Bagi beberapa hari ini, Sheena mengambil keputusan untuk tinggal di rumah pekerja. Dia belum mahu balik ke rumah auntie dan uncle-nya, bukan kerana dia marah kepada mereka tetapi dia cuma mahu menenangkan fikiran dan perasaan kecewanya. Lagipun, seharian ini Pn.Biba atau En.Martin tidak ada menghubunginya. Mungkin mereka tidak kisah dengan keadaan saya. Sheena tertanya-tanya sendiri. Iyalah, siapalah dia untuk mahu dicari atau dirisaukan, dia hanyalah seorang anak yang menumpang di rumah Pn.Biba. Lagipun, sekarang dia sudah besar panjang dan sudah tahu menjaga diri sendiri. Pn.Biba dan Kayla pasti lebih suka jika dia tidak ada di rumah, diakan hanya menganggu mood mereka sahaja setiap hari. Beban untuk mata mereka apabila dia ada di sekitar.
Kemudian, desakan Mike untuk mahu bertemu dengan En.Martin pula berlegar di mindanya. Apalah sangat yang mahu dia katakan kepada unclenya itu, dunia sudah canggih takkanlah mahu menelefon juga susah? Lagipun, dia bukannya tidak boleh berguru dengan Murad atau Kassim atau Simon kalau setakat tentang pengurusan ladang. Mereka merupakan orang kepercayaan En.Martin, sudah pasti mereka sangat berkebolehan. Namun, bila difikirkan kembali, sudah tentulah Mike mahu bertemu dengan unclenya dia kan CEO syarikat MJ. Mestilah dia rasa tiada class jika berguru dengan orang bawahan sahajakan. Cis, dasar orang ada-ada. Semuanya mahu yang berkelas. Kereta berkelas, rumah berkelas, makanan berkelas (tapi boleh pula dia makan dengan tenang di kantin bersama pekerja-pekerja ladang, kecuali kes tempoh hari), dan semestinya teman wanita berkelas. Confirm.
Khusyuk dengan lamunannya, Sheena tidak sedar dia terlena dalam mimpi. Kemudian dia bermimpi mama dan papanya serta kakaknya, mereka datang mengunjunginya dengan senyuman manis dan wajah yang ceria. Sheena menangis, dia sedih kerana dia sendirian. Mereka tidak mahu membawanya bersama. Mimpinya itu terhenti apabila bunyi kokokan ayam berkumandang menandakan hari sudah siang. Sheena seakan tidak percaya, dia seperti baru sahaja memejamkan matanya dan apabila dia mencelikkan matanya kembali hari sudah siang. Amazing.
********
Sheena yang sedang khusyuk membersihkan kandang kambing, terhenti daripada melakukan kerjanya apabila dia sedar yang ada sepasang mata sedang memerhatikannya. Dia menoleh pantas, melihat siapakah gerangannya itu. Adam. Sheena menarik nafas dalam-dalam. Apa yang dia lakukan di sini? Dalam banyak-banyak orang kenapa lelaki itu juga yang datang ke sana, masalahnya adakah orang lain lagi yang mahu melihat dia? Sheena berpura-pura tidak melihatnya, tangannya sibuk menyental lantai. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia menumpahkan air di dalam tong tersebut ke muka Adam. Masih berani untuk datang bertemu dengannya, atau dia memang sengaja untuk mahu mengejek dirinya?
"Kesian, kat sini sahaja ke tempat yang layak dengan awak?"
Berdesing telinga Sheena mendengarnya. Adakah dia yang dimaksudkan? Sabar Sheena, sabar. Abaikan dia. Anggap sahaja dia tidak wujud dan yang sedang bercakap itu adalah angin semata-mata. Dia masih gigih dengan kerjanya masih mampu menepis kata-kata Adam dengan berdiam diri.
"Sayang, awak memang cantik. Sangat cantik tapi kedana. Awak sempurna dari satu sudut tapi bila dilihat dari sudut yang lain, banyak sangat lompangnya." Lelaki itu menambah lagi, sengaja mahu menyiram minyak pada amarah Sheena.
Sengaja Sheena menyental lantai dengan lebih ganas supaya bunyinya lebih kuat. Dengan harapan bunyi tersebut dapat menenggelamkan suara Adam jika dia bersuara lagi.
"Maaflah sebab terpaksa pilih sepupu awak tue. Semua harta uncle dan auntie dia yang mewarisi, awak pula tiada harta langsung. Cinta tak akan menjanjikan kebahagiaan di hari tua kalau 1sen harta pun tiada."
Kali ini Sheena menjeling tajam, sekali lagi Adam, sekali lagi. Ada juga yang akan dia baling dengan penyapu tidak lama lagi.
"Cik Sheena!"
Sheena memandang pantas siapakah gerangannya yang memanggil namanya itu. Adam yang baru mahu membuka mulut kembali juga menoleh memandang ke belakangnya. Mike? Sheena sedikit terkejut lelaki itu tahu namanya dan memanggil namanya. Apa yang dia mahu?
"Awak Cik Sheena kan?" Mike bertanya memastikan, Sheena mengangguk ragu-ragu. Sekarang apa yang lelaki itu mahu darinya? Takkanlah dia tahu tentang perbuatannya menggores badan keretanya tempoh hari? Matilah. Sheena merungut di dalam hati. Adam yang terdiam memandang Sheena dan lelaki itu silih berganti. Pekerja ladang juga ke? Pegawai di pejabat? Tapi smart semacam sahaja pakaiannya. Dia tertanya-tanya di dalam hati.
"Saya nak jumpa awak sekejap, come with me." Ujar Mike tidak mempedulikan Adam yang berada di hadapannya kemudian berlalu keluar. Boleh mati dia tercium bau busuk di dalam kandang, ini adalah kali pertama dia masuk ke dalam kandang kambing dan baunya memang boleh tahan. Dia hairan bagaimana orang boleh bertahan di dalam, terutamanya gadis muda seperti Sheena. Bukankah dia anak buah En. Martin tapi kenapa dia bekerja membersihkan kandang? Bukan sepatutnya dia berada di dalam pejabat yang mempunyai pendingin hawa? Berpakaian cantik dan bergaya?
Sheena menyandarkan penyapunya ke dinding kemudian bergegas menyusul Mike, terima kasih Tuhan kerana menghantar seseorang untuk menjadi alasan kepada saya lari daripada Adam. Dia bersyukur di dalam hati, dia biarkan Adam yang masih di tempatnya.
Langkah Sheena terhenti secara mengejut apabila dia hampir-hampir terlanggar Mike yang berhenti betul-betul di hadapan tangga untuk naik ke kandang, itulah berjalan fokus sangat melihat anak tangga. Dia kemudiannya bergerak ke tepi lelaki itu, menanti apa yang mahu dia katakan kepadanya. Ini mesti mahu menuntut janji mahu bertemu uncle, Sheena berbisik di dalam hati. Sudahlah dia sekarang masih dalam tempoh meneutralkan kembali hubungannya bersama Pn.Biba dan En.Martin, walaupun secara dasarnya dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan En.Martin.
"Awak betul-betul anak buah En.Martin?" Mike bertanya memecahkan keheningan, Sheena menggaru kepalanya yang tidak gatal. Apa lagi yang perlu dia katakan, memang itu kenyataannya. Takkan dia tidak percaya yang kuli-kuli sepertinya adalah anak buah kepada tauke besar seperti En.Martin? Welcome to the new world, sir. Sheena bermonolog sendiri.
"Iya, saya..."
Pendek jawapan yang dia berikan.
Mike diam seketika, mungkin sedang berfikir. Berfikir logiknya seorang anak buah bekerja sebagai tukang bersih kandang.
"Umur awak berapa?"
Kini giliran Sheena pula terdiam seketika. Umur? Buat apa dia mahu tahu umurnya berapa? Takkan dia fikir yang dia belum cukup umur untuk bekerja?
"18 tahun."
Mike kemudiannya melirik sekilas memandang Sheena. Kelihatan matang daripada umur sebenar.
"Awak memang tinggal kat ladang atau dengan En.Martin?"
Berkerut dahi Sheena mendengar soalan demi soalan Mike. Pelik dan kali ini boleh pula dia bertahan dengan bau busuk dirinya yang baru bergelumang dengan najis kambing. Segar dari kandang.
"Tidak. Cuma sekarang saya tinggal di rumah ladang buat sementara waktu."
Walaupun dia hairan tetapi tetap juga dia menjawab soalan yang kira merepek daripada Mike itu. Tidak salah menjawab. Atau lelaki itu berhajat mahu menculiknya? Sheena merenung tajam lelaki itu, jangan-jangan. Dia membuat andaian sendiri. Tapi bukan sepatutnya kalau dia mahu menculik dan mengugut uncle-nya, mereka patut menculik Kayla? Kalau dia yang diculik confirm Pn.Biba tidak akan mempedulikannya, sudah semestinya dia akan dibiarkan mati dalam tahanan tanpa ditebus. Omooo, Saya masi terlalu muda untuk mati dalam tahanan sebagai seorang mangsa culik! Fikiran Sheena menerawang dengan imaginasi sendiri.
"Awak tak nak sambung study?"
Soalan Mike tersebut membuatkan lamunan Sheena terhenti, dia terkial-kial seketika sebelum menggeleng dan mengangguk. Dia sendiri sebenarnya tidak tahu apa rancangannya di masa hadapan. Kalau diikutkan hati, dia memang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tetapi keadaannya tidak mengizinkan dia membuat rancangan untuk masa depan. Mungkin dia akan bekerja di ladang itu sehinggalah dia tua bangka dan mati di ladang itu juga sebagai seorang wanita suci dan keseorangan. Mungkin selepas ini dia perlu memelihara kucing atau anjing sebagai peneman dirinya di ladang. Sekurang-kurangnya dia tidak akan begitu kebosanan (masa depan hidup seorang diri semakin jelas).
"Saya nak awak kahwin dengan saya."
Laju sahaja Sheena mengangguk. Kemudian dia terdiam seketika, matanya bulat memandang Mike. Apa? Adakah dia salah dengar? Dia bukan mengangguk kerana bersetuju tetapi kerana fikirannya sedang melayang-layang memikirkan diri sendiri dia mengangguk secara membuta tuli sahaja. Tapi apa yang lelaki itu katakan tadi? kahwin? dengan dia? Gila! Barulah Sheena sedar apa yang diusulkan oleh Mike.
"Okay, oleh kerana awak sudah bersetuju hari ini juga saya akan menghantar rombongan ke rumah awak." Ringkas kata-kata lelaki itu kemudian dia melangkah pergi. Sheena masih melopong tidak percaya dengan apa yang dia dengar. Muka hensem tapi gila. Melihat lelaki itu meninggalkannya tanpa sebarang penjelasan, Sheena berlari anak mengejarnya.
"Encik! Encik! Apa maksud encik tadi? Saya tak faham. Serius."
Dia menahan Mike. Kerja gila apakah ini? Dia bingung sendiri. Mereka hanya bertemu secara tidak sengaja beberapa kali, berbual baru sebentar tadi untuk kedua kalinya secara rasmi atau kali pertama secara rasmi. Kemudian tiba-tiba dia mengajaknya untuk berkahwin. Ingat ini drama melayu TV3?
"Kita kahwin. Awak sudah bersetujukan."
Jawapan Mike membuatkan Sheena terdiam lagi. Dia merenungnya dalam-dalam, nak kata gila tak juga, nak kata dalam mimpi tak juga.
"Hello, encik...Mike. Awak sedar tak apa yang awak katakan? Kahwin? awak dengan saya? Awak nak buat lawak ke? Atau awak sengaja nak kenakan saya?" Persoalan demi persoalan Sheena ajukan dengan muka bingung. Namun, raut wajah Mike tidak berubah. Masih dengan pandangan dingin dan tidak berperasaannya. Seakan Sheena pula yang sedang berkelakuan pelik dihadapannya. Sheena diam seketika, menanti jawapan daripada lelaki itu tapi senyap. Mereka hanya berpandangan seketika, kemudian Mike berpaling dan melangkah pergi. Tiada komen langsung? Sheena mengejarnya lagi, tidak berpuas hati.
"Awak..." Kali ini dia menarik tangan lelaki itu agar berhenti. Pantas Mike menepis tangannya.
" Jangan sentuh saya dengan tangan kotor awak tue." Ujarnya serius, pantas juga tangannya menyeluk poketnya dan mengeluarkan sapu tangan untuk mengelap bahagian tangannya yang di sentuh Sheena. Selesai, dia menghulurkan sapu tangan tersebut kepada Sheena.
"Cuci sehingga bersih dan kembalikan kepada saya esok."
Selesai dengan kata-katanya Mike berlalu pergi meninggalkan Sheena yang masih terkial-kial kebingungan. Dia mesti sedang buat lawak. Dia bermonolog di dalam hati. Mustahil apa yang dia katakan tadi adalah benar, kan. Sudah pasti Mike sengaja mahu membuatkan dia jadi bahan lawak sahaja. Ya, sudah pasti dan sesungguhnya. Tiada penjelasan yang lebih baik daripada ini. Sheena menyenangkan hati sendiri.
Dari kejauhan, Adam memerhatikan gelagat Sheena dan lelaki itu. Siapa lelaki itu? Persoalan tersebut menari-nari di fikirannya. Wajahnya seperti biasa dia lihat tetapi dia tidak ingat siapa. Mungkin mereka pernah berselisih di mana-mana, dia membuat andaian sendiri. Ah, kenapa perlu saya kisah. Sheena dan saya bukannya ada apa-apa lagi, lantaklah dia mahu berhubungan dengan siapa pun. Adam memarahi dirinya sendiri dan berlalu tapi hatinya masih kurang berpuas hati kerana tidak mengetahui siapa lelaki itu sebenarnya dan sejak bila mereka berkenalan? Boleh tahan juga awak Sheena, belum sampai berapa hari sudah mempunyai pengganti lain.
********
Kereta Audi hitam milik Mike meluncur laju naik keatas bukit menuju ke villa miliknya, villa yang dia miliki melalui titik peluh dirinya sendiri. Fikirannya agak terganggu dengan panggilan daripada mamanya pagi tadi.
"Selagi awak tidak mempunyai pasangan, selagi itu mama akan membekukan akaun awak di luar negara. Jangan harap nak guna satu sen pun duit yang ada di dalam akaun itu. Mama bercakap dengan serius dan bukan sedang bermain-main. Lebih baik awak mulai mencari pasangan, mama tidak kisah siapa dan apa latar belakangnya yang penting panggilan daripada awak selepas ini adalah tentang perancangan perkahwinan."
Keretanya itu dia letakkan benar-benar di hadapan pintu masuk villa, berlari-lari Pak Neo mendapatkannya. Bersiap sedia untuk memarkirkan kereta tuannya itu ke garaj. Namun, dia terpaksa menanti dahulu di luar kereta apabila Mike tidak keluar-keluar dari dalam keretanya.
"Awak sudah cukup tua untuk mahu hidup seorang diri. Jangan nak bagi alasan dengan mama yang awak boleh menjaga diri sendiri. Awak kena ingat, satu hari nanti awak akan mencapai usia seperti mama, tua. Pada ketika itu, awak nak menyesal juga sudah terlambat. Setiap manusia memerlukan pasangan untuk meneruskan kelansungan hidup. Get marry and have kids. Biarpun harta awak sudah bertimbun tapi keluarga tetap harta nombor satu."
Mike memejamkan matanya, kepalanya pening memikirkan kata-kata mamanya. Kalaulah dia tidak memerlukan duitnya di dalam akaun itu, sudah pasti dia tidak akan mengendahkan kata-kata mamanya. Namun, malang sekali dia memerlukan dana tersebut untuk perniagaan barunya kelak. Mahu tidak mahu dia perlu juga menuruti kata-kata mamanya itu. Siapa yang tidak kenal dengan Datuk Alice Miles, wanita berjaya yang terkenal di rantau Asia Tenggara. Kini sedang mengembangkan sayapnya ke rantau Asia Timur dan Eropah. Bila dia katakan hitam, maka hitamlah sehingga apa yang dia mahukan dia dapat. Begitu juga dengan kesnya saat ini, bila dia sudah katakan mahu menantu, maka dia perlu memberikannya secepat yang mungkin. Damn. Dalam banyak-banyak permintaan, kenapalah dia perlu berkahwin. Padahal sejak dari kecil lagi dia sudah bertekad yang dia akan hidup membujang sehingga ke tua. Apa guna berkahwin bila akhirnya nanti akan berakhir dengan perpisahan sama seperti mama dan papanya.
Setelah beberapa ketika mengelamun dan berlawan dengan emosinya sendiri di dalam kereta, barulah dia sedar yang Pak Neo sedang menantinya dengan penuh kesabaran di luar kereta. Cepat-cepat dia keluar dari dalam kereta dan membiarkan pak Neo mengambil alih untuk diparkirkan di dalam garaj.
"Selamat petang, tuan." Pak Neo menegur sambil tersengih menampakkan giginya yang sudah ronggak. Mike hanya mengangguk perlahan dan berlalu masuk ke dalam rumah. Pak Neo mengangkat keningnya, sedar dengan raut wajah tuannya yang ketat itu. Mesti ada masalah di tempat kerja, dia meneka sendiri. Kemudian laju juga tangannya mencari nombor isterinya, Mak Mia dan menghantar pesanan ringkas.
Buatkan tuan Mike teh, dia kelihatan tegang dan stress.
Ringkas pesanannya.
Mereka suami isteri umpama ibu bapa kedua bagi Mike, mereka sudah bekerja dengan keluarga Miles sejak Mike belum lahir lagi sehinggalah kini. Mak Mia merupakan pengasuh Mike sejak lahir sehingga kini, boleh dikatakan yang dia lebih rapat dengan Mak Mia dan Pak Neo berbanding dengan ibu bapa kandungnya yang selalu sibuk. Sebab itulah, apabila dia berjaya mendapatkan villa tersebut dia membawa mereka untuk tinggal bersamanya dan menguruskan setiap perkara di dalam Villa. Merekalah pengurus, merekalah tukang masak, tukang kebun dan penjaga villa apabila dia mempunyai urusan ke luar negara atau luar kawasan.
Mike menghempaskan tubuhnya di atas sofa, dia mencuba untuk memejamkan matanya. Dengan harapan masalah yang sedang bermain di fikirannya itu akan hilang serta merta jika dia terlelap. Walau bagaimanapun, harapannya sia-sia. Jangankan mahu terlena dibuai mimpi, mahu memejamkan mata juga susah. Kemudian wajah Sheena terbayang, entah bagaimana timbul idea di fikirannya untuk menjadikan wanita tersebut sebagai isterinya. Mungkin kerana dia tidak mempunyai kenalan wanita (tidak termasuk pekerja-pekerja wanita di syarikatnya yang setiap hari menggedik). Maka mudah sahaja dia mengambil keputusan untuk menjadikan Sheena sebagai calon terbaik. Dia tidak kisah gadis tersebut tidak mempunyai sebarang kelulusan atau degree, yang penting dia wanita tulin. Lagipun, gadis tersebut bukannya teruk sangat kecuali hakikatnya yang dia bekerja sebagai pembersih kandang kambing yang sentiasa bergelumang dengan najis. Namun, dia percaya dengan sedikit keajaiban gadis kampung itu boleh menjadi seorang puteri.
"Tuan, minum teh dahulu untuk tenangkan minda."
Mike mencelikkan matanya, memandang Mak Mia yang datang dengan dulang membawa teko teh dan cawan. Dia hanya mengangguk tidak bersuara. Kemudian Mak Mia hilang kembali di balik dinding dapur, faham dengan perangai tuannya itu. Walaupun berperwatakan dingin tapi dia sebenarnya seorang yang sangat baik.
Sambil menghirup teh yang dibuat Mak Mia, Mike memikirkan cara untuk menghantar rombongan ke rumah En.Martin. Daripada apa yang dia dengar daripada Murad, Sheena merupakan anak yatim yang tinggal bersama En.Martin kerana mendiang papanya adalah adik kepada isteri En.Martin dan daripada pengamatan mata kasarnya, Sheena tidak mendapat layanan yang baik daripada keluarga itu. Maka pasti mudah baginya untuk mendapat persetujuan daripada En.Martin dan isterinya. Kalau boleh, dia mahu perkahwinan mereka berjalan dengan cepat agar bisnesnya dapat dia jalankan dengan segera. Kacang. Ada sinar baru kelihatan di hadapannya. Bijak Mike, bijak.