webnovel

Kerana Ou Ming Menyukainya

Editor: EndlessFantasy Translation

Ia tak akan menyakitkan.

Yu Lili menutup mata dan membuka mulutnya supaya air masuk ke dalam. Nafasnya terus berasa sesak. Ou Ming, selamat tinggal buat selama-lamanya.

Bang Bang Bang!

Tiba-tiba kedengaran bunyi ketukan yang kuat di pintu. Yu Lili membuka mata dan bangun.

Bang Bang Bang!

Yu Lili keluar dari tab mandi itu lalu mengelap badannya dan memakai jubah mandi. Pintu biliknya masih diketuk dengan kuat dan pada masa yang sama kedengaran suara seorang wanita, "Yu, kamu ada di dalam?"

Yu Lili membuka pintu. Seorang wanita pertengahan usia berdiri di luar dan kelihatan terkejut sebaik melihat rambut Yu Lili yang masih basah. "Oh sayangku, kamu mandi lewat malam begini?"

Yu Lili tersenyum dan mengangguk. "Ya Puan. Ada apa? Dah lewat malam ni."

Jam sudah menunjukkan pukul dua pagi. Apa yang dilakukan oleh isteri tuan rumah itu pada waktu begini?

Isteri tuan rumah itu ketawa dengan malu dan berkata, "Saya keluar untuk buang sampah, tapi terlupa bawa kunci. Pintu rumah saya berat dan ia terkunci. Suami saya tidur mati dan tak dengar saya ketuk berkali-kali. Saya… saya minta maaf terpaksa datang ke rumah kamu untuk minta tolong."

Isteri tuan rumah itu tinggal di tingkat empat bersebelahan Yu Lili. Hanya satu pagar yang memisahkan rumah mereka.

Yu Lili berasa agak geli hati. Dia menggeleng dan berkata, "Tak apa. Masuklah, tapi lain kali jangan lupa bawa kunci."

"Okey, terima kasih banyak-banyak Yu. Wah, panjangnya rambut kamu!" Tuan rumah melihat rambut paras pinggang Yu Lili dengan kagum. "Kalau anak perempuan saya nampak ni, pasti dia cemburu dengan kamu," sambungnya.

"Rambut panjang susah diuruskan. Saya mahu potong pendek nanti," kata Yu Lili.

Sebenarnya rambut saya panjang begini kerana Ou Ming sukakannya.

Disebabkan Ou Ming, Yu Lili tidak memotong rambutnya sejak empat tahun lalu, jadi rambutnya telah tumbuh sehingga sepanjang ini.

Tetapi sekarang, tiada sebab lagi untuknya menyimpan rambut panjang.

Mata isteri tuan rumah bersinar-sinar dan dia berkata, "Betulkah? Apa kata jual kepada saya? Anak perempuan saya bekerja membuat rambut palsu. Akhir-akhir ini dia sedih kerana tak dapat rambut yang cantik."

"Okey." Yu Lili tersenyum.

"Betul? Kalau macam tu saya akan suruh anak saya datang ke sini esok!" kata isteri tuan rumah itu dengan gembira.

"Okey boleh," kata Yu Lili.

Setelah mendapat jawapan yang pasti itu, isteri tuan rumah berjalan dengan gembira ke tingkap di ruang tamu. Yu Lili membuka kunci dan membiarkan isteri tuan rumah itu memanjat tingkap untuk ke rumahnya, kemudian dia mengunci tingkap itu kembali.

Air menitik dari rambutnya yang basah. Yu Lili melepaskan keluhan panjang lalu masuk kembali ke dalam bilik air. Hatinya sudah tidak seperti tadi.

Nampaknya untuk mati juga berkaitan dengan perasaan. Jika diganggu, perasaan untuk bunuh diri boleh hilang.

Yu Lili mengetawakan dirinya sendiri lalu mandi dengan ringkas. Selepas mengeringkan rambut dan memakai baju tidurnya, dia terus tertidur dengan selesa.

Keesokan harinya, anak perempuan tuan rumah datang. Dia teruja sebaik melihat rambut Yu Lili yang panjang. Dia memotong rambut Yu Lili dan memberikannya 700 yuan. Selepas itu dia mengemaskan rambut Yu Lili dengan memotongnya kepada gaya rambut pendek yang comel dan pulang ke rumahnya bersama rambut panjang Yu Lili. 

Rambut panjangnya telah hilang serta-merta. Yu Lili merasakan tubuhnya menjadi lebih ringan. Dia memandang ke dalam cermin dan mendapati rambutnya dipotong cantik.

Beginilah. Bagus.

Bab berikutnya