webnovel

Mungkir Janji

"WANG Shu Yan!" Ying Hua memanggil putera keempat sambil berjalan masuk ke dalam kediaman utama dengan selamba. Pengawal-pengawal di pintu gerbang entah hilang ke mana, jadi lebih mudah untuk dia menyelinap masuk.

Dia sengih kecil apabila melihat Shu Yan bersama buku di tangan. Wajah itu nampak begitu serius tatkala memandangnya.

"Emm, pengawal tak ada kat depan tu jadi saya terus masuk," ujar Ying Hua sambil merunding jari ke belakang, cuba menunjukkan arah pintu gerbang kediaman itu.

Yuan Zhen kelihatan tersentak lalu menunduk hormat pada puteri keempat itu. Tidak pernah menyangka puteri keempat itu akan muncul di kediaman utama Yan. Dia memandang wajah putera keempat yang masih serius itu. Dia risau andai sesuatu yang terjadi.

Xin Xin di belakang pula kelihatan takut-takut. Memang takut la sebab tuannya terus meredah masuk tanpa kebenaran walaupun di kediaman suami sendiri. Sikap gila-gila tuannya membuatkan dia risau. Dia lebih bimbang andai Putera Yan mengamuk.

Ying Hua masih berdiri di situ. Matanya memandang sekeliling, sebenarnya cuba menghilangkan gemuruh. Dan sebenarnya dia sendiri tidak tahu untuk membuat apa. Niatnya datang ke situ untuk memulakan misi seterusnya. Tetapi melihat wajah yang menakutkan itu, dia rasa seram pula. Salah timing barangkali.

Matanya masih menatap buku itu. Langsung tidak mempedulikan apa yang berada di hadapannya. Hakikatnya dia tidak sangka Wu Xiao Hua begitu berani. Nampaknya selepas kejadian semalam, wanita itu makin berani menghadapnya.

"Hey Wang Shu Yan..." Belum sempat Ying Hua menghabiskan ayatnya, Shu Yan segera memberi arahan.

"Yuan Zhen, hantar Puteri Yan pulang ke kediaman."

"Ah?" Ying Hua sudah ternganga. Dahinya berkerut seribu memandang lelaki itu. "Saya baru aje sampai, awak dah halau saya balik?"

"Yuan Zhen." Nada Shu Yan sedikit keras apabila melihat Yuan Zhen masih tidak berganjak dari tempatnya.

Yuan Zhen segera menunduk hormat kepada putera keempat sebelum mendapatkan Puteri Yan. "Puteri Yan..." Dia memberi laluan untuk wanita itu berlalu keluar.

"Shu Yan!" Ying Hua sudah kegeraman.

"Bawa dia pulang segera." Sekali lagi Shu Yan memberi arahan.

"Puteri Yan..." Yuan Zhen sudah serba salah. Dia tersepit di antara kedegilan pasangan itu.

"Wang Shu Yan! Awak penipu!" Ying Hua sudah naik angin. Bagi peluang konon! Penipu!

"Yuan Zhen, awak patut tahu apa yang awak perlu lakukan." Shu Yan sudah bangun dari tempat duduknya. Sempat dia mengerling sekilas ke arah wanita itu sebelum berlalu dari ruang belajarnya.

"Maafkan saya Puteri Yan..." Yuan Zhen terus mengangkat tubuh kecil wanita itu lalu diletakkan di atas bahunya.

"Yuan Zhen! Turunkan saya!" Ying Hua sudah meronta-ronta cuba melepaskan diri. Tetapi tubuh sasa itu tetap tidak mahu menurunkannya.

Xin Xin hanya mengekori tanpa suara. Tuannya sudah digendong oleh Yuan Zhen untuk dibawa pulang ke kediaman.

"Wang Shu Yan tak guna!" jerit Ying Hua geram. Dia sudah berhenti meronta-ronta. Matanya sempat melihat kelibat Shu Yan yang sudah menutup pintu itu. Hatinya membara.

"Peluang kedua? Ceh! Awak mungkir janji Wang Shu Yan! Saya takkan maafkan awak! Kalau awak tak nak bunuh saya, saya akan bunuh diri!" jerit Ying Hua lagi penuh dengan perasaan geram. Sempat lagi cuba mengugut putera keempat itu.

Xin Xin menutup mulut tuannya agar tidak terus bersuara. Dia menggeleng kepala berkali-kali mengharapkan tuannya tidak menuturkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

"Emmm... emmm...!!" Ying Hua cuba bersuara dengan mulut tertutup itu.

"Tuan puteri..." Xin Xin menggeleng kepala lagi.

Ying Hua cuba meloloskan diri. Eloklah. Seorang mengendongnya bagaikan pesalah. Seorang lain menutup mulutnya. Terus tangan kanannya menampar tangan Xin Xin. Kalau berterusan begitu, memang dah melayang nyawanya.

"Awak nak saya mati ke?" Ying Hua menjegil matanya ke arah Xin Xin.

"Saya cuma ikut arahan Putera Yan untuk bawa Puteri Yan pulang ke kediaman dengan selamat." Tiba-tiba pula Yuan Zhen bersuara.

"Saya bukan cakap dengan awak la. Xin Xin cuba bunuh saya ni," balas Ying Hua geram. Serentak itu tubuhnya diturunkan dan Yuan Zhen terus menghala pedang ke arah Xin Xin.

"Eh Yuan Zhen. Tak maksud saya... Xin Xin tutup mulut saya. Saya tak boleh bernafas." Ying Hua sudah kelam kabut lalu menerangkan apa yang berlaku.

"Oh..." Yuan Zhen tersedar akan kesilapannya lalu disimpan semula pedangnya.

Xin Xin sudah menggigil. Wajahnya seakan-akan mahu menangis. Ying Hua terus memeluk tubuh itu lagak memujuk.

"Dah dah. Awak ni menakutkan la Yuan Zhen," bebel Ying Hua sambil menepuk lembut belakang Xin Xin. Kasihan gadis itu ketakutan. Dia mengerti bagaimana takutnya apabila pedang menghala ke leher.

"Maafkan saya Puteri Yan." Yuan Zhen sudah melutut, bersiap sedia untuk menerima hukuman.

"Eh bangun. Bangun. Tak apa, awak cuma salah faham aje." Ying Hua meleraikan situasi aneh itu. Aduhai! Salah cakap memang boleh bawa maut.

"Emm, awak tak perlu hantar saya. Saya balik dengan Xin Xin aje," sambungnya. Bukan apa, dia bimbang lain pula jadinya.

"Tapi..."

"Awak bagitahu lelaki gila tu, saya ada kaki untuk jalan sendiri."

Yuan Zhen terkebil-kebil mendengar kata-kata kurang sopan itu. Membahasakan putera keempat sebagai lelaki gila membuatkan dia terkedu. Dia hanya mampu melihat wanita itu berlalu pergi bersama pembantu peribadinya.

Dia mengaru kepala. Patutkah dia menyampaikan kata-kata sebegitu kepada putera keempat itu? Bimbang hanya mendatangkan api kemarahan sahaja.

Aduhai! Puteri Yan yang dia kenal ketika ini memeningkan kepalanya. Sikap itu membuatkan orang sekeliling bingung. Percakapannya lebih menakutkan. Jauh berbeza dengan sikap sebelum kejadian itu. Yang sangat lemah lembut.

********************

SENYUMAN sinis terukir di bibir selepas mendengar berita itu. Seperti sangkaannya, Wang Shu Yan tidak akan mudah memberi kemaafan kepada Wu Xiao Hua. Sudah lama dia sekadar memerhati dari jauh. Lama juga dia menunggu adiknya itu datang bertemu dengannya. Tetapi sehingga sekarang masih senyap.

Dia tertanya-tanya apakah yang bermain di fikiran Wang Shu Yan sebenarnya. Bukankah putera keempat itu benar-benar naik angin gara-gara terbongkarnya kecurangan itu? Tetapi mengapa hanya Xiao Hua sahaja dipersalahkan.

Mendengar Xiao Hua dihalau dari kediaman utama Yan, dia terasa ingin ketawa. Tidak kira apa jua yang Xiao Hua cuba lakukan, setiap kali itulah Shu Yan membina tembok di antara mereka.

Hari ini tiga beradik mereka diseru oleh Maharaja Wang Shu. Dia sempat menilik wajah Shu Yan yang hanya mempamerkan wajah serius sepanjang masa. Hatinya ingin ketawa. Mungkin Shu Yan mampu merahsiakan apa yang berlaku dari ayahanda mereka tetapi tidak untuknya.

Dia juga dapat merasakan bahang api kemarahan saat mata itu menatapnya. Hanya kerana dia adalah putera mahkota, Shu Yan takkan bertindak melulu. Dia lebih kenal sikap Shu Yan yang tidak pernah membuat silap.

Dia tahu ayahanda mereka begitu menyayangi Xiao Hua seperti anak sendiri. Selepas puteri kedua dan puteri ketiga berkahwin dengan putera dari luar negeri, agak sukar untuk bertemu dengan kedua anakandanya. Jadi dia faham mengapa Xiao Hua menjadi kesayangan ayahandanya.

Dia juga mengerti mengapa Shu Yan merahsiakan apa yang berlaku di kediaman Yan. Andai berita itu jatuh ke tangan ayahandanya, barangkali nyawa Xiao Hua akan melayang. Sehingga kini dia masih tahu bahawa Shu Yan masih lagi berpihak pada wanita itu biarpun dikhianati.

Kalau benar Shu Yan begitu bencikan Xiao Hua, sudah lama wanita itu berada di penjara bawah tanah. Tetapi sebaliknya Xiao Hua masih diberikan kehidupan yang mewah di kediaman Yan. Masih lagi menjalani kehidupan dengan baik meskipun hanya berbeza pada layanan.

Walau apapun, kejadian itu tetap tidak akan menjatuhkannya. Dia akan mereka cerita bahawa Xiao Hua yang menggodanya. Gelaran putera mahkota tidak akan terancam sekiranya dia berbuat begitu. Tiada satu pun yang boleh menjatuhkannya.

Xiao Hua hanya mampu menarik Shu Yan ke cerun yang junam. Semakin banyak rahsia yang Xiao Hua simpan, semakin ke dalam Shu Yan jatuh menjunam. Xiao Hua semestinya tidak pernah menyangka cinta yang diberikan kepadanya itu cumalah satu permainan.

Sejujurnya dia tidak pernah menyangka Wu Xiao Hua sanggup bertindak begitu. Wanita itu nampak begitu sopan tetapi dalam diam berani menghampirinya tanpa pengetahuan sesiapa. Tidak pernah disangka, akhirnya kejadian itu memakan diri wanita itu sendiri.

"Wu Xiao Hua... Wu Xiao Hua..." Dia menepuk tangan berkali-kali dengan gembira.

"Jadi apa rancangan Putera Mahkota yang seterusnya?" tanya pengawal peribadinya, Cheng Zhang.

"Nampaknya Xiao Hua dah lupakan saya. Dia melupakan sesuatu yang begitu penting. Saya perlu buat dia ingat semula supaya saya tak berpatah hati..." ujar putera mahkota itu dengan nada sinis. Dia ketawa terbahak-bahak dengan kata-katanya sendiri.

"Cheng Zhang, awak cuba bayangkan wajah Shu Yan kalau dia dapat tahu apa yang Xiao Hua buat selama ni. Dia masih tak tahu banyak perkara yang Xiao Hua buat di belakangnya. Dia masih tak tahu rupa sebenar Wu Xiao Hua disebalik topeng wajah yang penuh kelembutan itu," ujarnya lagi. Masih dengan sisa tawa yang bahagia.

"Shu Yan pasti akan minum racun sebab tak sanggup dengar segalanya. Ayahanda pula takkan melepaskan Xiao Hua. Kalau Shu Yan masih sayangkan Xiao Hua, dia akan cuba selamatkan isterinya. Cuba bayangkan kalau Shu Yan mengingkar arahan ayahanda. Bukannya itu sama seperti berhadapan dengan maut?"

Putera mahkota itu ketawa terbahak-bahak. Pelbagai andaian bermain di fikirannya. Dalam situasi itu, dia masih dalam keadaan selamat. Tidak kira apa jua yang berlaku, Wu Xiao Hua dan Wang Shu Yan tetap menderita.

"Saya perlu melawat Shu Yan dengan hadiah yang menarik. Wu Xiao Hua... mari kita tengok bagaimana lakonannya." Senyumannya meleret sinis. Terlalu banyak agenda bermain di fikirannya.

Bab berikutnya