webnovel

Kuatkan Diri

編集者: EndlessFantasy Translation

"Mana Anna?"

Nana mendengar bunyi tapak kaki berlari menaiki tangga dan berkejar ke pintu untuk melihat siapa yang datang. Dia sedikit kecewa sebaik melihat Putera Roland di hadapan pintu.

"Dia masih bekerja lagi. Tapi mungkin dia akan datang nanti."

"Kerja?" Sejak kebelakangan ini Putera Roland sering menuturkan perkataan itu. "Maksud Tuanku, dia sedang membakar serbuk kelabu itu?"

"Ya, buat masa ini."

Nana mencebik dan kembali ke mejanya. 'Saya pun ada kerja juga.' Dia memujuk dirinya dalam hati. 'Saya bertugas di sini dan merawat orang yang cedera semasa mempertahankan pekan ini.'

"Kenapa? Awak bosan apabila Anna tak ada, ya?" Roland tersenyum lembut. Dia mencapai sebuah kerusi dan duduk di sebelah pendiang api.

"Sebenarnya…" Nana menundukkan muka. Sejujurnya, dia tidak sanggup merawat orang cedera. Ia begitu… mengerikan.

Dia masih ingat lagi semasa dia mula-mula merawat Brian. Brian dibawa kepadanya dengan berlumuran darah dan ketulan-ketulan darah beku berwarna merah keperangan berkeruping di atas dadanya yang hancur. Darah merah bergelembung putih berbuih-buih dari celah bibirnya yang kering. Sebaik Nana melihatnya, dia terus pitam.

Dia berasa sungguh malu.

Nana mengangkat muka untuk mula bercakap dengan putera itu tetapi dia mendapati Putera Roland sudah berdengkur perlahan di kerusinya. 'Baginda pun tentu kepenatan,' fikirnya dalam hati. 'Dia begitu sibuk membina tembok kota dan melatih askar untuk melindungi Pekan Sempadan daripada serangan makhluk iblis.'

Semasa Putera Roland mula-mula menjemputnya untuk tinggal di istana baginda, dia mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan, tetapi akhirnya bersetuju.

"Awak akan menemui perkara-perkara yang membuatkan awak mahu meneruskan hidup, walaupun awak sudah hampir mahu berputus asa." Nana tidak memahami maksud kata-kata Anna itu tetapi apabila dia memejamkan mata, wajah Anna muncul di dalam fikirannya. Mata birunya begitu tenang ibarat tasik tanpa riak dan membuatkan dia rasa begitu selamat. Nana bersetuju untuk membantu Roland hanya kerana Anna.

Dia mahu jadi sekuat Anna.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi tapak kaki dari tingkat bawah. Nana bergegas bangun dari kerusi, fikirnya mungkin itu Anna. Tetapi dia dihalang satu tangan halimunan.

"Nanti, ada lebih daripada seorang."

Nana mengurut dada. "Terkejut saya, Nightingale."

Pintu biliknya ditolak masuk dan Brian yang bertugas menjaga tingkat bawah terus masuk. "Cik Pine, tolong turun bawah. Ada orang melecur."

'Inilah tugas saya, bukan?'

Nana memejamkan mata dan menarik nafas dalam. "Baik, sekejap lagi saya datang."

Nana menuruni tangga. Di tingkat bawah, dua orang pengawal sedang membaringkan seorang lelaki yang merintih sakit di atas katil. Di sebelah mereka, seorang lelaki bertubuh kecil berdiri dengan wajah kelihatan risau. Brian mendekati mereka dan mengikat kaki serta tangan lelaki cedera itu ke besi katil. Kemudian dua pengawal itu mengarahkan lelaki bertubuh kecil tadi keluar sebelum menarik langsir yang menyembunyikan katil itu.

"Apa yang berlaku?" Roland turun ke bawah sambil menggosok matanya.

"Tuanku, kami bawa lelaki ini dari lombong di cerun utara. Nampaknya dia melecur teruk."

Putera itu memerhati lelaki itu. "Ini luka melecur terkena wap. Ada apa-apa masalah dengan enjin wap itu? Siapa bawa dia ke sini?"

"Orang yang membawanya ada di ruang hadapan, Tuanku." Brian menunjuk ke pintu.

"Beta akan tanya dia apa terjadi. Awak tunggu di sini," kata Roland sambil keluar dari ruang bertutup langsir itu.

Nana perlahan-lahan mendekati katil dan mencuri pandang lelaki itu dari ekor matanya. Dia melihat kulit muka lelaki itu sudah cair sepenuhnya. Kulit sawo matangnya kini kelihatan pucat kerana kekeringan air dan tersidai dari tengkoraknya seperti kain buruk. Lepuh-lepuh sebesar mangkuk menggelembung di atas lehernya, malah ada lepuh yang sudah pecah. Lendir bercampur darah membuat bantalnya basah lencun. Dalam cahaya pendiang api yang meliang-liuk, lelaki itu kelihatan lebih mengerikan daripada syaitan.

Nana yang terkejut berundur beberapa langkah dan menutup matanya. Apabila dia membukanya semula, dia melihat ayahnya memandang dia dengan penuh bimbang.

"Kamu tak apa-apa?

Nana sekadar mengangguk dan dia teringat kata-kata Roland kepadanya. "Bayangkan awak sedang rawat haiwan kecil yang cedera." Mengingatkan kata-kata itu, dia kembali mendekati katil itu dan melunjurkan tangannya.

Satu perasaan kuat membahang di sekeliling tubuhnya dan dia menumpukan sebahagian kecil daripada tenaga itu ke tapak tangannya. Satu pancaran cahaya hijau keluar dari tapak tangannya menuju ke muka orang cedera itu. Walaupun Nana dapat melihat cahaya hijau itu dengan jelas, orang lain tidak dapat melihatnya. Mereka hanya melihat luka itu berubah rupa. Kulit yang melecur tadi tertanggal dan kulit baru terbentuk di bawahnya.

Rintihan lelaki itu perlahan-lahan semakin reda. Pernafasannya juga menjadi semakin dalam dan sekata seolah-olah dia tertidur.

Nana menghela nafas lega. Kemahiran merawat saya sudah bertambah baik berbanding sebelum ini, bukan?

"Oh, Tuhan. Adakah ini kuasa penyembuh yang dikatakan Tuanku? Ini kali pertama Patik melihatnya," kata Tigui Pine kekaguman. "Anakku sayang, kamu sangat hebat!"

"Ini semua kuasa dewa-dewa," kata Brian. "Saya sangat berterima kasih kepada Nana kerana merawat saya semasa saya cedera dulu."

'Aduh, mulut tempayan betul.' Nana menepuk dahi. 'Dia tak ingat Nightingale curi-curi bawa saya keluar untuk merawat dia?'

"Bila?" Tigui bertanya dengan bingung. "Kenapa saya tak tahu?"

"Sebenarnya… Kuasa itu bukan datang dari dewa. Kuasa seorang ahli sihir ialah milik dia sendiri." Roland menyelak langsir dan menyampuk perbualan dua orang lelaki tadi. "Bagaimana keadaan pesakit?"

"Sudah pulih sepenuhnya!" Brian berkata girang. "Seolah-olah dia tak pernah cedera pun! Tuanku, dengan kuasa Cik Nana, semua orang ada harapan untuk mengharungi Bulan Kunjungan Iblis dengan selamat!"

"Asalkan orang itu tidak mati serta-merta, memang ada peluang untuk Nana menyelamatkan dia." Putera Roland mengangguk dan memberi isyarat kepada Brian untuk cuba mengejutkan lelaki cedera itu. "Awak Kepala Besi, bukan?"

Kepala Besi cuba duduk perlahan. Dia bertanya perlahan, "Adakah… adakah ini mimpi?"

"Tidak," kata Roland. "Awak masih hidup."

"Awak… saya pernah lihat awak di dataran pekan." Lelaki itu kemudian mula menyedari individu yang berada di hadapannya. Dia terus turun dari katil dan melutut. "Tuanku Putera Roland! Adakah Tuanku yang selamatkan saya?"

"Anak perempuan Tigui Pine yang selamatkan awak. Dia ahli sihir dengan kuasa penyembuh."

Nana serta-merta merasa cemas. Patutkah Baginda terus mendedahkan identitinya semudah ini? Lihat, air muka pesakit itu tiba-tiba berubah. "Ahli… ahli sihir? Tuanku, bukankah ahli sihir itu syaitan dan…"

"Jaga sikit mulut awak!" Tigui bingkas berdiri dan menengking Kepala Besi. "Anak saya tak ada apa-apa kaitan dengan syaitan! Dia sudah selamatkan nyawa awak! Awak ingat ada syaitan yang baik hati seperti itu?"

"Bukan, bukan! Saya minta maaf atas keterlanjuran saya," Kepala Besi menundukkan kepalanya. "Cik sudah selamatkan nyawa saya. Terima kasih, Cik Pine."

Perasaan Nana kini bercampur-baur. Dia mahu berlari keluar dari bilik itu. Tetapi ada suara dalam fikirannya yang mengingatkannya untuk "kuatkan diri".

Setelah Kepala Besi dibenarkan pulang, Tigui Pine bertanya dengan risau, "Tuanku, Tuanku pasti dengan tindakan Tuanku? Kalau Tuanku buat begini, Patik bimbang anak Patik tidak boleh hidup seperti orang biasa."

"Ada hikmahnya, Encik Pine," kata putera itu. "Jika kita ambil kesempatan daripada kejadian ini untuk mendedahkan Nana, kelak Nana akan berpeluang untuk benar-benar hidup bebas. Jika tidak, identitinya tetap akan terbongkar satu hari nanti. Ketika itu, Beta pun mungkin tidak mampu berbuat apa-apa selain menyembunyikan dia sahaja."

Benar-benar… bebas? Nana tidak pasti tentang itu, tetapi sekarang dia sudah rasa bebas. Namun jika apa yang dikatakan Putera Roland benar, maknanya Anna juga boleh keluar dari istana satu hari nanti. Mungkin Anna akan kembali ke sekolah Cikgu Karl?

次の章へ