webnovel

Berita dari Akademi

編集者: EndlessFantasy Translation

Di dalam bilik yang luas dan terang terdapat satu cermin yang panjang dan tinggi.

Cermin itu lebih tinggi daripada ketinggian manusia dan dihiasi di sepanjang sisinya dengan daun hitam yang mewujudkan kontras dengan kayu birch putih. Pelbagai permata berwarna-warni juga tertanam di sepanjang sisinya, menjadikan cermin itu kelihatan sangat mewah.

Ketika ini, seorang pemuda yang memakai kot bajang sedang berdiri di hadapan cermin ini. Di belakangnya terdapat beberapa orang pembantu rumah, yang sibuk membetulkan pakaian tuan mereka.

Selepas merapikan diri, pemuda itu melambaikan tangannya, menghantar pembantu rumah itu pergi meninggalkannya sendirian di dalam bilik.

Pemuda ini menilai tubuh badannya di cermin. Seseorang yang mempunyai ketinggian sederhana dengan susuk tubuh yang kurus. Rambutnya berwarna coklat dan kulitnya agak pucat. Wajahnya boleh digambarkan sebagai halus, tetapi kilauan bersinar di kedua-dua belah matanya menunjukkan dia mempunyai fikiran yang sangat aktif.

"Sedar tak sedar, saya sudah mencapai usia 17 tahun!"

Leylin memandang dirinya di cermin dan bercakap dengan sedikit kemurungan.

Masa ialah senjata paling tajam. Masa menukarkan bayi menjadi orang tua dan mewujudkan padang pasir kering dengan mengeringkan laut. Walaupun seseorang itu seorang Magus, mereka hanya boleh memanjangkan umur mereka. Tetapi sekalipun mereka boleh hidup selama beberapa ribu tahun, mereka masih tidak dapat menghindari hakisan masa yang perlahan.

Lebih setahun telah berlalu sejak Leylin kembali dari penerokaan sebelumnya.

"Tidak! Aku mesti melawan sumpahan masa yang kekal dan mencari keabadian. Hanya ketika itulah aku layak menerima nasib iaitu dibawa masuk ke dunia ini!"

Mata Leylin menjadi hitam berapi-api seolah-olah api yang sangat hebat telah terbakar di dalamnya.

"Tuan! Kereta kuda tuan bandar di sini!" Terdengar suara Anna di luar pintu.

"Biarkan dia tunggu sebentar, saya akan datang segera."

Leylin menghadap cermin itu dan selesai mengemaskan dirinya, sebelum mengambil satu tongkat berwarna hitam yang pendek dan meninggalkan bilik itu.

*Deng Deng!*

Kereta kuda berwarna hitam itu bergerak dengan cepat sepanjang jalan dan, setelah melihat lencana Istana tuan bandar, orang ramai mengelak dan memberikan laluan. Mereka semua memandang kereta kuda itu dengan perasaan hormat dan cemburu.

Di dalam kabin itu hanya ada Leylin. Pada ketika ini, pemuda ini sedang berbaring dengan selesa di atas bantal baldu bulu angsa. Tangannya diletakkan di sisinya, mendedahkan loket aneh yang berada di telapak tangannya.

Loket itu sangat mirip dengan salib perak. Di permukaannya terdapat beberapa berlian berwarna merah dan biru, yang berkilauan di bawah cahaya dan sedikit bersinar.

Ketika Leylin menatap loket ini, ekspresi puas hati melintasi mukanya.

"Menurut pengiraan Cip A.I., dengan Bintang Aloi sebagai pusat dan sokongan dari pelbagai aloi berharga yang aku perolehi sepanjang perjalanan, prototaip artifak ajaib ini telah sempurna disintesis."

Artifak loket ini ialah sesuatu yang Leylin telah sintesiskan mengikut seksyen artifak ajaib di dalam Ajaran Akademi Lowian.

3 tahun yang lalu Leylin berjaya membeli lembaran usang Ajaran Akademi Lowian, di mana Cip A.I. perlahan-lahan telah mentafsirkan kandungannya.

Bahagian awal pengajaran itu hanya sesuai untuk pembantu paderi, dengan banyak perjalanan dan pengembaraan dicatatkan di dalamnya. Jika tidak, Leylin tidak dapat membeli lembaran itu dengan harga yang sangat rendah.

Nasib Leylin agak baik. Selepas Cip A.I. selesai mentafsirkannya, dia memperoleh satu kaedah untuk mensintesis artifak ajaib gred-rendah.

Loket Tahi Bintang. Ini ialah nama resipi artifak ajaib yang diperolehnya. Menurut Ajaran Akademi Lowian, walaupun Loket Tahi Bintang ini ialah artifak ajaib gred-rendah, objek ini merupakan salah satu artifak jenis pertahanan yang jarang ditemui.. Berbanding dengan beberapa artifak ajaib jenis serangan, nilainya pastilah jauh lebih tinggi. Seorang Magus rasmi sekalipun mungkin berminat dengannya.

Setelah melihat bahan-bahan yang diperlukan dan proses-prosesnya, Leylin segera memutuskan dia harus mensintesis Loket Tahi Bintang.

Walaupun sihir pembantu paderi agak berkuasa, keupayaan pertahanan mereka yang rendah selalu menjadi masalah

Hanya dengan menjadi seorang Magus rasmi, dan mampu membentuk sihir pertahanan semula jadi, barulah ada sihir yang membuat medan kuasa yang sentiasa melindungi tubuh. Ketika itulah, seseorang itu dianggap sebagai seorang Magus yang mengagumkan.

Bagi pembantu paderi pula, mereka boleh kehilangan nyawa mereka pada bila-bila masa akibat serangan hendap.

Beberapa pembantu paderi yang memasuki hutan layu dengan Leylin sebelum ini, ialah contoh terbaik bagi kes ini.

Walaupun mereka mampu mengunakan sihir-sihir yang berkuasa, disebabkan Ular Mankestre Yang Hebat, mereka semua tewas kerana kekurangan sihir pertahanan. Hanya Murphy yang cukup beruntung untuk terus hidup, tetapi itu disebabkan oleh Leylin yang menyelamatkannya.

Sebaik sahaja dia telah mensintesis Loket Tahi Bintang, ditambah dengan beberapa posyen pertahanan, kuasa pertahanan Leylin setanding dengan sebahagian kecil kuasa pertahanan yang ada pada seorang Magus.

Selain itu, medan kuasa pertahanan Loket Tahi Bintang akan diaktifkan dengan serta-merta. Sebagai contoh, selagi kuasa serangan pihak lawan tidak melebihi ambang Loket Tahi Bintang dan sebelum tenaga itu habis sepenuhnya, pertahanan Leylin adalah seperti kura-kura yang kukuh. Selagi Loket Tahi Bintang itu aktif, tiada apa yang akan berlaku pada Leylin.

"Nasib baik, ada pasar ahli sihir berdekatan Bandar Malam Ekstrem, jika tidak, aku tidak akan dapat mencari begitu banyak bahan berharga dengan cepat!"

Leylin berasa agak gembira.

Selepas menghancurkan dan mengisar sebahagian besar kristal ajaib yang dimilikinya, serta menambahkan semua bahan dari Ular Mankestre Yang Hebat, dia berjaya mencipta prototaip loket ini

"Pada dasarnya, aku telah menggunakan semua sumber yang aku ada. Menurut Ajaran Akademi Lowian, ini hanya merupakan produk yang tidak lengkap. Teras Loket Tahi Bintang telah selesai. Yang tinggal ialah langkah terakhir..."

Melihat pada Loket Tahi Bintang di tangannya, dia melihat salib perak berkilauan dan bercahaya dengan pelbagai warna yang berbeza. Di permukaannya terdapat corak-corak yang misteri, dan seolah-olah seperti karya seni mistik.

"Bahan terakhir sudah ada bersama dengan aku dan hanya perlu menunggu masa yang sesuai sebelum dapat memulakan kebangkitan semangat untuk Loket Tahi Bintang!"

Leylin mengenggam Loket Tahi Bintang itu dengan kuat dan menyimpannya di sebalik kemejanya.

"Bagi Air Mata Mary pula, formula purba ini sangat sukar difahami. Walaupun selepas banyak melakukan eksperimen dan memperoleh sejumlah besar data mengenai badan roh, aku masih tidak faham apa-apa daripada melihat formula ini!

Leylin kelihatan sedih, dan fikirannya berpusing dengan cepat, "Mungkinkah teori aku salah? Bagaimana jika formula ini tiada kaitan dengan badan roh.. "

"Berhenti!" Kedengaran suara pemandu kereta kuda dari bahagian depan. Kereta kuda itu tersentak, sebelum berhenti.

"Tuan Leylin! Istana tuan bandar itu berada di hadapan," lapor pemandu kereta kuda itu dengan hormat.

Leylin menggelengkan kepalanya dan menyusun pemikiran dalamannya ketika dia keluar dari pintu kereta kuda itu.

Istana tuan kota masih sama. Mengagumkan dan bermaruah seperti dahulu. Barisan pengawal di kedua-dua belah pintu masuk menghadap di antara satu sama lain, dan pandangan mereka tidak pernah goyah dan kelihatan hebat.

"Viscount Jackson agak bijak!" Sejak insiden hutan layu, dia telah berpura-pura cedera parah dan membenarkan berita itu tersebar. Selepas musuhnya mengesahkan berita itu dan mula berkumpul bersama untuk membuat serangan, dia terus menangkap mereka semua sekaligus. Dia memotong semua kepala mereka dan darah mereka melimpah-limpah mengalir ke dalam parit. Sejak itu, seluruh Bandar Malam Ekstrem sangat tenang..."

"Leylin! Saudara saya!"

Viscount Jackson telah lama menunggu di pintu utama. Apabila melihat Leylin, dia segera pergi ke hadapan untuk menyambutnya.

Viscount Jackson telah menyaksikan kekuatan Leylin secara langsung. Tambahan pula, Leylin ialah penyelamat Viscount Jackson. Kalau bukan kerana Leylin, Viscount Jackson sudah lama menjadi mangsa Ular Mankestre Yang Hebat.

"Tuan bandar," kata Leylin, sambil mengangguk kepalanya.

Viscount Jackson merangkul tangan Leylin dengan penuh mesra. Setelah membawa Leylin berjalan-jalan di sekitar taman istana, dia kemudian membawa Leylin ke bilik belajar persendirian.

Di dalam privasi istana, Viscount Jackson akhirnya mendedahkan riak muka yang membimbangkan.

"Saudara saya Leylin! Kali terakhir awak telah meminta 50 orang, tetapi saya tidak dapat menyediakan sebanyak itu untuk awak... Saya telah menghantar semua penjenayah dari semua penjara saya ke tempat awak. Selain itu, saya telah menghantar awak penipu dan pencuri yang jenayahnya tidak menjamin hukuman mati. Walau bagaimanapun, jumlahnya masih terlalu sedikit berbanding dengan apa yang awak minta..."

"Beginikah keadaannya?" Leylin mengangguk kepalanya, dan duduk di sofa, memikirkan sesuatu dengan mendalam.

Bandar Malam Ekstrem boleh dianggap sebagai bandar bersaiz sederhana. Penduduk mereka tidak melebihi 100,000 orang. Bagi Viscount Jackson, memberikan Leylin beberapa tahanan yang akan menjalani hukuman mati ialah sesuatu yang dia mampu lakukan. Walau bagaimanapun, selepas masa berlalu, bilangan penjenaya yang dikenakan hukuman mati semakin berkurangan, namun permintaan Leylin terus bertambah. Jadi sekarang, dia tidak lagi boleh memenuhi permintaan Leylin.

"Seperti yang awak tahu," sambung Viscount Jackson sementara Leylin berfikir panjang, "Saya hanya tuan kota. Status mulia saya hanya bertaraf Viscount. Bagi hukuman mati individu, saya masih boleh membuat keputusan untuk mereka. Bagaimanapun, sebaik sahaja keadaan ini melebihi ambang tertentu, saya tidak mempunyai pilihan dalam perkara itu. Lagipun, masih terdapat undang-undang yang mempengerusikan hal urusan orang berpangkat duke..."

Viscount Jackson melambaikan tangannya, dan matanya bersinar, "Melainkan ada peperangan yang berlaku pada ketika ini, jika 50 atau 100 orang hilang pada masa yang sama, pasti rakyat akan menjadi marah!"

"Perang!!!"

Leylin terkejut, tetapi tidak lama kemudian dia menunjukkan senyuman yang dingin. Ini memang satu peluang yang baik untuk mengumpulkan sampel.

Walau bagaimanapun, Viscount Jackson memilih untuk menyebut hal ini pada ketika ini, jadi kemungkinan besar dia sudah ada rancangan.

"Mengenai hal ini, saya..." Sebaik sahaja Leylin mahu bercakap lebih lanjut mengenai perkara itu, poket di dadanya tiba-tiba bergetar dan kedengaran seperti bunyi burung gagak. Riak muka Leylin terus berubah.

"Ada sesuatu yang tak kena?" Viscount Jackson bertanya dengan penuh 'kerisauan'.

"Ia... Tiada apa-apa. Saya telah menerima berita daripada seorang rakan!" Leylin memasukkan tangannya ke dalam poket dadanya, dan bunyi gagak itu berhenti dengan serta-merta. Mukanya juga tenang seperti sebelum ini.

Walau bagaimanapun, Leylin hilang minat untuk bercakap lagi. Dia meneruskan perbualan sebentar dengan Viscount Jackson sebelum cepat-cepat mengucapkan selamat tinggal.

Walaupun ada sesuatu yang merisaukan Viscount Jackson, melihat Leylin yang kelihatan tidak berminat, dia masih tidak mengatakan apa yang ada di fikirannya.

Selepas Leylin keluar dari istana, dia melompat masuk ke dalam kereta kuda dan bergegas kembali ke manor.

"Aku terima berita daripada akademi pada masa seperti ini..." Menurut berita itu, perang Akademi Abyssal Bone Forest telah mencapai kemuncaknya, di mana pihak yang menang dan kalah boleh ditentukan pada bila-bila masa sahaja.

Oleh kerana Leylin adalah seorang pembantu paderi yang dihantar membuat misi, pihak akademi telah memberikannya barang-barang yang membolehkan mereka menghubunginya. Terdapat juga pelbagai barang untuk tujuan membuat hubungan, dengan kesan 'penggunaan tunggal' yang dihantar dengannya. Dengan cara ini, pembantu paderi akan mendapat berita terkini mengenai sekolah mereka semasa dalam kritikal.

"Sekarang ini, berita yang diberikan kemungkinan besar akan menentukan pihak yang menang dan kalah. Kekuatan Akademi Abyssal Bone Forest ialah terhad, dan terdapat dua kumpulan lain yang sama kuat dengan Akademi Abyssal Bone Forest yang menentangnya, jadi peluang kemenangan ialah tipis," kata Leylin, kerana dia sangat memahami masalah semasa di Akademi Abyssal Bone Forest.

"Melainkan ada beberapa pihak luar telah melangkah ke hadapan untuk menjadi pengantara, Akademi Abyssal Bone Forest pasti akan mengalami kerugian besar kali ini, dan mungkin juga akan dibubarkan..."

Wajah Leylin kelihatan sedih sambil dia melangkah ke dalam makmal rahsianya.

次の章へ