webnovel

Upacara Pengebumian

編集者: EndlessFantasy Translation

Satu upacara pengebumian diadakan di tanah tandus bahagian barat daya Pekan Sempadan.

Sebenarnya ia tidak sesuai digelar tanah tandus. Namun tanah sekangkang kera yang sebelum ini hanya terbiar kini sudah disempadani dinding batuan kasar rendah dan dilitupi salji. Dari jauh, ia kelihatan seperti garis ufuk berwarna perak. Walaupun dinding rendah itu mudah dilangkau dengan sekali langkah sahaja, Van'er menyamakannya dengan tembok kota Pekan Sempadan – kedua-duanya sama warna dan bentuk.

Van'er pernah mendengar tentang upacara ini daripada saudagar-saudagar yang keluar mengembara untuk berniaga. Apabila seorang bangsawan atau ahli keluarga mereka meninggal dunia, keluarga si mati akan berkumpul di sebuah tapak perkuburan, lagu sedih akan dimainkan dan semua pengunjung akan berkabung sebelum keranda direndahkan ke dalam sebuah lubang. Lebih tinggi status si mati, majlis pengebumiannya akan dibuat dengan lebih besar-besaran.

'Orang mati pula diraikan lebih daripada orang hidup', fikir Van'er dengan sedikit perasaan iri. Apa terjadi jika seseorang dari Pekan Sempadan meninggal dunia? Sebuah lubang akan dikorek di pinggir Hutan Kabut dan ditimbun dengan tanah. Mungkin sahaja makhluk iblis akan mengorek mayat itu keluar dan membahamnya semasa Bulan Kunjungan Iblis.

Kematian sudah menjadi perkara biasa bagi penduduk Pekan Sempadan, lebih-lebih lagi setiap kali musim sejuk apabila mereka berhijrah ke Kubu Longsong. Semua orang akan berhimpit-himpit tinggal dalam rumah setinggan. Kematian akibat kebuluran, kesejukan, penyakit atau kecederaan sudah tidak menghairankan mereka lagi. Tiada siapa larat untuk bersedih. Lebih baik mereka menjimatkan tenaga mereka untuk mengemis sekeping roti di pusat bandar apabila subuh menjelang keesokan harinya.

Namun begitu, hari ini Yang Amat Mulia Putera Roland mengadakan sebuah upacara pengebumian untuk seorang askar sahaja!

Menurut apa yang didengarnya, askar yang terkorban itu sedang mengejar seekor makhluk iblis kacukan tetapi dia dihempaskan ke tanah dan separuh kepalanya dibaham.

Van'er kenal askar malang itu, mukanya sering dilihat di Daerah Lama. Dia tidak terkenal dan semua orang hanya memanggil dia Ali. Dia ada seorang isteri dan dua orang anak. Anak pertamanya berusia kira-kira enam tahun dan yang bongsu pula baru sahaja pandai berjalan.

Selalunya dalam keadan seperti ini, keluarganya tidak akan mempunyai harapan lagi. Mungkin si balu boleh mencari suami lain. Tetapi siapa mahu bersusah-payah menjaga dua orang budak? Mungkin mereka berdua akan dibuang ke jalanan dan dipaksa mencari makan sendiri. Atau si ibu boleh cuba menyara mereka dengan bekerja sebagai pelacur di bar dan akhirnya mati akibat pelbagai penyakit aneh.

Namun begitu, Putera Roland mengotakan janji Baginda semasa menubuhkan angkatan tentera awam dahulu. Jika ada askar tercedera di medan perang, dia bukan sahaja akan menerima gaji penuh, tetapi Baginda akan memberikan imbuhan lain juga. Apa istilah yang digunakan? Van'er cuba mengingat kembali…. oh, ya. Pampasan. Pampasan sebanyak lima keping emas.

Selain itu, bekalan makanan dan arang akan diberikan setiap bulan. Maknanya balu Ali masih boleh menyara anak-anaknya walaupun dia sendiri tidak bekerja. Tiada jaminan sehingga bila bekalan ini akan berterusan, tetapi wang lima keping emas itu memang sudah pasti. Van'er telah melihat sendiri Yang Amat Mulia Putera Roland menyerahkan pampasan itu ke dalam tangan ketua kesateria yang kemudian menyerahkannya pula kepada balu Ali.

Nanti, kenapa dia tiba-tiba cemburukan Ali pula? Tidak, tidak. Van'er menggelengkan kepalanya untuk membuang fikiran buruk itu. Dia tidak mahu isterinya mendapat pampasan kerana itu bermakna dia perlu mati… dan kemungkinan besar isterinya hanya akan kahwin lain sahaja.

Selepas penyerahan pampasan itu, Putera Roland mula bertitah. Ucapan Baginda singkat tetapi menyentuh hati Van'er. Terutamanya ayat "Kita tidak akan lupakan mereka yang mengorbankan nyawa mereka demi melindungi orang tersayang serta orang tidak bersalah." Selepas mendengar ayat itu, hatinya rasa terharu. Sebab itulah baru-baru ini, selain roti dan kepingan perak yang dia terima sebagai gaji, Van'er merasakan dia ada matlamat lain untuk perjuangan ini – sekurang-kurangnya tahun ini mereka meneruskan hidup dengan tulang dua kerat mereka sendiri dan bukan bergantung harap kepada simpati Kubu Longsong.

Upacara terakhir sekali adalah penguburan. Keranda Ali dimasukkan ke dalam sebuah liang lahad yang telah siap digali. Ketua Kesateria menyuruh semua orang beratur dan setiap seorang ahli angkatan tentera awam, tidak kira sama ada anggota rasmi atau anggota tambahan, akan tampil ke hadapan sambil memegang sebatang cangkul untuk menaburkan tanah ke dalam liang lahad itu. Semua orang sudah biasa dengan arahan untuk beratur kerana lebih 200 orang terus membentuk empat barisan dengan serta-merta. Apabila tiba giliran Van'Er, tiba-tiba cangkul yang dia pegang terasa berat. Mata semua rakan sepasukannya tertumpu kepada dia lalu memperlahankan semua pergerakannya.

Selepas Van'er melangkah ke tepi, matanya menatap pula orang seterusnya dalam barisan.

Batu nisan Ali adalah satu bongkah putih berbentuk segi empat sama tetapi Van'er tidak memahami satu patah pun perkataan di atasnya. Kubur Ali bukan kubur pertama di tanah tandus ini. Di sebelahnya ada satu lagi batu nisan berbentuk sama tetapi bahagian atasnya sudah dilitupi salji. Apabila semua orang sudah pulang, Van'er melihat kapten barunya, Brian, menuang sekole ale ke atas kubur pertama itu.

'Jika ini tempat persemadian terakhir saya, rasanya boleh tahan juga,' tiba-tiba ini terlintas di hatinya.

"Tuanku." Semasa dalam perjalanan pulang ke istana, Carter bersuara. "Jadi Tuanku buat begitu untuk…"

"Adakah ia tidak patut?"

"Bukan." Carter berfikir lagi tetapi kemudian menggeleng kepala. "Patik pun tidak berapa tahu. Cuma tiada siapa pernah melakukan begini untuk anggota tentera – mereka tiada gelaran mahupun sejarah keluarga, malah ada yang tiada nama pun."

"Namun awak masih rasa senang hati dengannya, bukan?"

"Oh..."

Roland tersenyum. Dia sudah mengagak Carter tentu akan tertarik dengan upacara ini kerana dia juga menganggap tugas mempertahankan negara dan maruah sesuatu yang terhormat. Apabila tentera mula sedar tujuan dan matlamat perjuangan mereka, seluruh angkatan mengalami perubahan luar biasa. Ini memberi kesan mendalam kepada diri Carter; apabila kehormatan sudah tidak menjadi hak mutlak golongan bangsawan, seorang rakyat jelata yang tiada apa-apa tetapi berlatih keras atau rajin belajar masih boleh mendapat kehormatan dengan mempertahankan kediaman mereka. Ini akan membuatkan mereka rasa puas hati tidak terhingga.

'Tetapi upacara pengebumian awam ini baru permulaannya sahaja,' fikir Roland, dan dia masih ada banyak kaedah lain untuk membuat mereka rasa lebih bangga, seperti rekaan panji-panji rasmi, gubahan lagu perang, pengiktirafan tokoh keberanian dalam kalangan mereka, dan banyak lagi.

Setiap semangat tentu ada asal-usulnya tersendiri. Hanya latihan setiap hari tanpa jemu akan berjaya menyemai idea ini lalu mencapai hasil diinginkan. Untuk memastikan sistem pengendalian ini berjalan lancar, Roland menubuhkan satu pasukan kecil yang terdiri daripada dia sendiri bersama Dewan Perbandaran dan pasukan tentera awam untuk memastikan bekalan makanan dan arang diagihkan secara berterusan.

Ketika rancangannya bertambah maju, Roland pula merasakan bebannya menjadi semakin berat. Pekan Sempadan masih terlalu mundur walaupun penduduknya sudah mula hidup lebih makmur. Bekalan makanan masih mencukupi dan setakat ini tiada siapa mati kebuluran atau mati kesejukan. Keadaan ini tentu mustahil dapat dilihat di pekan-pekan lain. Walau di Bandar Diraja sekalipun, pusat pemerintahan Kerajaan Graycastle, kedatangan musim sejuk sentiasa membawa maut kepada ramai pelarian atau anak yatim setiap tahun.

Tetapi Roland mahu lebih daripada itu. Beban kerja Dewan Perbandaran sudah hampir mencecah hadnya. Semua pengurusan kewangan dan pentadbiran diandalkan kepada Pembantu Menteri Barov serta beberapa belas pelatihnya. Jika Roland mahu mengembangkan jabatan ini, dia mesti melantik beberapa orang pengurus. Dia pernah bertanya Barov sekiranya ada pelajar atau rakan sekerja Barov yang pintar dan masih ada di Bandar Diraja, tetapi jawapannya tidak memberangsangkan. "Kalau ada pun, mereka tidak akan datang ke sini. Tuanku, Tuanku tahu betapa buruknya nama Tuanku di Bandar Diraja?"

'Elok sangatlah kalau begitu', Roland berfikir dengan kecewa.

Di laman belakang istana, Nightingale melangkah keluar dari Kabus dan memeluk Wendy yang sedang menunggu di luar bangsal kayu itu. Lightning berkeliaran di sekeliling jentera pengorek berkuasa wap yang masih tidak siap itu dan sebaik sahaja melihat Roland, dia terus berkeras mahu membantu memasang jentera automatik itu.

Apabila melihat keadaan ini, Roland merasakan usahanya selama ini sangat berbaloi.

次の章へ