webnovel

Pengakhiran Musim Rumah Xia — Dia Pun Keluar

編集者: EndlessFantasy Translation

Bukan sahaja air mukanya sahaja yang jatuh, malah Wushuang juga akan terlibat sama.

Dengan ratusan juta harta peninggalan Chengwen, kenapa dia merasa terdesak hanya dengan sebuah vila?

Wu Rong menjeling dalam diam ke arah Xinghe.

Jadi apa masalahnya jika perempuan liar itu mencuri vila yang menyedihkan itu daripada dia? Bagaimanapun, harta peninggalan itu semua miliknya.

Vila itu dia cuma anggap sedekah amal kepada pengemis!

Bibir Wu Rong melengkung dan tersenyum dengan apa yang bermain di fikirannya. Dia sengaja memanggil Xinghe pengemis beberapa kali, untuk menyakitkan hatinya.

Xinghe langsung tidak mengendahkannya.

"Pintu keluar ada di sana jika kamu sudah selesai. Jangan terlalu lama berada di sini. Kamu menyebarkan kuman dalam rumah saya." Xinghe memulangkan kembali ayat-ayat Wu Rong kepadanya.

Wu Rong sempat meludah ke lantai sebelum pergi untuk berkemas.

Dia cuma membawa beberapa barang berharga sahaja. Selebihnya ditinggalkan. Dia menganggap itu sebagai derma kepada Xinghe, si pengemis.

Walau bagaimanapun dia cuba untuk memujuk dan menyenangkan hatinya sendiri, dia tetap merasa terhina.

Secara realistiknya rumah itu adalah miliknya. Sepatutnya dia yang menghalau Xinghe keluar tapi rumah itu kini sudah berpindah tangan dan dia yang perlu keluar.

Dia memang sudah lama tahu penama vila itu ialah Xinghe tapi dia tidak dapat menemukan geran sebenar. Xinghe juga telah kehilangan ingatannya. Jadi, dia mengandaikan bahawa dia boleh terlepas.

Siapa sangka perempuan liar itu kembali menyusahkannya sebaik sahaja mendapat semula ingatannya.

Nasib baik, Chengwen mati secara mendadak dan tiba-tiba sehingga dia tidak mempunyai wasiat yang sah. Dengan cara licik, dia berjaya meletakkan semua harta Chengwen ke atas namanya.

Wu Rong mengheret bagasinya menuruni tangga. Ketika melihat reaksi Puan Chan, rasa malu menyapanya sekali lagi.

Dengan garang Wu Rong mencampakkan bagasinya kepada Puan Chan dan mengarah. "Ikut saya dan jaga bagasi saya!"

"Kita nak ke mana?" tanya Puan Chan, sedang kaku.

"Tak payah banyak tanya, tapi yang pasti lebih baik daripada rumah buruk ini!" Wu Rong memerli Xinghe. Dia seperti ingin memberitahu yang Xinghe masih lagi bergantung dengan kekayaan ayahnya. Budak itu bernasib baik menang kali ini tapi perang ini akan berada dalam genggaman Wu Rong juga akhirnya.

Puan Chan memerhati sekeliling lalu memandang Xinghe yang memerhati mereka dari tingkat dua. Wajah milik Puan Mudanya pada satu masa dahulu kini membeku.

Reaksi wajahnya seperti tidak kisah samada Puan Chan pergi atau terus tinggal di situ.

Puan Chan dilanda kekeliruan.

Walaupun kata hatinya melarang dia untuk mengikuti Wu Rong tapi dia memilih untuk mengikut pihak yang boleh memberikannya lebih manfaat.

"Puan, tunggu saya berkemas sebentar. Saya takkan lama." Puan Chan berlari ke biliknya dan pantas kembali bersama bagasinya sendiri.

Kesabaran Wu Rong semakin terhakis. Dia merasa semakin terhina semakin lama dia berada di situ.

Bila dia melihat Puan Chan kembali, dia berteriak, "Cepat!"

Dia pun bergerak ke pintu keluar. Puan Chan yang bersusah payah menarik dua bagasi menyusul dari belakang.

"Wu Rong…" Xinghe memanggil ketika tangan Wu Rong sudah berada di tombol pintu.

Wu Rong merenung tajam. "Apa lagi yang kamu nak? Kamu takkan dapat apa apa lagi daripada saya, perempuan jalang!"

Dengan perlahan-lahan, Xinghe menuruni tangga dan berhenti di hadapan Wu Rong. Xinghe memandang tajam mata Wu Rong dan berkata, "Saya nak kamu tahu. Mulai dari hari ini, kamu tidak dibenarkan masuk dalam rumah saya lagi. Dan juga, satu hari nanti saya akan menuntut semula semua yang kamu ada. Padahal yang sebenarnya, semua itu adalah milik saya, beserta dengan bunganya sekali."

Wu Rong mentertawakannya. "Dalam mimpilah! Tapi ingat, saya tidak akan lupa penghinaan kamu pada saya hari ini!"

次の章へ