webnovel

Lelaki yang Dicintainya, Li Sicheng, Curang Kepadanya

Editor: EndlessFantasy Translation

 [Tututututu]: Lelaki memang macam ni. Kemungkinan besar perasaan suami kamu seperti ini: Kalau kamu tak tunaikan permintaan dia, dia boleh saja pergi kepada orang lain yang lebih cantik dan seksi berbanding kamu. Kemudian dia boleh ambil peluang ini untuk beritahu kamu yang dia sangat menarik dan kamu bukan satu-satunya untuknya.

Semua komen itu membuatkan perasaan Su Qianci semakin teruk. Setiap ayat seakan menikam hatinya kerana semuanya adalah apa yang difikirkannya… Walau bagaimanapun, empat tahun lalu Li Sicheng datang ke gudang terbiar itu deminya dan hampir mati. Jika Li Sicheng benar-benar sudah tidak mencintainya lagi, jadi perasaan mendalam beberapa tahun lalu itu… adakah semuanya hanya gurauan?

Jadi, tidak. Li Sicheng pasti benar-benar sibuk! Namun cubaannya untuk menipu diri sendiri itu gagal apabila dia menerima satu mesej pada petang itu. Ketika itu jam tiga petang dan anak-anaknya sedang tidur kerana keletihan. Su Qianci pula tiada mood untuk berjalan-jalan. Dia duduk di dalam biliknya sambil membelek hantaran yang dibuatnya tadi ketika satu mesej WeChat masuk.

[Lu Yihan]: [Gambar]

Di dalam gambar itu, Li Sicheng sedang duduk di tempat sebelah pemandu di dalam kereta manakala seorang wanita duduk di tempat pemandu. Wanita itu kelihatan dalam lingkungan antara 20-30an. Dia memakai kot trenc berwarna coklat yang cantik dan mempunyai solekan yang amat cantik pada wajahnya. Kedua-duanya kelihatan sedang bercakap. Pandangan Li Sicheng kelihatan lembut, sama seperti… kebiasaan apabila suaminya itu memandangnya.

Su Qianci memegang telefonnya dengan perasaan yang amat terkejut. Dia membesarkan gambar itu dan meneliti setiap inci wajah orang dalam gambar itu. Bertahun-tahun bersama membuatnya yakin lelaki ini ialah Li Sicheng, orang yang amat dicintainya!

Su Qianci merenung gambar itu buat beberapa lama dan merasakan langitnya seakan runtuh. Akhirnya dia sudah tidak dapat menahan dirinya dan terus menangis dengan kuat. Wanita itu ialah wanita di lapangan terbang tempoh hari! Rakan sekolah? Kenapa pandangan Li Sicheng begitu andai dia hanya bercakap dengan seorang rakan sekolah lama? Malah ketika bercakap dengan ibu bapanya juga Li Sicheng tidak mempunyai pandangan begitu!

Su Qianci sentiasa menyangka pandangan itu hanya untuknya secara eksklusif. Dia menyangka Li Sicheng hanya akan melayannya seorang sahaja dengan lembut begitu. Seperti yang dikatakan Li Sicheng, dia akan menyintainya selama-lamanya… Tetapi realiti ini hanya memberi dua tikaman berdarah kepadanya! Mengapa? Hanya kerana dia menolak permintaan suaminya itu beberapa hari lalu? 

Tiba-tiba Su Qianci merasakan semuanya tidak masuk akal. Adakah ia hanya alasan Li Sicheng? Padahal sebenarnya sudah lama suaminya itu mahu meninggalkannya, bukan? Disebabkan itulah Li Sicheng sengaja membuatkannya teramat penat. Tahniah… Cara Li Sicheng ini sudah berjaya mengalahkannya dan dia sudah kehilangan apa-apa harapan.

Su Qianci menelefon suaminya. Ia berdering agak lama sebelum dijawab. Sebaik sahaja panggilan itu disambung, Su Qianci mendengar bunyi ketawa seorang wanita.

Su Qianci cuba menahan dirinya daripada menangis dan berkata dengan sedikit teresak, "Apa kamu sedang buat?"

"Saya sibuk." Suara Li Sicheng lembut dan tidak berbeza dari biasa. "Ada apa?"

Su Qianci diam seketika sebelum bertanya, "Li Sicheng."

"Ya?"

"Kalau… kalau kamu tak mahu bersama saya lagi, jangan lupa beritahu saya, saya tak akan paksa kamu."

Kalau kamu ada perempuan lain, jangan lupa beritahu saya. Saya tak akan berkongsi suami dengan wanita lain.

Tetapi Su Qianci tidak mampu menuturkan ayat yang kemudian itu. Kesedihan dan kepenatan menyelubungi dirinya.

Bab berikutnya