webnovel

Sedikit Pun Tidak Sekacak Awak~

Editor: EndlessFantasy Translation

Selepas sarapan, Ye Wan Wan berjalan ke kelasnya.

Jaraknya masih ada kira-kira sepuluh langkah lagi dari pintu kelasnya dan Ye Wan Wan terlihat ada beberapa kepala yang terjengul keluar tingkap untuk melihat sekeliling.

Apabila mereka melihatnya, semua kelihatan terkejut dan masuk semula ke dalam. Dia terdengar bunyi yang riuh-rendah dari kelasnya.

Kemudian, suasana menjadi terlalu hening.

Ye Wan Wan masih berbaki tiga langkah lagi dari pintu kelasnya dan semasa dia mahu meneruskan langkahnya, dia berhenti secara tiba-tiba dan matanya terpandang ke arah bingkai pintu di atas kepalanya.

Nasibnya begitu malang semalam apabila dia berselisih faham dengan rakan-rakan kelasnya. Tidak mungkin mereka tidak mahu mengenakannya.

Ye Wan Wan tidak berasa gusar langsung; dia terus sahaja berdiri di tepi pintu.

Selepas seketika, ada beberapa orang datang menjenguk keluar untuk melihat dan kemudian, mereka dengan cepat dan berhati-hati kembali ke dalam kelas.

Tidak lama kemudian, loceng sekolah berbunyi menandakan kelas bakal bermula.

Lelaki yang berada di belakangnya terkejut lalu berkata, "Aiyo! Kamu ini menakutkan cikgulah! Oh, kamu rupanya Ye Wan Wan…"

Zhao Xing Zhou sedang memegang sebuah buku matematik dalam tangannya, manakala tangan sebelah lagi mengurut dadanya. Dia melihat wajah Ye Wan Wan dengan rasa terkejut, bagaikan dia baru sahaja dikejutkan oleh Ye Wan Wan. "Kelas dah nak bermula, kenapa kamu masih berdiri di tepi pintu?"

"Saya tengah fikir tentang kehidupan saya. Cikgu masuklah dulu." Ye Wan Wan mengundur ke belakang dengan sopan.

Zhao Xing Zhou menghargai tindakannya dan berkata, "Hm, kamu dah sedar sikit sekarang lepas dapat markah 0 dalam matematik?"

Zhao Xing Zhou bercakap sambil menolak daun pintu kelas.

Sesaat kemudian, kedengaran bunyi sebaldi air yang besar jatuh betul-betul di atas muka Zhao Xing Zhou. Seluruh badannya basah kuyup bagaikan tikus lemas.

Zhao Xing Zhou terkesima buat seketika dan kemudian naik darah. "Tak guna! Saya baru saja gayakan rambut saya pagi ini! Siapa yang buat ini? Saya nak orang mengaku, SEKARANG!"

Terdapat ramai dalam kelas itu yang mengeluh kecewa, kemudian kebanyakan daripada mereka mula berasa panik.

'Tak guna! Kenapa pula cikgu matematik yang buka pintu itu? Habislah kami!'

Semua orang dalam kelas F tahu bahawa mereka boleh menyinggung hati guru kelas tetapi jangan sesekali menyinggung hati guru yang nampak mesra dan ceria ini. Kalau tidak, ada yang akan diseksa separuh mati!

Zhao Xing Zhou mengelap air dari mukanya dan mengugut, "Tak ada sesiapa nak mengaku? Kalau saya dapat tahu sendiri, nahaslah orang itu!"

Setelah suatu tempoh yang lama, akhirnya, tiga orang perempuan dan seorang lelaki berdiri sambil menggigil.

"Empat orang ini ikut saya ke pejabat!"

Apabila mereka lalu di hadapan Ye Wan Wan, Zhao Xing Zhou merenung tajam padanya buat beberapa saat dengan rasa sakit hati yang tidak dapat diungkapkan.

Ye Wan Wan hanya mengelipkan matanya dan berpura-pura tidak bersalah.

Selepas Zhao Xing Zhou mengheret pembawa kacau itu pergi, Ye Wan Wan berjalan terus ke tempat duduknya sebelah Si Xia sambil ditenung benci oleh para perempuan dalam kelas tersebut.

Disebabkan mereka akan berlatih selepas sekolah tamat, Si Xia memakai uniform British dengan seluar putih terang dan bahagian hujung berona emas. Leher baju yang sempit dibutang sehingga ke butang pertama, sesuai dengan karakternya sebagai seorang putera dalam drama tersebut.

Dia juga memiliki perangai bagaikan seorang putera, sombong dan suka mengarah yang terbentuk secara semula jadi.

Tetapi semua ini tidak menghairankan langsung kerana dia merupakan satu-satunya cucu dalam keluarga Si dan dia sangat-sangat dimanjakan. Tiada sesiapa yang boleh mengabaikannya.

Sudah tentulah, semua orang itu tidak termasuk Ye Wan Wan.

Sebaik sahaja dia terlihat Ye Wan Wan, wajah kacak lelaki tersebut bertukar menjadi hijau.

Ye Wan Wan tidak ada masa untuk melayannya dan dia terus mengambil peluang untuk menghantar pesanan teks kepada Si Ye Han semasa ketiadaan guru. Dia perlu bertindak sebelum Shen Meng Qi melakukan sesuatu.

Si Xia masih tidak pulih lagi daripada kejutan yang menggoncangkan bumi. Dia terlihat Ye Wan Wan sedang menaip mesej. Dia mencuri pandang mesej yang ditaipnya…

[Sayang, sekolah akan menganjurkan persembahan seni dan saya terpilih menjadi Snow White. Hehe hebat tak saya~? Sayangnya orang yang jadi putera dalam drama itu sangat hodoh, sedikit pun tak sekacak awak~]

Bab berikutnya