webnovel

Yan Xun membeku, dia tidak dapat melihat reaksi wajah gadis muda ini dan hanya mampu mendengar kata-katanya, lantas pemuda itu melepaskan genggaman tangannya perlahan. Sama ada dia tidak mengerti ataupun dia tidak pernah berfikir tentang hal ini.

Yan Xun mengangguk perlahan, "Baiklah. Kau pun berhati-hati."

Chu Qiao membalas dengan anggukan. "Jangan risau. Untuk jamuan selepas ini, aku takkan ikut kau, jadi kau akan keseorangan, tolong berhati-hati."

Apabila gadis itu berpaling untuk beredar, suara Yan Xun bergema dari belakangnya, "Ah Chu."

Gadis muda itu terpana dan berhenti dalam langkahnya.

"Sesiapa saja boleh mengkhianati aku atau tinggalkan aku, tapi aku harap bukan kau."

Chu Qiao tidak membalas, berdiri tercegat di situ sebelum bergerak ke pintu dan beredar dari bilik.

Yan Xun menutup matanya perlahan dan bersandar pada kerusi, menggumam sendirian, "Kalau kau tinggalkan aku, aku memang akan jadi sebatang kara di sini."

Salji yang ringan sedang turun di perkarangan istana. Gadis muda itu sedang memakai gaun berwarna hijau muda bersama jubah putih yang telah diberikan Yan Xun kepadanya. Angin yang bertiup menguraikan rambutnya yang panjang, menari-narikannya di udara. Chu Qiao berpaling untuk melihat sebuah kelibat yang berada di tingkap yang tidak berganjak buat masa yang lama.

Suasana di luar istana Ying Ge jauh berbeza dengan suasana di dalam. Di luar istana, ramai orang sesuku maharaja yang telah menghadirkan diri dan suasana tersangatlah meriah. Banyak patung jed yang berwarna-warni telah diletakkan di luar pintu gerbang istana Ying Ge, dan lantas membuatkan satu laluan yang terus menghala ke astaka Duang Mu kepunyaan Puteri Kelapan Zhao Chun'er. Karpet telah dibentangkan di atas tanah bersalji bersama orang-orang gaji istana di kedua-dua belah jalan sedang berpakaian ranggi, astaka itu pun telah dihiaskan dengan cantik dan terang.

Semua orang telah berkumpul di astaka Duan Mu sejak awak pagi lagi. Maharaja sendiri pun telah menghadirkan diri untuk merahmati majlis tersebut, bersama sorakan daripada orang ramai. Alat muzik sizhu itu berbunyi gemersik di astaka membuai-buaikan telinga setiap orang yang mendengar. Seekor kuda pertempuran berdiri di tepi Jalan Chang Hua yang bersuasana senyap dan sepi. Gadis muda yang sedang berpakaian tentera dan berjubah hijau itu memacukan kudanya ke belakang dan melihat lampu-lampu yang berkelipan dari kejauhan. Riak wajahnya tenang dan bersahaja.

Langit menghitam dan angin bertiup kencang dan membeku. Dunia kelihatan sunyi sepi secara tiba-tiba dengan angin yang menghembus pada anak-anak rambutnya di dahi yang berjurai dan lantas membuatkan mukanya kelihatan lebih sugul.

'Aku yang dah pilih jalan ini untuk diri aku sendiri. Daripada mula lagi, kehidupan ini tak boleh ditarik balik, dan kita hanya boleh bergerak ke hadapan. Dunia ini tak pernah memberikan aku peluang untuk berasa sesal dan aku takkan biarkan emosi aku untuk mengganggu-gugat perancangan kau. Sebelum dendam dibalas, kestabilan empayar ini masih belum terjamin. Bagaimana boleh terlintas mengenai generasi yang akan datang?'

'Yan Xun, aku takkan tinggalkan kau. Aku akan berada di sisi kau selagi kau masih perlukan aku, menunggu saat di mana kau menguasai seluruh empayar ini. Orang penakut sahaja yang berasa sedih dan orang yang lemah saja yang akan merungut. Aku takkan berbuat begitu. Aku tak berasa sedih dan takkan pernah berasa sedih.'

Bunyi deringan jam bergema kuat dan lantas mercun api dinyalakan menerangi langit bersama iringan sizhu. Bunyi perbualan yang meriah kedengaran jauh datang dari astaka Duan Mu, menyambut majlis yang meriah ini.

"Cepat pergi!" Gadis yang kelihatan sugul ini melibaskan cemetinya di dalam angin yang membeku ini, membatukan bibirnya semasa dia menunggang untuk beredar dari kawasan tersebut.

Di dalam istana yang meriah itu, Yan Xun berdiri dan merenung ke arah langit yang kelam dan sejuk di luar, terdiam buat masa yang lama.

Sehelai jubah berwarna putih salji terbentang di atas meja di dalam bilik di istana Ying Ge yang kesepian. Ia kelihatan baru tanpa sebarang habuk.

"Kita dah berkenalan selama lapan tahun. Kita dah merasai kepayahan hidup bersama-sama. Semuanya akan berakhir tak lama lagi. Selepas semuanya selesai di sini, kita akan pulang ke Yan Bei dan mari…"

Mari...Mari kita berkahwin. Kita akan bersama dan takkan tinggalkan masing-masing…

Namun, segala apa yang bermain di mindanya itu tidak dapat diuturkan di mulut, dan lantas dibotolkan jauh ke dalam hatinya. Takdir ini bagaikan api yang bersemarak tinggi yang selalunya hanya memberikan satu peluang dan setelah peluang tersebut pergi, maka ia akan pergi buat selama-lamanya.

Persekitaran di dalam istana Sheng Jing sangat gamat namun secara tiba-tiba, bunyi teriakan keperitan dapat didengari datang dari luar istana di sebelah barat laut! Zhao Che yang terkejut terus meluru keluar dari khemah tanpa memakai kasut butnya pun, memandang ke langit sebagai kompas. Suasana di sana amatlah huru-hara dengan banyak tanda-tanda pembunuhan secara besar-besaran dan juga api yang bersemarak telah berlaku. Pasukan tentera yang telah keluar untuk memperbaiki jalan telah mengerumuni Pasukan Berkuda Tanpa Gentar dengan penuh rapi.

Sesuatu yang besar telah berlaku!

Zhao Che mengangkat keningnya dan lantas mengarahkan para tentera yang berada di sisi, "Ambil semua senjata!"

"Tunggu sekejap," Sebuah suara dingin tiba-tiba mengarah. Zhuge Yue keluar dari khemah dan berkata, "Kau tak boleh pergi."

Zhao Che merenung tajam ke arah pemuda ini yang telah datang tanpa dijemput, lalu mendesis, "Kenapa kau ada di sini?"

"Tengoklah di sana. Rumah siapa itu?"

Zhao Che merenung di kejauhan, dan berasa seriau untuk memikirkan nama puak yang terlintas di fikirannya.

Puak Muhe!

Seekor burung putih menghinggap di lengan Zhuge Yue, paruhnya tajam dan bermata merah, jenis yang sama seperti burung yang telah dicekik mati oleh Yan Xun tidak lama dahulu. Burung tersebut berdiri di atas lengannya dengan penuh tenang, mematuk lembut jari-jemari Zhuge Yue. Dia lantas melayani burung tersebut sambil berkata, "Puak Muhe dah disabit kesalahan dengan kes pecah amanah. Muhe Yunye dah melutut di hadapan istana Sheng Jin seluruh tengarahi, berharap untuk berhadap dengan Maharaja, namun gagal. Kenapa perkara itu boleh terjadi? Perkara ini berlaku tidak semena-mena. Daripada maklumat yang didapati, hinggalah ke sabitan kesalahan, semuanya berlaku dalam masa setengah hari. Ia tidak dirancang. Siapa yang akan percaya benda itu? Puteri Kelapan, Zhao Chun'er, akan bertunang pada malam ini, dan Maharaja tidak menyeru kau untuk hadir ke majlis penting itu pun. Walaupun kau tak rapat dengan Maharani Dowager, Zhao Chun'er itu masih adik kandung kau. Kenapa perkara ini berlaku? Puak Muhe, yang ada kena-mengena dengan kau, sedang dihapuskan… Kau yang berkuasa dalam bidang ketenteraan sepatutnya mendapat kawalan penuh terhadap situasi ini. Kenapa pasukan tentera di luar itu lebih banyak dari pasukan tentera kau? Mereka langsung tak pedulikan kau. Apa yang mereka tunggu-tunggu? Kau masih tak faham?"

Zhao Che akhirnya tersedar apa yang sedang berlaku. "Kau nak cakap yang Ayahandalah yang…"

"Tak semestinya," Balas Zhuge Yue sambil melepaskan ketawa. "Maharaja telah meletakkan kau ke dalam Pasukan Berkuda Tanpa Gentar mungkin hanya kerana dia nak menguji kau. Dia nak pastikan sama ada nama keluarga kau yang sebenarnya Zhao ataupun Muhe. Pasukan tentera di luar itu mungkin tidak dihantar oleh Maharaja tapi aku boleh pastikan yang mereka semua nak tengok kejatuhan kau."

Zhao Che seorang yang cerdik namun barannya sering mengaburi pertimbangan, dan lantas menyebabkan dia selalu tidak bertindak secara rasional. Jika difikirkan kembali, apa yang diuturkan Zhuge Yue itu masuk akal jadi pemuda itu pun mula berpeluh seram sejuk.

"Orang itu nak kau bertindak melulu, jadi mereka menghantar sekumpulan tentera yang kecil untuk mengerumuni kawasan kem. Tapi, saat kau menjejakkan kaki di luar kem, kau akan dianggap sebagai pengkhianat dan orang-orang yang akan mengejar kau selepas itu bukanlah kumpulan tentera yang kecil macam ini."

Kening Zhao Che pantas diraih dan dia berfikir untuk masa yang lama sebelum membalas, "Kenapa kau nak tolong aku?"

"Sebab kau putera Muhe Nayun. Selepas kejatuhan puak Muhe, pengaruh Zhao Qi semakin meningkat, dan bondanya daripada puak Wei. Kebetulan pula aku ni tiada kena-mengena dengan keluarga Wei." Zhuge Yue melepaskan ketawa sambil masih merenung pemuda itu. "Dalam sekelip mata saja kita boleh mempunyai musuh yang sama."

Zhao Che mendesis dan menempelak, "Walaupun puak Muhe dihapuskan, kenapa kau fikir yang aku akan bekerjasama dengan keluarga Zhuge?"

Zhuge Yue mendongak ke langit sambil mendepangkan lengannya. Burung yang masih terjegat di atas lengan jejaka itu sejak dari tadi terus mengepak-ngepakkan sayapnya dan terbang dari pandangan. Dia yang langsung tidak menoleh itu berjalan keluar sambil berkata, "Kalau kau tak nampak betapa pentingnya perkara ini, aku takkan berada di sini sekarang."

Zhao Che menundukkan pandangannya dan berfikir panjang. Setelah beberapa langkah, dia pun berkata dengan serius, "Kau selalunya tak ambil peduli hal-hal sebegini. Kenapa tiba-tiba kau nak masuk campur pula?"

Zhuge Yue yang telah berjalan beberapa langkah di hadapan Zhao Che itu berkata lembut, "Aku cuma tak suka budak Zhao Qi itu."

Seluruh malam telah berlalu pergi namun keadaan huru-hara masih lagi tidak pudar. Rakyat-rakyat Bandar Zhen Huang yang sudah lali dengan perkara tersebut tidak keluar dari rumah mereka, terlalu takut untuk menjenguk keluar pun. Teriakan berterusan dari subuh hinggalah ke senja tanpa henti dengan kejadian kebakaran, api hitam yang berkepul-kepul, dan tangisan keperitan yang amat menyedihkan.

Penghapusan puak Muhe telah dijangka-jangka sejak dari dulu lagi. Walaupun tiada sesiapa yang menyangka situasi tersebut akan menjadi seburuk itu; seluruh puak Muhe akan dibunuh, Maharaja berani untuk melakukan pembunuhan secara besar-besaran, namun puak Wei dan juga Zhao telah memaksa mereka untuk menghadapi kecelakaan ini.

Namun puak Muhe langsung tidak bersiap sedia. Walaupun mereka telah menjadi keluarga yang berpengaruh sejak seratus tahun dahulu, mereka masih dihapuskan dengan mudah, tanpa sebarang tindakan balas untuk mempertahankan diri.

Pertempuran tersebut hampir tamat apabila subuh menjelma dan ketiga-tiga Muhe Xiweng, Muhe Xili dan juga Muhe Yunxiao telah dibunuh di situ juga. Lebih 2000 tentera daripada puak Muhe telah mati. Muhe Yunye dan setiap ahli keluarga puak Muhe, daripada ibu tua sehinggalah bayi yang baru dilahirkan, semuanya telah ditangkap dan penjara negeri menjadi sesak dalam sekelip mata.

Pada masa yang sama, pintu gerbang bandar telah ditutup, dan pergerakan setiap rakyat bandar telah dikawal. Zhao Song, Putera Maharaja Ketiga Belas, telah mengetuai pasukan tentera bersama tugasan untuk membawa lambang keluarga Muhe dan juga pengisytiharan rasmi palsu untuk berkunjung ke pasukan tentera Dong Chui Ke-23 dan Ke-26, Tentera Darat Tenggara, dan juga Tentera Laut Tenggara ke-16. Motif mereka ialah untuk mengwar-warkan berita yang Muhe Yunye, ketua puak Muhe, telah meninggal dunia akibat sebuah penyakit, dan mereka telah berbuat begitu untuk menyeru Muhe Xichi, Muhe Xisheng, Muhe Xiye dan juga cucu termuda Muhe Yunye, Muhe Jingran, untuk pulang ke ibu negara supaya mereka dapat memilih siapakah yang akan menjadi ketua puak yang terbaru.

Apabila komander dari keempat-empat bala tentera itu menjejakkan kaki mereka di Bandar Zhen Huang, mereka terus ditangkap oleh pasukan tentera maharaja, dan akhirnya harapan terakhir puak Muhe dihapuskan juga.

Namun, pada malam yang sama, Song Duan, cucu Muhe Yunye, telah meloloskan diri dari penjara ibu negara yang dikawal ketat, dan berjaya melepaskan diri dari pintu gerbang bandar dan terus meluru ke timur dengan kudanya.

Keluarga Muhe berasa gembira, dan Muhe Yunye yang kebingungan memejamkan mata lantas mengalirkan air mata, menggumam dia telah menghampakan nenek moyangnya.

Tiga hari kemudian, cucu lelaki Jeneral Meng Tian dan anak angkat perempuannya, Meng Zhan dan Meng Feng, telah mengetuai pasukan tentera Meng ke timur untuk mengejar puak Song yang telah bersekongkol dengan puak Muhe untuk memberontak. Puak Song yang telah mendengar berita tersebut menjadi panik dan ketua puak Song terus menawarkan Song Duan dan juga puteri Muhe Yunye, Muhe Minglan kepada pasukan tentera Meng, namun tawaran tersebut telah ditolak. Setelah berbalas panahan, pasukan tentera tersebut meneruskan pembunuhan secara besar-besaran mereka dan dalam kurang dari lima hari pun, puak Song yang merupakan puak utama Huai Dong telah dihapuskan.

Dalam sekelip mata sahaja dua puak besar yang berkomplot sesama sendiri telah dihapuskan. Pada hari ke 28 dalam bulan ketiga, lebih daripada 4000 orang dari puak Muhe dan juga Song telah dihukum bunuh di platform Jiu You. Sehingga Gundik Ting, Muhe Nari dan juga Gundik Xiang, Muhe Lanxiang, pun telah dihidangkan wain beracun lalu mati tidak beberapa lama kemudian.

Pada hari pembunuhan besar-besaran di platform Jiu You, rakyat-rakyat Bandar Zhen Huang berebut-rebut untuk menyaksikan keadaan ini dan serta-merta bandar tersebut menjadi hiruk-pikuk tidak pernah dilihat.

Keseluruhan puak, bersama-sama pencapaian dan juga kemegahan mereka telah ditanam enam kaki ke bawah, menghilang disebabkan kekacauan yang telah berlaku. Mereka merupakan salah sebuah pengorbanan supaya maharaja dapat mengembalikan kuasa mutlaknya. Ahli-ahli berpengaruh dan ternama daripada keluarga tersebut, yang dahulunya menggemari barang-barang mewah, kini telah bertemu ajal mereka semasa kepala dipenggal jatuh ke tanah di dalam tangan kerajaan ibu negara. Segala percakapan tentang dunia yang sempurna dan tenang kini hancur bagaikan habuk yang berterbangan.

次の章へ