webnovel

Shurian

編集者: EndlessFantasy Translation

Zhang Yang dengan pantas menggunakan <Serangan >. Dia tidak menjangka yang pegunannya akan mengenai bos Perak Kelabu itu kerana dia sebenarnya hanya mahu mencapai aggro yang cukup untuk menarik perhatiannya. Jika ia mengambil keputusan untuk menyerang sesiapa selain tank, pemain itu pasti akan terbunuh! 

Selepas <Serangan > nya mengenai sasaran, Zhang Yang cepat-cepat menggunakan serangan normal dan mengaktifkan <Provokasi >.

'-310!'

'Kebal!'

Argh, <Provokasi > terhadap bos itu tidak menjadi kerana ia mempunyai pertahanan yang sangat kuat! Nilai pertahanannya kelihatan seperti melebihi 100 mata!

Zhang Yang kemudian menukar serangannya kepada <Pelumpuh Pertahanan> untuk menurunkan 50% pertahanannya dengan segera dan memberi peluang kepada ahli pasukannya untuk mengenakan kerosakan ke atasnya.

Pasukan itu sedar mereka perlu berusaha sehabis mungkin untuk membunuh bos itu dengan segera memandangkan antidot mereka mempunyai penggunaan terhad manakala bos itu mempunyai jumlah HP yang tinggi. Mereka perlu mengelak kemungkinan yang antidot itu akan hilang kesannya dan mereka akan terbunuh daripada kesan racun.

Shurian mengangkat pedangnya yang besar itu dan memegang perisainya. Penunggang tersebut dengan mudah mengerahkan kuda itu untuk berdiri di atas kaki belakangnya manakala kuda itu pula mendengus dengan garangnya!

Shush! Kriin… Penunggang itu mengheret pedangnya yang panjang di atas tanah dan menghayunnya ke arah Zhang Yang apabila ia mendekati Zhang Yang. Hayunannya terlalu pantas dan luas sehingga ia membuatkan Zhang Yang pasti yang dia tidak akan mengelak daripadanya lalu dia dengan segera mengaktifkan <Hadangan >.

"<Hadangan! >"

"-984!"

Apa yang memelikkan adalah Zhang Yang berjaya menghadang serangan itu, tetapi Drizzler yang berdiri di sebelahnya pula mengalami kerosakan teruk.

"Budak kecil, diri di belakang bos dan serangnya dari situ! Serangan bos ini ada kesan <Tempias >, jadi sesiapa yang berdiri dekat dengan sasarannya akan mengalami kerosakan yang sama!"

Drizzler segera akur dan melompat beberapa langkah ke belakang. "Ish! Tank noob! Sebab kau, aku diserang!"

"Hah!" Zhang Yang merengus. Dia terus menindih 5 lapisan <Pelumpuh Pertahanan> terhadap bos itu. Walaupun bos itu mempunyai 100 mata Pertahanan atau lebih daripada itu, serangan Zhang Yang telah meningkat dengan mendadak kerana tindanan 5 lapisan <Pelumpuh Pertahanan> serta <Mata Helang> akan mengabaikan pertahanan raksasa tersebut sepenuhnya.

"Tentangan yang sia-sia! Meraunglah dalam kesakitan dan kegelapan!" Shurian berkata dengan perlahan sambil menghayun pedangnya ke arah Zhang Yang.

Kadar tindak balasnya sangat laju tetapi, wataknya dalam permainan ini tidak dapat menyamai kelajuan sebenarnya. Hanya ada 50/50 kemungkinan yang dia boleh mengelak serangan pantas bos itu. Walaupun HPnya menurun mendadak seperti air paip, Si Salji sentiasa peka dalam memastikan Zhang Yang tidak terbunuh.

98%, 96%, 94%...

Bos tersebut mempunyai HP yang terlalu banyak. Walaupun dengan pengurangan perisainya, serangan hebat pasukan itu hanya mampu menurunkan HPnya sepantas pergerakan siput!

"Manusia bodoh! Berani kalian mencabar Shurian yang hebat ini? Matilah dengan Bayang Kedalaman Abis!" Shurian mengucapkan ucapan automatik sebaik sahaja HPnya menurun ke 90%. Ia telah memperolehi satu lagi kemahiran!

Shush! Sebuah tengkorak hitam keluar dari jasad bos tersebut dan mengenai Zhang Yang.

"-400!"

Zhang Yang dengan segera menyemak log pertarungan.

-Anda telah terkena kesan <Bayangan Maut>, mengalami 500 mata kerosakan Bayangan (100 mata ditolak daripada kerosakan).

"Tolonglah aku! Aku sudah tak mampu bertahan lagi!" Si Salji meraung dengan air mata yang bergenang di matanya. Tugasnya sudah cukup sukar dan ia bertambah sukar apabila bos tersebut memperolehi kemahiran baru. Nasib baik kadar pengaktifan kemahiran itu tidak terlalu kerap iaitu lebih kurang sekali setiap 10 saat, tetapi apabila terkumpulnya kerosakan teruk daripada serangan biasa dan <Bayangan Maut> bos itu, Si Salji tidak mampu mengendali kerosakan tersebut dan ini meletakkan Zhang Yang dalam keadaan bahaya.

89%, 87%, 85%!

"Datanglah kepadaku, makhluk suruhanku yang setia! Berkhidmat dan berbaktilah kepada satu-satunya tuanmu ini!" Shurian mengangkat pedangnya ke langit dan dua batang tiang bercahaya gelap terpancar daripada kedua-dua belah pedangnya.

'Ding! Shurian telah menyeru Makhluk Suruhan Maut!'

Dua raksasa Rangka merangkak keluar dari tanah dan meluru ke arah Shurian.

[Makhluk Suruhan Maut] (Normal)

Tahap: 25

HP: 3,000

"Ratusan Tembakan, Gemuk! Bunuh makhluk suruhan itu!" Zhang Yang memberi arahan.

Dia tidak pasti apa yang makhluk suruhan itu boleh lakukan, tetapi dia dia tidak akan hanya menunggu dan memerhati kerana mereka diseru sendiri oleh bos tersebut. Dia juga tidak berani menghantar Drizzler untuk bertarung dengan mereka kerana ada kemungkinan yang mereka akan meletup! 

Kedua-dua Pemburu menukar sasaran mereka dan setiap seorang menyerang makhluk suruhan itu setiap satu. Namun, dengan kuasa serangan yang terbahagi begitu, mereka mengambil masa lebih kurang 20 saat untuk membunuh makhluk yang mempunyai 3,000 HP itu. Terdapat sesuatu yang aneh tentang makhluk suruhan tersebut kerana walaupun mereka diserang, mereka mengabaikan penyerang tersebut dan terus berlari ke arah Shurian.

Bos itu tertawa kuat sambil menghayun senjata ke arah salah satu makhluk suruhannya lantas menjadikannya sebuah tiang bercahaya gelap. 

Shoom!

'+50,000'

Bos itu memulihkan HPnya ke 97%!

'Ding! Shurian telah menggunakan <Serapan Roh>, mengembalikan 50,000 HP!'

Bos itu menghayun pedangnya ke arah satu lagi makhluk suruhannya dan memulihkan diri sepenuhnya dengan satu lagi '+50,000'!

"Oh, jahanam!" pasukan itu berteriak.

"Tak mengapa, semua! Anggaplah ini permulaan semula!" Zhang Yang menerangkan.

"Bila Shurian seru makhluk suruhannya lagi, dua-dua Ratusan Tembakan dan Si Gemuk serang makhluk suruhan di sebelah kiri! Budak kecil, aku mahu kau guna <Serangan > ke atas makhluk suruhan yang sebelah kanan dan kawal ia sementara waktu! Ratusan! Gemuk! Kalau kau dah bunuh makhluk suruhan itu, cepat-cepat tolong Drizzler pula! Aku akan cuba sedaya-upaya tarik bos itu jauhi makhluk suruhannya dan beri kau semua masa dan ruang untuk bertarung dengan mereka!"

Zhang Yang berpaling mencari Si Salji dan berkata padanya, "Si Salji! Macam mana dengan mana kau?"

"Aku baik lagi! Aku masih ada 85%. Aku masih boleh bertarung dengan posyen mana!"

Apabila Paderi mencapai Tahap 20, mereka boleh mempelajari kemahiran <Meditasi > yang membolehkan mereka sentiasa mengembalikan Mata Mana mereka walaupun semasa pertarungan berjalan dan kadar pemulihan ini meningkat dengan nilai Semangat mereka. Si Salji mempunyai peralatan kedua terbaik dalam pasukan mereka dan hanya berada satu kedudukan di belakang Zhang Yang yang mempunyai peralatan terbaik. Kekuatannya sekarang boleh membuatkannya dengan mudah tersenarai sebagai Paderi terbaik di Istana Jed Putih.

98%, 95%, 90%... pasukan itu menyerang bos tersebut dengan perlahan-lahan dan berterusan dan sekali lagi menurunkan HPnya. 

"Datanglah kepadaku, makhluk suruhanku yang setia! Berkhidmat dan berbaktilah kepada satu-satunya tuanmu ini!" Shurian mengangkat pedangnya sekali lagi dan menyeru makhluk suruhan Rangkanya untuk membantunya.

'Ding! Shurian telah menyeru Makhluk Suruhan Maut!'

Dua makhluk suruhan muncul jauh di bahagian kanan dan kiri kawasan tersebut dan mula lari menghala ke tengah-tengah di mana Shurian berada. Ratusan Tembakan dan Han Gemuk cepat-cepat berpaling dan menyerang makhluk suruhan di bahagian kiri.

'<Tembakan Konkusi>!'

[Tembakan Konkusi]: Menyebabkan 100% kerosakan jarak jauh kepada sasaran dan mengurangkan 50% kelajuan pergerakan selama 4 saat.

Tempoh bertenang: 30 saat

Jarak: 30 meter

Kedua-dua Pemburu itu menembak seberapa banyak anak panah yang mereka mampu. 4 saat kemudian, Han Gemuk menembak satu lagi <Tembakan Konkusi> untuk terus memperlahankannya. Selepas tembakan kedua itu, raksasa tersebut kembali kepada kelajuan asalnya selama 3 hingga 4 saat sebelum ia akhirnya tewas. 

Zhang Yang berada di penghujung bahagian satu lagi lapangan itu untuk menarik dan memisahkan bos sejauh mungkin daripada makhluk suruhannya. Keadaan ketika itu genting, tetapi serta-merta kembali tenang selepas Drizzler dan kedua-dua Pemburu berjaya membunuh makhluk suruhan yang tinggal.

"Aw, bagus!" Mereka semua bersorak riang seperti telah memenangi pertarungan tersebut.

"Bagus, semua! Jangan berhenti! Teruskan lagi!"

84%, 80%, 75%!

Shurian menarik kudanya dan mengerahkannya untuk berdiri di atas kaki belakangnya. Ia kemudian menghunus pedangnya ke arah Ratusan Tembakan dan berkata, "Ratusan Tembakan! Tunduk pada tuanmu!"

'Ding! Pemain Ratusan Tembakan terkena kesan <Kawalan Bayangan>!'

Sebuah bayangan berbentuk rangka berwarna hitam terapung di belakang Ratusan Tembakan dan memaksa Ratusan Tembakan berpaling ke arah Han Gemuk dan menyerangnya.

"Bedebah! Apa pula ini?!" Han Gemuk ditembak bertubi-tubi seperti diserang lebah, tetapi dia tidak boleh membalas tembakannya dan sebaliknya hanya boleh menyerang bos tersebut sehabis dayanya.

"Aku dikawal!" Ratusan Tembakan menghantar pesanan di saluran pasukan.

Zhang Yang cepat-cepat membalas, "Tengok penerangan kemahiran! Ada tak had tempoh? Bolehkah ia dibatalkan?"

Satu-satu kemahiran akan tamat tempoh dan terbatal secara automatik sekiranya ada had tempoh, tetapi jika sebaliknya, pemain perlu membatalkannya dengan cara tertentu seperti membunuh sasaran atau menggunakan peralatan tertentu. 

"Zhan Yu! Ada had tempoh iaitu 15 saat! Ia tak boleh dibuang!"

Itu sesuatu yang bagus. 15 saat tidak terlalu panjang.

Zhang Yang meninggikan suaranya, "Si Salji, kau perlu menyembuhkan kami dengan lebih cepat! Kita ada pengkhianat di kalangan kita!"

Ratusan Tembakan ketawa, "Hei! Bukan salah aku!"

Dengan adanya musuh tambahan untuk ditangani, beban Si Salji berganda! Nasib baik Ratusan Tembakan yang dikawal itu tidak mempunyai sasaran tertentu dan hanya berpaling kepada seorang sasaran dan menyerang sebelum bertukar kepada sasaran yang lain. Si Salji hanya perlu menjampi <Pertumbuhan Semula> kepada mereka semua dan itu telah memastikan Ratusan Tembakan bukanlah ancaman buat mereka semua. Mereka juga bernasib baik kerana Ratusan Tembakan tidak bergabung dengan bos tersebut untuk menyerang Zhang Yang kerana dia pasti akan terbunuh dalam serangan hebat itu. 

Selepas jampi teruk itu dibacakan dan 15 saat berlalu, Ratusan Tembakan kembali pulih dan rentak serangan mereka kembali ke keadaan asal. 

72%, 71%, 70%...

"Datanglah kepadaku, makhluk suruhanku yang setia! Berkhidmat dan berbaktilah kepada satu-satunya tuanmu ini!" Shurian mengangkat pedangnya buat kali ketiga. Zhang Yang merumuskan bos itu hanya mengaktifkan kemahirannya itu dengan penurunan setiap 15% HPnya. 

Akur dengan rancangan tadi, Ratusan Tembakan dan Han Gemuk menyerang salah seekor raksasa sementara Drizzler menyerang seekor lagi dan pertarungan tersebut berjalan dengan lancar.

"Haha! Bos busuk yang mereput! Baik kau serahkan kuda kau yang hebat itu!" Pandangan Drizzler tertumpu kepada kuda yang dia sangat idam-idamkan itu.

Dua minit berlalu dan HP bos itu menurun ke 55%. Ia menyeru makhluk suruhannya sekali lagi, tetapi mereka berjaya dibunuh dengan cara yang sama.

"Kau semua, jangan leka dan cuai!" Zhang Yang cepat-cepat mengingatkam mereka apabila mereka kelihatan begitu teruja. "Bila HP bos ini mencapai 50%, aku pasti akan ada satu lagi kemahiran mengawal. Aku tak pasti kalau ada kemahiran hebat yang lain! Kita kena sentiasa berjaga-jaga!"

54%, 53%, 52%, 51%, 50%!

"Drizzler, tunduk padaku!" Shurian menghunus pedangnya ke arah Drizzler untuk menjampi kemahirannya. Ia kemudian turun daripada kudanya dan berteriak, "Rembulan Bayangan, bertarung bersamaku!"

"Shi ling ling…" kuda rangka itu mendengus dengan nafas yang aneh dan mengangkat kaki depannya lalu meluru ke arah Zhang Yang.

Rentak pertarungan kini berubah daripada 5 menentang 1 kepada 4 menentang 3!

次の章へ