webnovel
avataravatar

Adik yang Paksa Saya Bermain

Editor: EndlessFantasy Translation

Su Qianci kembali berbaring dengan malas dan tidak mahu turun dari katilnya. "Berilah Mama tidur sekejap lagi. Mama masih mengantuk."

Li Jianyue mengebilkan matanya kemudian meniarap di atas tubuh ibunya. Kepalanya diletakkan pada dada Su Qianci. "Okey, jom tidur sedikit lagi."

Su Qianci tersenyum dan mengusap kepala Li Jianyue lalu menutup matanya kembali. Tetapi hanya dua minit kemudian, gadis kecil itu bangun tiba-tiba. "Mama, masa dah habis. Mama kena bangun sekarang."

"Belum lagi. Sekejap lagi."

"Tak boleh Mama. Mama kena tepati janji!" Li Jianyue cuba menarik ibunya bangun, tetapi Su Qianci tidak bergerak.

Wajah Li Jianyue bertukar kemerahan. Dia yang sedang duduk di atas perut ibunya memuncungkan bibir. Tiba-tiba dia mencucuk jarinya ke dalam lubang hidung Su Qianci dan berkata, "Mama bangun!"

Su Qianci ketawa lalu menangkap tangan Li Jianyue. Kemudian dia memeluk anaknya itu dan memukul lembut punggungnya. "Nak kena pukul ya?"

"Ah, Mama pukul saya. Abang, tolong!"

Li Jianqian menjenguk dari luar bilik dengan mata yang terkebil-kebil. "Mama, Mama dah siap?"

"Sekejap." Su Qianci menguap lalu meletakkan Li Jianyue ke tepi, kemudian mengambil tisu basah dan mengelap jari anaknya itu. "Mama nak pergi mandi. Kamu berdua dah sarapan?"

"Dah!" kata Li Jianyue dengan bangga. "Kami cuma tunggu Mama saja. Mama memang pemalas!"

Su Qianci memicit hidung anaknya itu sebelum turun dari katil dan masuk ke bilik air. Di dalam bilik air itu, alatan kebersihan diri yang digunakan Li Sicheng masih berada di tempat asalnya. Kesemuanya kelihatan sedikit using kerana sudah terlalu lama tidak digunakan.

Su Qianci memandang alatan-alatan itu sambil mengambil berus giginya, kemudian berkata, "Selamat pagi, Encik Li."

Selesai mandi, Su Qianci membuka pintu bilik air dan mendapati bilik tidurnya sudah kucar-kacir. Li Jianqian yang menyelubungkan belakang kepala dan tubuhnya dengan selimut sedang berdiri di atas katil dan tunduk memandang Li Jianyue yang sedang melutut. "Kamu tahukah apa kesalahan kamu?!"

Li Jianyue sedang berpura-pura menangis dan berkata, "Hamba kamu yang hina ini tahu kesalahannya. Ampunkan saya Tuanku! Saya tak akan berani…"

Li Mosen sedang berdiri di satu sudut dengan kedua tangannya di atas dan kepalanya sedikit tunduk. Sekilas pandang Su Qianci sudah tahu budak lelaki itu sedang berlakon sebagai pegawai diraja.

Sebaik melihat Su Qianci keluar, Li Jianqian menanggalkan selimut yang dipakainya. Kemudian dia duduk dan berkata, "Adik yang paksa saya main!"

"Mana ada! Abang yang nak berlakon jadi Raja!"

Li Mosen hanya terdiam dan mendekati Li Jianqian.

Su Qianci berasa geram dan berkata, "Keluar!"

Tiga kanak-kanak itu terus berlari keluar, tetapi selipar Li Jianqian masih berada di bawah katil. Su Qianci menggeleng lalu menjerit, "Dasu, selipar!"

Li Jianqian segera muncul kembali dan mengambil seliparnya, kemudian berlari lagi untuk keluar. Dia teringat sesuatu ketika tiba di pintu dan berkata, "Mama kena pakai baju yang sama macam kami!"

Su Qianci tersenyum lalu menutup dan mengunci pintu bilik itu. Kemudian dia menjumpai sepasang seluar biru dan baju berbelang hitam putih. Padanan paling klasik. Su Qianci mengikat rambutnya ke atas lalu membuka pintu dan keluar.

"Wah, macam budak sekolah menengah," kata Liu Sao ketika dia membawakan sarapan kepada Su Qianci. "Puan nampak macam kakak mereka, bukannya ibu."

Bab berikutnya