webnovel

Guna Apa yang Ada

Editor: EndlessFantasy Translation

Huo Mian menggigit bibirnya dan tidak bercakap lebih lanjut. Tetapi, di dalam hatinya, dia melepaskan keluhan lega.

Dia benar-benar tidak sukakan ibu bapa Qin Chu dan tidak mahu ada kaitan dengan mereka.

Setengah jam kemudian, mereka tiba di Taman Diraja, kawasan perumahan mewah yang terbesar di daerah Jalan Cincin Pertama.

Kereta Qin Chu berhenti perlahan-lahan.

Huo Mian mengangkat kepalanya dan merenung kawasan kejiranan yang mewah itu.

Jualan untuk unit rumah-rumah di situ dibuka semenjak dua tahun lalu dan baru sahaja ditutup tahun lepas. Berdasarkan apa yang didengarinya, harga bagi setiap meter persegi sudah pun melebih lapan puluh ribu yuan.

Ini merupakan satu tapak pembangunan kelas atasan yang terkenal. Menurut khabar angin, seorang pengamal Feng Shui yang terkenal dari Hong Kong telah dijemput untuk melihat-lihat lokasi tersebut.

Kawasan itu dikelilingi dengan sebuah gunung dan juga tasik dengan jalan keluar pada sebelah kiri. Orang-orang di kawasan itu mengatakan tanah tersebut melambangkan ciri-ciri empat raksasa legenda yang hebat iaitu naga hijau, harimau putih, burung merah dan penyu hitam.

Kerana kawasan itu berada di tepi tasik semula jadi terbesar di bandar tersebut iaitu Tasik Air Jed, nilai hartanahnya kekal tinggi.

Dalam satu posting forum, ada seorang warga internet yang pernah bergurau mengatakan tanah tersebut merupakan satu harta karun berharga berdasarkan standard Feng Shui. Jika kamu menterbalikkan arahnya, tanah itu akan berada pada kedudukan sama dengan Makan Sun Yat-Sen, sebuah makam memorial yang dibina oleh kerajaan untuk salah seorang daripada hero pengasas negara itu.

"Adakah kita akan tinggal di sini?"

"Ya." Qin Chu mengangguk dan memandu Huo Mian masuk ke dalam.

Bangunan tersebut direka untuk menjadi bangunan bertingkat mini dan terdapat ruang yang mencukupi antara setiap bangunan untuk membenarkan matahari menyinari antara celahannya.

Seni binaan bangunan tersebut bergaya Inggeris dengan hiasan luaran berwarna merah gelap. Huo Mian agak menggemari bangunan itu.

Lobi kompleks tersebut dihias dengan sangat mewah, seperti hiasan di hotel lima bintang. Qin Chu berjalan mendahului Huo Mian ke dalam lif yang luas dan menekan butang tingkat ke-enam belas.

Nampaknya, ia tingkat paling atas, fikir Huo Mian sendiri.

-Beberapa saat kemudian-

Tingkat ke-enam belas terbuka di hadapan mereka. Huo Mian melihat sekelilingnya dan perasan hanya ada satu unit rumah untuk seluruh tingkat tersebut.

Ia kelihatan seperti setiap aras hanya mempunyai satu unit rumah. Sesuai benar dengan jangkaan untuk orang kaya.

Qin Chu membawa keluar kunci dan membuka pintu rumah. Huo Mian mengikutnya masuk ke dalam.

Matanya bercahaya melihatkan pemandangan di hadapannya.

Unit rumah itu merupakan unit dua tingkat yang luas dan terang. Reka cipta yang terbuka membuatkan seseorang boleh melihat kedua-dua tingkat daripada pintu masuk. Kemasan perabot yang bergaya Eropah dan berwarna putih itu kelihatan sangat tertib tetapi tetap sarat dengan hiasan.

Anggaran kasar untuk keluasan unit rumah itu paling kurang ialah lebih daripada dua ratus meter persegi. Dalam kawasan kejiranan dengan nila hartanah yang begitu tinggi, tidak syak lagi unit ini merupakan unit termewah antara unit paling mewah.

"Kita berkahwin dengan begitu mengejut dan saya tidak mempunyai masa untuk memilih alamat. Jadi, saya beli tempat ini dalam keadaan tergesa-gesa. Kita akan guna apa yang ada di sini dahulu. Apabila kerja dalaman untuk Rumah Manor Bukit Selatan sudah selesai, kita akan berpindah ke sana."

"Tidak apa. Saya sukakannya di sini." Huo Mian menelan liurnya sebelum dia membalas.

Jika dia dengar dengan betul, Qin Chu mengatakan tempat ini hanya untuk sementara. Adakah dia benar-benar memaksudkan 'guna apa yang ada'?

Oh Tuhan, ini tempat di mana satu meter persegi bernilai lapan puluh ribu yuan, di dalam kawasan hartanah zon emas di Jalan Cincin Pertama, bertempat di lokasi yang berjarak 10 minit berjalan kaki untuk ke Hospital Pertama.

Ini merupakan unit yang bernilai lebih daripada sepuluh juta yuan, dengan kemasan perabot yang mungkin bernilai lebih daripada satu juta. Dan lelaki ini mengatakan yang mereka akan 'menggunakan apa yang ada untuk sementara waktu'.

"Semua yang kita perlukan ada di sini. Jika ada apa-apa yang kurang, beritahu saya. Saya akan minta seseorang dapatkannya untuk saya."

"Okey." Huo Mian mengangguk.

Ketika itu, telefon bimbit Qin Chu berdering.

"Helo. Saya akan ke sana sekarang. Ya, tunggu saya." Qin Chu memutuskan panggilan dan memandang Huo Mian. "Saya perlu pulang ke rumah ibu bapa saya. Pergi dan berehat terlebih dahulu."

"Okey." Huo Mian mengangguk lagi.

Apabila Qin Chu bangun dan membuka pintu untuk beredar, dia tiba-tiba kelihatan seperti teringat akan sesuatu. Dia berpatah balik, membawa keluar kad kunci dan satu set kunci lalu meletakkan mereka di atas tapak tangan Huo Mian.

"Ini kuncinya. Sijil pemilikan ada di atas meja kopi itu. Semua itu hak milik kamu untuk kamu simpan."

Dengan itu, Qin Chu berpusing dan beredar.

Sambil memegang kunci-kunci itu, Huo Mian dalam kebingungan. Semudah itu, dia sudah berpindah masuk dengan Qin Chu.

Dia memandang sijil pemilikan di atas meja kopi itu sekali lalu. Bagaikan dirasuk, dia berjalan ke arahnya dan membukanya. Seperti yang dijangkakan, pemilikan itu berada di bawah namanya.

 Dia terkejut apabila dia sedar akan air mata yang bertakung di matanya.

Dia bukan menangis kerana kebaikan seorang lelaki yang melaburkan duitnya untuk seorang wanita. Dia menangis kerana dia sangat memahami Qin Chu.

Walaupun lelaki itu memang gemar mengarah dan keras kepala, dia sentiasa memberikan kamu apa yang terbaik baginya. Itu cara Qin Chu menunjukkan dia mengambil berat.

Dia bersikap begitu tujuh tahun yang lalu, dan dia masih begitu selepas tujuh tahun.

Qin Chu merupakan lelaki yang pernah dicintainya dan apa yang dirasakan olehnya terhadap Qin Chu sudah terpasak pada setiap tulangnya.

Sambil merenung sijil itu, Huo Mian bagaikan hilang dalam khayalan. Kemudian, seperti baru teringat akan sesuatu, dia menarik keluar telefon bimbitnya dengan pantas dan membuka aplikasi perbankannya.

Selepas memasukkan kata laluan, dia memeriksa baki akaunnya.

Jika dia ingat dengan tepat, Qin Chu mengatakan yang dia sudah memindahkan gajinya untuk bulan ini kepada kad Huo Mian. Huo Mian sangat curiga, berapa banyak gaji bulanan Encik Qin yang perasan bagus itu?

Bab berikutnya