webnovel

Ou Ming, Kau Pengecut!

編集者: EndlessFantasy Translation

Wajah Ou Ming kelihatan dingin dan dia berpaling untuk pergi.

Shen Manting merenung belakang Ou Ming dengan marah dan menjerit, "Hebat sangatkah perempuan simpanan itu, Ou Ming, sehingga kamu jadi pengecut?!" 

Ou Ming membuka pintu dan terus berjalan keluar tanpa menunjukkan tanda-tanda mahu menutup pintu itu kembali.

Angin sejuk dari luar bertiup ke dalam rumah dan membuatkan Shen Manting hampir beku.

Melihat Ou Ming yang tidak mengendahkannya sama sekali, Shen Manting amat berang sehingga memukul sofa yang didudukinya dengan kuat dan menjerit, "Pengecut!!"

Amukan Shen Manting membuatkan Ou Ming bertambah jengkel.

Ou Ming mengelilingi kawasan itu sehingga menjumpai satu bar. Selepas minum arak yang sangat banyak, dia bersandar pada kaunter bar itu dengan kepala yang pening. Dia cuba berdiri, namun ternyata ia cubaan yang gagal.

Buk!

Ou Ming terjatuh dan turut menerbalikkan kerusinya lalu menghasilkan bunyi yang sangat kuat.

Pelayan bar lelaki membantunya untuk bangun. "Tuan, Tuan patut minta sesiapa datang jemput Tuan. Kenapa Tuan minum banyak sangat?"

Ou Ming telah jatuh dengan agak teruk dan arak yang diminumnya membuatkan dia tidak dapat berfikir apa-apa.

Pelayan lelaki itu tahu betapa mabuknya Ou Ming, jadi dia membantu Ou Ming kembali duduk di kerusi dengan berhati-hati dan bertanya, "Mana telefon Tuan? Boleh Tuan keluarkan telefon dan hubungi sesiapa?"

Mendengar kata-kata itu, Ou Ming mengeluarkan telefon dari poketnya dan menekan butang 1.

Pelayan lelaki itu terkedu apabila melihat nama yang terpapar pada skrin ialah gelaran yang memalukan: 'perempuan jalang'.

*****

Yu Lili sedang melukis. Hanya sedikit sahaja lagi kerja yang tinggal untuk dilakukan pada panel komik terakhir. Apabila memikirkan yang dia sudah hampir menyiapkan lukisan untuk episod pertama, Yu Lili berasa puas hati. 

Tiba-tiba telefonnya berdering. Ia panggilan daripada Ou Ming.

"Helo?"

"Ah… Yu." Suara Ou Ming kedengaran mabuk dan dia menjerit, "Saya sedang minum, kamu…"

Yu Lili mengerutkan dahinya dan bertanya, "Kamu di mana?"

"Saya di mana? Entahlah…" jawab Ou Ming dengan suara mabuk.

Ketahanan Ou Ming untuk alkohol sangat bagus, jadi jika bunyinya seteruk ini, agaknya berapa banyak dia telah minum?

Pelayan itu segera mengambil telefon dari tangan Ou Ming dan memberitahu alamat bar kepada Yu Lili. Yu Lili terdiam seketika, kemudian meletakkan pen melukisnya ke bawah. Selepas menyarung jaket, dia mengambil teksi dan pergi ke bar yang diberitahu oleh pelayan itu.

Ou Ming terjelopok di sudut bar itu dengan banyak botol dan gelas di hadapannya.

Yu Lili berasa susah hati. Dia mengangguk kepada pelayan itu dan berkata, "Terima kasih, saya akan uruskan dia."

Sebaik mendengar suara Yu Lili, Ou Ming menoleh dan tersenyum lebar. "Kamu di sini…"

Dia memeluk Yu Lili yang menghampirinya dan berkata, "Balik rumah."

Bau arak dari mulut Ou Ming sangat kuat sehingga Yu Lili berkerut dan menolaknya. "Berapa banyak kamu minum? Bau kamu sangat teruk!"

Pelayan itu agak terkejut apabila melihat Yu Lili, tetapi dia tetap menghulurkan bil dan berkata, "Tuan ini minum banyak dan masih belum bayar."

Yu Lili melihat bil itu dan bertambah susah hati.

Ou Ming memeluk Yu Lili dan meletakkan kepala pada bahunya sambil bernafas perlahan. Yu Lili menepuk wajah Ou Ming dengan perasaan jijik lalu mengeluarkan dompet dari poket Ou Ming. Dia mengambil sekeping kad dan menghulurkannya kepada pelayan itu.

Pelayan itu membawa pembaca kad untuk Yu Lili memasukkan kata laluan. Yu Lili menekan beberapa nombor, tetapi ternyata ia salah.

Yu Lili berasa terkejut dan janggal di hadapan pelayan itu.

Dia cuba memasukkan nombor lain, tetapi ia masih kata laluan yang salah.

次の章へ