webnovel

Membuatkannya Lemah

Editor: EndlessFantasy Translation

Setelah agak lama, Li Sicheng akhirnya melepaskan Su Qianci dan sedikit tercungap-cungap ketika menjawab, "Ya, memang saya yang buat." Sebelum mereka bertolak ke Maldives, dia melihat Cheng You membaca satu buku komik di pejabat. Di dalam komik itu, hero bergaduh dengan heroin. Selepas pulang dari kerja, heroin melihat katilnya dipenuhi kelopak bunga ros yang cantik dan amat terkejut. Hero muncul dari atas katil lalu mengangkat selimut dan kelopak bunga ros itu bertaburan bagai hujan. Li Sicheng mendapat inspirasi daripada komik itu dan mengaturkan suasana romantik itu untuk Su Qianci. Apabila melihat Su Qianci teruja dengannya, Li Sicheng turut berasa gembira. 

Sebaik mendengar jawapan itu, pandangan Su Qianci bertambah lembut lalu dia mencium suaminya. Senyuman Li Sicheng bertambah lebar dan dia menolak Su Qianci ke tengah-tengah katil lalu mencium isterinya itu bertalu-tali di pipi, dagu dan lehernya.

Su Qianci memeluk suaminya dengan lebih erat. Tubuhnya menggeletar di bawah sentuhan Li Sicheng. Tidak kira sudah berapa kali mereka bersama, tubuhnya masih sensitif sepertimana kali pertama mereka bertemu.

Li Sicheng menolak tali baju pada bahu Su Qianci dan meneruskan ciumannya dengan penuh cinta dan lemah-lembut seakan sedang melindungi sesuatu yang berharga.

 "Papa, Papa!"

Tiba-tiba suara budak kecil kedengaran dari luar bilik dan membuatkan Li Sicheng terkaku. Belum sempat mereka melakukan apa-apa, pintu bilik itu telah dibuka.

Su Qianci turut terkejut lalu terus menolak suaminya. Wajahnya yang sudah sedia kemerahan kini bertambah merah. Dia cepat-cepat menutup dadanya sambil menarik bajunya ke atas.

Li Jianyue berlari masuk sambil menangis. "Papa, Abang tak bagi saya main dengan permainan blok bangunan…"

Li Sicheng segera duduk dengan perasaan malu. Su Qianci menarik bajunya dan berpaling ke belakang lalu duduk dengan wajah kemerahan.

Li Sicheng tidak sempat untuk mengelap gincu Su Qianci pada bibirnya. Mata Li Jianyue terbeliak apabila melihat bibir Li Sicheng serta gincu pada pipi ayahnya itu lalu bertanya, "Papa, Papa pakai gincu?" 

Li Sicheng merasakan wajahnya hampir meletup. Dia memandang ke dalam cermin di meja solek lalu menyapu gincu pada wajahnya dengan tisu sebelum menoleh kembali ke arah anak perempuannya.

Mata besar Li Jianyue masih basah. Dia kelihatan amat sedih. Wajahnya kelihatan merah jambu kerana menangis. Li Jianyue memakai baju tidur puteri yang comel sambil memeluk anak patung Barbie. "Papa…"

Li Sicheng berasa sayu melihat anaknya bersedih. Dia mendukung Li Jianyue lalu bertanya dengan lembut, "Apa dah jadi dengan Ersu?"

 "Abang tak nak bagi saya main blok bangunan… Abang pentingkan diri sendiri. Saya tak suka Abang!" Li Jianyue memeluk leher Li Sicheng sambil menangis. Wajahnya kelihatan begitu sedih sehingga meluluhkan hati Li Sicheng.

Li Sicheng menyapu air mata anaknya itu dan mengerutkan dahinya tanpa sedar. "Ersu, nanti Papa ajar abang kamu. Mana dia? Bawa Papa ke sana."

 "Yeay!" Li Jianyue bersorak dan menyapu air matanya. "Abang ada dalam bilik. Abang Mosen pun tolong Abang dan bukan Ersu. Saya tak suka dia juga sekarang."

Bab berikutnya