webnovel

Kemalangan

Editor: EndlessFantasy Translation

Jing Zhixin berkata, "Kak, cinta tidak salah dan salah ini bukannya salah Kakak. Keluarga Qin yang hina kerana menggunakan taktik kotor untuk memisahkan Kakak berdua pada ketika itu. Sebenarnya, Kakak juga terluka kan? Kakak juga masih mencintai Qin Chu, kan?"

"Zhixin…" Huo Mian tiba-tiba kehilangan kata.

"Saya bukannya budak-budak yang tidak tahu apa-apa. Lagipun, saya juga tahu perpisahan Kakak dengan Ning Zhiyuan. Hari itu, saya ada menghubunginya. Saya tahu daripada nada suara dia, ada sesuatu yang tidak kena. Walaupun dia tidak berterus-terang, saya tahu ada sesuatu yang tidak kena antara Kakak berdua. Sebelum Mak masuk hospital, Qin Chu ada datang ke rumah kita. Saya mengaitkan dua kejadian ini dan saya rasa Kakak sebenarnya tidak pernah sukakan Zhiyuan. Kak, Kakak masih ada perasaan pada Qin Chu dan Kakak tidak dapat melepaskannya. Jadi, saya tidak akan salahkan Kakak. Ayah sudah meninggal dan orang yang pergi tidak akan kembali lagi. Saya cuma berharap Kakak tidak akan hidup dengan sesalan mulai hari ini. Cinta bukan sesuatu yang boleh dipaksa. Saya baca daripada majalah yang cinta itu sesuatu hanya diri kita sendiri yang tahu. Zhiyuan mungkin lelaki yang baik, tetapi Kakak tidak cintakan dia. Saya tidak mahu Kakak saya meluangkan kehidupannya dengan lelaki yang tidak dicintainya. Kalau Kakak masih sayangkan Qin Chu, pergilah bersama dengannya. Kalau Mak tidak mengiktirafnya, kalau dia benci Kakak dan jerit pada Kakak, saya tidak akan buat begitu. Saya akan faham. Kesalahan perlu diletakkan pada mereka yang bertanggungjawab dan apa yang dilakukan oleh Keluarga Qin tidak boleh disalahkan pada Qin Chu. Jadi, saya akan katakan ini sekali lagi. Saya akan gembira selagi Kakak gembira, Kak."

Sewaktu Jing Zhixin selesai bercakap, wajah Huo Mian sudah dibasahi air mata.

Dia bukannya seorang yang cengeng. Selepas berpisah dengan Ning Zhiyuan, dia tidak menitiskan sebarang air mata.

Namun, apa yang dikatakan adiknya membuatkan jiwa Huo Mian bergetar.

Adiknya baru berusia 19 tahun. Betapa hebatnya Jing Zhixin untuk mampu meletakkan dirinya di tempat Huo Mian dan memahami apa yang telah dilalui oleh kakaknya.

Huo Mian tiba-tiba teringat kata-kata yang terkenal dahulu, 'Kebanyakan orang menilai setinggi mana kamu terbang. Tapi, cuma mereka yang ambil berat tentang kamu akan bimbang tentang betapa penatnya kamu.'

Adiknya memang remaja lelaki yang sangat baik. Dia selalu memberi semangat kepada Huo Mian apabila kakaknya bersedih.

Beberapa tahun kebelakangan ini, selain daripada menyokong adiknya daripada segi kewangan, Huo Mian merasakan dia bukan seorang kakak yang baik.

Paling kurang, dia tidak pernah kisah atau bimbang mengenai adiknya seperti yang dilakukan oleh adiknya kepadanya. Dia juga tidak pernah memberi perhatian pada apa yang difikirkan oleh adiknya.

"Kak, berhentilah menangis. Kakak bukannya budak kecil lagi. Nah, lap muka Kakak. Muka Kakak begitu comot." Jing Zhixin menghulurkan sebungkus tisu kepada Huo Mian.

Huo Mian mengelap air matanya walaupun dia masih teresak-esak.

"Zhixin, saya tak pernah sangka yang kamu faham segala-galanya. Terima kasih kerana begitu memahami."

"Apa Kakak mengarut ini? Kita kan adik beradik! Kakak dan Mak ialah dua orang yang paling saya sayang dalam seluruh dunia ini." Jing Zhixin tersenyum, menyerlahkan sepasang gigi taring yang sedikit timbul.

Air mata Huo Mian bersinar apabila terkena bias mentari.

Huo Mian berfikir, Pak Cik Jing, tolong jagakan Zhixin dan saya. Jadikan keadaan kami sentiasa baik sahaja, tiada gangguan lain. Kami berdua sudah tidak boleh menerima sebarang kehilangan.

Jam sudah menunjukkan pukul 1 petang apabila mereka berjalan keluar dari perkuburan awam tersebut.

"Bukankah kamu perlu ke perpustakaan untuk mengulang kaji?"

"Saya masih ada masa. Kakak, saya sangat lapar. Jom pergi makan sesuatu."

Huo Mian mengangguk.

Selepas itu, mereka berdua mengambil bas untuk kembali ke bandar dan menjumpai restoran kecil berhampiran dengan universiti Jing Zhixin. Mereka memesan dua jenis lauk dan sup.

Walaupun hidangan itu ringkas sahaja, kedua-dua mereka sangat menikmatinya.

Jing Zhixin dalam semester kedua tahun pertamanya. Universiti yang dihadirinya bukanlah yang terbaik, tetapi ia tidak teruk juga. Secara teknikalnya, Jing Zhixin menghadiri universiti kelas kedua.

Dia merupakan pelajar kejuruteraan awam dan berdasarkan apa yang didengari oleh Huo Mian, Jing Zhixin bercadang untuk menjadi jurutera selepas tamat belajar.

"Kakak, nanti apabila saya sudah habis belajar dan mendapat kerja, saya boleh tolong Kakak bantu keluarga kita. Ketika itu, Kakak dan Mak tak perlu bekerja keras lagi."

"Ya." Huo Mian mengangguk dengan senyuman terukir pada wajahnya.

Selepas makan tengah hari, Huo Mian membeli sedikit buah-buahan untuk adiknya dan berjalan menghantar adiknya sehingga ke pintu pagar universitinya.

"Kak, baliklah. Telefon saya jika ada apa-apa." Jing Zhixin berkata sambil melambai selamat jalan pada Huo Mian.

Apabila Huo Mian kembali ke pangsapurinya, dia meluangkan seluruh petangnya membersihkan tempat itu dengan teliti. Sebagai seseorang yang bekerja dalam bidang perubatan, dia gilakan kebersihan.

Ketika dia selesai membersihkan tempat itu, jam sudah menunjukkan pukul 6 petang.

Huo Mian yang kepenatan berbaring di atas sofa sambil menonton televisyen untuk menghabiskan masa. Ketika itu, telefonnya berdering. Dia melihat ID pemanggil dan perasan ia merupakan nombor yang tidak dikenali.

"Adakah kamu kakak Jing Zhixin?" Budak lelaki di hujung talian bertanya dengan nada suara yang sangat cemas.

"Ya saya."

"Saya rakan sebilik Jing Zhixin. Jing Zhixin terlibat dengan kemalangan kereta di kampus. Dia dalam perjalanan ke Hospital Pertama untuk rawatan kecemasan. Kamu perlu segera ke sana."

Mendengarkan perkara ini, Huo Mian merasakan pandangannya berputar-putar. Dia hampir pitam.

Bab berikutnya