"Salji Lembut yang manis, kau mesti pakai skirt tu untuk menaikkan semangat kami!" kata Han Gemuk dengan bersungguh-sungguh dan air liuh yang meleleh.
"Ya! Ya!" Beberapa yang lain mula bersiul seperti serigala.
Zhang Yang menggelengkan kepala dan berkata, "Kalau dia pakai pun, bukannya kamu semua boleh nampak. Bukan ke dia pakai baju labuh tu?"
Mereka yang bersiul tadi kecewa selepas mendengar soalan itu.
Han Gemuk menegakkan kolarnya dan berkata, "Baiklah, Abang Gemuk mesti terus berkerja keras, aku akan dapat hasil rampasan baju perisai daripada bos seterusnya!"
"Baik, bertenang semua. Kita teruskan dengan bos terakhir!" Zhang Yang menghayun pedangnya.
"Zhan Yu! Sekarang aku dah ada senjata baru, mesti output kerosakan aku akan dapat menandingi kau!" Hari Bayangan berkata dengan yakin.
Senjata memainkan peranan dalam meningkatkan output kerosakan. Hari Bayangan menggunakan pedang dua belah tangan Besi Hitam Tahap 5 yang diperoleh dari Cabaran Kelas. Kini dia telah bertukar kepada lembing dua belah tangan Tembaga Hijau Tahap 10 dan kuasa serangannya serta keyakinannya telah melonjak naik!
Zhang Yang tersenyum kecil dan berkata, "Okey! Mari teruskan!"
Pasukan itu bergerak ke depan, menewaskan makhluk suruhan, dan akhirnya berhadapan dengan bos terakhir selepas melalui laluan kecil.
Sebelum memulakan pertarungan, Hari Bayangan menyemak statistik kerosakan dan sekali lagi kecewa. Walaupun output kerosakannya telah menandingi Han Gemuk, dia masih jauh ketinggalan di belakang Zhang Yang dengan perbezaan yang sangat ketara.
Kalau dibanding dengan kerosakan kepada satu-satu sasaran, Hari Bayangan boleh menandinginya dan mungkin boleh melepasi Zhang Yang dengan menggunakan senjata baru itu. Namun, apabila berhadapan dengan gelombang makhluk suruhan dengan pelbagai sasaran itu, Hari Bayangan yang tidak mempunyai apa-apa kemahiran dengan AoE tetap akan kalah dengan Zhang Yang yang mempunyai <Sambaran Mendatar>.
"Aku tak sangka kita boleh sampai ke tahap ni!" ujar Api Merah sambil berdiri di hadapan bos terakhir itu. Memikirkan yang dia berkali-kali tewas semasa bertarung dengan bos pertama dalam Mod Sangat Sukar 2 jam lepas, ia sukar dipercayai yang kini dia berdiri berhadapan dengan bos terakhir Mod Sangat Sukar.
Keinginan untuk menjadikan Zhang Yang ahli persatuannya terus membara. Sudah tentu dia turut mahu memasukkan Han Gemuk memandangkan output kerosakannya juga sangat tinggi. Apa yang terbaik kalau kedua-dua mereka dapat dijadikan ahli persatuannya. Api Merah menghantar mesej peribadi kepada Salji Lembut menyatakan, "Macam mana? Kau rasa kau boleh pengaruhi Zhan Yu?"
"Dia tak berminat dengan apa-apa yang aku tawarkan!" balas Salji Lembut dengan pantas.
Api Merah kemudian membalas, "Aku percaya pada kau! Kau wanita terhebat dari Syurga yang Hilang! Selagi kau berusaha lebih kuat lagi, sedangkan besi yang kuat pun akan cair menjadi kapas gebu."
"Alahai, aku kena jadi periuk madu sekali lagi!"
"Itu boleh tahan. Lagipun ini cuma permainan video, kau tak perlu buat betul-betul pun! Umpan dia sikit untuk menarik perhatian dia, bukan ke itu memang kelicikan kau?"
"Hmph, aku nak nyatakan sesuatu dulu. Aku tak ada masalah untuk mengumpan Zhan Yu sebab dia memang menarik. Tapi, yang gemuk tu menyakitkan mata, jangan suruh aku buat apa-apa dengan dia!" kata Salji Lembut.
"Baik. Buat yang terbaik dan pastikan Zhan Yu sertai persatuan kita! Kau sendiri dah nampak kebolehannya! Kalau dia sertai kita, Syurga yang Hilang kita pasti akan menjadi persatuan terhebat dalam 'Keajaiban Tuhan'! Dan bila itu terjadi, tajaan kita akan meningkat 10 kali ganda!" Api Merah risau Salji Lembut tidak akan buat yang terbaik, jadi dia terus menerangkan taruhannya.
"Aku faham! Dia pasti akan jatuh cinta dengan aku dengan hanya satu petikan jari ini!" kata Salji Lembut dengan yakin.
…
"Bos terakhir ni masalah besar kita!" Zhang Yang berhenti di pintu masuk kawasan bos terakhir dan teragak-agak. "Bos ini ada dua kemahiran. Pertama ia meludahkan api yang menyebabkan 500 kerosakan. Kebanyakan pemain akan terbunuh dengan hanya satu serangan! Kemahiran kedua ialah lubang api dengan waktu yang dipanjangkan iaitu selama 120 saat. Tidak akan ada tempat untuk kita berpijak dalam masa 2 minit selepas pertarungan bermula. Kerosakan yang disebabkan lubang api itu lebih kurang 200 mata dan kita akan mati kalau berpijak lama di situ!"
Dadarerda dalam Mod Sangat Sukar telah digelar sebagai salah satu bos yang paling menyakitkan hati oleh pemain dalam kehidupannya yang lepas! Disebabkan lubang api yang banyak dan ditambah dengan ludahan api bos itu, memang tidak akan ada tempat untuk mengelak. Kematian itu pasti, sama ada dari <Semburan Api> atau <Lubang Lahar>!
Pembunuhan Pertama bos ini hanya dapat dicapai oleh satu pasukan yang bergantung kepada tahap dan alat kelengkapan mereka selepas pemainnya mencapai secara puratanya Tahap 30. Begitu hebatnya dua kemahiran bos itu!
Namun, seseorang kemudian telah menjumpai satu pepijat bumi dalam kawasan bos Mod Sangat Sukar itu. Bos itu tidak akan menjampi lubang api di satu kawasan tertentu. Setelah ini diketahui, ada kemungkinan untuk mengalahkan bos ini dengan syarat pemain itu telah mencapai tahap kemahiran tertentu.
Selepas taktik pepijat itu dibocorkan, ia menjadi lebih mudah untuk menewaskan bos itu. Pemaju permain video ini tidak mengeluarkan apa-apa penalti atau cuba untuk memperbaiki pepijat bumi tersebut. Sebaliknya, mereka telah mengenalpasti taktik itu sebagai strategi pertarungan. Pemaju telah mengeluarkan penjelasan tentang isu ini: Semasa pembikinan bos ini, mereka telah 'memandang rendah' kesan <Lubang Lahar> dan ini menyebabkan bos itu menjadi terlalu kuat. Memandangkan ada pemain yang menjumpai taktik pepijat itu, mereka membiarkan walaupun ia telah melanggar niat asal pemaju permainan video ini.
Zhang Yang tahu tanpa pepijat bumi itu, tahap dan alat kelengkapan pasukan ini tidak akan cukup untuk mereka memusnahkan beramai-ramai bos itu dalam masa 2 minit! Kalau mereka gagal untuk melakukannya, mereka pasti akan mati terbakar oleh lubang api!
Namun, dia tidak dapat memikirkan alasan munasabah untuk menjelaskan cara itu! 'Aku ada baca di internet!' mungkin boleh diterima, tetapi mana mungkin semua maklumat itu dijumpai di atas talian!
Dia mengambil keputusan untuk membiarkan pasukannya mencuba dulu buat kali pertama secara normal sebelum menerangkan taktik pepijat itu.
Pasukannya telah membunuh dua bos berturut-turut, jadi mereka semua berasa yakin dan bersemangat untuk bertarung dengan bos ini. Mereka tidak faham yang bos ini lebih sukar untuk ditewaskan berbanding bos sebelum ini.
Zhang Yang meggelengkan kepala dan terfikir yang dia mungkin akan diserang beramai-ramai kali ini.
"Rancangan yang sama, bunuh yang bertanda bintang tu dulu, kemudian yang bertanda matahari itu!" Kata Zhang Yang sambil dia menanda 2 raksasa itu dengan tanda tertentu dan meluru ke depan dengan pedangnya.
<Serangan >!
'-71!' Serangan normal.
'-167!'
'146!' <Sambaran Mendatar>.
Dadarerda dan dua pengawalnya mengaum dan menuju ke arah Zhang Yang. Tidak lama selepas itu, kawasan itu dipenuhi dengan bunyi pedang berlaga.
Semua ahli pasukan memainkan peranan mereka dan menyerang raksasa bertanda bintang tanpa menunggu arahan Zhang Yang.
'Ding! Dadarerda menggunakan <Lubang Lahar>. Berterusan selama 120 saat!'
Dadarerda mendepakan tangannya. Dengan satu cahaya merah terang, 10 lubang api marak muncul dan memenuhi kawasan itu.
Pasukan itu bergerak pantas dan mengelak lubang itu sambil meneruskan serangan mereka ke atas sasaran yang bertanda bintang.
'Ding! Pasukan anda telah membunuh Pengawal Diraja! Menerima 650 EXP (50 mata Bonus Pasukan)!'
Raksasa bertanda bintang itu telah sepantas kilat dimusnahkan beramai-ramai oleh pasukan itu.
Dadarerda mengaum dan satu palang kemajuan muncul di atas kepalanya.
'Ding! Dadarerda menggunakan <Semburan Api>!'
"Sedia untuk mengelak!" kata Zhang Yang sambil dia menarik raksasa bertanda matahari ke sekeliling Dadarerda.
Selepas <Semburan Api> bos itu tamat, raksasa bertanda matahari itu hanya mempunyai kurang daripada 25% HP – kuasa kerosakan pasukan ini memang telah meningkat selepas Hari Bayangan memperoleh senjata baru.
'Ding! Dadarerda menggunakan <Lubang Lahar>. Berterusan selama 120 saat!'
'Ding! Pasukan anda telah membunuh Pengawal Diraja! Menerima 650 EXP (50 mata Bonus Pasukan)!'
Pasukan itu kemudian mensasarkan serangan mereka kepada bos itu selepas kedua-dua pengawalnya tewas. Dengan 84,000 HP bos yang tinggi itu, kemajuan mereka dalam menewaskannya sangat perlahan.
'Ding! Dadarerda menggunakan <Lubang Lahar>. Berterusan selama 120 saat!'
…
'Ding! Dadarerda menggunakan <Lubang Lahar>. Berterusan selama 120 saat!'
Dalam masa 1 minit, keseluruhan kawasan itu mempunyai 60 <Lubang Lahar>. Apabila bos itu sekali lagi menjampi <Semburan Api>, pasukan itu menjadi huru-hara, tetapi disebabkan mereka telah melalui Mod Normal dan Mod Sukar, mereka dapat bertahan dengan keadaan yang kacau-bilau itu.
Apabila bilangan <Lubang Lahar> mencapai 80, jumlah pemain yang masih hidup mula menurun dan apabila bilangan <Lubang Lahar> mencapai 100, semua pemain kecuali Zhang Yang telah mati! Akhirnya, terdapat 120 <Lubang Lahar> di kawasan itu dan ia seperti lautan api yang sangat luas seolah-olah tiada tempat yang selamat.
Keyakinan semua yang menjulang tinggi tadi terus merundum jatuh kepada keadaan asal. Bagaimana seseorang ingin mengelak lautan api ini?
Kalau bos itu telah tewas, Zhang Yang mungkin boleh mencari jalan keluar dari <Lubang Lahar> ini. Namun, dia perlu mengelak serangan bos dan <Lubang Lahar> di bawah kakinya pada masa yang sama. Zhang Yang pun tidak akan dapat menghadapi semua itu!
Sudah tentu Zhang Yang tiada niat untuk membunuh bos Mod Sangat Sukar ini secara solo, dia sebenarnya mahu 'secara logiknya' terjumpa pepijat bumi itu!
Dia mengumpan bos itu untuk bergerak mengelilinginya dan berundur untuk berpijak di atas ruang yang boleh memuatkan hanya seorang pemain! Dia berdiri di atas ruang itu dan terus menyerang bos.
Walaupun dia tidak mengalami kerosakan disebabkan <Lubang Lahar>, dia tidak dapat mengelak elok kerana dia tersangkut dalam ruang itu dan mati setelah menerima serangan bertubi-tubi daripada bos itu.
Pasukan itu menjangka yang mereka akan melihat satu serangan balas daripada Zhang Yang dalam pertarungan solonya disebabkan kepercayaan tinggi mereka padanya. Mereka sangat kecewa apabila mereka melihat dia tewas dan mati.
Zhang Yang melepaskan tubuhnya sambil tertawa, "Tak akan kamu semua ingat aku boleh bunuh bos itu seorang diri?"
Semua tersipu malu.
Selepas memulihkan diri masing-masing, mereka kembali berkumpul di kawasan bos itu.
"Zhan Yu, apa kata kita berhenti untuk hari ni?" Walaupun Api Merah sangat mahu menewaskan bos itu, penilaiannya sebagai ketua persatuan tentang situasi ini lebih bagus berbanding mereka yang lain! Bos itu memang di luar kemampuan mereka!
"Aku setuju. Tengok lautan api tu, memang tak ada mana-mana tempat untuk bersembunyi! Pemaju permainan video ni memang tak mahu sesiapa tewaskan bos ni!" ujar Hari Bayangan yang bersetuju dengan pernyataan tadi.
Mereka yang lain masih percaya pada Zhang Yang, tetapi selepas analisis Hari Bayangan, mereka terpaksa bersetuju.
"Abang pakar, ia dah cukur mengagumkan yang kita berjaya sampai ke tahap ni! Tidak menewaskan satu lagi bos hanya bermaksud sedikit alat kelengkapan. Kita akan tewaskannya bersama selepas kita kumpul kekuatan!" Kata Kematian Bersalji.
Sesetengah dari mereka asalnya hanya mahu menyerang dalam Mod Normal. Selepas mereka mengikuti Zhang Yang, mereka sebaliknya berjaya menyelesaikan Mod Sukar dan menewaskan 2 bos dalam Mod Sangat Sukar! Apa lagi yang mereka mahu!
Zhang Yang tertawa dan berkata, "Masa aku mengumpan bos itu di sekeliling kawasan ini, aku terjumpa satu kawasan tanpa lubang api. Aku rasa kita boleh berkumpul dan bertarung di situ!