Satu Lombong Tembaga Biasa muncul, tetapi Zhang Yang tidak dapat melombong kerana dia telah membuang kemahiran Melombongnya tadi, tetapi salah seorang antara mereka melombong mineral itu untuknya dan menyerahkannya kepada Zhang Yang. Seperti yang dipersetujui kedua-dua belah pihak tadi, Zhang Yang boleh memperolehi ketiga-tiga [Bijih Tembaga Biasa]. Ahli Asap Gurun Terpinggir tiada apa-apa bantahan tentang ini memandangkan satu-satunya sebab mereka berada di situ untuk mengumpulkan peralatan yang lebih baik.
Semasa Zhang Yang sedang mengetuai pasukan itu untuk memasuki ruang rahsia Momorermo, dia menerima satu pesanan peribadi daripada Han Gemuk. "Yang Kecil, tolonglah aku dalam Mod Sukar ni!" Zhang Yang terkejut dan membalas, "Apa yang kau buat di Mod Sukar tu?! Cepat naikkan tahap kau dan aku akan bawa kau mendapatkan pencapaian "Penyelesaian Pertama" dalam dungeon Tahap 20!"
Han Gemuk terus merayu, "Tolonglah? Aku tengah bawa gadis molek untuk dapatkan peralatan ni! Dua tank noob ni tak mampu lepasi bos pertama pun. Kami tiga kali tewas! Aku dah berjanji dengan dia ni, tolonglah datang dan tolong aku!"
"Tak guna, kau ni menggatal betul! Baik, tapi aku tengah nak menyerang dungeon ni dan dah nak bertarung dengan bos terakhir. Masukkan aku dalam pasukan kau selepas aku selesai!"
"Seperti yang dijangka, saudaraku. Aku tunggu kau!"
Zhang Yang menggeleng kepalanya dan mula menerangkan strategi bos kepada ahli pasukannya. Mereka mula bertarung dan dua kali ditewaskan, tetapi mereka akhirnya berjaya menyelesaikannya. Zhang Yang yang ingin cepat terus keluar daripada dungeon itu tanpa memeriksa hasil rampasan sejurus selepas bos itu dikalahkan. Dia keluar daripada pasukan Drizzler dan menghantar pesanan peribadi kepada Han Gemuk sebaik sahaja dia tiba di pintu masuk dungeon, "Baik, masukkan aku!" Tidak lama selepas itu, satu pelawaan untuk menyertai pasukan daripada seorang yang dia tidak kenali telah diterima.
'Ding! Pemain Pemain Pedang Naga mempelawa anda untuk menyertai pasukannya. Adakah anda menerima pelawaan ini?'
Zhang Yang menerima pelawaan dan menyertai pasukan dengan 10 orang ahli itu. Dia memasuki dungeon itu dan nampak 9 orang yang sedang menantinya di jalan masuk dungeon. "Tewas sekali lagi?" soal Zhang Yang. "Ya, semua salah noob ni!" herdik Han Gemuk. Pemain Pedang Naga mencelah, "Haha… pemain profesional dah sampai, kita boleh selesaikan dungeon ni. Jom!"
Zhang Yang memerhatikan pasukannya dan nampak dua orang gadis cantik yang berdiri di sebelah Han Gemuk yang nampak seperti mereka berusia 20an. Salah seorangnya kurus manakala yang seorang lain agak tembam dan mempunyai dada yang besar. Tag mereka bertulis 'Bunga Terapung' dan 'Burung Layang-layang Bulat', dan kedua-duanya pada Tahap 12 daripada persatuan yang sama bernama 'Bandar Terik'. Bunga Terapung adalah Paderi Elf dan Burung Layang-layang Bulat adalah Kesatria Suci Manusia. 'Rasanya mereka berdua nilah yang perlu dijaga.' Ia juga dapat dilihat yang ahli pasukan yang lain seperti burung yang berkumpul bersama. Selain Pemain Pedang Naga dan seorang Ahli Sihir lain yang dipanggil 'Zhou Tong, Penzalim Kecil', ahli pasukan yang lain semuanya gadis muda. Walaupun mereka tidak dapat menandingi kecantikan ahli 'Kemarahan Membara' yang semuanya terdiri daripada wanita, mereka semua mempunyai kecantikan masing-masing dan tiada kes 'dinosaur'. Pada peringkat terkini permainan video ini, bilangan pemain lelaki melebihi bilangan pemain perempuan, tetapi pasukan ini mempunyai ratio pemain yang aneh.
"Gemuk, yang mana gadis pilihan kau? Paderi tu atau Kesatria Suci tu?" soal Zhang Yang. "Kesatria Suci!" Han Gemuk tersipu-sipu malu dan berkata, "dan Paderi tu juga!"
"Gila. Kau ni memang menggatal!" marah Zhang Yang. "Macam mana rasanya bila ada dua orang yang diburu?"
"Aww, janganlah macam tu. Aku masih suci! Aku takkan buat benda-benda yang jijik!" Wajah Han Gemuk menunjukkan kejujurannya. "Aku cuma menghargai apa-apa nikmat yang aku boleh dapat! Yang Kecil, permainan realiti maya yang berkualiti tinggi ni memang mengagumkan. Rasa kulit di sini sama seperti dalam dunia realiti!"
"Sudahlah, kau memang lelaki miang!" marah Zhang Yang. Sambil mereka berbual dan berjalan, mereka akhirnya tiba di bos pertama, Cakar Hitam. "Jom!" Zhang Yang berkata dengan bersahaja sambil menghunus pedangnya dan meluru ke depan. Dengan peralatan dan kemahiran terkininya, dia sebenarnya mampu menyelesaikan Mod Sukar ini bersendirian. Dengan hayunan pedangnya, dia akhirnya berjaya menewaskan Cakar Hitam, bos pertama itu, dengan mudah.
Dalam statistik kerosakan pasukan itu, Zhang Yang menyebabkan kerosakan sebanyak 48% dan bersama Han Gemuk, mereka berjaya menyebabkan kerosakan sebanyak 78%. Mereka berdua sahaja sudah mampu untuk membunuh bos itu! Output kerosakan pasukan ini sangat teruk dan penyembuhan pula berterabur. Kedua-dua penyembuhnya mempunyai peralatan yang mencukupi, tetapi tidak mempunyai kuasa yang bersesuaian.
Sejurus selepas itu, Pemain Pedang Naga memulakan satu perbualan peribadi dengan Zhang Yang, "Zhan Yu! Ia satu penghormatan untuk bertemu kau!"
"Haha… tiada apa-apalah!" jawab Zhang Yang.
"Tolonglah sertai persatuan kami! Katakan saja berapa yang kau nak!"
'Nampaknya Pemain Pedang Naga seseorang yang kaya raya dan berkuasa.' Zhang Yang hanya tersenyum dan berkata, "Terima kasih, tetapi aku tak ada rancangan untuk sertai mana-mana persatuan buat masa ini." Pemain Pedang Naga tiba-tiba mengubah topik perbualan. "Si Kurus ni kawan kau, kan?" Zhang Yang pada mulanya keliru dengan soalan itu. Selepas menyedari yang dia merujuk kepada Han Gemuk, dia menjawab, "Ya!"
"Kawan kau ni dalam persatuan kami. Tak ada gunanya kalau bermain seorang diri! Sertai kami dan kita main permainan ini bersama-sama! Lebih ramai, lebih meriah, kan! Dalam persatuan kami, Bandar Terik, ada ramai gadis cantik dan kebanyakan mereka sanggup melayan sesiapa dalam mencari kenikmatan. Ala, kau tahulah macam mana!" Pemain Pedang Naga cuba untuk mengumpannya. Zhang Yang menoleh dan memerhati kedua-dua gadis yang langsung tidak meninggalkan sisi Han Gemuk, dan dia serta-merta faham maksud Pemain Pedang Naga apabila dia berkata "mencari kenikmatan". 'Apa bezanya mereka ni dengan pelayan yang lain?'
Betul tekaan Zhang Yang! Dalam dunia sebenar, Pemain Pedang Naga ialah pemilik satu pusat mengurut. Dia lebih dikenali sebagai 'Abang Naga' dan telah mengendali pusat mengurut itu bertahun-tahun lamanya. Dia memang betul-betul memperoleh pendapatan tetap dengan cara itu! Baru-baru ini, dia ditawarkan jawatan sebagai Timbalan Presiden Biro Keselamatan di Chang Cheng yang menyebabkan konflik dengan perniagaannya itu. 'Dia tiada sesiapa yang lain yang boleh menguruskan pusat mengurutnya, jadi bagaimana dia hendak meneruskannya?'
Timbalan Presiden itu mempunyai masalah dalam menjaga reputasinya yang akhirnya mempengaruhi perniagaannya. Dia tidak dapat meneruskan perniagaannya sejak itu dan akhirnya terpaksa menutup perniagaan. Namun, Abang Naga ini seorang yang bijak! Dia teringat yang anak saudaranya ada menyebut tentang pelancaran satu permainan video atas talian yang terkenal dengan ciri-ciri realiti maya yang berkualiti tinggi! Dia kemudian mencari maklumat tentang 'Keajaiban Tuhan' dan membeli dua topi keledar bermain permainan video untuk mencubanya. Dia kemudian menjalankan pelbagai ujian ke atas pekerja terbaik di pusat mengurutnya selepas memasuki permainan video ini. Dia cuba meramas, memicit, menyentuh, dan menggomol bahagian sensitifnya dan dia turut menyuruhnya menanggalkan pakaian. Abang Naga berasa teruja yang tidak terhingga! Dia mendapat satu idea. Zaman telah berubah dan teknologi kini telah maju. Masa depannya kini bergantung kepada internet!
Dia kemudian tanpa ragu-ragu membelanjakan sejumlah wang yang besar dan membeli topi keledar untuk bermain permainan video untuk setiap pekerja wanita yang bekerja dengannya. Dia mengumpulkan semua 'pelayan' pusat mengurut dan pengawal lelaki dan membawa mereka memasuki 'Keajaiban Tuhan'. Abang Naga ingin menjadi orang pertama yang mengambil langkah ini dan menubuhkan pusat mengurut pertama dalam permainan video ini!
Di tengah-tengah kekeliruan itu, dia boleh melihat visi untuk masa depannya yang cerah. Langkah pertama yang dia ambil ialah meningkatkan reputasi persatuannya dan memasukkan sebanyak mana ahli yang dia boleh. Mempunyai kemasyhuran bermaksud dia dapat mempromosikan gadis-gadis yang bekerja dengannya. Gadis yang telah melalui ciri-ciri pertukaran wajah semasa pemilihan watak itu sama menarik seperti mereka yang melalui pembedahan plastik di Korea. Dia pasti yang mereka mampu menggoda ramai lelaki miang!
Jika perniagaannya membangun, dia boleh membuat perjanjian dengan yang lain-lain untuk memperkembangkan perniagaannya itu. Abang Naga yakin yang dia akan dapat membina daerah perniagaan untuk orang dewasa terbesar dalam sejarah! Namun, langkah pertama yang paling sukar untuk diambil ialah bagaimana cara yang sesuai untuk dia meningkatkan kemasyhuran persatuannya? Sedang dia celaru memikirkan caranya, dia ternampak pengumuman pelayan yang mengumumkan kejayaan pasukan Zhang Yang semasa mereka menyelesaikan Makam Bangar! Abang Naga mendapat satu lagi inspirasi!
Dia kemudian menghantar gadis terbaiknya untuk menggoda 10 pemain untuk menjadi ahli pasukannya. Namun, Zhang Yang tidak dapat dihubungi kerana dia telah menutup servis pesanan peribadi dan permintaan menambah kenalannya. Empat ahli Syurga yang Hilang itu pula tidak termakan umpannya manakala antara 5 pemain pasukan yang lain, Han Gemuklah yang paling mudah digoda.
Abang Naga berkali-kali cuba untuk bertarung di dungeon sebelum ini dan dia tahu betapa pentingnya mempunyai tank yang bagus dalam mana-mana pasukan, jadi dia sangat terdesak untuk memasukkan Zhang Yang ke dalam persatuannya. Setelah dia gagal menghubungi Zhang Yang, dia mendapat tahu yang Han Gemuk ialah rakan karib Zhang Yang dalam dunia sebenar. Sebab itulah dia selalu cuba menarik Han Gemuk dan menggunakannya sebagai umpan untuk menarik Zhang Yang ke persatuannya!
…
Zhang Yang yang tidak lagi dapat mengawal perasaannya menghantar pesanan peribadi kepada Han Gemuk, "Gemuk, jangan cakap yang kau betul-betul serius dengan dua orang gadis ni?"
Han Gemuk manjawab. "Ish! Tengoklah gaya mereka! Sama dengan gadis pusat hiburan dari 'Jalan Gembira'. Aku cuma nak merasai servis mereka sekejap!"
Zhang Yang akhirnya faham yang Han Gemuk tahu apa yang dia sedang lakukan.
"Gemuk, aku nak mulakan persatuan kita sendiri tak lama lagi. Jangan main-main lagi dan beri perhatian pada pemain yang mempunyai kemahiran atau personaliti yang bagus. Kita boleh masukkan mereka dalam persatuan kita nanti!"
"Ok, aku faham!" Han Gemuk terhenti seketika dan berkata, "Kedua-dua gadis menggoda tu tengah mengurat dengan aku lagi dan mereka nak aku tarik kau masuk ke dalam persatuan mereka! Macam mana kalau macam ni? Kau sertai persatuan ni untuk sekejap saja dan tunjukkan tanda penghormatan kau pada aku! Hehe… Yang Kecil, ahli persatuan ni semuanya cantik belaka! Lagipun, mereka semua suka 'berseronok'!"
"Kau teruskanlah! Jangan kaitkan aku dengan fantasi kau!" Pasukan itu kemudian meneruskan perjalanan. Dengan kemahiran pasif <Mata Helang> Zhang Yang, kuasa serangannya meningkat tinggi. Zhang Yang tidak mengambil masa yang lama untuk menewaskan bos kedua dan ketiga kerana Mod Sukar ini agak mudah baginya. Abang Naga ingin meneruskan serangan mereka ke Mod Paling Sukar, tetapi Zhang Yang terus meninggalkan pasukan itu dengan alasan yang dia mempunyai kemasukan terhad ke dungeon. Abang Naga ingin memujuknya lagi, tetapi dia akhirnya tahu yang dia patut berhenti memujuk. Dia tidak kisah kerana dia tahu Han Gemuk berada dalam genggamannya dan dia boleh menggunakannya untuk menarik Zhang Yang ke dalam persatuannya satu hari nanti. Dia yakin yang pasti akan ada peluang itu!
Zhang Yang kembali ke ibu kota dan terus membeli semua [Rumpai Brassica] dan [Bunga Gingko] daripada tempat lelongan dan menggunakan semua untuk membuat Posyen Anti Bayangan. Dia akhirnya selesai lebih kurang pukul 11 malam. Dia mengambil keputusan untuk log keluar daripada sistem. Zhang Yang mula memikirkan rancangannya sambil dia berbaring. Dia perlu menubuhkan pasukan dungeonnya sendiri tidak lama lagi. Dia tidak lagi boleh bergantung harap kepada mana-mana pasukan liar atau yang dipilih secara rawak untuk menyerang dungeon.
Sarang Marzerway ialah dungeon Tahap 20 yang terbahagi kepada 3 bahagian. 'Bahagian Depan' dan 'Bahagian Tengah' ialah dungeon yang dijaga 5 orang. Peralatan yang boleh didapati daripada tiga tahap kesukaran di situ adalah Keluli Hitam gred Tahap 10, Keluli Hitam gred Tahap 20, dan Tembaga Hijau gred Tahap 20 setiap satu. Bahagian utama, 'Sarang Marzerway' pula dungeon yang dijaga 20 orang dengan satu bos, Marzerway. Peralatan yang boleh didapati daripada tiga tahap kesukaran di situ pula Keluli Hitam gred Tahap 20, Tembaga Hijau gred Tahap 20, dan Perak Kelabu gred Tahap 20 setiap satu.
Dalam erti kata lain, ada tiga pencapaian "Penyelesaian Pertama" Mod Paling Sukar yang boleh dicapai di dungeon itu! Maksudnya, ada tiga nilai kemahiran tambahan yang boleh diperolehi! Buat masa ini, dia ingin masukkan Han Gemuk dan Ratusan Tembakan dalam pasukannya. Untuk dungeon yang dijaga 5 orang itu, dia memerlukan seorang penyembuh dan seorang penyerang. Zhang Yang hanya mengenali beberapa orang penyembuh iaitu Kekecewaan Lautan, Salji Lembut, dan Si Salji.
Walaupun Kekecewaan Lautan sangat mengagumi Zhang Yang, kemahiran dan kesedaran ruangnya tidak mencapai jangkaan dan dia tidak boleh menyerahkan tugasan penyembuhan sepenuhnya kepada Kekecewaan Lautan! Salji Lembut penyembuh yang bagus, tetapi dia ahli Syurga yang Hilang dan sudah tentu tidak akan mengikutinya! Si Salji pula mungkin boleh menjadi pemain Liga Profesional Kelas A dengan sedikit asahan. Langkah terbaik sekarang ialah dengan mengambil Si Salji untuk menyertai pasukannya! Drizzler pula memang pemain yang bagus kerana dia memang… jed yang bernilai tinggi.
'Boleh ke aku menarik mereka menyertai aku?' Zhang Yang mula memikirkan kemungkinannya.