webnovel

Selamatkan Dia, Selamatkan Dia!

編集者: EndlessFantasy Translation

Fikiran Rong Xuan terus bercelaru sebaik melihat kilang itu terbakar. Lelaki itu masih di dalam. Mereka masih ada di dalam! Anaknya, suaminya… Nafasnya menderu kencang dan dia mahu berlari ke kilang itu.

Polis wanita yang menjaganya segera menariknya dan berkata, "Jangan pergi, orang-orang kami dah ada di sana, mereka yang di dalam akan selamat."

Ya, polis ada di dalam. Tiada apa-apa akan berlaku!

Rong Xuan menunggu lama… Dia merasakan seolah-olah bertahun lamanya sebelum melihat seseorang berlari keluar. Susuk tubuh lelaki yang tinggi dan sedang mengendong seorang wanita hamil. Perut wanita hamil itu agak besar dan wanita itu kelihatan seperti sedang koma. Rong Xuan tidak peduli siapa wanita hamil itu. Sebaik sahaja melihat susuk yang tinggi itu, dia tahu: Itu dia, dia dah keluar.

Rong Xuan menarik nafas lega dan berlari ke arah lelaki itu. Rong Haiyue kelihatan tercungap-cungap. Sebaik melihat Rong Xuan, dia meletakkan Su Qianci ke bawah dan meninggalkannya bersama isterinya itu. "Telefon ambulans, dia pengsan disebabkan tersedut banyak asap. Pastikan kandungan dia selamat." Kemudian dia terus berpatah kembali ke dalam kilang terbiar itu.

Rong Xuan terkejut lalu bertanya, "Kamu nak ke mana?"

"Li Sicheng masih ada di dalam. Saya mesti selamatkan dia." Selesai mengatakannya, dia terus berlari masuk.

"Api itu sangat marak!" jerit Rong Xuan dengan suara yang amat ketakutan. "Terlalu bahaya!"

Rong Haiyue berpaling ke belakang. Wanita itu sedang ketakutan.

Apa yang kamu takutkan? Takut saya mati?

Rong Haiyue tiba-tiba ketawa kecil sebaik memikirkan perkara itu. Dia berpaling ke hadapan kembali dan terus berlari sambil menjerit dengan gembira, "Saya akan keluar kembali dan jumpa kamu!"

Sebaik mendengar jeritan itu, satu perasaan muncul dari tempat yang tidak diketahui jauh di lubuk hatinya. Api yang berbeza perlahan-lahan muncul dan membara…

Polis wanita yang menjaganya juga turut berlari ke dalam. Dua susuk tubuh itu hilang di dalam api yang kian marak itu. Rong Xuan terus menelefon ambulan, tetapi apabila ditanya alamat tempat itu, dia kebingungan untuk menjawab. Mana mungkin dia tahu alamat tempat itu? Dia langsung tidak biasa dengan Kingstown!

"Subbandar timur, kilang terbiar ke-8…" Satu suara lemah kedengaran di bahunya. Su Qianci memberitahunya dengan mata yang separuh terbuka.

Rong Xuan terus mengulangi alamat itu kemudian menelefon bomba.

Selepas itu dia membantu Su Qianci bangun dan menepuk mukanya perlahan. "Kamu okey? Minum air ini dulu." Dia menyuapkan Su Qianci air mineral yang dibawanya.

Su Qianci minum air itu, tetapi tiba-tiba dia menangis kembali.

"Rong Haiyue dah pergi selamatkan dia. Bertenang, tak ada perkara buruk akan berlaku," kata Rong Xuan.

Namun sebenarnya dia sendiri tidak pasti. Api itu terlalu marak. Malah langit juga sudah kelihatan merah. Debu-debu hitam terus beterbangan ke langit sebelum hilang ditiup angin.

Mereka berpaling serentak apabila sebuah kereta Porsche tiba-tiba muncul. Li Jinnan keluar dan kelihatan bingung apabila melihat Rong Xuan. "Su Qianci?" Sebaik melihat wajah Li Jinnan yang mirip suaminya, Su Qianci berasa sedikit lega lalu menghulurkan tangan dan memanggil, "Jinnan…"

Li Jinnan bergegas menghampiri dan mengangkatnya. "Apa yang berlaku? Mana abang?"

"Di dalam. Dia dipukul…" Su Qianci tidak dapat menahan tangisannya lagi. "Patah, banyak tulang patah… polis itu cakap kita tak boleh gerakkan dia… takut tulang akan tercucuk pada organ dalaman, tapi… api sangat marak… apa patut kita buat? Bagaimana dia mahu keluar…"

次の章へ