webnovel

Siapa L?

編集者: EndlessFantasy Translation

"Saya dah jumpa. Saya dah jumpa dia. Dia masih hidup… masih hidup!" Suara Su Qianci kedengaran tergesa-gesa dan sebak. "Dia dikurung oleh Tang Mengying…" kata Su Qianci sambil menangis. "Mari selamatkan dia. Dia mesti dalam kesakitan…"

Lelaki yang sangat bermaruah tinggi kini dikurung selama lebih tiga tahun. Pasti sangat sukar untuknya! Malah… Li Sicheng juga kini menghisap dadah. Lebih tepat lagi Tang Mengying memaksanya untuk menghisap dadah! Su Qianci berasa hampir pengsan. Apa yang patut dilakukannya… dia tidak sanggup melihat Li Sicheng dalam keadaan sebegitu. Entah bagaimana rupa suaminya itu sekarang. Bongkok? Lemah? Pucat? Kurus kering? Bagaimana… mana mungkin Li Sicheng mampu menghadapinya… Dia mesti menyelamatkan suaminya, mesti!

Riak wajah Li Jinnan terus berubah dan dia segera bertanya, "Kamu di mana?"

"Saya… saya di rumah."

"Dia di mana?"

"Dia…"

Su Qianci yang sedang menangis tidak mampu bercakap dengan jelas. Li Jinnan cuba bertenang lalu berkata, "Jangan risau. Saya akan datang segera ke rumah lama. Tunggu saya."

"Baik…"

Li Jinnan menamatkan panggilan dan mengambil kunci keretanya lalu terus memandu ke rumah lama. Selepas panggilan itu, Su Qianci berasa sedikit lega. Dia kembali memasang telinganya untuk mendengar situasi di tempat Tang Mengying dan mendengar bunyi-bunyi kecil. Tidak, Tang Mengying tidak lagi berada bersama Li Sicheng. Dia berasa kecewa tetapi juga gembira untuk suaminya. 

Tiba-tiba telefonnya bergetar dan menunjukkan satu mesej diterima. Su Qianci mengambil telefonnya dan membuka mesej itu.

[L]: Ada kelompangan dalam kontrak TL. Jangan beritahu mereka waktu tandatangan kontrak. Nanti kamu boleh gunakannya untuk melawan mereka.

Su Qianci membaca mesej itu dan berasa bingung. Bagaimana L tahu dia sedang bekerjasama dengan TL? L seakan tahu segalanya tentang dia dan syarikat TL, malah mempunyai pandangan bijak tentang pasaran dan hartanah. Lebih menghairankan lagi, kebijaksaannnya seakan sama dengan Li Sicheng. L… siapakah dia sebenarnya?

Su Qianci merenung skrin telefonnya buat beberapa ketika sebelum menaip: 'Siapa kamu?'

Seperti dijangka, tiada jawapan. Seakan sebutir batu yang dilempar ke laut, sedikit pun tidak menyebabkan alunan.

Su Qianci terus memegang telefon bimbitnya sambil berfikir. Tetapi ketika dia mahu meletakkan telefon itu, tiba-tiba satu lagi mesej diterima.

'Saya tak akan apa-apakan kamu.'

Ya, L tak akan apa-apakannya. Tetapi siapa dia? Gambar yang digunakan di akaunnya masih gambar kelabu putih yang sama sejak dulu. Semua maklumatnya tiada di akaun itu. Umur, tarikh daftar akaun, identiti… semuanya palsu. Siapa L sebenarnya… Beberapa kemungkinan mula muncul dalam fikiran Su Qianci.

L, ia pasti huruf hadapan namanya. Antara orang-orang yang dikenalinya, Luo Zhan, Lu Yihan, Li Jinnan, Li Beixing, Yu Lili, Liu Anan dan Lin Wanting mempunyai huruf L. Luo Zhan, Lin Wanting dan Liu Anan boleh dikecualikan. Jika Li Jinnan atau Li Beixing, mereka boleh memberitahu segala idea itu kepadanya secara berhadapan. Lu Yihan?

Su Qianci membuka mesejnya bersama Lu Yihan dalam telefon bimbitnya. Satu kepala monyet sedang tersenyum kepadanya dengan gigi besar berwarna putih pada gambar akaun Lu Yihan.

Lu Yihan seorang pelajar IT. Malah dia sudah menjadi 'Raja Penggodam' ketika dia masih bersekolah menengah. Pasti mudah untuk Lu Yihan mempalsukan lokasinya. Tambahan pula, lelaki itu menyimpan perasaan terhadapnya selama bertahun-tahun. Adakah ia bermakna… Jantung Su Qianci berdegup kencang ketika satu kemungkinan yang sangat logik dan buruk muncul di fikirannya.

次の章へ