webnovel

Makhluk Ajaib, Tikus Bebayang

編集者: EndlessFantasy Translation

'Makhluk ajaib 'Tikus Bebayang'? Atuk Doehring, apakah keistimewaan yang dimiliki oleh Tikus Bebayang ini dan apakah tahapnya dalam kalangan makhluk ajaib?' Linley dan Doehring berinteraksi di dalam minda tetapi dalam masa yang sama, Linley merenung ke arahnya dalam keterujaan.

Doehring Cowart tersenyum. Dia berpura-pura teragak-agak buat seketika sebelum berkata, 'Makhluk ajaib Tikus Bebayang sukar untuk dikategorikan kepada tahap-tahap tertentu. Hal ini demikian kerana ia mewakili seluruh bangsa tikus. Antara makhluk jenis tikus, terdapat dua jenis yang utama iaitu Tikus Pemakan Batu dan juga Tikus Bebayang. Kedua-dua jenis tikus ini omnivor. Mereka boleh makan apa saja, tak kira batu, tulang ataupun daging.'

Linley mengangguk di dalam mindanya.

Sebentar tadi, dia telah melihat Tikus Bebayang itu menggigit batu.

'Makhluk ajaib dibahagikan kepada sembilan tahap. Makhluk ajaib tahap pertama yang paling lemah. Makhluk ajaib tahap sembilan ke atas tentulah makhluk ajaib tahap Dewa!' Doehring Cowart tersenyum kepada Linley. 'Linley, Tikus Pemakan Batu yang paling lemah adalah Tikus Pemakan Batu Kelabu. Tikus Pemakan Batu tahap pertama hingga ketiga kesemuanya berwarna kelabu dengan sedikit perbezaan pada ronanya. Apabila Tikus Pemakan Batu mencapai tahap keempat, bulunya akan bertukar kepada warna perak tulen. Apabila mencapai tahap ketujuh, bulunya akan bertukar menjadi keemasan! Tikus Pemakan Batu Emas sekurang-kurangnya makhluk ajaib tahap ketujuh dan paling tinggi tahap kelapan.'

'Linley, bangsa Tikus Pemakan Batu ini merupakan bangsa yang sangat menakutkan. Sebab utamanya jumlahnya yang besar dan gigi yang sangat tajam, jauh lebih tajam daripada bangsa Tikus Bebayang. Apabila kumpulan besar Tikus Pemakan Batu ini muncul, tentera seramai ratusan ribu orang pun tentu dapat bertahan.' Doehring Cowart mengeluh sambil bercakap.

Doehring Cowart teringat kembali bencana yang pernah disaksikannya.

Tikus Pemakan Batu ini tidak sepantas Tikus Bebayang tetapi badannya keras dan tahan lasak seperti keluli. Semakin tinggi tahapnya, semakin kuat badannya dan semakin tajam giginya. Badannya nampak kecil tetapi dalam jumlah yang besar, tikus ini sungguh menggerunkan.

'Senjata yang digunakan kebanyakan askar tidak mampu membunuh seekor Tikus Pemakan Batu tetapi ia dengan mudah dapat membunuh dan memakan seorang askar.' Doehring Cowart sekali lagi mengeluh.

Dalam imaginasi Linley, dia membayangkan sejumlah besar Tikus-tikus Pemakan Batu keluar daripada hutan belantara atau pergunungan membanjiri dan menyerang seangkatan tentera manusia. Membayangkan kebanjiran Tikus Pemakan Batu melahap seluruh angakatan tentera, hati Linley menggigil.

Sangat menakutkan.

'Antara dua bangsa tikus ini, Tikus Pemakan Batu mempunyai pertahanan yang kuat, gigi yang tajam dan jumlah yang besar. Tetapi Tikus Bebayang? Jumlahnya juga agak besar tetapi tidak sebesar Tikus Pemakan Batu.' Doehring Cowart kelihatan seperti ensiklopedia, sangat bijaksana dan berpengetahuan.

'Tikus Bebayang pula? Adakah Tikus Bebayang kuat?' Linley bertanya.

Ada seekor Tikus Bebayang berada tidak jauh daripadanya. Sememangnya, Linley ingin tahu lebih banyak tentang kekuatannya.

'Tikus Pemakan Batu paling lemah merupakan makhluk tahap pertama. Berbeza dengan Tikus Bebayang! Tikus Bebayang paling lemah ialah makhluk ajaib tahap ketiga, berbulu hitam berkilat. Apabila seluruh bulunya bertukar menjadi biru, itu merupakan petanda ia telah mencapai tahap kelima. Dan apabila bulunya bertukar violet, ini bermakna ia telah mencapai tahap ketujuh atau paling tinggi tahap kelapan.' Penjelasan Doehring Cowart jelas dan tepat.

Linley mengangguk.

Berdasarkan potensi kuasa, Tikus Bebayang tiada kurangnya berbanding Tikus Pemakan Batu.

'Atuk Doehring, berdasarkan apa yang Atuk katakan, Tikus Bebayang tahap ketiga dan keempat mempunyai bulu berwarna hitam pekat. Hanya selepas mencapai tahap kelima barulah bulunya bertukar menjadi warna biru. Jika begitu, maksud Atuk haiwan kecil itu makhluk ajaib tahap ketiga ataupun keempat?' Linley masih memiliki banyak persoalan.

'Tikus Bebayang warna hitam ini bukan tikus biasa.'

Doehring Cowart berkerut sambil menyambung. Tikus Pemakan Batu terkenal dengan kekuatannya dan ketajaman giginya manakala Tikus Bebayang terkenal akan ketangkasan dan juga ketajaman giginya! Kepantasan merupakan cara yang baik untuk menentukan kekuatan mana-mana Tikus Bebayang.

Pergerakan Tikus Bebayang itu sangat pantas, puluhan meter dalam sekelip mata. Tetapi memandangkan ia Tikus Bebayang, mungkin itu bukan sesuatu yang luar biasa. Linley masih teringat pergerakannya dengan jelas.

Doehring Cowart mengangguk. Tikus Bebayang sememangnya sangat pantas tetapi untuk bayi Tikus Bebayang mencapai kelajuan seperti Tikus Bebayang dewasa ialah sesuatu yang sangat luar biasa. Doehring Cowart tersenyum nipis.

'Luar dari kebiasaan?' Linley memandang ke arah Doehring Cowart.

Doehring Cowart menyambung, 'Benar. Jika bayi Tikus Bebayang sudah mencapai kelajuan seperti Tikus Bebayang dewasa tahap keempat, ini bermakna apabila ia dewasa, kemungkinan besar ia akan menjadi Tikus Bebayang Violet tahap ketujuh. Atuk rasa mungkin bayi Tikus Bebayang itu anak Tikus Bebayang Violet.'

'Anak kepada Tikus Bebayang Violet?' Linley bertanya. 'Tetapi bulunya berwarna hitam.'

Doehring Cowart ketawa. '"Linley, Tikus Bebayang Violet dan Biru, apabila lahir semuanya berwarna hitam. Apabila kekuatan mereka bertambah, barulah warna bulu mereka akan bertukar! Warna bulu ialah bukti kekuatan mereka!'

Linley kini faham. 'Oh, begitu!'

'Atuk Doehring, berdasarkan apa yang Atuk katakan, Tikus Bebayang ini sangat pantas! Tikus Bebayang di hadapan saya ini cuma pantas sedikit daripada Pak Cik Hillman tetapi Atuk kata ia menyamai Tikus Bebayang tahap keempat. Bagi makhluk ajaib tahap keempat tetapi lebih pantas daripada pahlawan tahap keenam…' Linley tidak dapat menahan dirinya daripada melahirkan rasa kagum.

Doehring Cowart ketawa. 'Linley, jika mereka tidak pantas, mengapa mereka digelar Tikus Bebayang?'

Pada tahap kekuatan yang sama, larian Tikus Bebayang sangat pantas, lebih pantas daripada pahlawan manusia.

'Tikus Bebayang merupakan makhluk ajaib yang jarang ditemui terutamanya Tikus Bebayang Violet tahap ketujuh. Ramai ahli sihir yang mahu memilikinya namun Tikus Bebayang Violet ini terlalu pantas. Tikus Bebayang Violet dewasa sangat bernilai tetapi amat sukar ditangkap dan dijinakkan. Bayi Tikus Bebayang Violet lebih mudah ditangkap dan dijinakkan tetapi bayi Tikus Bebayang Violet ini amat sukar ditemui.' Doehring Cowart senyum sambil memandang Linley.

Linley dapat membayangkan semua itu.

Tikus Bebayang Violet merupakan makhluk ajaib sekurang-kurangnya di tahap ketujuh. Ini bermakna, paling kurang tahap kuasanya sama seperti naga Veloci.

'Linley, Tikus Bebayang Violet ini boleh dikatakan raja kepada segala tikus, dan boleh boleh memerintah sekumpulan besar Tikus Bebayang. Walaupun jumlah Tikus Bebayang tidak sebanyak Tikus Pemakan Batu tetapi mereka masih boleh dikatakan banyak. Oleh hal demikian, bayi Tikus Bebayang Violet akan dilindungi oleh banyak Tikus Bebayang dewasa.'

Doehring Cowart mengerling ke arah Tikus Bebayang yang di kejauhan itu. Ia masih mengunyah beberapa ketulan batu.

'Untuk memiliki kekuatan seperti ini pada usia yang masih muda, lapan atau sembilan daripada sepuluh, bermakna Tikus Bebayang itu merupakan bayi Tikus Bebayang Violet. Atuk tertanya-tanya bagaimana dia boleh masuk ke dalam manor kamu tanpa pengawasan daripada seekor pun Tikus Bebayang dewasa.' Doehring berkata penuh kehairanan.

Linley juga bersetuju dengan kata-kata Doehring Cowart.

'Linley.' Doehring Cowart tiba-tiba memandang Linley dengan pandangan yang aneh. Suaranya sedikit teruja apabila berkata, 'Tidak kiralah mengapa bayi Tikus Bebayang Violet itu ada di sini... mahukah kamu mengambilnya sebagai peneman kamu? Tikus Bebayang membesar dengan cepat terutamanya Tikus Bebayang Violet. Dalam masa sepuluh tahun, kitaran tumbesarannya sudah selesai. Ketika itu, kamu akan mempunyai makhluk ajaib tahap ketujuh sebagai peneman, atau mungkin tahap kelapan.'

Mendengarkan kata-kata Doehring, hati Linley berdebar.

Menjinakkan makhluk ajaib tahap ketujuh dan kelapan amat sukar. Tetapi menjinakkan bayinya jauh lebih mudah.

Tidak semua bayi makhluk ajaib sama. Sesetengahnya membesar dengan cepat manakala ada yang membesar dengan perlahan. Dalam kalangan makhluk ajaib spesies naga, ada sesetengahnya yang mengambil masa sehingga seribu tahun untuk menjadi dewasa. Kebanyakan manusia tidak berupaya untuk menunggu selama itu. Tikus Bebayang merupakan salah satu makhluk ajaib yang membesar dengan pantas.

Bertemu dengan bayi Tikus Bebayang Violet ialah sesuatu yang sangat jarang berlaku.

Lagipun, semakin tinggi kuasa sesuatu makhluk ajaib itu, semakin kuat naluri untuk melindungi anaknya. Walaupun mereka tidak tahu mengapa bayi Tikus Bebayang Violet itu berada di dalam manor ini, tidak dapat dipertikaikan ia berada di sini keseorangan.

'Linley, memiliki Tikus Bebayang Violet sama seperti memiliki sebuah tentera Tikus Bebayang!' Doehring Cowart senyum ke arah Linley. 'Inilah sebabnya mengapa Tikus Bebayang Violet ini lebih berharga daripada makhluk ajaib tahap ketujuh atau kelapan lain.'

Doehring Cowart cuba mempengaruhi Linley.

Bagaimana mungkin Linley yang berusia tujuh atau lapan tahun menolak?

'Atuk Doehring, bagaimana saya boleh menjinakkan bayi Tikus Bebayang Violet ini?' Linley memandang Doehring Cowart dengan teruja.

Doehring Cowart berasa sangat gembira. 'Jika si kecil Linley berjaya menjinakkan Tikus Bebayang ini, pada masa akan datang, hati saya akan lebih tenang.' Doehring Cowart tahu sebagai roh, dia tidak mempunyai daya sihir sendiri. Seorang Ahli sihir Agung tahap Dewa tanpa daya sihir, tidak memiliki banyak kebolehan serangan.

Dia langsung tidak mampu untuk melindungi Linley.

Tetapi selepas setengah tahun ini, dia sudah mula menganggap kanak-kanak berhati suci dan rajin ini sebagai cucunya. Sudah tentu dia ingin mencari jalan untuk meningkatkan kekuatan Linley.

'Linley, kamu mesti bertenang.' Doehring Cowart kata dengan serius. 'Walaupun Tikus Bebayang Violet ini masih bayi, ketangkasannya menyamai Tikus Bebayang dewasa tahap keempat. Pak Cik Hillman kamu pun tidak mampu untuk mengejarnya. Kamu tidak berupaya untuk menundukkannya secara paksa dan kamu tidak boleh menghasilkan formasi sihir pengikat jiwa.'

Linley terkejut.

Mindanya yang hangat berfikir kembali tenang. Sambil ketawa hambar, dia berkata, 'Sekarang saya sudah ingat. Untuk menjinakkan makhluk ajaib, cara pertama ialah menundukkannya secara paksa. Cara kedua pula dengan menggunakan formasi sihir pengikat jiwa, yang hanya boleh dihasilkan oleh magus tahap ketujuh.'

Linley tidak dapat menahan dirinya daripada berasa kecewa.

Malangnya, dia terlalu lemah. Walaupun dia bernasib baik untuk bertemu dengan bayi Tikus Bebayang Violet, namun dia tidak berupaya untuk menjinakkannya.

次の章へ