webnovel

Identiti Lelaki Misteri

Editor: EndlessFantasy Translation

Su Qianci keluar secara senyap dan menutup pintu. Tetapi tanpa disedarinya, senyuman berpuas hati terukir pada wajah Li Mosen dan kanak-kanak itu berbisik dengan gembira, "Selamat malam."

*****

Keesokan harinya, Su Qianci meminta setiausaha mencarikan pengajar untuk anak-anaknya. Disebabkan Cheng You masih cuti bersalin, Su Qianci mengambil seorang pekerja yang berkebolehan bernama Bai untuk menjadi setiausahanya. Bai seorang yang bijak, boleh diharap dan rajin. Walaupun tidak sehebat Cheng You, Bai melakukan kerjanya dengan sempurna.

Selepas Su Qianci menjelaskan perkara yang perlu dilakukan, Bai terus menjalankan tugasnya. Su Qianci sedang bermesyuarat ketika telefon bimbitnya berdering. Ia panggilan daripada polis Kingstown.

"Presiden Su? Tiga orang penjenayah yang kamu hantar semalam dah buat pengakuan. Boleh kamu datang ke balai polis?"

"Saya sedang bermesyuarat. Jam tiga petang nanti boleh?"

"Boleh, jumpa kamu jam tiga petang."

Su Qianci menyambung mesyuarat itu sebaik panggilan ditamatkan. Selesai menguruskan pelbagai perkara, dia tiba-tiba teringat mesej daripada Encik L semalam: Bidaan Daerah Gu Du Ming, lusa jam 7 petang, Hotel Royal, mesti menang. 

Walaupun tidak pernah berjumpa, Su Qianci tahu dia boleh mempercayai nasihat L selepas bertahun-tahun menerima mesejnya. Jika L mengatakan mereka mesti menang, bermaksud tempat itu sememangnya sangat bagus.

Su Qianci menyelidikinya dan mendapati tempat itu terletak di sebuah pekan kecil di Kingstown, tetapi tidak terlalu jauh dari pusat bandar Kingstown. Pada kehidupannya yang lalu, tempat ini sememangnya milik Li Sicheng. Di situ, Li Sicheng telah mendesak pihak berkuasa untuk membina laluan kereta api supaya kawasan sekitar dapat membangun dengan lebih pesat. Disebabkan itu kawasan tersebut mula berkembang tanpa disangka-sangka dan nilai tanah di situ berganda dalam masa kurang dari setengah tahun. 

Walau bagaimanapun, seingat Su Qianci, persaingan untuk daerah Gu Dung Ming menjadi lebih sengit disebabkan nilainya yang bertambah itu. Akhirnya Li Sicheng berjaya memiliknya dengan membayar lima kali ganda daripada harga asal. Ketika itu semua orang kagum dengan keberanian Presiden Li.

Su Qianci terpaksa mengakui Encik Li ini pandai membuat penilaian, sama seperti Li Sicheng. Dia tekad untuk mendapatkan blok tanah itu dan terus berjalan ke bilik pejabat timbalan presiden.

Li Jinnan sedang berbual di telefon. Sebaik melihat Su Qianci datang, dia melambaikan tangannya. Empat minit kemudian panggilan itu ditamatkan. Su Qianci segera memberitahu perancangannya dan Li Jinnan mengangguk faham. "Bagus, kita pergi bersama-sama malam esok." Li Jinnan pantas bersetuju. Tetapi tiada sesiapa dapat menjangka perkara luar jangkaan yang akan berlaku sewaktu acara pembidaan malam esok.

Su Qianci meletakkan dokumen di atas meja Li Jinnan lalu menggeliat dan menguap. "Jinnan, jawatan ini terlalu mudahkan untuk kamu? Apa kata saya beri kamu jawatan presiden?"

"Tidak." Li Jinnan menolak lalu mengeluarkan sebatang rokok dan menyalakannya. "Lebih baik jangan minta saya buat apa-apa. Kamu tahu kan, ini bukan impian saya." Ya, sejak dulu lagi Li Jinnan mahu membuka syarikat hiburan, mendapatkan ramai artis dan menjadi bos yang bersenang-lenang.

Su Qianci ketawa dan mengipas asap rokok darinya. Kemudian dia tunduk dan berkata perlahan, "Bukan impian saya juga. Saya tak tahu bila dia akan kembali. Sejak beberapa tahun ini… saya rasa sangat letih."

Bab berikutnya