webnovel

Pakaian keluarga? Li Sicheng meletakkan tangan di dalam poket dan mengekori mereka perlahan-lahan.

Li Jianyue yang didukung Lu Yihan tersenyum lebar. Dia melihat sekeliling dengan sepasang matanya yang bulat dan hitam itu lalu ternampak seorang badut yang menjual gula-gula kapas sedang dikerumuni oleh ramai ibu bapa dan anak-anak mereka. Mata Li Jianyue terus bersinar sebaik melihat gula-gula kapas dan belon yang bergentayangan lalu merayu dengan suara manja, "Uncle Lu, saya nak itu. Saya nak gula-gula kapas, dan belon juga!"

Li Jianqian berjalan masuk bersama Li Mosen sambil menikmati gula-gula epal yang dibelikan Shuang Yu untuk mereka.

Lu Yihan beratur untuk membelikan gadis kecil itu belon dan gula-gula kapas. Li Jianyue memegang belon di sebelah kiri dan gula-gula kapas di sebelah kanan sambil ketawa girang dengan wajah yang comot. Sekejap-sekejap Su Qianci akan mengelap mulut anaknya itu dengan tisu basah. Lu Yihan tersenyum memerhatikan perlakuan lembut Su Qianci dan kelihatan gembira.

Su Qianci yang tidak menyedari riak wajah Lu Yihan berkata kepada anaknya, "Tengoklah kamu, comot betul!"

Li Jianyue menghulurkan batang gula-gula yang telah habis kepada ibunya sambil menggeleng. "Tak comot. Saya nak makan satu lagi."

"Tak boleh. Nanti gigi kamu rosak," kata Su Qianci tegas lalu mengambil batang itu dan melemparkannya ke dalam tong sampah.

Li Jianqian dan Li Mosen masuk ke taman hiburan dan kelihatan lebih teruja berbanding Li Jianyue. Mereka menaiki pelbagai permainan mencabar dan hanya berada di tanah apabila bermain permainan menembak.

Su Qianci dan Li Jianyue memerhatikan mereka dari belakang. Tiba-tiba Li Jianyue menarik tangan ibunya dan berbisik, "Mama, saya nak buang air."

Su Qianci mendukung anak perempuannya itu dan memberitahu Lu Yihan sebelum terus berlalu ke bilik air. Li Jianyue tidak tahu bagaimana untuk memakai pita ambin itu sendiri. Selesai membuang air, kesemua butang diletakkan sesuka hatinya. Sebaik Li Jianyue membuka pintu tandas dan keluar, Su Qianci hampir ketawa melihat anaknya itu. Tali yang mengikat bajunya bersilangan dan seluarnya hampir jatuh. 

Su Qianci menyuruh anaknya membasuh tangan lalu membetulkan pakaiannya. Li Jianyue tersenyum dan meminta Su Qianci mendukungnya lalu mereka keluar dari bilik air itu bersama-sama.

Tidak jauh daripada bilik air itu, kelihatan satu permainan udara yang boleh dinaiki oleh seorang dewasa dan seorang kanak-kanak. Ia tidak kelihatan bahaya dan hanya berketinggian 10 kaki dari bawah. Kedengaran suara ketawa beberapa orang kanak-kanak dari permainan itu. Mata Li Jianyue terus bersinar.

"Mama, Ersu nak main itu!" Li Jianyue berkata dengan comel sambil menunjuk ke arah kapal terbang kecil yang berada di udara. "Seronoknya! Jom main bersama-sama!"

"Okey, jom."

Su Qianci meletakkan Li Jianyue ke bawah dan mereka mula beratur. Barisan itu tidak panjang dan giliran mereka tiba dengan cepat. Su Qianci memakaikan tali pinggang pada permainan itu kepada anaknya sebelum memakainya sendiri. Kemudian dia berbisik, "Jangan takut. Nanti permainan ini akan naik tinggi sedikit."

"Saya tak takut!" Wajah comel Li Jianyue kelihatan penuh teruja walaupun sebenarnya dia sedikit gementar apabila memandang ke bawah.

Kapal terbang kecil itu mula bergerak dalam pusingan. Li Jianyue merasakan dirinya seakan terbang dan menjerit, "Mama, saya terbang! Wahhh!!" Suara comel dan manjanya diselang seli dengan ketawa.

Su Qianci senang hati melihat anaknya gembira lalu memeluknya. Tiba-tiba kedengaran satu bunyi yang perlahan di bawah mereka. Su Qianci berasa seperti mahu muntah dan mula panik. Kemudian kedengaran bunyi orang ramai menjerit dan satu suara berkata, "Oh Tuhan! Permainan kapal terbang itu akan jatuh!"

Bab berikutnya