webnovel

Dia Tidak Mampu Menggantikannya…

Editor: EndlessFantasy Translation

Pemandu itu segera mendekati wanita yang dilanggarnya lalu bertanya dengan cemas, "Cik, Cik okey?"

Laptop yang dipegang oleh wanita itu telah jatuh ke atas jalan. Ia sebuah laptop model terkini sebuah jenama terkenal yang bernilai lebih $100,000. Pakaiannya turut kotor tetapi wanita itu tidak mempunyai masa untuk memeriksa keadaan dirinya sebaliknya segera mengambil laptopnya yang jatuh. Luaran laptop itu sudah pun tercalar. Sebaik wanita itu membukanya, dia melihat bahagian skrin laptop itu telah pecah dengan teruk. Matanya terus bertukar kemerahan dan dia merintih, "Laptop… laptop ini… harganya $120,000! Apa yang patut saya buat sekarang? Ia bukan milik saya!" 

Suara wanita itu sampai ke telinga Ou Ming yang berada di dalam kereta. Wajahnya yang sugul kerana perjalanan yang terhalang itu tiba-tiba berubah. Sudah empat tahun dia tidak mendengar suara ini. Adakah ia cuma khayalannya?

Badan Ou Ming terus menegak, tetapi ketika itu fikirannya bingung! Di luar kereta, pemandu Ou Ming menarik nafas lega apabila mendapati wanita itu tidak mengalami kecederaan serius. Namun apabila mendengar laptop itu berharga $120,000, wajahnya terus menjadi pucat. Dia berasa marah dan bersalah pada masa yang sama lalu membentak, "$120,000? Kamu jangan menipu! Laptop yang dah rosak itu tak mungkin berharga semahal itu?"

Wanita itu bangun dan kelihatan terdengkot-dengkot. Lutut dan sikunya berdarah dan dipenuhi pasir. Sekali pandang sudah tahu lukanya amat menyakitkan. Wanita itu berasa amat marah lalu melemparkan laptopnya ke arah pemandu itu. "Apa kau cakap? Kau yang langgar aku tapi tak mahu bertanggungjawab pula? Kau yang rosakkan laptop aku, jadi kau mesti bayar! Aku perlu gunakannya sekarang. Beri aku yang betul-betul sama seperti ini!"

Mendengar suara itu sekali lagi, Ou Ming seakan direntap kembali ke alam realiti. Itu dia, memang dia! Jantung Ou Ming berdegup kencang. Dia membuka pintu lalu keluar dari keretanya.

Pada awalnya pemandu itu berasa bersalah. Tetapi apabila mendengar nada wanita itu, kemarahannya membuak lalu berkata, "Kamu penipu, sengaja tunggu di sini untuk dilanggar kereta kemudian cuba mengugut orang dengan banyak wang menggunakan laptop ini!"

Yu Lili mahu berkata sesuatu, tetapi tiba-tiba pandangannya terarah kepada seorang lelaki tinggi yang baru sahaja keluar dari kereta yang melanggarnya. Riak wajah Yu Lili terus berubah. Dia seakan terlupa kesakitannya seketika. Itu… dia! Itu memang lelaki itu! Tanpa sedar Yu Lili berundur sedikit ketika jantungnya berdegup kencang dan seakan hampir meletup.

Semua kenangan yang telah cuba disingkirkannya sejak empat tahun lalu kembali menerpa ke dalam fikirannya. Setiap gambar dan setiap babak seakan menonjolkan satu nama yang telah terpahat jauh dalam hatinya. 

Ou Ming, Ou Ming!

Yu Lili memandang Ou Ming dengan amat terkejut dan berfikir untuk melarikan diri. Tetapi laptop itu… Laptop itu ialah peralatan kerja yang baru sahaja dibeli oleh bosnya. Dia hanya mengambilnya dari kedai untuk dibawa kepada bosnya. Dia tidak menyangka laptop bernilai ratusan ribu dolar itu akan rosak dalam perjalanan yang hanya memerlukannya melintas ke seberang jalan. Lebih teruk lagi, dia tidak mampu untuk menggantikannya…

Wajah Yu Lili berubah. Dia memberanikan dirinya lalu berkata, "Kamu akan tahu harganya apabila kamu lihat di Internet. Ini laptop yang baru sahaja tiba dari Amerika Syarikat dan berharga $119,998. Kamu perlu bayar ganti rugi kepada saya!"

Bab berikutnya