webnovel

Baik, Puan

編集者: EndlessFantasy Translation

Su Qianci cuba menahan dirinya daripada terus menangis dan menjawab, "Oh. Ayah, Ayah pergilah tidur. Selamat malam."

"Mari minum susu dulu sebelum tidur. Ayah dah panaskannya untuk kamu," kata Song Yifan.

Su Qianci berasa berat hati untuk keluar tetapi tidak mahu mensia-siakan usaha Song Yifan. Dia bangun dan berjalan ke pintu. Sebaik membuka pintu itu, dia tidak melihat Song Yifan sebaliknya…

Reaksi pertamanya ialah menutup pintu itu dengan segera, tetapi Li Sicheng terlebih dahulu menahan pintu itu dengan tangannya. Su Qianci cuba menghempas pintu itu sehingga tertutup tetapi dapat merasakan Li Sicheng sedang menahannya dengan kuat.

Bang!

"Aduh!" Li Sicheng sengaja menjerit dengan kuat. Su Qianci yang terkejut segera membuka kembali pintu.

Sebaik melihat Li Sicheng memegang jarinya, dia terus panik dan memegang tangan lelaki itu. Kelihatan kesan lebam biru dan ungu padanya. Dia terus bertanya, "Sakitkah?"

Li Sicheng tidak menjawab tetapi menggunakan tangannya yang tidak sakit untuk menarik Su Qianci ke dalam pelukannya.

Su Qianci terkejut dan mendongak lalu merenung mata Li Sicheng yang gelap itu. Disebabkan masih marah, Su Qianci bergelut untuk melepaskan diri tetapi dia bukan tandingan Li Sicheng. Tidak kira betapa kuat dia bergelut, lelaki itu langsung tidak bergerak. Su Qianci membentak, "Lepaskan saya!"

"Tangan saya sakit," kata Li Sicheng sambil memandang Su Qianci dengan wajah meminta simpati. "Kamu penyebabnya tetapi sekarang kamu mahu halau saya pula. Itu memang teruk."

Su Qianci terdiam kerana berasa bersalah. Dia melihat jari Li Sicheng yang membengkak dan kelihatan menakutkan. Ia kelihatan seperti sangat menyakitkan…

"Sakit sangat?"

"Mestilah!" rungut Li Sicheng.

Su Qianci berasa kasihan kepadanya, tetapi sebaik sahaja dia menyedari senyuman kecil pada wajah Li Sicheng, dia terus memalingkan mukanya dan berkata, "Kamu lemah betul sebagai lelaki."

Song Yifan terdengar kata-kata Su Qianci dan agak terkedu. Adakah seorang lelaki tidak boleh sakit? Sudah tentu sesiapa sahaja akan sakit apabila jari terkepit…

Walau bagaimanapun, Li Sicheng mengiyakannya sahaja. "Ya, saya lemah. Sebab itu saya perlukan isteri saya untuk sembuhkannya."

Nada merayu Li Sicheng membuatkan Su Qianci lembut hati. Dia memandang lelaki itu dan bertanya perlahan, "Jadi memang betul-betul sakit?"

"Ya, saya hampir mati sekarang."

Song Yifan tidak tahan lagi melihat situasi romantis itu dan segera berjalan pergi.

Su Qianci memegang tangan Li Sicheng dan membawanya ke bilik air. Dia melalukan air ke jari yang sakit itu. Bengkak tidak boleh terus disapu dengan ubat tetapi perlu disurutkan dahulu.

Li Sicheng memandang Su Qianci dengan pandangan lembut. Kemudian dia memandang ke bawah dan menyedari isterinya itu tidak memakai selipar. Su Qianci menjerit kecil apabila dipeluk secara tiba-tiba dan mendengar Li Sicheng berkata, "Pijak kaki saya."

Su Qianci tunduk dan melihat kakinya telah bertukar kemerahan kerana lantai yang sejuk itu. Dia menuruti kata-kata Li Sicheng dan memijak kakinya. Kemudian dia menutup paip sinki itu dan berkata, "Lepaskan saya."

"Kamu nak buat apa?"

"Pakai selipar."

"Untuk apa?"

"Saya nak pergi ambil ais dari dalam peti sejuk."

"Okey." Li Sicheng memeluk Su Qianci sambil berjalan dengan gembira ke dapur dan membuka peti sejuk. "Berapa kita perlu?"

"Seketul saja…" jawab Su Qianci. "Jangan lupa ambil tuala."

"Dekat mana?"

"Bilik air…"

Mereka menuju ke bilik air dan mengambil tuala.

"Sekarang apa?" Li Sicheng memandang Su Qianci.

Pipi Su Qianci kemerahan seperti buah epal ketika dia menjawab dengan suara perlahan, "Pergi dekat sofa…"

Wajah Li Sicheng kelihatan bersinar. "Baik, Puan."

次の章へ