webnovel

Tunggu Saya

編集者: EndlessFantasy Translation

Mata Li Sicheng menjadi merah. Sebaik sahaja talian diputuskan, dia tiba-tiba menjadi buntu. Ou Ming tidak pernah melihat Li Sicheng seperti itu selama bertahun-tahun mengenalinya dan berasa sedikit tergamam. Kemudian dia cepat-cepat memegang lengan Li Sicheng dan berkata, "Sicheng, bertenang!"

Tangan Li Sicheng sedikit menggeletar. Walaupun dia sendiri tidak menyedarinya, Ou Ming melihat situasi itu dan segera memegang tangan Li Sicheng. Ou Ming jauh lebih tenang daripada rakannya itu. "Pandang aku!"

Li Sicheng menggenggam tangan Ou Ming dengan kuat sebelum mendongak dan berkata, "Ou Ming, aku kena pergi. Jangan beritahu Atuk atau sesiapa tentang ini. Aku akan balik segera bersama isteri aku." Kemudian Li Sicheng terus berlari ke arah lif. Fikirannya benar-benar buntu. Apa yang berada dalam fikirannya hanyalah jangka masa yang dia ada, iaitu 15 minit…

Su Qianci tiba-tiba menjerit dengan kuat dan mengejutkan semua yang berada di sekelilingnya. Salah seorang lelaki yang menjaganya bangun dan menutup mulutnya.

Puan Tang menghampiri Su Qianci lalu menendangnya sambil menyumpah, "Diamlah perempuan sial!"

Su Qianci berundur dan bergelut. Walau bagaimanapun, kedua-dua tangan dan kakinya telah diikat. Tidak kira bagaimana dia mencuba, dia tetap tidak dapat bergerak.

"Duduk diam-diam dan aku tak akan apa-apakan kau. Selagi suami kau serahkan anak aku, aku akan cuba halang mereka ini daripada rogol kau. Boleh?"

Hati Su Qianci runtun. Dia menggelengkan kepalanya dan menjerit, "Jangan! Jangan!"

"Tiada apa yang mustahil," Puan Tang mengetuk muka Su Qianci dengan sepucuk pistol hitam dan tersenyum sinis. "Sekarang kau takut? Merayulah kepada aku. Bukankah kau angkuh waktu di rumah keluarga Li tempoh hari? Merayu kepada aku dan aku mungkin akan lepaskan kau."

Air mata Su Qianci mula jatuh. Dia duduk meringkuk sambil mengetap bibirnya dan merenung tajam Puan Tang.

Puan Tang ketawa sinis. "Degil betul kau ya?" Kemudian dia bertanya kepada lelaki di sebelahnya, "Monyet dah sampai?"

"Dia dalam perjalanan."

Puan Tang mengangkat pistolnya dan mengelapnya sehingga bersih dengan wajah yang tenang. "Kau pernah dengar tentang HIV?"

Mata Su Qianci terbeliak dalam ketakutan.

AIDS?

"Jadi kau tahu apa dalam fikiran aku." Puan Tang mengangkat pistol itu dan mengisi peluru ke dalamnya. Kemudian dia mengacukan pistol itu ke dalam mulut Su Qianci dan berkata, "Boom!"

"Ah!" Su Qianci berpaling dan terus menangis teresak-esak. Seluruh tubuhnya menggigil ketakutan.

Puan Tang dan anak-anak buahnya ketawa beramai-ramai.

Su Qianci mengetap gigi dan cuba menahan dirinya daripada mengeluarkan sebarang suara. Tubuhnya menggigil dan dia merenung mereka dengan matanya yang gelap.

Puan Tang menikmati pandangannya itu. Dia bangun dan terus menendang Su Qianci. "Apa yang kau tengok, perempuan jalang!"

Su Qianci terus diam dan duduk mengerekot.

"Mana perginya suara kau?" Puan Tang menendang kaki dan pinggang Su Qianci dengan kuat menggunakan kasut tumit tingginya.

Su Qianci mengetap giginya dan kekal diam ketika tubuhnya terus menerima pukulan berkali-kali.

次の章へ