webnovel

Li Sicheng, Aku Benci Kau

Editor: EndlessFantasy Translation

Semua mata tertumpu kepada arah datangnya tembakan itu. Kelihatan seorang lelaki tua yang jelas berusia lebih 70 tahun berdiri tegak dengan gaya tentera sambil memegang senapang di tangannya. Dia kelihatan seperti sebuah pokok yang tegap dan hebat. Dia ialah seorang lelaki dengan pengalaman yang banyak. Ketika ini, kedua-dua tangannya memegang senapang itu dan matanya memandang ke hadapan dengan pandangan tajam. Pandangannya terarah kepada Tang Mengying dengan penuh kebencian dan tanpa ragu-ragu.

Sebaik melihat Kapten Li, semua orang menjerit. Tiada sesiapa menyangka lelaki tua itu yang menembak!

Darah terus membuak-buak keluar dari dada Tang Mengying. Ketika ini, dia tidak punya masa untuk memandang ke arah lelaki tua itu, sebaliknya berpaling ke arah Su Qianci.

Di hadapan Su Qianci, berdiri seorang budak lelaki comel dengan sepasang mata biru yang cantik. Ketika ini, mata yang seakan lautan itu kelihatan dipenuhi kebencian yang mendalam. Kebencian yang jelas itu ibarat satu tikaman yang amat dalam ke lubuk hati Tang Mengying yang masih punya perasaan sayang. Pandangan kebencian itu meruntuhkan perisai yang telah bertahun-tahun cuba dibina oleh Tang Mengying dan memusnahkan penipuan yang dibuat kepada dirinya sendiri dan orang lain selama ini.

Ketika menyaksikan kebencian pada wajah kecil itu, Tang Mengying merasakan pandangannya semakin kabur dan fikirannya semakin kelam. Walau bagaimanapun, beberapa kejadian yang berlaku kira-kira empat tahun lalu muncul dalam fikirannya dan semakin jelas.

[Anakku, sudah masuk minggu keempat sejak Tuhan hantarkan kamu kepada ibu. Walaupun ayah tak mahu mengakui kewujudan kamu, ibu sayang kamu dan ibu menanti kehadiran kamu di sisi ibu - sayang, Ibu.]

[Anakku, hari ini ibu lakukan ujian poligraf. Pakar itu cakap radiasi mungkin akan menyebabkan kesan negatif ke atas kamu, tapi ibu tetap lakukannya. Ibu nak ayah kamu mengakui kamu dan buang perempuan jahat itu - sayang, Ibu.]

Satu ketika dahulu, dia amat menanti ketibaan anaknya. Anak ini pernah menjadi satu-satunya harapan yang ada kepadanya pada saat-saat sukar. Satu ketika dahulu, dia pernah berasa gembira dan bangga. Ibarat seekor merak yang dahulunya megah dan dicemburui oleh semua orang, kini merak itu telah dicabut semua bulunya yang cantik dan mendedahkannya di hadapan ramai. Jadi dia amat berdendam dan hampir menjadi gila!

Ketika bayinya baru berusia sebulan, dia mengangkat bayinya itu di atas kepala lalu menghempasnya ke lantai. Apabila melihat bayi itu menangis dengan kuat dan bertukar kebiruan, dia ketawa seperti orang gila.

[Budak sial! Dari mana kau datang?! Hahaha! Bagaimana benda ini boleh hidup dalam dunia ini?]

Ya, bagaimana budak ini boleh hidup di dunia ini? Pandangan Tang Mengying semakin kabur dan satu senyuman lebar terukir di wajahnya.

Tiba-tiba, satu susuk tubuh yang tinggi dan tegap muncul di hadapan matanya yang sudah semakin kabur. Tang Mengying berusaha untuk melihat buat kali terakhir sepasang mata yang pernah dirasakannya mata paling cantik di dunia itu.

Mata yang dingin dan tiada belas kasihan. Mata itu pernah menyinari hidupnya. Tubuh kurus Tang mengying akhirnya jatuh ke tanah. Darah yang mengalir membuatkan rumput di situ bertukar merah. Angin yang bertiup membawa bau darah itu pergi dan hilang buat selama-lamanya. 

Li Sicheng, aku benci kau.

Bab berikutnya