webnovel

Budak Lelaki Di Bar

編集者: EndlessFantasy Translation

Lima tahun kemudian, di Eden Wine Bar, bahagian tengah koridor tingkat atas.

Sepanjang malam, Ning Xi menemani para pelabur bersuka ria di bar. Dia mengalami sakit kepala yang sangat teruk, dan cuba mencari tempat yang tenang untuk menyegarkan dirinya. Dia tidak sangka Chang Li akan mengikutnya keluar. Dia cuma boleh bersiap sedia secara mental untuk berhadapan dengan Chang Li.

"Kak Chang, apa yang kakak nak?"

"Ning Xi, biar akak tanya. Kamu ada mohon untuk uji bakat bagi watak wanita utama dalam <Dunia Ini>?"

"Ya, betul. Jadi?"

"Kamu tak boleh hadir esok!" Walaupun Chang Li mewakili Ning Xi sebagai pengurusnya, dia kini menasihatinya untuk melupakan uji bakat bagi watak utama yang amat besar dalam industri hiburan.

Ning Xi tidak terkejut dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh pengurusnya. Dia cuma mengangkat alis matanya sambil bertanya, "Apa sebabnya?"

"Pertama sekali, kamu senyap saja pasal hal ini dan langsung tidak beritahu akak. Kamu pula minta sebabnya? Ada lagi. Tak akan kamu tak tahu syarikat sudah mengaturkan untuk Ning Xueluo menghadiri uji bakat itu?"

"Kalau saya hadir ke uji bakat itu sendiri, saya tak mengganggu aturan syarikat." Ning Xi senyum padanya. "Adakah Ning Xueluo yang suruh akak bercakap bagi pihaknya? Dia takut dengan orang baharu dalam industri yang masih tidak dikenali ramai? Dia takut saya akan curi wataknya?"

"Kamu cukup berbakat untuk bersaing dengan dia ke? Kamu memang gila untuk bercakap pasal impian yang sangat mustahil! Sekarang baik akak beritahu kamu, jangan sia-siakan usaha kamu. Keluarga Ning sudah melabur 30 juta yuan dalam drama ini. Watak utama itu pasti akan diberikan kepada Ning Xueluo!"

"Betulkah? Habis, apa yang akak risaukan sangat?"

"Kamu tu artis bawah jagaan akak! Kamu kena ikut peraturan yang akak tetapkan untuk kamu!" jawab Chang Li dengan tegas.

"Oh, macam tu Kak Chang. Perasan juga akak saya ni artis bawah jagaan akak."

"Ning Xi, akak tiada masa nak gaduh dengan kamu. Nampaknya kamu tak mahu terima nasihat baik akak. Kalau kamu nak juga pilih jalan yang sukar, jangan salahkan akak bila akak tiada belas kasihan!"

Sebaik sahaja dia mengeluarkan kata-kata itu, Ning Xi ditolak dengan kasar. Belum sempat dia bertindak balas, dia telah ditolak ke dalam bilik stor bar itu. Telefon bimbitnya turut dirampas.

BANG! Pintu itu dihempas kuat dan terus dikunci.

Derap kaki di luar pintu kian tidak kedengaran.

Ning Xi sedar bahawa menjerit pun tidak berguna, Ning Xi bersandar pada pintu dan duduk di atas lantai tanpa kata.

Semasa Ning Xi baru sahaja menyertai syarikat ini, Ning Xueluo masih mengawal Ning Xi. Perempuan itu telah mengarahkan Chiang Li untuk memberikan semua watak jahat kepadanya. Namun kebelakangan ini, dia telah melampaui batasan sehinggakan helah bodoh seperti menguncinya di dalam bilik stor turut digunakan.

Jika dia tidak dapat watak utama yang diidamkan kali ini, dia terpaksa memikirkan cara untuk keluar daripada Hiburan Cahaya Bintang.

Semasa dia sibuk berfikir dan termenung, tiba-tiba dia terdengar bunyi kecil.

Jangan-jangan ada tikus di sini?

Ning Xi menjenguk kepala ke arah bunyi itu. Dia terkejut.

Di sebalik timbunan kotak, dia ternampak seorang budak lelaki kecil.

Budak itu seperti sekitar empat hingga lima tahun dan ciri-ciri muka seperti jed halus yang diukir, putih dan lembut bagaikan roti ban yang kecil. Dia bersembunyi di sudut bilik dan menggigil. Matanya yang hitam penuh curiga dan dia dalam keadaan yang terkejut.

Eh, macam mana pula ada budak lelaki kecil di dalam bilik stor bar ini?

Tak akan ada pelanggan yang dah hilang akal dan bawa masuk kanak-kanak ke dalam bar?

"Hei, Ban Kecil, apa nama kamu? Macam mana kamu masuk ke sini?"

"Kamu tersilap masuk ke?"

"Ada orang yang mengunci kamu di sini?"

"Kamu nak makan gula-gula?"

Setelah bertanya buat sekian lama, budak kecil itu masih senyap. Dia tidak berhenti menggigil, seperti mangsa dalam ketakutan.

Ning Xi berhenti bercakap. Hal ini langsung tidak ada kena-mengena dengannya.

Dengan itu, seorang wanita dewasa dan seorang budak kecil masing-masing mengambil tempat di sudut mereka tanpa bercakap.

Pada masa itu, lampu siling mula berkedip, dan bilik bertukar menjadi gelap.

Dalam kegelapan itu, Ning Xi terdengar bunyi. Apabila dia mengamati bunyi itu dengan teliti, dia menyedari bunyi itu adalah getaran gigi budak kecil itu.

Ning Xi tidak dapat mengawal dirinya daripada ketawa. Dia menghadap ke arah budak kecil itu dan bertanya, "Kamu takut pada kegelapan?"

Bunyi getaran gigi tersebut berhenti selama sesaat, dan kemudian berbunyi dengan lebih kuat lagi.

Oh, kenapa pula dia makin takut?

Ning Xi mengibas punggungnya dan bangun dari sudutnya. Dia berjalan ke arah budak lelaki kecil itu.

次の章へ