mungkin mampu menyebut jumlah sebanyak itu dengan bersahaja.

"10 ribu syiling emas?" Rand tidak dapat menahan hatinya daripada berdebar.

Walaupun puaknya besar, setiap tahun, dia hanya menerima 3000 syiling emas untuk kos sara hidupnya. Dia tidak berbelanja di Hotel Huadeli pada setiap hari. Dia datang ke hotel hari ini pun untuk menyambut kejayaannya sebagai pemenang pertama dan Rickson di sebagai pemenang ketiga dalam kejohanan tahunan.

"Haha, kamu tak berani?" Yale mengeluarkan sekeping kad ajaib dan melambai-lambaikannya sambil bercakap.

"Rand, terima tawaran dia," kata Rickson. "Kita berempat mampu mengumpul 10 ribu syiling emas itu. Saya enggan percaya budak kecil yang datang entah dari mana ini mampu melawan kamu."

Rand dan tiga sahabatnya saling bertukar pandangan.

"Setuju! 10 ribu syiling emas!"

Rand mengumumkannya lalu mencemuh Linley, "Mari pergi. Tempat ini terlalu kecil. Kita pergi ke arena di mana kejohanan diadakan. Jika kamu berani, ikutlah saya!" Selepas bercakap, Rand dengan angkuhnya meninggalkan hotel diikuti tiga orang sahabatnya.

"Jom pergi." Mata Yale bersinar.

Reynolds dan George turut teruja. Linley juga mengangguk tenang sambil ketawa kecil, "Ada orang mahu beri kita 10 ribu syiling emas? Mana mungkin kita menolak?"

Linley, Yale, Reynolds, dan George meninggalkan hotel itu dan menuju ke arena.

Keseluruhan hotel menjadi riuh. Pertempuran dengan taruhan 10 ribu syiling emas ialah sesuatu yang jarang dapat dilihat oleh sesiapa termasuk pelajar gred enam. Apa yang lebih menarik, pertarungan tersebut melibatkan Rand, pelajar yang baru sahaja memenangi kejohanan tahunan kategori gred satu, dan seorang budak misteri yang tidak dikenali sesiapa.

Orang ramai segera membayar bil mereka dan turut menuju ke arena.

Lantai arena itu diperbuat daripada batu kapur yang sangat kukuh.

Pada ketika itu, Rand dan Linley berdiri di sudut berbeza di ruang pertarungan arena.

Di bawah ruang pertempuran terangkat, terdapat sekumpulan besar penonton. Tambahan pula, waktu tersebut ialah waktu makan malam Oleh sebab itu, dalam perjalanan dari Hotel Huadeli, seorang menjadi 10 orang dan 10 orang menjadi 100 orang. Dalam masa yang singkat, sekumpulan besar orang telah berkumpul. Pertempuran mengujakan yang melibatkan pertaruhan sebanyak 10 ribu syiling emas itu menarik perhatian ramai orang.

Melihatkan ramai orang yang datang dan betapa riuhnya suasana, terbit keyakinan di wajah Rand.

"Hari ini, saya akan bertempur dalam pertarungan magik dengan budak bernama Linley ini. Orang yang kalah akan membayar 10 ribu syiling emas dan perlu mengelak daripada pemenang pada masa akan datang. Para hadirin sekalian, sila menjadi saksi saya," umum Rand. Dia sangat suka apabila dirinya menjadi perhatian ramai. Dia langsung tidak berasa gugup di atas pentas.

Banyak sorakan serta-merta bergema dari bawah. Semasa kejohanan tahunan berlangsung, Rand mempunyai ramai penyokong, sebaliknya, tidak ramai yang menyokong Linley.

Tetapi Linley hanya berdiri dengan tenang di ruang pertarungan.

"Sudah habis berucap?" Linley berkata dengan tenang.

Rand tersenyum angkuh. "Mari kita mulakan."

Hampir serentak Rand dan Linley mula membaca mantera secara berulang-ulang. Oleh sebab mereka berdua ialah sihir tahap kedua, mereka hanya menggunakan mantera tahap pertama dan kedua yang amat mudah dibaca. Semuanya terdiri daripada satu ke dua patah perkataan sahaja.

*Wooshh!*

Tujuh bilah angin yang tajam muncul dan menuju tepat ke arah Rand.

"Ahli sihir tahap kedua?" Penonton yang berpengalaman segera mengetahuinya.

Namun begitu, Rand juga membebaskan mantera pada masa yang sama. Lima bebola api merah sepang dilontarkan terus ke arah Linley. Malangnya, bilah-bilah angin Linley lebih pantas daripada bebola api itu, jadi Rand terpaksa mengelak dalam keadaan kelam-kabut. Sebaliknya, Linley dengan tenang mengelak bebola api itu dan pada masa yang sama, bibir Linley masih terkumat-kamit membaca mantera keduanya.

Gaya sihir tanah – Gegaran Bumi!

*Deram-derum*

Rand merasakan batu kapur di bawah kakinya mula bergegar dengan kuat. Disebabkan situasi itu, Rand tidak dapat menumpukan perhatian untuk membaca mantera. Tidak lama selepas itu, Linley melepaskan mantera ketiganya dan lima biji batu sebesar penumbuk dilontarkan dengan pantas ke arah Rand.

Rand tidak dapat berpijak dengan kukuh di atas tanah yang bergegar. Dia hanya mampu mengelak dua biji batu itu walaupun sipi-sipi.

*Gedebuk*

Sebiji batu menghentam perut Rand, serta-merta menyebabkannya memuntahkan darah segar. Rand bergegas menggunakan lengannya untuk melindungi dadanya. Dua lagi bunyi kuat kedengaran seraya tercampak Rand ke luar arena, badannya dipenuhi debu.

"Pertarungan magik, kemenangan milik Linley!

Linley dengan tenang memandang Rand. Linley sangat jelas akan serangan yang digunakannya. Selepas satu bulan masa pemulihan, Rand akan pulih seperti sediakala. Jika Linley memutuskan untuk bertindak kejam, dia boleh sahaja mengarahkan batu-batu itu ke kepala Rand yang besar kemungkinan akan menamatkan riwayat hidupnya.

"Ahli sihir dua unsur tahap kedua. Ada seseorang semahir itu dalam kalangan kita pelajar gred satu?"

Para pelajar gred satu melahirkan rasa terkejut mereka. Kemunculan ahli sihir tahap kedua dalam kalangan pelajar gred satu ialah sesuatu yang jarang berlaku, apatah lagi ahli sihir dua unsur yang pastinya menjadi pelajar paling kuat dalam kalangan mereka.

"Budak ini sangat mahir dalam mengawal daya sihirnya dan pergerakan badannya sangat lincah."

Beberapa pelajar gred lima dan enam agak terkejut. Tatkala berhadapan bebola api sebentar tadi, Linley mampu mengelaknya sambil meneruskan pembacaan manteranya. Itu membuktikan kelincahan Linley.

"Haha, Rand adakah kamu fikir kamu nombor satu? Orang ketiga dalam bilik kami, hanya menggunakan sihir, dengan mudah dapat menewaskan kamu." Yale ketawa dengan kuat.

*Huk, huk.* Rand berdiri memegang dadanya.

Jauh di sudut hatinya, Rand sedar Linley telah menunjukkan belas kasihan terhadapnya.

"Yale, esok bawa Linley. Kita akan sama-sama pergi ke cawangan tempatan Bank Emas Empat Empayar untuk memindahkan wang. Sepuluh ribu syiling emas. Saya berpegang kepada kata-kata saya." Rand memandang ke arah Linley jauh di sudut sana. Kekalahan di tangan Linley telah menyedarkan Rand daripada keangkuhannya yang menganggap dirinya sebagai genius.

Sungguhpun seseorang itu berbakat tetapi jika tidak memiliki kekuatan, dia pasti akan tewas di tangan orang lain!

"Linley, terima kasih!" kata Rand sambil menunduk menyebabkan Yale dan lain terkejut. Selepas itu, Rand merenung tajam Linley dan berkata dengan tegas, "Tetapi suatu hari nanti, saya tetap akan menewaskan kamu."

Kemudian, Rand sambil memegang dadanya meninggalkan arena dengan bantuan rakan-rakannya dan terus kembali ke kediamannya.

"Linley, kamu sangat hebat. Kamu buat kita semua terkenal!" Reynolds segera berlari dan memeluk Linley yang baru melangkah keluar dari arena.

Linley melihat kawasan sekelilingnya.

Ramai orang yang memandang ke arahnya dan bercakap tentangnya. Kebanyakan orang yang berbakat di Institut Ernst telah menjadi terkenal. Tiada siapa yang menyangka seorang individu akan muncul dalam kalangan pelajar gred satu dan dengan mudah menewaskan Rand, pemenang kejohanan tahunan.

"Hai Linley, nama saya Danni (Dan'ni), ahli sihir unsur air tahap pertama. Gembira bertemu dengan kamu." Seorang gadis tinggi lampai berambut perang keemasan secara tiba-tiba menghampiri dan berkata kepada Linley sambil tersenyum.

"Hai, nama saya Linley." Linley tidak gemar bercakap dengan orang yang tidak dikenali. "Maaf, saya perlu menjalani latihan dan memasuki tafakur sawai sekarang."

Selepas berkata, Linley berkomunikasi dengan tiga sahabatnya melalui lirik matanya. Yale dan yang lain tahu apa yang difikirkan Linley. Mereka berempat segera beredar tanpa menghiraukan orang di sekeliling mereka, meninggalkan gadis bernama Danni yang berwajah masam.

次の章へ