webnovel

Kepercayaan

編集者: EndlessFantasy Translation

- Hospital Rakyat Pertama Bandar C –

Keputusan Qin Chu untuk membuat pembedahan ke atas Jing Zhixin secara peribadi telah memeranjatkan pengarah hospital itu. Dia segera mengarahkan Bilik Bedah VIP untuk disediakan.

Huo Mian hanya sedar akan betapa menawannya Qin Chu apabila lelaki itu telah memakai gaun bedah putih dan membaca fail perubatan dengan penuh fokus.

Dia tidak dapat percaya pemandangan di hadapannya ini sesuatu yang benar.

Dia tidak pernah sangka yang suatu hari, dia akan mampu melihat lelaki itu berdiri di dalam bilik bedah sebagai seorang doktor dengan cahaya menerangi wajah kacaknya. Susuk tubuh yang dikenalinya, lelaki yang pernah dicintainya dengan begitu dalam, kini ada di hadapannya. Ia bagaikan satu mimpi.

Dia menuju ke arah Qin Chu dengan perlahan-lahan, tanpa sebarang bunyi. Tetapi, lelaki itu perasan akan pergerakannya.

Sebaik sahaja dia melihat Huo Mian, pandangannya bertukar lembut…

"Saya mahu membantu kamu."

"Tidak, tidak perlu. Kamu boleh tunggu kami di luar."

"Biarlah saya tolong, saya mahu berada di dalam sana. Saya mahu ada untuk pembedahan penting ini supaya tidak ada masalah kali ini. Saya akan berhati-hati." Huo Mian berkeras.

Qin Chu merenungnya seketika dan berkata perlahan-lahan, "Ini lain. Dia adik kamu. Saya takut kamu akan terganggu."

"Tapi…" Huo Mian nampaknya tidak mahu mengalah dan mahu berkata-kata lagi.

"Adakah kamu percayakan saya?" tanya Qin Chu.

Huo Mian terkejut.

"Jika kamu percayakan saya, biar saya uruskan hal ini."

Selepas terdiam beberapa saat, Huo Mian menganggukkan sedikit kepalanya.

"Doktor Qin, kita boleh mulakan pembedahan. Semua sudah sedia." Pembantu doktor bedah membuka pintu dan membuat pengumuman.

Qin Chu mengambil topeng pembedahan. Dia memakainya perlahan-lahan dan berpusing untuk masuk ke Bilik Bedah.

Pada ketika itu, Huo Mian bersumpah yang dia tidak pernah melihat lelaki yang lebih menarik daripadanya.

Huo Mian menunggu di luar bilik bedah itu dengan penuh keresahan. Setengah jam berlalu tanpa sebarang khabar berita.

Tiba-tiba, bunyi derapan tapak kaki bergema sepanjang ruang legar itu. Huo Mian mengangkat kepalanya dan sedikit terkejut melihat orang yang berjalan ke arahnya.

"Tuan Pengarah, Tuan di sini."

"Ya, bagaimana keadaan di dalam sana?"

"Saya belum tahu lagi." Huo Mian kelihatan bimbang.

"Tidak perlu bimbang. Saya percaya dengan kebolehan pembedahan Doktor Qin."

Huo Mian mengangguk…

Kemudian, Pengarah Hospital itu berkata dengan penuh maksud, "Mungkin hanya kamu satu-satunya orang yang berjaya memujuk dia datang ke sini."

Huo Mian berasa sedikit malu. Dia tidak mahu menayangkan hubungannya dengan Qin Chu ataupun memberitahu orang lain mengenainya.

"Saya benar-benar mahu gajikan dia sebagai doktor di sini. Tetapi malangnya…bagaimana saya mahu menyaingi gaji yang diterimanya sebagai Presiden GK? Saya sangat ingin tahu mengenai satu perkara. Namun, sebagai kawannya, kamu mungkin tahu mengenai hal ini?"

"Apa dia?" Huo Mian bertanya perlahan.

"Doktor Qin dilahirkan dalam keluarga kaya-raya dan dia merupakan pewaris yang berhak ke atas GK. Kenapa dia ke luar negara selama tujuh tahun untuk belajar di Sekolah Perubatan Harvard? Saya rasa…ia sedikit ganjil."

Huo Mian menggigit bibirnya dan membalas selepas seketika, "Sebenarnya, saya juga tidak tahu."

Mendengarkan jawapannya, Pengarah Hospital itu kelihatan sedikit kecewa…

"Apa-apa pun, jangan terlampau bimbang. Saya pasti pembedahan ini pasti berjaya."

"Terima kasih, Pengarah." Huo Mian mengangguk dengan penuh penghargaan.

Pengarah Hospital itu berpusing untuk beredar tetapi segera berpusing kembali kerana dia terlupa untuk mengatakan sesuatu. "Sejam yang lalu, hospital menerima bayaran untuk pembedahan itu daripada Jabatan Kewangan GK. Jumlahnya 500,000 yuan. 300,000 yuan untuk pembedahan ini dan baki 200,000 yuan itu mungkin untuk rawatan susulan."

"Be…tulkah?" Huo Mian terkejut. Qin Chu bukan sahaja membayar wang itu kepadnya dengan segera, malah dia menambah 200,000 yuan untuk yuran rawatan susulan. Dia memang seseorang yang berfikir dengan teliti.

Sebelum Pengarah Hospital itu beredar, dia memberikan satu pandangan penuh makna pada Huo Mian dan berkata, "Huo Mian, kamu wanita yang bertuah."

Kemudian, Pengarah Hospital itu berpusing dan beredar…

Huo Mian berdiri di situ, kebingungan. Dia juga merasakan dirinya sebagai wanita bertuah kerana bertemu Qin Chu.

Tetapi, kejadian dengan Pak Cik Jing menyebabkan mereka berpisah. Dia begitu sengsara selepas kejadian itu dan berharap yang selepas itu dia tidak akan bertemu Qin Chu lagi.

Kalaulah dia tidak menghadiri Sekolah Tinggi Kedua…

Kini selepas masa sudah lama berlalu, dia sedar akan kebenaran dalam kata-kata Pengarah Hospital itu.

Sewaktu dia dalam kesusahan, dengan begitu ramai orang di sekelilingnya, hanya Qin Chu yang datang menghulurkan pertolongan.

Nampaknya, kehadiran Qin Chu sering menenangkan hatinya.

Sewaktu dia dihanyutkan melayan fikiran, telefon Huo Mian tiba-tiba berdering.

"Kenapa kamu menghubungi saya?" Huo Mian bertanya dengan sedikit nada berjaga-jaga sebaik sahaja dia mengangkat panggilan itu.

次の章へ