webnovel

Episode 60 : Menyesal

Flashbacks

         "Agnes...kenapa awak buat begini pada kami...bagaimana dengan anak kita?"

        "Saya dah beri peluang kepada awak untuk perbaiki diri awak Elijah..tapi apa yang saya dapat?Saya sanggup tinggalkan keluarga saya demi awak..saya sanggup meninggalkan kekayaan demi awak...dan sekarang awak masih beri alasan kepada saya supaya saya tunggu lebih lama?"

         "Saya akan ambil ujian itu sekali lagi dan bantu keluarga kita...jadi bertahan la sekejap lagi..."rayu Elijah semasa menepuk belakang anak berusia setahun setengah yang sedang terlena. Memandang kecewa akan isterinya yang sedang berdiri dengan tangan bersilang di dada.

         "Saya dah tidak tahan lagi untuk hidup susah begini...makan pun susah, pakaian pun entah sudah berapa lama tidak berganti, hendak dikata berias tu jangan cerita...bersolek pun susah!Lima tahun saya bersama dengan awak Namun tiada satupun perubahan...saya bosan awak tahu...bosan!"

         Air mata bergenangan di kelopak mata Elijah. Dia pandang penuh terkilan dengan apa yang didengarnya. "Kalau awak tinggalkan saya, bagaimana dengan anak kita?"

         "Dia anak awak...awak jugalah dia. Saya tidak mahu ada kaitan dengan awak lagi apatah lagi dengan anak tu.."beritahu Agnes memandang ke depan dengan muka tiada perasaan.

         Menggigil hebat bibir Elijah mendengar ucapan itu. "Macam tu saja?Selepas apa yang kita lalui, awak ambil keputusan untuk berpisah dengan saya?Meninggalkan anak yang awak telah kandung susah payah ini?"

         "Cukup Elijah. Tandatangan saja surat penceraian kita. Dan saya akan kembali ke keluarga saya selepas ini. Selepas ini jangan menemui saya lagi. Anggap saja saya telah mati!"arah Agnes.

Elijah memeluk erat tubuh kecil dalam pelukannya itu sebelum mengucupnya dengan sedih, air mata berjuraian turun ke pipi.

         "Saya minta maaf kerana tidak dapat bahagiakan awak Agnes...saya tahu saya bukan dari keluarga berada..selain awak dan anak kita...tiada apa-apa yang saya perlukan saat ini..tolong..fikirkan semula keputusan awak ni.."mintany dengan sebak.

          "Tidak. Keputusan saya muktamad!"

         "Agnes...saya merayu. Sekiranya awak enggan bersama dengan saya...jangan tinggalkan anak kita sendirian...dia masih kecil...apa yang dia tahu selain merindukan ibunya sendiri.."rayu Elijah dengan terdesak.

         "Hentikannya Elijah. Berapa kali saya beritahu. Saya enggan meneruskan perkahwinan ini. Dan saya tidak mahu menjaga anak ini...saya mahu pergi dari sini dan keluar dari rumah lapuk dan tempat tidak bertamadun ini...tandatangan surat penceraian itu sekarang!"bentak Agnes keberangan.

End of flashbacks

Puan Agnes tunduk memandang dua mafela yang telah siap dilipat dengan renungan dalam. .Tangannya mengusap lembut permukaan kain mafela hasil kait tangan tersebut beberapa kali sebelum diletakkan ke dalam kotak.

Seusai dia menutupi kotak tersebut, Puan Agnes bangun dari kerusi lalu bergerak ke arah pintu bilik. Dia jalan menyusuri koridor sebelum disapa beberapa orang maid dan butler yang mana dia balas dengan senyuman nipis di bibir.

Selepas berjalan seketika, satu tingkat anak tangga dia turuni lantas membelok ke kanan koridor sebelum berhenti di hadapan sebuah bilik dimana pintunya tidak tertutup.

Puan Agnes berdiri seketika di depan muka pintu tersebut setelah melihat tuan punya bilik sedang tunduk mengemas pakaian untuk dibawa balik ke asrama nanti.

          "Ricardo?"panggilnya perlahan tidak lama kemudian.

          Tersentak anak itu sebelum berdiri tegak memusingkan badan ke arah pintu. "Ya ibu."'

          Puan Agnes tersenyum nipis kepada Ricardo sebelum tunduk memandang kotak di tangannya sewaktu berjalan masuk ke bilik. "Ini...ada sesuatu untuk kamu.."beritahunya.

          Mata Ricardo serta merta mengerling ke kotak merah putih dalam tangan Puan Agnes. "Apa tu?"tanya dia.

          "Mafela. Ibu kaitkannya untuk kamu. Ada dua di dalamnya. Sekiranya kamu enggan memakai kedua-duanya sekali, kamu berikannya kepada rakan kamu.."ujar Puan Agnes saat menyua kotak tersebut kepada Ricardo.

          Ricardo menerimanya dengan kedua belah tangan. "Terima kasih ibu."ucapnya dengan senyuman nipis di bibir.

          Puan Agnes mengangguk kepala. "Kamu tidak lupa bukan sambutan ulang tahun kelahiran kamu malam hujung minggu nanti."tanya dia saat tunduk membantu menyimpan pakaian yang siap berlipat ke dalam peti pakaian Ricardo.

          "Ingat ibu. Oh ya...sebelum terlupa. Ricardo ada seseorang yang ingin dikenalkan kepada ibu nanti."beritahunya dengan ceria saat meletakkan kotak tadi ke dalam peti bersama-sama dengan pakaian lain.

           Tersenyum senang mendengarnya, Puan Agnes pandang Ricardo. Buat pertama kali dia melihat senyuman di bibir itu. "Siapa pula tu?Lelaki atau perempuan?Tak pernah-pernah ibu lihat kamu gembira seperti ini?"

           "Perempuan...kami kawan aje...ibu jumpa dia nanti ya?"Ricardo tutup peti pakaiannya lalu dikunci dengan kemas sebelum menurunkannya dari katil.

           "Sudah tentu. Ibu mahu juga lihat..siapalah orang yang berjaya buatkan anak ibu seorang ni tersenyum.."kolar dan pakaian Ricardo dikemaskan sambil Puan Agnes beritahu.

Ketika itulah Ricardo bertentang mata dengan mata Puan Agnes sebelum hati kecilnya terdetik.

          "Ibu tahu...bila saya pandang ibu ni buat saya teringat pada kawan perempuan saya yang seorang ni.."ujarnya yang teringatkan mata bundar Darra. Serius beritahu dia baru teringat bahawa Darra juga mempunyai feature wajah seakan ibunya jika Darra berpakaian seperti cik muda.

           Terangkat tinggi kening Puan Agnes apabila dengar. Dia agak terkesan dengan kenyataan tersebut. "Iya ke?"

          "Mm...saya rasa ibu dan dia hampir seiras saja."beritahu Ricardo lagi.

           Tidak memikirkan apa-apa yang lanjut Puan Agnes mengangguk kepala mengiyakan saja kata-kata Ricardo. "Sudah..kamu akan lewat pula nanti untuk ke akademi.."gesanya menolak perlahan Ricardo supaya lekas keluar.

          "Ya-ya...nak gerak keluar la ni.."Ricardo angkat peti pakaiannya dan keluar bersama Puan Agnes di sisi.

Semasa Puan Agnes berjalan di belakang Ricardo dia pandang belakang kepala itu dengan renungan teragak-agak. Tangannya sibuk menguntil hujung jari keresahan.

          "Ricardo..."panggil tidak lama kemudian.

           Ricardo pun menoleh. Dia berhenti dari berjalan untuk menghadap Puan Agnes. "Kenapa ibu?"

            "Soal Duke Elijah yang dikatakan pernah menyuruh kamu menjaga anak lelakinya, adakah dia pernah bercerita tentang anak perempuan?"

            Kening Ricardo berkerut tidak mengerti. "Duke Elijah tiada anak lelaki ibu. Beliau hanya mempunyai anak perempuan." beritahunya.

            "Tapi ayah kamu menceritakan kepada ibu bahawa Duke Elijah mempunyai anak lelaki?"

             Dengan kekok Ricardo menggaru belakang kepalanya. "Panjang kisahnya kalau nak diceritakan. Tapi apa yang saya boleh beritahu, Duke Elijah telah samarkan anak perempuan kepada nama lelaki dan membiarkan anak perempuannya itu menjalani kehidupan seperti seorang budak lelaki sehingga sekarang..."

Terkedu Puan Agnes mendengarnya.

           "Saya tak tahu kenapa Duke Elijah berbuat begitu, tapi saya yakin pasti ada sebab kenapa Duke Elijah enggan mengakui anak beliau sebagai anak perempuan. Sebab itu ayah minta saya untuk menjaga anak Duke Elijah sewaktu dia berada di akademi..."

Begitu tertampar dengan kenyataan itu Puan Agnes menarik senyuman kelat kepada Ricardo ingin menyembunyikan perasaan terkejutnya.

           "Yalah...itu saja ibu mahu tahu."

Ricardo berpaling semula ke depan dan kembali meneruskan langkahnya.

Mereka berdua keluar dari situ hingga ke laman rumah agam. Ricardo dihantar dengan menaiki kuda tungangan lelaki tersebut.

Setelah menghantar Ricardo pergi, Puan Agnes kembali masuk ke dalam sebelum bertembung dengan suaminya. Duke Brett baru sahaja tiba dari tingkat atas sedang berdiri di depan anak tangga.

            "Sire hendak bertolak pergi sudah ke?"tanya Puan Agnes dengan senyuman di bibir.

            Duke Brett mengangguk. "Ya. Adakah Ricardo baru saja pergi?"

            "Ya sire. Dia datang untuk mengambil pakaian musim sejuknya."beritahu Puan Agnes dengan perlahan. "Sire mahu makan dahulu sebelum bertolak keluar ke istana ke?"

            "Tidak perlu. Saya perlu segera keluar. Madam makan sajalah dulu."ujar Duke Brett sebelum lelaki itu berlalu pergi melewati Puan Agnes begitu saja.

Sudah terbiasa dengan semua itu, Puan Agnes beri tundukkan kecil saat suaminya beredar. Walaupun sudah berbelas tahun berlalu, sehingga sekarang dia merasakan kosong sahaja jiwanya. Tiada sedikit rasa perasaan hangatnya berkeluarga atau bersuami.

Apa yang Puan Agnes rasai adalah perasaan kosong yang tidak tenteram. Ya dia tahu dia yang bersetuju untuk mengahwini Duke Brett ketika lelaki itu baru saja kematian isteri dengan aturan keluarganya sendiri. Bukan atas Dasar suka sama suka. Jadi Puan Agnes sedia maklum apa yang berlaku seterusnya. Tapi semua ini terlalu sunyi untuknya.

Rumah besar.

Duit melimpah ruah.

Senang dan selesa.

Tetapi dia tidak menyangka yang dia akan sentiasa terngiang-ngiang mengingati momen dimana hidup susahnya sewaktu bersama bekas suaminya dahulu. Memang dulu hidupnya serba tidak sempurna dan banyak kurangnya, tapi sekurang-kurangnya dulu dia dapat merasai apa itu hidup bekeluarga. Bekas suaminya juga sangat penyayang dan rajin meluangkan masa sekalipun sibuk dengan kerja dan belajar pada masa yang sama.

Air mata bergenangan di kelopak matanya tanpa sedar.

Selamat 17 tahun, Puan Agnes hidup bersama dengan perasaan serba salahnya. Mulanya dia fikir memiliki harta dan kekayaan adalah segalanya. Namun baru setahun berpisah dengan bekas suami dan anak perempuannya, dia dihantui dengan mimpi dan kenangan lama yang menjadi punca kenapa Puan Agnes tidak mempunyai anak dan hubungan suami isteri bersama suami baru serta anak tirinya masih jarak dan tidak mesra.

Tidak semena, Puan Agnes berhenti di tepi dinding, Wanita itu tunduk memegang dada cuba menenangkan diri apabila tanggis mula hendak menjadi-jadi.

Kata-kata Ricardo tadi membuatkan dada Puan Agnes sempit. Dia begitu terkejut bahawa anak perempuannya diperlakukan sebegitu rupa oleh Duke Elijah tanpa rasa belas. Kenapa seorang ayah sanggup membuatkan anak perempuan sendiri hidup atas nama lelaki?

Bab berikutnya