webnovel

Tentera yang telah diabaikan oleh Yan Xun di Bandar Zhen Huang kini menjadi sasaran setiap keluarga untuk menjadi pahlawan yang telah menewaskan pengkhianat. Chu Qiao dan pasukan tentera tersebut telah berhadapan dengan pelbagai serangan hendap dalam masa beberapa hari sahaja. 

"Cik," He Xiao meligas menuju ke Chu Qiao semasa masih berada dalam samaran dan berbisik, "Peninjau dah tiba, tolong beri arahan kepada kami untuk serang!"

Chu Qiao yang masih lagi menundukkan kepalanya membalas dengan tenang, "Tunggu sekejap lagi."

"Tapi Cik, mereka hanya berada dalam jarak 200 kaki sahaja!"

"Tunggu sekejap."

"Kalau kita tunggu lagi, sia-sia sajalah serangan hendap kita!"

"Belum tiba masanya lagi."

He Xiao masih lagi cuba untuk memujuk Chu Qiao namun pada waktu itu bendera merah dan putih dikibarkan dari jarak jauh dan lantas dengan itu Chu Qiao berteriak, "Serang!"

Pada saat itu, laungan berkumandang di udara dan ribuan tentera yang telah siap bersenjata keluar dari semak-samun lalu menerpa ke arah musuh. Peninjau yang tidak berada dalam formasi mereka akibat dikerah serta-merta berada dalam kekalutan sebaik sahaja diserang.

Hal ini sememangnya membuka sebuah lagi kisah pembunuhan. Dengan pertimbangan yang boleh membawa maut, Chu Qiao mengambil peluang keemasan yang jatuh ke riba dengan menggunakan perangkap yang sempurna untuk mengepung lantas menumpaskan musuh dan pertempuran tamat dalam masa sejam sahaja. Chu Qiao telah menghantar saki-baki tenteranya untuk menyerang kumpulan yang sedang melarikan diri sebelum sempat mengejar kesemua kumpulan penghalaan pihak musuh! Setelah empat hari bersembunyi dan berlari, Garison Utusan Barat Daya yang digeruni ramai ini akhirnya boleh melepaskan geram di dataran kawasan Pergunungan Qiu Ping!

Hujan renyai mula membasahi bumi. Chu Qiao menyimpan pedangnya kembali ke dalam karungnya setelah menyapu wajahnya yang mulus dan pucat itu. Dengan nada yang tegas, dia mengarah, "Pahlawan-pahlawan semua, masa untuk berundur."

Sekumpulan tentera itu terus berteriak kegembiraan. Kemenangan besar itu telah menyelubungi hati mereka dengan kebanggaan bersama keiinginan untuk membalas dendam setelah empat hari menjadi pelarian. Kadang-kadang peluang untuk berperang hanya datang buat seketika dan apabila mereka terpaksa berundur ketika saat peperangan sedang berada di tahap kemuncak, ia menjadi hal yang paling sukar untuk dipatuhi walaupun bagi ahli baharu. Perasaan tidak gembira itu kelihatan terpancar pada wajah mereka namun disebabkan rasa hormat dan terima kasih mereka kepada gadis yang telah menyelamatkan mereka ini, mereka hanya berdiam diri. Namun begitu, mata mereka sudah menceritakan segalanya.

"Tentera semua, saya tahu apa yang kamu fikirkan." Gadis itu berdehem sebelum menyambung percakapannya, "Dalam waktu ini, semua suku keluarga dalam empayar dah siap sedia dengan senjata mereka. Inilah saatnya mereka nak tunjukkan keberanian mereka dan mencatat sejarah baru. Kita dah ada momentum dan kekuatan moral yang baik jadi kita tak boleh lepaskan peluang untuk menyerang dengan begitu saja. Tapi! Keadaan ini semudah yang kita sangka ke? Jawapannya tak! Empayar masih ada askar-askar lain dari golongan bangsawan dan setiap satu daripada mereka memang hebat-hebat belaka. Mereka ini pula memang sangat ramai. Mungkin mereka tak sempat tiba untuk pertahankan empayar sewaktu pemberontakan berlaku tetapi ia tak bermaksud yang mereka takkan datang selepas kita tewaskan tentera keluarga Maharaja Zhao! Setelah kita tewaskan tentera Zhao, mereka pasti akan mengacu senjata mereka kepada kita dan waktu itulah semua serangan kita mula luluh. Kalau tiada makanan dan ubat-ubatan, berapa lama kamu rasa kita boleh bertahan? Kalau penat sikit pun, musuh akan terkam kita tahu tak? Seekor singa yang penat pun akan jadi mangsa pada sekawan serigala. Jadi dahlah, kita dah penat dan ini masanya untuk pulang."

Setelah mendengar kalimat "pulang", mereka tiba-tiba berasa sebak. Sesetengah berharap yang Chu Qiao dapat menyangkal realiti mereka, "Tapi, Tuanku dah abaikan kami…"

"Betul itu, Cik. Kami dah tiada tempat tinggal."

"Kami pemberontak Empayar dan diabaikan oleh Yan Bei sendiri jadi ke mana lagi kami nak pergi?"

"Jangan percaya khabar angin itulah!" Tempik Chu Qiao. Walaupun gadis ini kelihatan lemah namun suaraya lantang. "Itu semua hanya taktik untuk menyebabkan perselisihan antara tentera Yan Bei! Tuanku takkan abaikan kamu semualah! Raja Yan Bei takkan pernah abaikan rakyat-rakyatnya!"

"Tapi Tuanku dah tinggalkan kami begitu saja. Kami nampak sendiri dengan mata kepala kami."

"Tak! Tuanku tak tinggalkan kamu! Dia suruh saya selamatkan kamu semua!"

"Jadi bantuan untuk kami hanyalah seorang saja?"

Chu Qiao mengangkat keningnya dan sebelum sempat mereka berbalah lagi, dia menyatakan, "Ya memang betul! Tapi saya berjaya kan? Tuanku percaya yang saya boleh lakukannya jadi sebab itulah dia biarkan saya lakukan tugas ini dan tengok, saya berjaya!"

Lantas dengan itu mereka terdiam sejenak. Walaupun situasi ini susah untuk diterima, tetapi inilah realitinya. Gadis lemah ini berjaya menyelamatkan lebih 4000 orang askar dari Garison Utusan Barat Daya seorang diri. Bersama askar-askar ini, dia telah berjaya melumpuhkan segala serangan hendap dan sekatan dari musuh dan terlepas dari pengepungan mereka.

"Pahlawan semua jangan berasa teragak-agak lagi! Sekarang mari kita tanam sahabat-sahabat kita yang dah terkorban dalam perlawanan tadi. Kita akan tinggalkan jasad mereka tetapi bukannya impian mereka. Kamu semua berjuang, bermandi darah dan terkorban semuanya demi negara. Sejarah takkan lupakan keberanian dan taat setia kamu itu. Sekarang ikut saya pulang!" Setelah itu Chu Qiao menundukkan kepalanya. Rambut ikal mayangnya jatuh ke sisi bak air terjun sewaktu dia menunduk.

Askar-askar itu masih lagi terdiam. Namun selepas itu, seorang demi seorang melutut dengan sebelah kaki lalu berteriak kegembiraan, "Kami akan ikut Cik!"

Pada hari itu, angin yang berhembus membawa bau hamis darah sejauh mungkin bersama laungan sorakan yang berkumandang di udara. Namun, askar-askar ini tidak tahu tentera yang mereka fikir sudah dihapuskan oleh mereka tadi sebenarnya bukan bertujuan untuk mencari dan memusnahkan Garison Utusan Barat Daya. Sebenarnya mereka merupakan pasukan yang terdiri daripada askar dari 11 orang bangsawan dan puak barat laut yang dipimpin oleh Zhao Yang untuk mengepung Yan Bei. Segala persediaan telah dilakukan seperti membawa bekalan makanan yang mencukupi, mengerah tenaga mereka yang berkemampuan untuk memberi bantuan logistik serta meneliti keadaan geografi Yan Bei. Setelah menjumpai peninjau terbaik dalam wilayah, mereka semua bersiap-sedia untuk menyerang sebaik sahaja pasukan tentera utama tiba. Dengan mensasarkan kenyataan Yan Xun belum lagi mengukuhkan kuasanya di Yan Bei, peperangan ini dikatakan mempunyai peluang kejayaan sebanyak 70%.

Akan tetapi, segala persediaan ini hancur berkecai disebabkan kemunculan Chu Qiao. Setelah mendengar khabar itu, tuan putera terdiam sejenak. Dia terus teringat akan satu susuk tubuh yang berdiri megah di menara pengawal pada malam itu.

"Tuanku, dah tiada harapan lagi untuk tawan Yan Bei. Patut tak kita musnahkan pasukan serang hendap ini?" 

Zhao Yang menundukkan kepalanya seakan-akan berfikir panjang. Kemudian dia mendongak kembali dan mengarah, "Ikan besar dah terlepas jadi tak payah nak tangkap udang-udang kecil itu lagi. Kembali ke Bandar Yun saja!"

Pada masa yang sama, sebuah khemah kelihatan di Cerun Bie Ya, Xi Ma Liang. Di hadapan khemah utama itu terpacaknya satu Bendera Pertempuran Helang Besi berwarna hitam. Cik Puan Yu menyelak tirai khemah lalu masuk ke dalam. Sebelum sempat dia membuka mulutnya, dia terdengar suara jengkel seorang lelaki, "Bukan ke saya dah cakap jangan datang balik?"

Langkah Cik Puan Yu terhenti dan dia terkaku sejenak. Setelah itu barulah dia perlahan-lahan berkata, "Tuan, ini sayalah."

Yan Xun menoleh dan setelah melihat kelibat Cik Puan Yu, dengan pantas pemuda bergegas ke arahnya dan membalas, "Cik Puan Yu rupanya. Kalau begitu Yan Xun minta maaf atas kelakuan saya tadi."

"Tak mengapa, Tuan." Senyum Cik Puan Yu. "Ah Jing datang ke tadi?"

Yan Xun mengangguk tanpa mengujarkan sepatah kata, namun riak wajahnya jelas kelihatan dalam kejengkelan.

"Tuanku, dah lebih sepuluh hari kita di sini. Saya rasa kita patut pergi." Cik Puan Yu menambah lagi, "Yan Bei berada dalam keadaan kucar-kacir sekarang. Setelah mendengar yang Tuan akan pulang, pelbagai suku keluarga di Yan Bei mula lakukan rusuhan. Kita dah banyak habiskan masa di sini."

Yan Xun mengeluh panjang. "Ya, saya faham."

"Mestilah Tuan faham. Tuan pun tahu kan akibatnya jika kita masih berlengah-lengah walaupun hanya untuk beberapa hari? Tapi tuan tak bertindak dengan waras. Tuan dah macam bukan orang yang saya kenal. Saya rasa kalau Chu Qiao yang berdiri di sini pun, dia pasti tak nak tuan mensia-siakan peluang yang ada. Kalau tuan tak tunggu di sini pun, Chu Qiao pasti akan dapat kembali ke Yan Bei dengan selamat dengan kebolehannya itu."

Yan Xun perlahan-lahan mendongak lalu menggumam, "Saya faham tapi saya masih risau. Kalau dia sampai dan tengok saya tak tunggu dia, dia pasti kecewa."

"Apa?" Ujar Cik Pun Yu dengan terkejut. Lelaki ini berkeras untuk mengetuai pasukan tenteranya mengambil risiko ini bukan kerana dia merisaukan keselamatan Chu Qiao, tetapi hanyalah kerana dia risau jika gadis itu akan berasa kecewa?

"Saya kelakar kan?" Yan Xun berseloroh sambil menggelengkan kepalanya, tertawa. "Selagi kita dinamakan manusia, kita pasti takkan terlepas dari membuat kesilapan. Saya dah tipu dia dan abaikan tentera dari Garison Utusan Barat Daya. Dia mungkin tak cakap apa-apa tapi jauh dalam sudut hatinya, dia pasti marahkan saya. Saya hanya nak terangkan kepadanya secepat mungkin."

Cik Puan Yu mengangkat keningnya, "Tapi…"

"Saya tahu." Sebelum sempat dia menghabiskan kata-katanya, Yan Xun memotong. "Kalau esok dia tak tiba juga, kita akan beredar."

Cik Yu mengeluh lalu mengangguk, "Kalau begitu, saya minta diri dulu."

Yan Xun berjalan bersamanya sambil berkata, "Saya akan iring awak keluar."

Selepas mereka keluar dari khemah, pedang tajam melayang di samping Yan Xun disertai dengan bunyi teriakan gemuruh. Yan Xun bertindak balas seperti seekor binatang yang berada dalam bahaya dan dengan derianya yang tajam, dia dapat bertindak dengan pantas. Tangannya mencapai pedang belati di pinggangnya lalu menepis serangan yang meluru ke arah, nyaris-nyaris terkena serangan maut namun dengan cekapnya dia membengkokkan badannya itu!

"Lindungi Tuanku!" Teriak Cik Puan Yu. Pada waktu itu, pengawal-pengawal sudah mara ke hadapan dan pertempuran itu berlangsung untuk beberapa ketika sebelum pembunuh upahan itu akhirnya ditangkap.

Yan Xun berdiri di tengah khalayak ramai itu dan berkerut sebaik sahaja melihat lelaki yang ditahan. Lantas dengan itu, dia pun berkata, "Kan aku dah cakap jangan sampai ada kali ketiga!"

Pembunuh upahan itu kelihatan berusia dalam lingkungan 20-an dan mempunyai wajah yang kacak. Raut wajahnya yang dulu kelihatan ceria apabila disinari sang suria kini dipenuhi dengan aura membunuh. Pembunuh upahan itu kemudian memandang Yan Xun lalu berkata dengan tegas, "Semua orang pasti akan cuba untuk bunuh pengkhianat macam kau lah!"

"Degil betullah si bodoh ini!" Dengus Yan Xun. "Zhao Song, ini betul-betul peluang terakhir kau. Disebabkan hubungan kita, aku lepaskan kau kali ini. Tapi kalau kita bertemu lagi nanti, aku takkan teragak-agak untuk berlawan dengan kau sepenuh kekuatan aku!"

Zhao Song tersenyum sinis. "Yan Xun, aku ingat kau ini dah tak berhati perut setelah kau bunuh ramai orang di ibu negeri maharaja. Kenapa kau beri belas kasihan kau kepada aku? Kau tak takut menyesal ke nanti sebab lepaskan aku hari ini?"

Yan Xun menoleh dan abaikan kata-katanya itu. "Lepaskan dia."

"Mana Chun'er?"

"Chun'er tak ada di sini!"

Zhao Song mengamuk. "Kau tipu!"

Yan Xun cuba mengawal kemarahannya lalu berteriak kembali, "Buang masa saja aku nak bawa Puteri Xia yang dah kehilangan status itu!"

Zhao Song berkerut dan akhirnya mempercayai Yan Xun. Dia mendongakkan kepalanya dan berkata, "Yan Xun, biar aku ulang sekali lagi. Mulai dari saat ini, hubungan kita selama lapan tahun ini sudah berakhir. Kita bukan lagi kenalan. Kalau kita bertemu lagi nanti, aku akan cuba untuk bunuh kau dan kau pun tak perlu teragak-agak untuk bunuh aku. Kau dah lepaskan aku buat kali ketiga jadi untuk balas balik budi baik kau ini, aku akan bunuh diri sebaik sahaja aku bunuh kau nanti. Nyawa yang kau beri pada aku ini, aku akan pulangkan balik dan anggaplah ia sebagai pembalasan dendam untuk rakyat-rakyat di Ibu Negara Maharaja!"

Yan Xun tidak memberi sebarang reaksi. Angin di Xi Ma Liang yang bertiup melayangkan jubahnya seperti seekor burung yang cuba mengepak untuk terbang. Wajahnya kelihatan tenang seperti lautan namun jauh di sudut hatinya, tiada siapa yang tahu apa yang difikirkannya. 

次の章へ