webnovel

Han Yufan, Kamu Memang Tidak berhati Perut!

編集者: EndlessFantasy Translation

Peragawati Terkenal Antarabangsa? Dia tidak pernah berfikir sejauh itu. Dia cuma mahu memberi tumpuan pada masa sekarang…

…untuk mengajar Han Yufan dan Mo Yurou balasan untuk perbuatan mereka.

12pm. Sebelum pertemuan di Tianyi. Han Yufan yang sudah lama tidak makan tengahari bersama dengan Tangning, tiba-tiba membuat keputusan untuk membawanya makan di restoran mewah di bawah. Dia turut menempah meja dan mengaturkan makan tengahari bertemankan lilin. Tangning tidak memberi sebarang reaksi apabila terpandang bunga mawar yang dipasangkan dengan lilin. Dia duduk selepas Han Yufan menarik kerusi untuknya.

"Saya sudah pesan stik bahagian daging bahagian pinang kegemaran kamu…"

Tangning terkejut buat seketika sehinggakan dia kehilangan kata-kata. Nampaknya, meskipun selepas lima tahun berpasangan, Han Yufan masih tidak tahu apa yang digemarinya.

"Apa masalahnya? Kamu tidak suka kah?"

Sewaktu Tangning hampir memberi jawapan, tukang masak muncul di sisi mereka memegang dulang. Dia berpusing kepada Tangning. "Cik Tang, hari ini kita ada stik filet kegemaran kamu. Saya mewakili Restoran Frederick mengucapkan tahniah atas perkahwinan kamu…"

Mendengarkan perkara ini, air muka Han Yufan berubah tetapi dia terlalu malu untuk berkata apa-apa. Dia hanya menukar pinggan Tangning dengan diam dan berkata, "Citarasa kamu sudah berubah."

"Terima kasih, tapi kami belum lagi berkahwin," Tangning menerangkan kepada tukang masak tersebut sambil mengendahkan Han Yufan. "Kamu memang memberi perhatian. Saya hanya menyebutnya sekali dan kamu masih ingat."

Tukang masuk tersebut beredar dengan sopan. Tangning kembali berpusing menghadap Han Yufan.

"Lain kali saya akan ingat apa yang isteri saya suka makan!" Han Yufan mengingatkan dirinya.

"Cepat, makan. Kita perlu balik dan bincangkan skrip tersebut." Tangning mencemuh di dalam hati tetapi tetap mengawal ketenangannya. Pada masa itu…dia menerima satu SMS dengan tajuk 0819. Apabila dia membuka pesanan tersebut, dia sedar itu merupakan teks daripada Mo Ting.

0819 adalah semalam, tarikh perkahwinan mereka.

"Stik itu daripada saya. Apa yang tukang masak tersebut maksudkan adalah…tahniah untuk perkahwinan KITA."

Tangning melepaskan tawa dan membalas pesanan tersebut daripada bawah meja. "Macam mana kamu tahu di mana saya akan berada?"

"Saya ada cara untuk mengetahui apa yang saya mahu tahu," Mo Ting menjawab soalannya dengan tenang.

Tangning memegang telefon bimbitnya sambil melontarkan pandangan ke sekeliling restoran tersebut. Namun begitu, Mo Ting tidak berada di mana-mana. Walaupun dia tidak tahu bagaimana Mo Ting boleh mengaturkan sesuatu yang begitu bertimbang rasa, dia dapat merasakan yang lelaki itu berada berdekatan…

…Mo Ting mempunyai aura seperti raja yang tidak dapat diendahkan atau dinafikan orang lain.

"Tangning, apa yang kamu pandang?" Han Yufan bertanya sambil melambai-lambai tangannya di hadapan mata Tangning. Pandangan matanya penuh persoalan.

"Oh, tak ada apa apa…" Tangning menggelengkan kepalanya dan dengan tenang, menukar topik perbualan. "Yufan, bila kita akan kembali mendaftarkan perkahwinan kita?"

"Selepas semua ini selesai. Kamu tahukan Anugerah Peragawati Sepuluh Teratas akan datang akan menjadi peluang besar untuk Mo Yurou mengembangkan kerjayanya. Tangning, dia bertuah kerana mempunyai kamu. Kalau tidak, Yurou akan musnah kali ini." Han Yufan menuangkan wain merah kepada Tangning dan mengangkat gelasnya pada gelas Tangning.

"Saya akan bantu kamu dapatkan apa hak kamu," Tangning tersenyum lembut. Lesung pipitnya membuatkan dia kelihatan lebih cantik.

Walau bagaimanapun, Han Yufan ketika itu tidak sedar langsung akanTangning. Hatinya sudah terpikat setelah bertahun-tahun terbiasa dengan godaan ranjang Mo Yurou. Jadi, dia langsung tidak menyangka yang kata-kata Tangning mengandungi maksud tersembunyi.

"Tangning, kamu sudah merana…"

Tangning tahu bahawa makan tengahari ini dikira sebagai ganjaran kecil untuk segala apa yang akan dilakukannya nanti. Namun, ganjaran ini hanyalah satu topeng untuk menyorokkan niat sebenar Han Yufan.

"Dan juga, selepas sidang media itu, hubungi pengurus kamu. Untuk berurusan dengan dia, nampaknya kita perlu menggunakan pendekatan undang-undang."

"Baiklah," Tangning mengukir senyuman manis.

Walau bagaimanapun, dia tidak akan membenarkan Han Yufan menyentuh Long Jie walau apa cara sekalipun.

2pm. Di dalam dewan utama Tianyi, wartawan daripada semua jenis media sudah berkumpul. Kesemua mereka begitu berminat untuk mengetahui apa yang akan dikhabarkan oleh Tangning.

Semua orang mempunyai soalan untuk Tangning. Bermula daripada mengapa dia tiba-tiba berundur daripada perhatian umum kepada mengapa dia bersetuju menjadi peragawati naungan Tianyi kepada apa yang sebenarnya berlaku padanya menjadi pengganti Mo Yurou. Semenjak dia berundur daripada bidang peragaan, dia hanya mendiamkan diri. Sangat sukar mencari berita buruk mengenainya.

Hari ini merupakan peluang terbaik buat para wartawan…

3pm. Berpakaian pakaian yang polos dan ringkas, Tangning muncul dengan pengawal peribadi di sisinya. Dia perlahan-lahan berjalan ke atas pentas dan duduk menghadap khalayak ramai. Para wartawan berebut untuk mengajukan soalan pertama kepadanya.

"Tangning, nama kamu kekal pada tempat pertama dalam kedudukan pencarian dan terus berada pada kedudukan tersebut. Adakah kamu membuat bayaran untuk kekal begitu?"

"Tangning, kamu dan Mo Yurou kedua-duanya peragawati di bawah Tianyi. Tapi kebelakangan ini, hanya Mo Yurou yang mendapat perhatian. Adakah kamu dibekukan oleh syarikat dan dengki pada popularitinya?"

"Tangning, adakah kamu mencetuskan kekusutan ini untuk publisiti?"

Berhadapan dengan situasi yang kecoh itu, kakitangan syarikat segera melangkah untuk menenangkan para wartawan, menjadikan keadaan kembali terkawal. Akhirnya, Tangning dibenarkan bercakap.

"Pertamanya, saya ingin memohon maaf kepada semua pihak kerana telah merosakkan reputasi syarikat dan menyebabkan orang ramai mempersoalkan kewibawaan Cik Mo Yurou."

"Sewaktu Pertunjukan Bintang Tiara HF, saya membuat keputusan itu sendiri. Pihak syarikat dan Mo Yurou tidak tahu saya akan muncul di pentas. Apa yang berlaku tiada kaitan dengan syarikat saya, Tianyi ataupun Cik Mo Yurou."

"Saya memang sengaja mencetuskan kekecohan! Tetapi, pengurus saya tiada apa-apa kaitan. Dia hanya dipergunakan oleh saya. Saya membuat keputusan untuk menerima semua tanggungjawab. Terima kasih untuk kesabaran anda, terima kasih."

Selepas Tangning berucap, dewan tersebut menjadi riuh-rendah.

Para wartawan berasa tidak senang. Mereka tidak pernah menyaksikan selebriti yang mengaku kesalahan mereka dengan mudah dan begitu berterus terang. Orang lain pasti akan cuba mengelakkan situasi tersebut tetapi Tangning menerima semua kesalahan tersebut dengan mengatakan ianya tiada kaitan dengan pengurusnya, syarikatnya atau Mo Yurou.

Tangning menyangkakan bahawa dengan itu, semuanya sudah berakhir. Namun, tanpa dijangka Han Yufan rupanya sudah menyediakan sesuatu. Bagi membuktikan bahawa Tangning seorang yang gilakan perhatian, dia membenarkan pengarah artis untuk merapati Tangning dan menghadap pihak media. "Ini bukan kali pertama dia melakukan perkara seperti ini. Tetapi, syarikat ini dan saya akan memberikannya satu peluang terakhir. Tangning, saya harap kamu boleh belajar daripada kesilapan dan jangan melampaui batas lagi."

Bukan kali pertama…tujuan ayat itu diucapkan sudah jelas untuk menolak dakwaan Long Jie. Sekarang ianya kelihatan seperti setiap kali dia menggantikan Mo Yurou di masa lalu, dia sengaja mencari perhatian untuk dirinya.

Han Yufan, kamu memang tidak berhati perut!

Tangning hanya mendiamkan dirinya sambil tunduk memohon maaf kepada pihak media. Kemudian, dengan perlindungan kakitangan syarikat, dia diiringi keluar daripada dewan utama tersebut.

Dengan segera, para netizen dihasut benci. Memandangkan Tangning sudah mengaku semuanya, orang ramai hanya melihat apa yang terlihat pada permukaannya dan terus diamuk marah. Kakitangan di Hai Rui turut menganggap perkara tersebut seperti bahan jenaka.

Mo Ting yang baru sahaja keluar daripada mesyuarat terdengar perbualan para pekerjanya. Dia berpusing kepada pembantunya yang segera menceritakan apa yang berlaku di sidang media hari ini. "Presiden, adakah kamu mahu melakukan apa-apa untuk membantu Cik Tang?"

"Tidak. Belum lagi. Saya mahu melihat sendiri bagaimana dia menguruskan perkara ini." Mo Ting membalas lembut. Dia sudah menyebut sebelum ini bahawa dia begitu ingin tahu bagaimana Tangning akan bertindak balas. Disebabkan dia sudah menolongnya dua kali sebelum ini, kali ini dia mahu melihat bagaimana Tangning akan menyelesaikan masalah ini dengan sendiri.

Sebagai isteri Mo Ting, adakah dia akan membiarkan perkara begini mematahkan semangatnya?

次の章へ